Oleh SOFIATUL SHIMA WAN CHIK dan
SITI NOR AFZAN KASIMAN
ahad@kosmo.com.my
________________________________________
31 Mei 2009
KEHADIRAN orang ketiga sering dikaitkan sebagai punca keruntuhan rumah tangga selebriti. Kemunculan pelakon Memey Suhaiza menyebabkan Norman Hakim dan Abby Abadi bercerai.
Pelakon Fasha Sandha pula dicop pengacau rumah tangga Nora Danish dan Rizal hingga akhirnya mereka bercerai. Terbaru, penyanyi Waheeda pula dilibatkan dalam pergolakan rumah tangga Akhil Hayy dan Maizawati Zainal.
Bagaimanapun, menuding jari kepada seseorang memanglah mudah, namun menjadi orang yang dituduh menyebabkan rumah tangga orang lain runtuh adalah satu pengalaman yang menyakitkan.
“Sewaktu saya mengalami keadaan ini, macam-macam perasaan yang saya rasa.
“Orang luar pula sibuk memberi pandangan malah tohmahan. Saya pernah berada dalam keadaan itu dan saya faham perasaan mereka yang digelar orang ketiga,” luah Memey kepada Jurnal.
Menurut Memey, apa yang beliau lakukan ketika itu ialah berdiam diri kerana terlalu banyak memberi kenyataan akhbar akan merumitkan lagi keadaan.
“Masalah timbul apabila kita tidak berhadapan dengan pihak yang berkenaan tetapi hanya mendapat tahu melalui media.
“Orang ramai pula membuat pelbagai spekulasi dan mereka hanya nampak salah orang ketiga,” katanya yang mengaku sudah puas menangis akibat tekanan perasaan. Pada masa itu, kata Memey, beliau sekadar mendekatkan diri dengan keluarga sebab mereka yang paling penting dalam hidupnya.
Bagi Waheeda, beliau tetap menganggap dirinya bukan penyebab kekecohan rumah tangga Akhil dan Maizawati.
“Terpulang orang hendak kata apa pada saya. Saya tak kisah jika dikatakan perampas atau menjadi punca perceraian mereka. Lagipun saya sudah lali dengan tohmahan orang,” komen pelantun lagu Wassini ini.
Beliau menambah: “Biarlah saya terus bersabar selagi saya mampu. Apa saja tohmahan orang, saya reda.”
Walaupun tidak menuduh Waheeda, Maizawati mengakui kehadiran pihak ketiga menjadi salah satu faktor kepada keruntuhan sesebuah rumah tangga.
“Ya, sedikit sebanyak faktor orang ketiga menyebabkan keruntuhan rumah tangga seseorang.
“Saya tidak berani untuk memberi pandangan lanjut, tetapi saya percaya bahawa dia (orang ketiga) memainkan peranan dalam kemusnahan rumah tangga,” katanya.
________________________________________
Teman sosial
Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman mengakui kehadiran orang ketiga seringkali dikaitkan sebagai punca hubungan suami isteri bergoncang.
“Namun orang ketiga bukan punca utama perceraian. Mengikut Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keempat yang dijalankan LPPKN pada tahun 2004, cuma 12 peratus perceraian berpunca daripada kehadiran orang ketiga. Ia merujuk kepada pasangan curang dan isteri enggan dimadukan.
“Sebaliknya, tiada persefahaman antara pasangan, iaitu sebanyak 42 peratus, merupakan punca utama perceraian,” jelas Aminah.
FASHA SANDHA paling hangat dikaitkan sebagai punca pergolakan rumah tangga orang lain.
________________________________________
Tambah beliau, isu main kayu tiga atau curang semakin mudah berlaku apabila pasangan mengambil kesempatan atas kemudahan teknologi telekomunikasi seperti sistem pesanan ringkas (SMS), mesej bergambar (MMS) dan laman jaringan sosial seperti Facebook, Myspace dan Friendster untuk menambah kenalan.
“Mereka mungkin teman profesional yang akhirnya menjadi teman sosial, rakan sekerja atau orang yang baru dikenali tetapi mempunyai keserasian semasa bersama.
“Apabila wujud keadaan seseorang tertarik atau ditarik seseorang, konflik mula timbul di antara pasangan suami isteri walaupun berpunca daripada perkara remeh.
“Pada tahap ini, suami atau isteri mula mencipta alasan untuk mereka mencari pasangan hidup yang lebih sempurna,” kata Aminah.
Penceramah agama yang juga bekas peguam, Abdul Hakim Othman berpendapat majoriti perceraian berlaku disebabkan oleh pihak suami atau isteri tidak memahami pasangan masing-masing.
“Kadang-kadang wanita memohon cerai disebabkan emosi dan tidak sanggup berkongsi kasih dengan madu. Namun pada pihak suami mungkin ada kaedah lain seperti berpoligami.
“Poligami sering dipandang negatif kerana pelakunya yang tidak bertanggungjawab, bukan disebabkan konsep poligami itu sendiri,” ujarnya yang menafikan pernah menjadi peguam kepada penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza seperti yang dilaporkan akhbar sebelum ini.
Dalang boleh dipenjara 6 bulan
TIMBALAN Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang mendedahkan terdapat peruntukan dalam undang-undang syariah bahawa dalang yang menyebabkan perceraian boleh disabit kesalahan di Mahkamah Syariah.
“Enakmen jenayah ini termaktub di setiap negeri. Malah keluarga sendiri mahupun mertua juga boleh didakwa kalau ada cukup bukti.
“Jika disabitkan kesalahan individu berkenaan boleh didenda RM3,000 atau penjara selama setahun ataupun kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Bagaimanapun, Musa memberitahu, enakmen jenayah itu hanya boleh diguna pakai selepas berlaku perceraian.
“Mungkin sebab itulah ramai yang tidak ambil kisah kerana perceraian telah pun berlaku. Jadi apa lagi nak dikecohkan.
“Bahkan saya yakin sepanjang enakmen ini dikuatkuasakan, belum ada kes seperti itu dibicarakan,” katanya yang mendedahkan 60 peratus kes perceraian dan permohonan cerai yang diterima beliau disebabkan penglibatan pihak ketiga.
“Namun harus diingat pihak ketiga ini bukan sahaja individu lain seperti kekasih suami mahupun isteri tetapi juga keluarga mertua sendiri.
“Ini berdasarkan pengalaman saya mengendalikan kes-kes melibatkan permohonan cerai dan perceraian pasangan beragama Islam,” katanya yang berpengalaman selama lebih 10 mengendalikan kes-kes Mahkamah Syariah. – MEGAT LUTFI MEGAT RAMLI
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
-
Jika anak masih belajar atau kurang upaya Oleh Musa Awang Mungkin ramai yang tahu bahawa nafkah seorang anak perlu ditanggun...
-
Ikatan boleh batal jika wanita masih isteri orang Peguam Syarie Menulis Berita Harian, 27 Februari 2013. Oleh Musa Awang Tu...
-
Elak masalah semasa meninggal dunia Peguam Syarie Menulis, Berita Harian 12 Disember 2012 MUSA AWANG Menurut Sayyid Qutb, ...
Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM
Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...
No comments:
Post a Comment