Assalamu’alaikum w.b.t
Dengan
Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Alhamdullilah,
syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita masih dipanjang umur dan dapat
menyaksikan labuhnya tirai tahun 2012 serta terpancar fajar baru 2013. Tentu sebahagian
besar atau mungkin kesemua azam kita tahun 2012 telah dimakbulkan Allah SWT,
dan kita melangkah ke tahun 2013 ini dengan azam yang baru.
Tahniah kepada pelatih
dalam kamar yang telah lulus dalam temuduga dan telah ditauliahkan sebagai
Peguam Syarie. Kepada yang gagal, usah putus asa. Cuba lagi di tahun 2013 ini. Tahniah
kepada rakan-rakan kita yang melangsungkan perkahwinan sepanjang cuti panjang
persekolahan baru-baru ini.
Tahniah juga kepada
rakan-rakan kita yang telah dikurniakan cahayamata.
Tahniah juga kepada
rakan-rakan kita yang telah mendapat tempat untuk melakukan latihan dalam
kamar, atau yang bertukar majikan yang baru atau yang membuka firma sendiri.
Saya bagi pihak PGSM mengucapkan selamat maju jaya.
Mungkin kita tidak
sedar, kebahagian yang kita perolehi atau kejayaan yang kita kecapi dalam perkara-perkara
yang disebutkan di atas mempunyai satu elemen yang sama, iaitu “amanah”.
Apabila dikaitkan dengan amanah bererti ia akan disoal oleh Allah SWT.
Sabda Baginda Nabi SAW
yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar, katanya: “Saya telah mendengar Rasulullah SAW
telah bersabda: ‘Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan diminta
bertanggungjawab atas kepemimpinannya. Seorang ketua negara akan diminta
bertanggungjawab perihal rakyat yang dipimpinnya. Seorang suami akan ditanya
perihal keluarga yang dipimpinnya. Seorang isteri yang mengurus rumah tangga
akan ditanya perihal tanggungjawab dan tugasnya. Bahkan seorang pembantu atau
pekerja yang bertugas memelihara barangan milik majikannya juga akan ditanya
perihal yang dipimpinnya. Dan kamu sebagai pemimpin akan ditanya (dipertanggungjawab)
atas kepemimpinannya’.” (HR Bukhari dan Muslim).
Jadi, marilah kita
sama-sama memastikan amanah yang diletakkan atas bahu setiap dari kita itu
dilaksanakan sepanjang tahun 2013 ini.
Bagi pihak kepimpinan
PGSM sesi ini (MT & EXCO), saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada
semua Peguam Syarie, pelatih dalam kamar dan pelajar-pelajar, terutama ahli
PGSM yang sama-sama menyokong dan mendokong PGSM sepanjang kami memegang tampuk
kepimpinan PGSM. Teruskanlah sokongan Tuan/Puan kepada PGSM sepanjang tahun
2013 ini dan seterusnya pada masa-masa akan datang.
Pelbagai program telah
dirancang untuk tahun 2013.
Program pertama tahun
2013 ialah Seminar Prosedur Rayuan
Jenayah & Mal Di Mahkamah Syariah Selangor : Berdasarkan Kajian Kes
pada Sabtu 12 Januari 2013, anjuran
bersama PGSM dan Persatuan Pegawai Syariah Selangor (PPSS). Tempat terhad
seramai 40 orang sahaja. Silalah Tuan/Puan daftar segera.
Mesyuarat Agung Tahunan
PGSM dijadualkan pada 15 Februari 2013. Insya-Allah pada Februari 2013 juga akan
diadakan Persidangan Peguam Syarie Negeri Selangor, manakala sekitar Julai 2013
akan diadakan Konvensyen Peguam Syarie Kebangsaan Kali Ke-3 serta Majlis Makan
Malam PGSM.
PGSM juga merancang
untuk mengadakan Seminar Bagaimana Mengekalkan Kebahagian Rumahtangga, Seminar
Pengurusan Harta Islam dan Klinik Guaman Syariah Percuma (Klinik Syariah) untuk
masyarakat awam.
Program Tafaqquh akan
diteruskan seperti biasa pada Jumaat minggu ketiga setiap bulan. Begitu juga program
Skil Advokasi Peguam Syarie, program-program sukan dan riadah dan lain-lain
secara berterusan.
PGSM
sedang dalam proses menerbitkan buku ilmiah, kompilasi artikel ilmiah serta
kompilasi kertas-kertas kerja program. Sekurang-kurangnya 4 buah buku bakal
diterbitkan tahun 2013 ini. Insya-Allah. PGSM juga sedang mengumpulkan
alasan-alasan penghakiman untuk kes-kes Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah
Rayuan Syariah daripada ahli-ahli yang mewakili kes-kes tersebut. Ahli-ahli
boleh menghantarkan salinan penghakiman tersebut ke sekretariat PGSM, atau
emelkan soft copy kepada sekretariatpgsm@yahoo.com.
Untuk
makluman, draf Akta Profesion Guaman Syarie sedang dalam peringkat kedua, yang
mana PGSM akan mengadakan mesyuarat dengan JAKIM dan Peguam Negara pada Januari
2013 untuk memuktamadkan draf tersebut. Buat masa ini, perbincangan draf
tersebut dibuat dalam Jawatankuasa Kecil
Draf APGS di bawah PGSM, dianggotai oleh kesemua MT PGSM, Exco Profesion
Guaman Syarie, beberapa orang Exco lain serta beberapa orang ahli senior yang
dilantik oleh PGSM.
Program
latihan Peguam Syarie panel untuk YBGK juga akan diteruskan ke negeri-negeri di
utara, pantai timur, Sabah, Sarawak, dan seterusnya program latihan fasal kedua
pula akan menyusul. Untuk makluman, PGSM telah dilantik sebagai lembaga
pengarah dalam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Juga, wakil PGSM telah dilantik dalam Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri Selangor, Jawatankuasa Kaedah Mahkamah Syariah, Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri Sembilan dan terkini PGSM sedang memperjuangkan supaya ada wakil PGSM dalam Jawatankuasa Peguam Syarie Wilayah Persekutuan yang tidak ada wakil peguam syarie sejak sekian lama.
Juga, wakil PGSM telah dilantik dalam Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri Selangor, Jawatankuasa Kaedah Mahkamah Syariah, Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri Sembilan dan terkini PGSM sedang memperjuangkan supaya ada wakil PGSM dalam Jawatankuasa Peguam Syarie Wilayah Persekutuan yang tidak ada wakil peguam syarie sejak sekian lama.
Insya-Allah,
dengan sokongan Tuan/Puan, kesemua perancangan tahun 2013 ini akan dilaksanakan
dengan betul dan mengikut jadual. Marilah kita bersama-sama merealisasikan masa
depan yang lebih baik untuk profesion tercinta ini, dalam mencari redha Allah
SWT. Ia tidak akan menjadi sebuah mimpi sahaja, malahan ia akan berada dalam
rangkulan kita jika kita sanggup merancang dengan teliti dan bekerja keras bagi
mencapainya. Sesungguhnya hari-hari yang terbaik kita berada di hadapan kita.
Selamat tahun Baru 2013.
Terima kasih.
“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak”
MUSA AWANG
Presiden
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
18
Safar 1434H bersamaaan 31 Disember 2012.