Oleh Musa Awang
Harian Metro
PPA dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) daripada kalangan
anggota perkhidmatan awam negeri atau perkhidmatan bersama. Ia diketuai oleh
seorang Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama selain PPA sayap kanan kepada
Pendakwa Syarie (pendakwaan), bagi memastikan peruntukan dalam undang-undang
syariah dilaksanakan.
Di samping itu, PPA berfungsi menguatkuasakan undang-undang keluarga Islam, bagi kesalahan perkahwinan yang boleh menggugat ikatan kekeluargaan Islam. Seksyen 58, Akta Pentadbiran Agama Islam Wilayah Persekutuan 1993 memperuntukkan “Majlis boleh melantik daripada kalangan anggota perkhidmatan awam am Persekutuan seorang Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama dan Pegawai-Pegawai Penguat Kuasa Agama untuk menjalankan penyiasatan kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam.”
Tugas PPA makin melebar
Bukan itu saja, tugas PPA semakin melebar mencakupi pelbagai bidang,
termasuk membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan (KPDNKK) memeriksa makanan halal, membantu Kementerian Dalam
Negeri (KDN) menguatkuasa Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986 dan terbitan
berunsur Islam lain. Tugas PPA mutakhir ini semakin mencabar dalam menghadapi
ancaman terhadap Islam dan penganut Islam seperti fahaman Syiah, fahaman Wahabi
yang ekstrem, Kristianisasi, ajaran sesat, liberal republicant, zionisme,
pemikiran pasca modenisme, pluralism (sama taraf agama), liberalisme (tafsiran
bebas/longgar), sekularisme (memisahkan agama dan kehidupan), rasionalisme
(fahami Islam secara logik) dan hedonisme (kebendaan).
Ada yang mencadangkan supaya diwujudkan polis syariah iaitu sebuah pasukan polis khas bagi membanteras penyebaran ajaran sesat dan fahaman Syiah di negara ini. Cadangan itu antara lain akan membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan pegawai dan anggotanya di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai sebahagian daripada pasukan penguatkuasaan.
Pada pandangan penulis, lebih baik memperkasakan PPA iaitu kewujudannya
sedia termaktub dalam Enakmen Undang-undang Pentadbiran Agama Islam
Negeri-negeri, daripada mengadakan satu jawatan yang belum tentu ada asas atau
sumber perundangannya.
Nisbah tak seimbang
Antara masalah PPA yang dikenal pasti
bilangan PPA di negeri-negeri yang sedikit berbanding nisbah penduduk Islam.
Pada tahun 2009, dilaporkan terdapat seramai 1,114 pegawai penguat kuasa agama
seluruh negara. Jumlah ini amat sedikit berbanding jumlah penduduk Islam di
negara ini 17.375 juta orang. Nisbah bagi seorang anggota PPA dengan jumlah
umat Islam ialah dengan nisbah seramai 15,600 orang bagi seorang anggota PPA.
Dengan jumlah seramai itu, maka tidak hairanlah jika berlaku senario, apabila
masyarakat membuat aduan, jawapan yang diterima: “Nanti dulu, kami tidak cukup
anggota. Anggota yang ada sekarang ini sedang menjalankan tugas di tempat
lain.” Kekurangan PPA wanita juga menimbulkan masalah, terutama membabitkan
tangkapan pesalah wanita. Maka, memang masa yang tepat jika jika anggota
penguatkuasaan syariah ini ditambah di samping melatih kakitangan sedia ada,
sekiranya ingin meningkatkan profesionalisme penguatkuasaan syariah di negara
ini.
Skim perjawatan PPA adalah skim hal
ehwal Islam atau dilantik secara kontrak. Penyandang jawatan Pegawai Hal Ehwal
Islam (PHEI bagi gred S41 dan ke atas) atau Pembantu Pegawai Hal Ehwal Islam
(PPHEI bagi gred S17 hingga S32) bagi negeri guna sama dan bagi negeri bukan
guna sama, berkelulusan ijazah dalam bidang Pengajian Islam, manakala PPHEI
pula memiliki SPM. Kebanyakan PPA, mereka tidak mempunyai latar belakang
undang-undang syariah. Sebelum pegawai ini mendapat latihan dan pengetahuan
secukupnya, mereka sudah diarahkan ke bahagian atau jawatan lain atau
ditamatkan kontrak. Akibatnya, usaha melahirkan PPA berpengetahuan dan
berpengalaman terbantut.
Perkenal skim tertutup
Maka, satu skim tertutup perlu
diperkenalkan untuk PPA sama seperti polis atau agensi penguatkuasaan lain,
supaya PPA ditukarkan hanya ke bahagian dalam lingkungan tugas mereka. Ini
boleh mengasah kemahiran serta kepakaran mereka mengendalikan kes jenayah
syariah, serta menjadikan mereka sebagai pasukan penguatkuasaan yang mempunyai
skim khusus setaraf dengan agensi penguat kuasa lain di negara ini. Di
sesetengah negeri, Bilik Gerakan 24 jam tidak dapat beroperasi seperti
sepatutnya disebabkan kekurangan kakitangan. Masalah logistik seperti kurang
peralatan komunikasi, kekurangan pemandu, kenderaan operasi, peruntukan elaun
lebih masa, elaun perjalanan yang terbatas dan sebagainya, turut menjejaskan
tugas pencegahan maksiat.
Penulis mencadangkan satu nombor
hotline atau nombor panggilan khusus, disediakan bagi semua pusat operasi
seluruh negara, seperti polis yang menggunakan satu nombor 999 saja. PPA agama
negeri-negeri juga perlu ada nombor seragam sebegitu bagi seluruh negara.
Penampilan PPA juga dipertingkatkan
supaya sentiasa dirasai berada di tengah masyarakat, dengan mewajibkan pakaian
seragam, memasang lambang, lampu amaran dan sistem peti suara di semua kenderaan
operasi. Pada masa ini beberapa negeri saja seperti Melaka dan Selangor yang
mempunyai pakaian seragam. Dengan adanya pakaian seragam ini, maka dengan
sendirinya PPA boleh bertindak sebagai polis syariah, dengan cara keluar ke
dalam masyarakat sekurang-kurangnya sekali atau sehari dalam seminggu,
mendekati masyarakat Islam yang melakukan kesalahan syariah dan memberikan
nasihat yang baik kepada mereka.
Tugas dan aktiviti dijalankan PPA ini
boleh dihebahkan kepada orang awam dengan dirakamkan oleh lensa kamera, supaya
masyarakat melihat PPA menjalankan tugas mencegah maksiat bukan saja ‘bil yad’,
tetapi juga ‘bil lisan’, iaitu memberikan nasihat, kaunseling dan sebagainya.
Sudah sampai masanya juga pihak majlis
agama Islam negeri membuat kajian supaya bahagian penguatkuasaan agama dinaik
taraf kepada Jabatan Penguatkuasa Agama, bagi memantap dan memperkasakan agensi
penguatkuasaan di negara ini. Masyarakat sudah lama ingin menyaksikan berlaku
perubahan pada agensi penguatkuasaan syariah ini, setanding dengan agensi
penguatkuasaan yang lain.
Penulis Presiden Persatuan Peguam
Syarie Malaysia