Wartawan Sinar Harian
15 November 2018
15 November 2018
KUALA LUMPUR - Kerajaan
perlu mengekang dan mengawal masalah perceraian melibatkan perkahwinan bawah
lima tahun yang disebabkan alasan remeh.
Presiden Persatuan
Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, keadaan tersebut memerlukan
pencegahan holistik agar perceraian disebabkan alasan-alasan remeh tidak
berterusan dan menjejaskan institusi kekeluargaan.
Katanya, PGSM
mencadangkan agar sesi kaunseling diwajibkan kepada setiap pasangan yang hendak
memfailkan permohonan perceraian di mahkamah syariah.
“Pasangan yang hendak
memohon perceraian hendaklah melampirkan laporan kaunseling atau surat
pengesahan bahawa mereka telah melalui proses kaunseling, sebelum dibenarkan
memfailkan tuntutan perceraian di mahkamah syariah.
“Sekiranya semasa dalam
prosiding perceraian tiada bukti ditunjukkan bahawa mereka telah menghadiri
sesi kaunseling, maka hakim hendaklah mengarahkan mereka menghadiri sesi
kaunseling terlebih dahulu sebelum kes mereka didengar semula,” katanya dalam
kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, sesi
kaunseling tidak perlu dihadkan di Jabatan Agama Islam Negeri sahaja, tetapi
terbuka juga kepada kaunselor-kaunselor bertauliah yang berdaftar dengan
Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM).
“Jabatan agama Islam
negeri juga perlulah mengambil usaha mempertingkatkan tahap akademik, kualiti
dan kepakaran pegawai-pegawai kaunseling di jabatan, dari semasa ke semasa,”
katanya.
Musa berkata, masalah
ini perlu dikekang walaupun PGSM mengalu-alukan usaha mahkamah yariah untuk
memudahkan dan mempercepatkan proses perceraian.
“Jika tidak, saban
tahun kita akan mendengar laporan statistik perceraian yang meningkat atas
alasan-alasan remeh yang boleh membuat orang bukan Islam tersenyum sinis kepada
orang Islam,” katanya.
No comments:
Post a Comment