Khairil Ashraf -
November 17, 2018 8:54
Presiden Persatuan
Peguam Syarie, Musa Awang bersetuju cadangan pindaan undang-undang dapat
mengurangkan perkahwinan bawah umur, terutama dalam kalangan orang Islam.
PETALING JAYA:
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengharapkan agar pindaan terhadap 2
akta yang dicadangkan oleh kerajaan tahun depan tidak akan mengharamkan atau
menutup terus keharusan untuk berkahwin di bawah umur.
Presiden PGSM Musa
Awang berkata, ini kerana perkahwinan bawah umur masih boleh dibenarkan dalam
keadaan khas.
“Dengan mengambil kira
aspek latar belakang, pendidikan, sosio-ekonomi, keupayaan fizikal, mental,
psikologi, pertimbangan hakim dan pemantauan oleh ibu bapa, perkahwinan bawah
umur boleh dibenarkan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian
ketika mengulas cadangan kerajaan untuk meminda 2 akta pada tahun depan dalam
usaha mengetatkan syarat kelayakan bagi perkahwinan bawah umur.
Timbalan Perdana
Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, 2 akta yang yang akan dipinda
ialah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 dan Akta
Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984.
Mengulas lanjut, Musa bersetuju
cadangan pindaan itu sekurang-kurangnya dapat mengurangkan perkahwinan bawah
umur terutama dalam kalangan orang Islam.
Dalam pada itu, peguam
syarie, Nizam Bashir pula berpendapat pindaan kepada 2 akta itu adalah suatu
langkah permulaan di peringkat kerajaan pusat dan perlu diikuti oleh pindaan
serupa di negeri.
“Langkah-langkah juga
perlu diambil di negeri lain dengan membuat pindaan ke atas enakmen keluarga
masing-masing, agar langkah kerajaan pusat turut dudukung oleh kerajaan negeri.
“Dalam masa yang sama,
kerajaan pusat dan negeri juga perlu meneliti sama ada aspek bantuan kebajikan
perlu disemak semula memandangkan antara punca perkahwinan bawah umur adalah
kemiskinan keluarga terbabit,” katanya.
Peguam syarie, Datuk
Akberdin Abdul Kader berkata, kewujudan usia perkahwinan minimum mandatori
dengan jelas menunjukkan tidak akan ada lagi kuasa budi bicara diberikan kepada
mahkamah.
Katanya, ketiadaan
kuasa budi bicara mahkamah akan mendorong pasangan bawah umur untuk “lari” ke
negara lain yang mempunyai kelonggaran untuk bernikah dan kemudiannya
mendaftarkan perkahwinan mereka di negara ini, sekali gus menggagalkan usaha
untuk menghalang perkahwinan bawah umur.
Beliau berkata, kuasa
budi bicara mahkamah perlu dikekalkan bagi menangani keadaan khas yang
dikemukakan kepadanya dalam isu perkahwinan bawah umur.
“Tanpa kuasa budi
bicara mahkamah, matlamat akhir penetapan usia minimum perkahwinan mandatori
mungkin tidak tercapai. Adakalanya, kewujudan budi bicara hakim syarie ada
kebaikannya atas asas ‘case to case’, lebih-lebih lagi bilangan kes sebegini
adalah kecil,” katanya.
Ketika menjawab
pertanyaan wakil Rembau, Khairy Jamaluddin di Dewan Rakyat minggu lepas, Wan
Azizah, yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata,
dalam usaha menaikkan umur minimum perkahwinan, kementerian sudah membentangkan
hasrat itu dalam mesyuarat pre-council Majlis Raja-Raja dan mesyuarat Menteri
Besar dan Ketua Menteri (MBKM) pada 16 Oktober lepas.
“Mesyuarat MBKM secara
spesifik memutuskan secara konsensus supaya umur perkahwinan dinaikkan kepada
18 tahun untuk lelaki dan wanita,” katanya, dan menambah, kementerian berharap
kerajaan negeri berjalan seiring dengan kerajaan persekutuan dalam usaha
menangani perkahwinan bawah umur di negeri masing-masing.
Di bawah Enakmen
Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di semua negeri, usia minimum bagi lelaki
untuk berkahwin adalah 18 tahun, manakala bagi perempuan 16 tahun.
Sekiranya mereka di
bawah umur, perkahwinan hanya dibenarkan jika ada kebenaran Mahkamah Syariah
dan persetujuan ibu bapa.
Mahkamah Syariah diberi
kuasa untuk membenar atau menghalang sesuatu permohonan perkahwinan bawah umur
setelah mempertimbang keperluan perkahwinan itu.
Manakala bagi orang
bukan Islam, mengikut Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan
Perceraian) 1976 (Akta 164), usia minimum perkahwinan adalah 18 tahun.
Sekiranya pasangan itu
berusia antara 16 hingga 18 tahun, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis
daripada Ketua Menteri dan mahkamah.
No comments:
Post a Comment