Wednesday, February 6, 2013

Tangani golongan persenda Islam


Kuat kuasa enakmen dalam Perlembagaan elak keharmonian Negara tergugat

Musa Awang

Peguam Syarie Menulis,
Berita Harian 6 Februari 2013

Akhir-akhir ini banyak provokasi terhadap Islam dilakukan oleh pemimpin dan orang terkenal dalam masyarakat. Walau apa pun tujuan terselindung, perlakuan tersebut bukan sahaja menimbulkan resah dalam kalangan orang Islam, juga akan menghakis kedaulatan Islam sebagai agama Negara.

Sikap menghina agama Islam turut menjalar dalam masyarakat hingga menyebabkan ada orang bukan Islam secara terang-terangan berani mempersendakan peraturan agama Islam, mencemuh amalan dan mengeluarkan kata-kata tidak sepatutnya terhadap agama Islam serta penganutnya.

Lebih malang, ada pihak yang merestui dan bersekongkol dengan usaha itu. Dari perspektif integrasi kaum dan agama, sikap begini kurang ajar dan tidak menghormati perasaan khususnya orang Islam dan orang Melayu.

Memperkecil Islam sebagai agama Persekutuan
Dari sudut perundangan, ia dilihat cuba memperlekeh dan memperkecilkan Islam sebagai agama bagi persekutuan, serta menggugat keistimewaan yang diberikan oleh Perlembagaan kepada orang Islam.

Golongan yang mempersendakan Islam sebenarnya telah lama wujud sejak zaman Rasulullah SAW dan diteruskan golongan modenis zaman sekarang atas nama demokrasi, kebebasan bersuara, hak asasi dan kebebasan beragama.

Golongan ini telah banyak kali cuba memperlekeh dan menghina Rasulullah SAW, cuba menjatuhkan martabat Baginda, menghina Islam, sekaligus cuba menjauhkan manusia dari ajaran Islam yang dibawanya.

Allah SWT telah mengingatkan Rasulullah SAW dan umat Islam dalam firman-Nya yang bermaksud : Mereka bersumpah dengan nama Allah, bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang buruk terhadapmu), padahal sesungguhnya mereka telah mengatakan perkataan kufur, dan mereka pula menjadi kafir sesudah melahirkan Islam, serta mereka berazam untuk melakukan apa yang mereka tidak akan dapat mencapainya (iaitu membunuhmu). Dan tidaklah mereka mencaci dan mencela (Islam) melainkan setelah Allah dan RasulNya memberi kesenangan kepada mereka dari limpah kurniaNya. Oleh itu, jika mereka bertaubat, mereka akan beroleh kebaikan; dan jika mereka berpaling (ingkar), Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan mereka tidak akan mendapat sesiapa pun di bumi ini, yang akan menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong. [Surah at-Taubah ayat 74].

Walaupun hati umat Islam telah terguris dengan perlakuan itu, mereka nampaknya tidak cepat melatah, membalas cemuhan dan provokasi dengan memperkecil atau mempersendakan amalan agama lain.

Mereka masih bersikap menghormati agama lain dan tidak mahu menyinggung keharmonian antara kaum. Tidak kurang juga yang masih berpeluk tubuh dan bersikap endah tidak endah.  Bagaimanapun, tindakan perlu diambil supaya mereka tidak mengulangi perbuatan berkenaan.

Rasulullah SAW pernah menempelak golongan ini dengan ayat al-Quran yang bermaksud : Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main". Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?" Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah. [Surah at-Taubah ayat 65-66]

Tindakan tegas
Golongan yang mempersenda Islam pada zaman Rasulullah SAW hanya menampilkan diri mereka dan melakukannya secara terang-terangan selepas kewafatan Baginda. Semasa hayat Baginda, mereka melakukannya secara sembunyi kerana takutkan tindakan yang mungkin diambil oleh Rasulullah SAW.

Khalifah ar-Rasyidun tetap mendakwa mereka dan menjatuhkan hukuman ke atas golongan yang mempersenda agama seperti yang dikenakan kepada Musailamah al-Kazzab yang mengaku nabi selepas kewafatan Baginda SAW.

Penulis bersetuju dengan pandangan sesetengah pihak yang mendesak tindakan tegas diambil terhadap golongan ini. Selagi tidak ada tindakan berkesan kerajaan terhadap pihak yang jelas tidak mahu menghormati Perlembagaan, selagi itulah mereka akan terus melakukan kegiatan yang boleh menjejas keharmonian beragama dalam negara ini.

Sampai bila pihak berkuasa mahu menutup mata tanpa mahu bertindak tegas terhadap mereka yang berterusan menggugat keharmonian kaum, selain mempersendakan Perlembagaan. Undang-undang bukan sahaja perlu dihormati dan dipatuhi, malah juga perlu dikuatkuasakan.

Orang Islam yang melakukan perbuatan menghina, atau menyebabkan dipandang hina agama Islam boleh didakwa atas kesalahan Seksyen 7, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, yang jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Sekat agih bible
Orang bukan Islam yang menyebarkan agama mereka kepada orang Islam termasuk perbuatan mengagihkan Bible dalam kalangan pelajar Islam boleh dikenakan dakwaan di bawah Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) dah telah pun wujud di Terengganu, Kelantan, Kedah, Melaka, Perak, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, dan Johor.

Hanya Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Perlis yang belum menggubal undang-undang sedemikian, walaupun kuasa telah diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Jika sabit kesalahan di bawah Enakmen tersebut, pesalah boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM10,000 atau penjara selama tempoh satu tahun atau kedua-duanya. Undang-undang kawalan dan sekatan pengembangan agama tersebut bukan Islam tersebut bukan sahaja boleh dikenakan terhadap bukan Islam, tetapi juga boleh dikenakan ke atas orang Islam yang bersekongkol. 

-       Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi melalui emel : sekretariatpgsm@yahoo.com.

No comments:

Post a Comment

Kelantan Lulus Hukum Sebat Khalayak Ramai, PINDAAN TAK BERCANGGAH PERLEMBAGAAN

Berita Harian Jumaat, 14 Julai 2017 KELANTAN LULUS HUKUM SEBAT KHALAYAK RAMAI Pindaan tak bercanggah Perlembagaan Pindaan ...