Perbuatan haram dan berdosa jika disertai tipu helah
Oleh Musa Awang
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Berita Harian
22 Ogos 2012
Senario
didatangi pengemis buta semasa sedang menjamu selera di kedai makan mungkin
sudah biada dilalui semua orang. Begitu juga pengemis berkaki kudung mengemis
di pasar malam, atau menjadikan bayi dan kanak-kanak sebagai umpan. Kanak-kanak
juga mengemis di pam minyak atau di kawasan perniagaan. Trend terbaru, pengemis
menunggu di simpang lampu isyarat, membawa kitab atau tasbih dan mengemis dari
tingkap ke tingkap kereta.
Pertengahan
Ramadhan lalu, dua adik beradik warga emas berketurunan Cina bukan Islam yang
menyamar sebagai pengemis Muslim dengan memakai jubah dan bertudung labuh, bagi
menagih simpati pengunjung bazar Ramadhan ditahan pegawai Jabatan Kebajikan
Masyarakat (JKM). Mereka dipercayai memperoleh pendapatan sekitar RM300 sehari.
Ada banyak faktor yang mendorong seseorang mengemis. Kefakiran, kemiskinan, mengalami kesulitan untuk menampung keperluan keluarga sehari-hari. Sementara itu, mereka tidak memiliki keterampilan atau kepakaran khusus yang dapat dimanfaatkan untuk menghasilkan wang. Kanak-kanak yatim, orang-orang cacat, janda-janda miskin, orang-orang tua sering kelihatan mengemis kerana keadaan mereka boleh menarik simpati orang ramai untuk memberikan wang.
Ada juga yang menjadi mangsa sindiket, terpaksa mengemis
untuk membayar hutang, ajaran sesat, rumah kebajikan yang memeras kanak-kanak
di bawah jagaan mereka, dan sebagainya. Ada kelompok pengemis yang benar-benar
menderita, perlukan bantuan untuk mencari
makan sehari-hari.
Pengemis Pintar
Manakala sebahagian yang lain adalah kelompok pengemis yang pintar bersandiwara dan
tipu muslihat, mengetahui rahsia-rahsia dan teknik-teknik mengemis, serta
memiliki pengalaman untuk mengaburi pandangan masyarakat, seperti bagaimana
menarik simpati dan belas kasihan orang lain.
Kadang-kadang disebabkan kelompok yang kedua ini,
kita menjadi keliru dan teragak-agak untuk memberikan derma atau sedekah,
kerana tidak yakin adalah mereka golongan yang betul-betul memerlukan bantuan,
atau sekadar berlakun dan meraih keuntungan.
Hukum
mengemis dalam Islam adalah haram, kecuali bagi orang yang ditimpa musibah,
orang yang berhutang dan orang yang memang hidupnya melarat.
Syarat minta bantuan
Dari Qabishah bin
Al Mukhariq Al Hilaly, Rasulullah s.a.w bersabda, “Hai Qabishah, meminta-minta tidak dihalalkan kecuali bagi tiga orang :
Pertama, seorang yang menanggung hutang yang dilunaskan dalam usaha mendamaikan
dua pihak yang bertikai), maka ia boleh meminta bantuan hingga ia dapat
menutupi hutangnya kemudian berhenti meminta. Kedua, seorang yang tertimpa
musibah sehingga menghabiskan seluruh hartanya, maka ia boleh meminta bantuan
hingga ia memperoleh apa yang dapat menjadi sandaran hidupnya. Ketiga,
seseorang yang ditimpa kesengsaraan, sehingga tiga orang yang berakal dari
kaumnya membuat penyaksian bahawa : “Si Fulan telah ditimpa kesengsaraan”, maka
ia boleh meminta bantuan hingga ia memperoleh apa yang dapat memenuhi keperluannya.
Meminta-minta selain dari tiga keadaan hai Qabishah, adalah haram, dan barang
yang dimakan oleh si peminta-minta adalah barang yang haram.” [HR Muslim]
Meminta-minta dengan berbohong dan menipu adalah nyata
haram. Ia bukan sahaja berdosa, perbuatan tersebut juga mencemari perbuatan
baik dan merampas hak orang-orang miskin yang memang berhajatkan bantuan.
Diriwayatkan dari Sahabat ‘Abdullah bin ‘Umar , ia berkata : Rasulullah
bersabda: “Seseorang senantiasa meminta-minta kepada orang lain sehingga ia
akan datang pada hari Kiamat dalam keadaan tidak ada sekerat daging pun di
wajahnya.”
Mengemis sedangkan mempunyai kemampuan dan kewangan
juga adalah di larang oleh Islam. Dari Ibnu Mas’ud, bahawa Rasulullah s.a.w bermaksud “Barangsiapa meminta-minta kepada manusia
sementara ia memiliki kemampuan maka ia datang pada hari kiamat dengan bekas
cakaran di wajahnya”. Ada yang bertanya, “Apakah batas kemampuan itu ya
Rasulullah?” Baginda bersabda, “50 dirham atau emas yang seharga dengan itu.”
[HR Abu Dawud, Tirmidzi, Nasa', Ibnu
Majah, Ahmad & Ad Darimi]
Meminta
sumbangan untuk kepentingan kaum muslimin, bukan kepentingan peribadi kelihatan
seperti mengemis dan meminta-minta tetapi sebenarnya ia dibolehkan dalam Islam.
Pesan Rasulullah s.a.w kepada
para pemimpin perang ketika sebelum berangkat ke medan peperangan, “Jika mereka (orang-orang kafir
yang diperangi) tidak mahu masuk Islam maka
mintalah Al-Jizyah dari mereka! Jika mereka memberikannya maka terimalah dan
tahanlah dari (memerangi) mereka! Jika mereka tidak
mahu menyerahkan Al-Jizyah maka mintalah pertolongan kepada
Allah dan perangilah mereka!” [HR. Muslim, Abu Dawud & Ahmad]
Rasulullah s.a.w juga pernah meminta bantuan
seorang tukang kayu untuk membuatkan mimbar untuk masjid. Sahl bin Sa’d
As-Sa’idi r.a berkata bahawa “Rasulullah s.a.w pernah mengutus kepada seorang
wanita: “Perintahkan anakmu yang tukang
kayu itu untuk membuatkan untukku sebuah mimbar sehingga aku bisa duduk di
atasnya!” [HR Al-Bukhari, An-Nasa’i & Ahmad]
Jatuh maruah ummah
Seseorang Islam yang mengemis boleh menyebabkan
kesucian agama Islam dan institusinya dipandang hina. Mereka boleh boleh didakwa
di bawah undang-undang jenayah Syariah. Seksyen 10 Enakmen
Jenayah Syariah (Selangor) 1995 memperuntukkan "Mana-mana orang yang dengan perkataan yang dapat didengar atau dibaca atau dengan lukisan, tanda atau bentuk lain gambaran yang tampak atau yang dapat dilihat atau dengan apa-apa cara lain :- (a) menghina agama Islam atau menyebabkan agama
Islam dipandang hina; (b) mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh
amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam; atau (c) mempersendakan atau menyebabkan dipandang
hina mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa di Negeri ini yang
berhubungan dengan agama Islam, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila
disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan
selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya."
Sesungguhnya Allah cintakan hamba-Nya yang penat
dalam mencari yang halal. Mengemis adalah salah satu cara mencari harta yang
tidak terhormat dan menjatuhkan maruah umat Islam. Sebagai muslim jangan sampai
meminta-minta atau mengemis agar kita mendapat jaminan surga dari Rasulullah
saw sebagaimana sabdanya: “Barangsiapa
yang menjamin kepadaku bahawa ia tidak meminta sesuatu kepada orang, aku
menjamin untuknya dengan syurga.” (HR Abu Daud & Hakim).
No comments:
Post a Comment