Wednesday, February 8, 2012

Perintah nafkah iddah, cerai wajar dikeluarkan serentak



Bekas isteri teraniaya jika tuntutan dibuat berasingan

Peguam Syarie Menulis, Berita Harian 08/02/2012

Oleh Tuan Musa Awang
bhagama@bharian.com.my

IDDAH ialah tempoh menunggu yang wajib bagi isteri selepas diceraikan atau kematian suami. Dalam tempoh iddah, bekas isteri diharamkan berkahwin dengan orang lain. Tujuan iddah ialah bagi memastikan rahim wanita berkenaan suci daripada sebarang janin bagi mengelakkan ketidakpastian nasab sebenar anak, jika selepas bercerai, bekas isteri berkahwin dengan lelaki lain.

Bagi perceraian talak satu dan talak dua, tujuan iddah juga adalah bagi memberi peluang kepada pasangan untuk memikirkan semula sama ada berpeluang untuk rujuk kembali dalam tempoh iddah raj’ie, atau muktamad dengan perceraian.

Sama ada perceraian berlaku dengan cerai raj’i (talak satu atau dua), atau cerai bain (talak tiga, lian, fasakh, tebus talak, atau Ila’), isteri tetap mempunyai tempoh menunggu atau iddah. Di sini harus difahami isteri yang tidak disetubuhi dalam tempoh perkahwinan saja yang tidak mempunyai tempoh iddah.

Perempuan yang masih ada haid, iddahnya tiga kali suci daripada haid. Firman Allah SWT, “Wanita yang ditalak hendaklah menahan diri (menunggu) tiga kali suci” (Surah Al-Baqarah, ayat 228).

Perempuan yang belum datang haid atau belum cukup umur atau perempuan yang putus haid, iddahnya tiga bulan, manakala bagi perempuan mengandung, iddahnya sehingga melahirkan anak.

Firman Allah SWT, “Dan perempuan yang hamil, waktu iddah mereka itu ialah sampai mereka melahirkan kandungan.” (Surah At-Talaq ayat empat).

Bagi persetubuhan syubhah (tersilap menyangka isterinya, tetapi orang lain) atau dalam kes pernikahan yang difaraqkan, iddahnya adalah sama seperti perempuan yang diceraikan.

Walaupun berlaku perceraian, suami masih berkewajiban membayar nafkah isteri sehingga tamat tempoh iddah. Nafkah adalah semua keperluan menurut keadaan dan tempat, seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya.

Kadar nafkah yang wajib adalah sekadar mencukupi keperluan isteri, dengan melihat keadaan dan kemampuan suami, menurut kebiasaan, tempat dan keadaan mereka.

Hal ini ditegaskan Allah SWT dalam firman-Nya, “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya.” (Surah at-Talaq, ayat 65).

Isteri yang berada dalam iddah raj’i berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal selama tempoh iddah. Isteri yang berada dalam iddah bain sekiranya isteri tidak hamil hanya berhak mendapat tempat tinggal saja. Isteri yang hamil berhak mendapat tempat tinggal dan nafkah.

Seksyen 59, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan (1) ‘mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.’

Seksyen 47(16) dan (17) Akta sama (pindaan A902) memperuntukkan ‘(16) sesuatu talaq raj'i yang dilafazkan oleh suami melainkan dibatalkan terlebih dulu, sama ada secara nyata atau tafsiran, atau dengan perintah daripada mahkamah, tidak boleh berkuat kuasa untuk membubarkan perkahwinan itu sehingga habis tempoh 'iddah.’

Seksyen (17) Akta sama pula memperuntukkan ‘jika isteri hamil pada masa talaq itu dilafazkan atau pada masa perintah itu dibuat, talaq atau perintah itu tidak boleh berkuat kuasa untuk membubarkan perkahwinan itu sehingga berakhir kehamilan itu.’

Syarat membolehkan isteri memperoleh nafkah iddah ialah ikatan perkahwinan yang dibina itu sah menurut syarak, isteri taat dan patuh pada suaminya serta tidak pernah disabitkan oleh mahkamah sebagai isteri nusyuz.

Realiti pada hari ini, ketika tuntutan perceraian atau pengesahan lafaz perceraian di mahkamah, mahkamah hanya akan memerintahkan nafkah iddah sekiranya ada persetujuan antara bekas suami dan isteri. Jika tiada sepakat, maka pihak isteri dinasihatkan untuk membuat tuntutan berasingan.

Apabila tuntutan berasingan nafkah iddah difailkan, kadang-kadang persetujuan bekas suami berkenaan nafkah iddah masih belum diperoleh, menyebabkan kes terpaksa dibicarakan, yang memakan masa sehingga bertahun-tahun, sedangkan jumlah yang dituntut bekas isteri adalah untuk nafkah selama tempoh iddah saja.

Saya melihat ini penganiayaan kepada pihak bekas isteri yang terpaksa turun naik mahkamah untuk mendapatkan bayaran nafkah iddah yang jumlahnya tidak sebanyak mana.

Satu mekanisme atau cara terbaik perlu dicari untuk menyelesaikan perkara ini. Sebagai contoh, berdasarkan Seksyen 47(1) (f) Akta di atas, apabila seseorang suami atau isteri hendak bercerai, mereka perlu menyerahkan borang yang mengandungi akuan berkenaan dengan nafkah dan tempat kediaman bagi isteri, sama ada sesuatu persetujuan tercapai atau cadangan pemohon mengenai hal itu.

Maka akuan itu boleh dijadikan sebagai panduan kepada mahkamah untuk terus memerintahkan nafkah dalam tempoh iddah isteri, dalam jumlah yang munasabah.

Begitu juga dalam kes pengesahan lafaz perceraian, mahkamah boleh terus memerintahkan berkenaan dengan nafkah isteri dalam tempoh iddah, sebaik saja mengesahkan lafaz perceraian berkenaan.
Persetujuan atau cadangan dan kemampuan suami boleh diteliti ketika membuat perintah itu.

Ketika mensabitkan tuntutan perceraian taklik, fasakh atau tebus talak, sekiranya mahkamah mendapati tidak terdapat bukti isteri seorang yang nusyuz, tidak salah dari segi undang-undang atau hukum syarak sekiranya mahkamah terus memerintahkan nafkah iddah isteri, berdasarkan kepada bukti zahir yang ada di hadapan mahkamah.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) sekretariatpgsm@yahoo.com.

1 comment:

  1. Assalamualaikum Ustaz...
    Sya ingin bertanya, sewaktu bercerai saya menggunakan peguam berbayar dalam tuntutan fasakh. oleh kerana waktu itu masih cetek dengna perundangan keluarga Islam, selepas hakim menjatuhkan talak, saya tidak diberikan nafkah iddah, nafkah sementara anak2, nafkah tempat tinggal semasa iddah. menurut peguam yg saya lantik beliau telah berbincang dengan suami saya pada ketika itu bahawa segala nafkah diselesaikan diluar mahkamah. malah yuran guaman saya yg pada mulanya dipersetujui untuk dituntut kpd pihak suami kerana beliau sering menunda perbicaraan dan gagal hadir menjadi sebaliknya. Setelah bercerai saya tidak mendapat apa2 dokumen drpada peguam. yg saya dapat hanya tuntutan bil sahaja. malah bekas suami tidak mahu membayar nafkah iddah dan tempat tinggal semasa iddah. Malah hingga kini nafkah anak2 pun seringkali menjadi masalah. apakah boleh saya failkan tuntutan nafkah iddah, bayaran tempat tinggal semasa iddah dan bayaran nafkah tertunggak? sebab sepanjang tempoh pernikahan segala perbelanjaan adalah di atas saya semuanya kerana saya bekerja..mohon ustaz jelaskan.

    ReplyDelete

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...