Keputusan mahkamah yang membawa maksud bukan Islam boleh bertugas sebagai peguam syarie di Kuala Lumpur harus menjadi iktibar kepada negeri-negeri lain untuk meminda peraturan berkaitan, kata Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

"PGSM berhasrat, perkara yang berlaku ini menjadi iktibar kepada negeri-negeri lain iaitu Perlis, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang masih tidak meletakkan syarat Islam dalam kaedah atau peraturan peguam syarie masing, supaya segera meminda kaedah atau peraturan tersebut dengan memasukkan Islam sebagai syarat untuk layak diterima sebagai peguam syarie," kata presidennya Musa Awang.

Mahkamah Rayuan di Putrajaya semalam memutuskan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bertindak di luar batas undang-undang ketika enggan memproses permohonan peguam bukan Islam Victoria Jayaseele Martin (kiri) untuk beramal sebagai peguam syarie.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Abu Samah Nordin yang bersidang bersama Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Aziah Ali dilaporkan sebulat suara memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan peguam berkenaan dan perintah-perintah yang dimohonnya.

Menurut laporan media lagi, ini bermakna, peguam bukan Islam yang mempunyai pengetahuan mencukupi dalam undang-undang syariah boleh memohon kepada MAIWP dan dikehendaki menduduki peperiksaan tertentu sebelum diterima masuk sebagai peguam syarie.

Dalam kenyataannya hari ini, Musa juga berkata, PGSM merafak sembah kepada Yang di-Pertua Agong sebagai ketua agama Islam kepada negeri-negeri yang disebut, kecuali Perlis, untuk bertidah supaya tindakan segera diambil bagi menyekat kehadiran bukan Islam di Mahkamah Syariah.

Langkah itu atas alasan, kepentingan umat Islam yang "mengelakkan mudarat tertentu atau yang bersifat mendatang".

shariah lawyers association of malaysia persatuan pguam sarie mlaysia pgms presidentmusa awang
Sementara itu, Musa (kanan) juga berkata, keputusan semalam masih bukan muktamad kerana prosiding rayuan masih boleh teruskan ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

Ini kes pertama dilaporkan di ibu negara seorang peguam bukan Islam diberi kebenaran mencabar keputusan bahawa hanya peguam beragama Islam boleh bertugas sebagai peguam syarie di Mahkamah Syariah.

Artikel penuh di http://www.malaysiakini.com/news/233659