Friday, July 20, 2012

PERUTUSAN RAMADHAN


PERUTUSAN RAMADHAN

oleh Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
kepada seluruh Peguam Syarie, Pelatih Dalam Kamar dan seluruh masyarakat Islam.

Assalamualaikum w.b.t

Syukur ke hadrat Allah s.w.t, solawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w.


Pada Sabtu, 21 Julai 2012, kita semua akan menyambut 1 Ramadhan 1433H, suatu bulan yang amat dinantikan oleh umat Islam yang cintakan Allah s.w.t dan Rasul-Nya.


Ramadhan adalah dianggap bulan termulia di dalam bulan-bulan Islam. Penurunan Al-Quran di dalam bulan Ramadhan menjadikan bulan ini sangat mulia lagi istimewa. Firman Allah s.w.t yang bermaksud : “Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah”. [al-Baqarah 2:185]


Di dalam bulan Ramadhan juga terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu malam sebagaimana firman-Nya bermaksud : “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. [al-Qadr 97:1-3]


Selain itu, diampunkan dosa-dosa yang lepas bagi mereka yang berpuasa dengan penuh iman dan azam. Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh Allah mengampun dosa-dosanya yang telah lalu, dan barangsiapa yang bersolat pada malam Lailatul Qadar dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh, Allah mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” - (HR al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Nasa’i)


Kita boleh jadikan bulan Ramadhan ini sebagai madrasah kerohanian, kerana di bulan ini seorang Islam bukan sahaja dilatih mengawal diri dari makan dan minum, tetapi juga dilatih mengawal diri daripada berlebih-lebihan, dan mengawal diri daripada keinginan memuaskan syahwat (di siang hari). Ramadhan juga mengajar kita menahan diri daripada perbuatan mengumpat (ghibah), mengadu domba, berbohong dan mendengar perkara-perkara hiburan. Ia mencegah kita daripada melakukan semua keburukan kepada memperbanyakkan membaca Al-Quran, berzikir kepada Allah, bersedekah dan bersungguh-sungguh di dalam melakukan amal ibadat khusus pada 10 terakhir bulan Ramadhan.


Sabda Rasulullah s.a.w: “Bukanlah puasa itu sekadar menahan diri daripada makan dan minum akan tetapi menahan diri daripada perkataan sia-sia dan kotor. [HR al-Hakim dan dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shagheir – hadis no: 5376]


Sebagai Peguam Syarie, kita tidak dapat lari dari mendengar atau membicarakan aib pihak lawan, terutama ketika proses perbicaraan di mahkamah, dengan tujuan untuk menegakkan keadilan. Maka, pada bulan Ramadhan yang mulia ini, cubalah elakkan dari perkara-perkara tersebut. Pilihlah kes-kes yang sesuai untuk dibicarakan pada bulan mulia ini. Kes-kes seperti pengesahan lafaz cerai, faraid, pembahagian harta sepencarian dan seumpamanya mungkin boleh diteruskan kerana tidak ada aib yang perlu didedahkan. Tetapi perbciaraan kes-kes seperti fasakh, perceraian, hadhanah, nusyuz dan seumpamanya sebaiknya ditangguhkan dahulu sehingga tamat bulan Ramadhan. Nasihatilah anak guam untuk menghormati bulan Ramadhan dengan menjauhi persengketaan dan permusuhan.


Pada hari-hari sebelum Ramadhan, mungkin tugasan harian kita banyak dan sibuk, sehingga meminimakan waktu kita untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Saya percaya pada bulan yang mulia ini, kita boleh memanfaatkan masa sebaik mungkin dan memaksimakan masa kita dengan mengerjakan banyak ibadah-ibadah sunat, dan menjauhi perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa. Berilah keringanan kepada kakitangan pejabat kita untuk balik awal menyiapkan juadah berbuka dan bersedia untuk solat tarawih pada malamnya.


Selain itu saya menasihatkan diri saya dan semua saudara-saudara Islam agar dimanfaatkan bulan Ramadhan dengan amalan-amalan yang baik berikut :

1. Menjaga solat berjemaah bagi lelaki di masjid, dan bagi wanita pula menghadiri majlis ilmu.


2. Menghadiri solat tarawih khasnya bagi lelaki dan tiada larangan bagi kehadiran wanita (di masjid) jika mereka ingin melakukan solat, dan kepada mereka terdapat ganjaran yang banyak.


3. Mengadakan solat malam (qiamullail) dan tahajud setelah pertengahan malam bagi lelaki dan wanita yang berkemampuan di dalam rumah. Nabi s.a.w sangat gemar menghidupkan malam pada bulan Ramadan. Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesiapa menghidupkan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan pahala daripada Allah Taala, maka akan diampunkan segala dosanya yang terdahulu.” - (HR Bukhari)


4. Beri’ktikaf untuk beberapa malam di masjid bagi lelaki tanpa menyebabkan gangguan di dalam kewajipan seharian khususnya bagi mereka yang mencari rezeki, yakni tidaklah sehingga menyebabkan seseorang itu mengantuk dan tidak dapat menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya pada esok hari.


5. Memelihara pembacaan Al-Quran dan menggunakannya sebagai zikir harian, sekurang-kurangnya hendaklah setiap hari sehinggalah tamat keseluruhannya. Diriwayatkan bahawa malaikat Jibril sentiasa bertadarus al-Quran dengan Nabi s.a.w setiap hari sepanjang Ramadan. Saidina Uthman bin Affan r.a khatam al-Quran setiap hari pada Ramadan.


6. Memperbanyakkan sedekah dan mengeluarkan zakat kepada orang-orang fakir, miskin, orang yang memerlukan, mereka yang berjihad di jalan Allah dan sumbangan kepada projek yang baik bagi kegunaan orang Islam seperti pembaikan masjid, pusat rawatan orang-orang tua, rumah anak yatim, sekolah-sekolah dan lain-lainnya. Ibn Abbas r.a meriwayatkan “Rasulullah adalah orang yang paling dermawan dan beliau lebih dermawan lagi pada Ramadan ketika Jibril menemuinya lalu membacakan padanya al-Quran.” - (HR Bukhari)


7. Memberi makan kepada orang yang berbuka puasa. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memberikan makan kepada orang yang berpuasa, maka baginya seperti pahala (orang yang berpuasa) dalam keadaan tidak berkurang sedikitpun dari pahala orang yang berpuasa itu.” (HR Ahmad, Tirmizi, Ibn Majah dan ad-Darimi)


8. Merapatkan silaturahim dan memperbanyakkan ziarah di dalam bulan Ramadhan.


9. Dilarang melakukan kejahatan dan keburukan terhadap orang Islam secara umum dan jiran-jiran secara khusus. Pesan Rasulullah s.a.w : “Seorang muslim ialah orang yang selamat lidah dan tangannya terhadap muslim yang lain.” – (HR Muslim).


10. Jangan tinggalkan sahur pada akhir waktu. Sudah menjadi kebiasaan sebahagian orang bersahur pada lewat malam, lebih kurang pukul 11 atau 12 malam, kemudian tidur sehingga masuk waktu Subuh. Ini menyalahi sunnah Rasulullah s.a.w yang mengajar kita kepentingan bersahur dan melewatkannya sehingga ke saat jelas kepada kita waktu Subuh telah masuk. Yang penting bukanlah berat atau ringan jamuan tersebut tetapi adalah bangun untuk bersahur, walaupun dengan segelas air.


11. Jangan lupa zakat fitrah, yang dikeluarkan khusus pada Ramadan atau paling lambat sebelum solat sunat hari raya.


Sepanjang bulan Ramadhan ini, hanya beberapa aktiviti PGSM diadakan - iaitu pada Jumaat, 27 Julai 2012, Insya-Allah akan diadakan Majlis Pelancaran PGSM cawangan Negeri Sembilan & Berbuka Puasa ; Kemudian pada Jumaat 3 Ogos 2012, akan diadakan Majlis Berbuka Puasa HELWA. Sesiapa berminat menyertai boleh berhubung dengan EXCO HELWA, Puan Noorafizah Abdul Aziz.


Bagi rakan-rakan Peguam Syarie di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Insya-Allah akan diadakan Tazkirah Ramadhan di surau Mahkamah iaitu selepas selesai kes, daripada jam 1.00 hingga 1.30 tengahari, di bawah seliaan EXCO Aduan & Disiplin Tuan Haji Mahyuddin Md Zahari. Hari dan jadual tazkirah ini akan dimaklumkan kemudian. Jemputlah hadir beramai-ramai.


Akhir kata, saya ucapkan selamat menjalani ibadah puasa Ramadhan kepada semua. Mudah-mudahan kita dapat merebut peluang sekali dalam setahun untuk melipatgandakan amal ibadah kita, dan semoga kita diberi kekuatan dan dipanjangkan umur untuk beribadah sehingga penghujung Ramadhan. Maaflah jika ada salah silap saya, agar kita masuk bulan mulia ini dengan hati yang bersih. Wallahu'alam.


MUSA AWANG
Presiden PGSM
Jumaat, 20 Julai 2012. 



Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...