Minda Metro, Harian Metro, Khamis 11 April 2013
Oleh Musa Awang
Isu mengambil tindakan
terhadap orang ketiga yang mencari punca berlaku perceraian adalah suatu
perkara yang lama, tetapi ditimbulkan semula baru-baru ini.
Apabila isu ini
timbul kembali, saya menerima pelbagai soalan daripada masyarakat. Siapa orang ketiga? Tiada
tafsiran khusus tentang siapa orang ketiga.
Orang ketiga boleh jadi sesiapa
sahaja. Boleh jadi orang luar yang kita kenal dan mungkin tidak kenal. Boleh
jadi juga ibubapa sendiri, mertua, adik beradik, ipar duai, sepupu sepapat, dan
sebagainya. Mungkin juga bekas kekasih suami atau isteri, mungkin juga jiran
sebelah rumah.
Akta sudah tersedia
Dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah
Persekutuan) 1997 (Akta 559), di bawah kesalahan pelbagai, terdapat tiga
seksyen yang memperuntukkan hukuman terhadap orang ketiga yang memujuk lari
perempuan bersuami, menghalang suami isteri hidup bersama dan menghasut suami
isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.
Seksyen
36 Akta memperuntukkan – ‘Mana-mana orang
yang memujuk lari seorang perempuan bersuami atau membawanya keluar dari atau
dengan apa-apa cara mempengaruhinya supaya meninggalkan kediaman suami isteri
yang ditentukan oleh suaminya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila
disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan
selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah boleh
memerintahkan perempuan tersebut supaya kembali kepada suaminya.’
Seksyen
37 Akta memperuntukkan – ‘Mana-mana orang
yang menghalang sesuatu pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai
suami isteri yang sudah bernikah dengan sah adalah melakukan suatu kesalahan
dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau
dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan
Mahkamah hendaklah memerintahkan pasangan itu supaya hidup sebagai pasangan
suami isteri yang sudah bernikah dengan sah.’
Dan
Seksyen 38 Akta sama memperuntukkan – ‘Mana-mana
orang yang menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana orang lelaki atau orang
perempuan supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan dan tanggungjawabnya
sebagai suami atau isteri adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila
disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan
selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.’
Berdasarkan
kepada peruntukan di atas, bukanlah bermaksud seseorang boleh
menyaman pihak ketiga yang memujuk lari isteri, menghalang suami isteri hidup
bersama dan menghasut suami isteri supaya bercerai atau mengabaikan
kewajipannya.
Tiada peruntukan yang membenarkan pihak ketiga di saman bawah
tindakan mal (sivil) di Mahkamah Syariah.
Perlu buat aduan
Sebaliknya,
apa yang boleh dilakukan, pihak-pihak yang merasa teraniaya disebabkan oleh
pihak ketiga ini boleh membuat aduan ke Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama
Islam, supaya orang ketiga ini disiasat, dan seterusnya di dakwa oleh Pendakwa
Syarie mengikut kesalahan jenayah Syariah.
Kesalahan mengikut Seksyen 36,37 dan 38 di atas adalah tergolong dalam kesalahan boleh
tangkap, yakni pada lazimnya Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) boleh menangkap
tanpa waran.
Jika didapati aduan tersebut perlu disiasat, PPA akan menjalankan
tindakan lanjut atas aduan atau maklumat yang diterima.
Kesalahan yang
dinyatakan di atas, kebanyakannya berlaku secara tidak langsung, dan sukar
untuk dibuktikan. Contohnya, apabila keluarga mertua tidak berkenan dengan
menantunya, pastinya akan memburuk-burukan pihak menantu atau menimbulkan
konflik dalam perkahwinan, sehingga akhirnya berlaku perceraian.
Aduan perlu bukti kukuh
Oleh sebab itu, aduan yang
hendak dibuat perlu dikemukakan dengan bukti yang kukuh, bukan setakat cakap, dengar
atau kerana dendam kesumat sahaja. Aduan tanpa bukti kukuh akan menyukarkan
pihak pendakwaan untuk membawa kes tersebut di mahkamah.
Kadang-kadang, diri
sendiri yang gagal menjalankan tanggungjawab, tidak memberi nafkah, tidak
sensitif terhadap pasangan, pentingkan diri dan sebagainya, tetapi lebih suka
menyalahkan orang lain atas konflik yang berlaku.
Tanggung dosa besar
Memutuskan silaturrahim antara
suami isteri bukan sahaja boleh dihukum di dunia, malah dikira melakukan
maksiat besar sehingga mendapat laknat dari Allah SWT, sebagaimana firmanNya
dalam Surah Muhammad ayat 22-23 yang bermaksud, “(Kalau kamu tidak mematuhi
perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan, jika kamu dapat
memegang kuasa-kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan
hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat?. (Orang-orang yang melakukan
perkara-perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta
ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya.” (Surah Muhammad:
Ayat 22-23)
Rasulullah SAW, juga
memberi amaran kepada orang ketiga yang memutuskan silaturrahim sebagaimana
dalam sabda Baginda yang bermaksud, “Tidak
masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan.” (HR Muslim)
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie
Malaysia (PGSM). Sekretariatpgsm@yahoo.com