Peguam Syarie Menulis
Berita Harian, 11/09/2013
Suatu perkara yang ramai
sedia maklum bahawa ibu paling berhak untuk mendapat hak jagaan atau hadanah
anak.
Pada dasarnya, Islam
menetapkan hak hadanah kepada ibu kecuali jika ada sebab-sebab yang boleh
menggugurkan hak dan tanggungjawab itu. Antara sebab gugurnya hak jagaan kepada
ibu jika dia berkahwin dengan lelaki lain.
Ini disebut dalam hadis
Rasulullah SAW bermaksud: “Seorang perempuan berkata, wahai Rasulullah,
sesungguhnya anak yang berada dalam dukungan ini, sayalah yang menyusukannya,
tetapi sekarang bapanya menceraikan saya dan dia mahu mengambil anak ini
daripada saya. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Kamu lebih berhak ke atas ini
selagi kamu belum berkahwin.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Hadanah bertujuan memenuhi
keperluan fizikal, mental dan emosi kanak-kanak supaya mereka dapat membesar
dalam keadaan sejahtera dan penuh kasih sayang. Maka, tanggungjawab ini wajar
diserahkan kepada ibu.
Ibu mampu beri kasih
sayang
Ia sejajar seperti
dinyatakan Imam Taqiyuddin dalam Kitab Kifayatul Akhyar fi Hal Ghayah
al-Ikhtisar, bahawa ibu mampu memberikan kasih sayang dan kelembutan yang lebih
kepada kanak-kanak. Ibu adalah orang lebih tepat untuk mendidik, lebih sabar
dalam tugas mengurus kanak-kanak dan juga berinteraksi lebih dengan
kanak-kanak.
Firman Allah SWT dalam
Surah al-Qasas ayat ke-13 menyatakan: “Maka (dengan jalan itu) kami kembalikan
dia kepada ibunya, supaya tenang tenteram hatinya dan tidak berdukacita
(disebabkan bercerai dengannya).”
Imam Khatib Syarbini
menjelaskan bahawa ibu lebih layak mendapat jagaan anak kerana fitrah dan
naluri ibu lebih kasih dan cenderung untuk mendidik serta lebih sabar dalam
membesarkan anak-anak.
Dalam pertelingkahan
antara Umar al-Khattab ra dan isterinya mengenai perebutan anak mereka, Saidina
Abu Bakar ra berkata kepada Saidina Umar, “..baunya, kebaikannya dan
kelembutannya (isteri itu) lebih baik untuknya (Asim) daripada engkau (Umar)”.
Selaras dengan kehendak
agama, Seksyen 81(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah
Persekutuan) 1984 memperuntukkan: “Tertakluk kepada Seksyen 82, ibu adalah yang
paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu
masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.”
Perlu ditegaskan di sini
bahawa ibu lebih berhak bagi menjaga dan mendidik anak terutama anak kecil
berbanding bapa walaupun bapa itu menunjukkan sifat sempurna dalam menjaga
anak, tetapi yang lebih sempurna ialah ibu.
Persoalan ibu kahwin
semula
Persoalan yang selalu
ditimbulkan, bagaimana jika selepas bercerai, ibu berkenaan berkahwin semula
dengan seorang lelaki lain? Tanggapan kebanyakan orang, jika si ibu berkahwin
lain, maka kelayakannya untuk menjaga anak akan gugur secara automatik.
Hakikatnya, tanggapan itu
tidak berapa tepat ini kerana merujuk kepada Seksyen 83 (a) AUKI 1984 yang
berbunyi: “Jika perempuan itu berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai
pertalian dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan
kanak-kanak itu, jika penjagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan
kebajikan kanak-kanak itu, tetapi haknya untuk penjagaan akan kembali semula
jika perkahwinan itu dibubarkan.”
Perkataan ‘jika
penjagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu’
adalah suatu yang berbentuk subjektif. Ini menunjukkan hilangnya hak jagaan
melalui perkahwinan kedua adalah tidak mutlak, kerana jika perkahwinan itu
tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak, maka ibu masih lagi layak dan berhak
dalam memperoleh hak jagaan.
Ini dapat dikukuhkan lagi
dengan pandangan Imam al-Hasan al-Syaibani dan Ibn Hazm yang menyatakan hak
penjagaan seorang ibu yang sudah berkahwin dengan seorang yang bukan mahram
dengan kanak-kanak masih kekal.
Ini berdasarkan kepada dua
autoriti. Pertama, dalam sebuah hadis meriwayatkan bahawa Anas ibn Malik tetap
kekal dalam penjagaan ibunya walaupun ibunya berkahwin dengan lelaki lain.
Kedua, semasa Ummu Salamah berkahwin dengan Rasulullah SAW, beliau tetap diberi
hak untuk memelihara anaknya hasil perkahwinannya dengan suami yang pertama.
Ini kerana Rasulullah SAW reda dengan hal ini dan kebajikan anaknya tidak akan
terjejas.
Oleh itu, jika perkahwinan
itu tidak akan menjejaskan kebajikan dan kemaslahatan anak itu, hak hadanah ibu
itu kekal. Hak seorang ibu juga akan kekal sekiranya suami baru reda dan
bersetuju supaya hadinah (isterinya) mengekalkan hak jagaannya. Terbuktilah
bahawa kehilangan hak jagaan jika berkahwin lain adalah bukan satu kehilangan
yang mutlak.
Seorang lelaki yang
menuntut hak jagaan anak atas dakwaan bahawa bekas isterinya berkahwin lain
perlu membuktikan kepada mahkamah yang akibat perkahwinan itu, bekas isterinya
sudah tidak mampu untuk menjaga dan memelihara anak kandungnya itu.
Sebaliknya, si ibu boleh mematahkan
dakwaan si bapa dengan menyatakan sememangnya dia bersedia untuk memikul
tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu untuk menjaga dan mendidik anaknya
dengan sebaik-baiknya, dan dengan adanya suami baru di sisi dapat membantu
beliau bersama-sama menguruskan rumahtangga dan hal ehwal anak-anak.
Dalam isu hadanah,
mahkamah akan melihat segala faktor secara menyeluruh, terutama kebajikan dan
kemaslahatan anak, bukan melihat kepada kepentingan si ibu atau si bapa.
Kebajikan anak adalah yang paling utama mengikut maqasid syariah bagi menjamin
kehidupan masa depan yang lebih baik bagi anak itu.
Penulis ialah Presiden
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Email : sekretariatpgsm@yahoo.com