Tuesday, December 18, 2018

KEDAULATAN ISLAM TERJAMIN


Harian Metro

8 Dec 2018

Musa Awang

Tamadun dan perundangan Islam di Tanah Melayu, khususnya di Negeri Terengganu bukan baharu wujud. Sejarah membuktikan sehingga 1511M, seluruh kawasan Semenanjung Tanah Melayu termasuk Patani, Kelantan, Kedah dan Terengganu menjadi taklukan Kesultanan Melayu Melaka.

Sehingga saat Sultan Zainal Abidin Shah ditabalkan sebagai Sultan Terengganu pada 1708, sistem politik awal kerajaan Sultan Zainal Abidin Shah telah dipengaruhi Kesultanan Melayu Melaka dengan meneruskan pelaksanaan undang-undang Islam dan menerima Hukum Kanun Melaka dalam pemerintahan baginda.

Penemuan Batu Bersurat bertarikh 4 Rejab 702H (bersamaan 22 Februari 1303M) di tebing Sungai Tersat, Kuala Berang, Terengganu pada 1887M menandakan Islam sudah bertapak di Terengganu sekurang-kurangnya 50 tahun sebelum tarikh batu bersurat itu ditulis.

Selain itu, Sultan Zainal Abidin memberikan kedudukan penting kepada ulama dalam pemerintahan baginda. Antaranya seperti Tok Ku Pulau Manis Sheik Abdul Malik bin Syed Abdullah, Che Buang dan Qadi Wan Imam Mahmud membuktikan ajaran Islam menjadi pegangan hidup dan dasar politik sejak awal penubuhan Kerajaan Melayu Terengganu.

Kapten Guillance Labe yang berada di Terengganu pada 1769M semasa pemerintahan Sultan Mansor 1 (1733M-1794M) mencatatkan bahawa seorang anak muda Melayu dihukum mati atas kesalahan merompak dan membunuh. Hukuman ke atas penjenayah itu dihebahkan sebagai pengajaran kepada rakyat dan hukuman seumpama itu dilaksanakan tanpa mengira bangsa orang itu Melayu atau Eropah.

Clifford semasa berada di Terengganu pada 1895M mencatatkan bahawa Sultan Zainal Abidin II mengharamkan berjudi, berlaga ayam dan semua permainan yang dianggap berdosa oleh ajaran Islam. Malah baginda sendiri menunjukkan contoh teladan baik kepada rakyat seperti diamalkan oleh sultan terdahulu. Clifford juga menjelaskan, Kerajaan Melayu Terengganu mengamalkan prinsip raja berperlembagaan iaitu dengan merujuk al-Quran, al-Hadis, qiyas dan ijma ulama sebagai asas pelaksanaan undang-undang. Selain itu, Sultan Zainal Abidin III sendiri seorang raja alim dalam ilmu agama dan berguru dengan Haji Wan Muhammad bin Haji Wan Abdullah dan Tok Ku Paloh.

Satu bukti nyata Kerajaan Melayu Terengganu sebuah pemerintahan beraja berperlembagaan bertunjangkan prinsip syariah ialah penggubalan ‘Itqanul Muluk Bi Ta’adi al-Suluk’ (Kesungguhan Raja Menyempurnakan Perjalanan Pemerintahan Yang Adil) atau dikenali juga Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu. Itqanul Muluk dimasyhurkan pada 11 Zulkaedah 1329H (bersamaan 2 November 1911M) sebagai sebuah perlembagaan Kerajaan Melayu Terengganu.

Kewujudan perlembagaan bertulis dalam bentuk moden seperti Itqanul Muluk itu mengukuhkan posisi Islam sebagai undang-undang watan bagi Kerajaan Melayu Terengganu.

Fasal 51 Itqanul Muluk menegaskan seperti berikut: “Sesungguhnya telah disifatkan dan disebutkan dan ditetapkan selama-lamanya Kerajaan Terengganu ini kerajaan Islamiyyah Malayuwiyyah ialah dikatakan ugama negeri dan kerajaan maka tiadalah boleh sekali-kali sebarang ugama lain dijadi atau disebut ugama negeri sekalipun banyak segala bangsa dan ugama diamankan dan dibenarkan masuk diam di dalam negeri dan jajahan Terengganu.”

Fasal 2 Itqanul Muluk menyatakan: “Maka hendaklah raja yang memerintah kerajaan Terengganu selama-lamanya adalah dia beragama Islam dan daripada bangsa Melayu dan darah daging keturunan sultan-sultan yang memerintah kerajaan Terengganu dan laki-laki sebagaimana tertib dan syarat-syarat yang tersebut…”

Perjanjian yang dibuat British dengan Kerajaan Melayu Terengganu seawal 1902, melalui draf perjanjian 1902 yang disediakan oleh Lord Lansdowne bersama Pesuruhjaya Khas Siam di England bernama Phya Sri Sahadeb sehingga ia ditandatangani oleh Sultan Zainal Abidin III pada 22 April 1910 (Perjanjian Terengganu 1910) adalah suatu pengiktirafan sebuah kuasa besar dunia pada masa itu terhadap Kerajaan Melayu Terengganu. Ia juga suatu pengiktirafan ke atas Sultan Zainal Abidin III sebagai pemilik dan pentadbir Kerajaan Melayu Terengganu serta segala jajahan takluknya sebagai sebuah Kerajaan Melayu Islam yang bebas merdeka.

Secara tersiratnya, Perjanjian Terengganu 1910 sebenarnya menunjukkan kebijaksanaan Sultan Zainal Abidin III dan pembesar baginda dalam mengekploitasi ancaman Siam dan British untuk mempertahankan kedaulatan Terengganu. Kerajaan Melayu Terengganu bukan sahaja diiktiraf antarabangsa sebagai kerajaan merdeka dan berdaulat tetapi berjaya dilindungi daripada ancaman kerajaan Siam sejak sekian lama.

Dengan termeterainya Perjanjian 1910, akhirnya Itqanul Muluk dimasyhurkan pada 2 November 1911. Pada 24 Mei 1919, perjanjian kedua antara Kerajaan Melayu Terengganu dengan kerajaan British dimeterai (Perjanjian Terengganu 1919) di Singapura ditandatangani Sultan Muhammad II Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III (1918–1920).

Fasal 2 Perjanjian Terengganu 1919 menyatakan: “Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu akan menerima seorang pegawai British yang dinamakan penasihat British yang akan mendiami dalam Negeri Terengganu dan menyediakan sebuah rumah yang munasabah bagi kediamannya dan segala nasihatnya mestilah diminta dan dituruti di dalam serba perkara dan masalah yang mengenai pemerintahan negeri dengan tidak menyentuh perkara agama Islam.

Walaupun Terengganu menerima seorang penasihat British, hakikatnya doktrin nasihat itu masih tertakluk kepada Perjanjian Terengganu 1919 dan Itqanul Muluk yang menjunjung dan menjamin kedaulatan Sultan Terengganu.

Perjanjian Terengganu 1919 adalah pindaan ke atas Perjanjian Terengganu 1910 yang berkisar atas subjek yang sama iaitu doktrin nasihat. Perjanjian Terengganu 1919 langsung tidak mengubah peruntukan Itqanul Muluk. Ketinggian Itqanul Muluk mengatasi Perjanjian Terengganu 1919. Sultan Terengganu tidak mesti tertakluk kepada nasihat British sekiranya sesuatu perkara itu menyentuh agama Islam. Perjanjian itu hanya menyentuh pengurusan pentadbiran kerajaan dan tidak menyentuk kedaulatan raja dan Kerajaan Melayu Terengganu. Pada masa sama, sekiranya kerajaan British gagal melindungi Kerajaan Melayu Terengganu daripada serangan kuasa asing, kerajaan British boleh dikatakan mungkir perjanjian berkenaan.

Tiada mana-mana peruntukan dalam Perjanjian Terengganu 1919 membenarkan penasihat British mengambil alih kedudukan Sultan Terengganu dalam struktur politik. Penasihat British tidak diberikan kuasa mengabsahkan kelulusan ordinan atau enakmen negeri, malah penguatkuasaan kuasa eksekutif masih dibuat atas nama Sultan Terengganu. Di samping nasihat British, pemerintahan Sultan Terengganu masih dibantu Jemaah Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan.

Persepsi dan momokan kedatangan British ke Tanah Melayu menghapuskan kedaulatan Islam dan ketuanan Kerajaan Melayu Islam seharusnya diperbetulkan. Kedaulatan Islam dan Raja-Raja Melayu masih berdiri utuh dan tegak dalam melaksanakan undang-undang syariah di negara ini.

- Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)




No comments:

Post a Comment

KEDAULATAN ISLAM TERJAMIN

Harian Metro 8 Dec 2018 Musa Awang Tamadun dan perundangan Islam di Tanah Melayu, khususnya di Negeri Terengganu bukan baharu...