Thursday, May 6, 2010

5 tahun Akta Keluarga Islam Wilayah tertangguh

Oleh Tuan Musa Awang

(Artikel ini disiarkan dalam Berita Harian pada 05/05/2010)

Kelewatan laksana pindaan 2005 beri persepsi negatif terhadap institusi kehakiman syariah

TENTU anda masih ingat, ketika pentadbiran kerajaan di bawah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada 26 September 2005, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 dengan tujuan memperbaiki Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 sedia ada. Rang undang-undang ini diwartakan menjadi undang-undang pada 22 Disember 2005.
Bagaimanapun, undang-undang ini mendapat bantahan beberapa pihak sehingga menimbulkan kontroversi, kerana dikatakan mengandungi diskriminasi dan penindasan terhadap wanita Islam. Susulan itu, Kabinet pada 11 Januari 2006 menangguhkan pewartaan undang-undang ini walaupun ia diluluskan Parlimen.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata ia tidak akan diwartakan sehingga kajian semula mengenainya dilakukan tetapi sehingga kini, ia masih tertangguh meskipun setelah hampir lima tahun.

Sebagai pengamal di Mahkamah Syariah, saya dan rakan serta masyarakat terutama pemastautin di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan masih tertanya-tanya apakah yang terjadi kepada undang-undang itu.

Bilakah akta itu akan diwartakan? Berapa lama lagikah tempoh diperlukan untuk kajian semula undang-undang itu? Sebagai negeri yang bersifat persekutuan, Wilayah Persekutuan seharusnya mendahului negeri lain dalam melaksanakan undang-undang semasa dan terkini.

Dalam konsep penyeragaman undang-undang syariah negeri, Wilayah Persekutuan sepatutnya menjadi contoh kepada undang-undang di negeri lain. Namun hakikatnya sekarang, Wilayah Persekutuan adalah negeri yang terkemudian dan ketinggalan berbanding negeri lain.
Antara isu ditimbulkan ketika bantahan undang-undang itu adalah mengenai isu empat syarat yang harus dipatuhi suami berdasarkan pindaan peruntukan undang-undang itu khususnya bagi frasa ‘patut atau perlu’. Mereka membantah, ia sepatutnya dibaca sebagai ‘patut dan perlu’.

Setakat ini di Selangor sudah mengguna pakai frasa ‘patut atau perlu’ sejak 2003 dan tidak timbul sebarang masalah sehingga ini.

Bagi suami yang memohon poligami, memang wujud keadaan ‘patut atau perlu’, iaitu apabila seorang suami berpendapatan rendah yang tidak patut berkahwin lain, tetapi dia mungkin perlu untuk beristeri lagi jika isteri pertamanya tidak mampu melaksanakan kewajipan rumah tangganya termasuk menunaikan nafkah batin atau jika isteri pertamanya mempunyai kecacatan fizikal seperti lumpuh anggota badan.

Realitinya, si suami yang ingin berpoligami atau memohon mendaftarkan pernikahan poligaminya akan mencadangkan sendiri apakah harta sepencarian yang akan diberikan kepada isteri sedia ada. Begitu juga dengan nafkah isteri dan nafkah anak. Pada ketika inilah si suami perlu menundukkan egonya dan mengambil hati si isteri, bagi membolehkan permohonan mereka dipermudahkan oleh si isteri tanpa bangkangan.

Isu lain yang dibantah ialah hak diberikan kepada suami untuk memfasakhkan nikah dengan isteri. Permohonan fasakh suami bukanlah kuasa baru diberikan kepada suami selain kuasa menjatuhkan talak. Berdasarkan hukum syarak, tuntutan fasakh juga boleh dibuat oleh pihak suami. Pengalaman saya apabila Undang-Undang Keluarga Islam Selangor diwartakan sejak 2003, bilangan kes fasakh difailkan oleh suami boleh dihitung dengan jari.

Ini kerana tuntutan fasakh memerlukan beban pembuktian di pihak yang mendakwa di mahkamah, dengan suami perlu mengemukakan keterangan, bukti dan saksi bagi membuktikan keaiban di sebelah isterinya. Si suami tidak akan memilih jalan panjang untuk menceraikan isterinya, walhal ada jalan mudah dan cepat.

Realitinya yang berlaku kini, suami yang ingin berpoligami akan lari memohon di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan kerana di situ tidak ada peruntukan bahawa bakal isteri dan bakal wali akan dipanggil ke mahkamah.

Begitu juga suami yang sudah berpoligami tanpa kebenaran mahkamah dan tanpa pengetahuan isteri pertama akan memfailkan permohonan mengesah dan mendaftarkan pernikahannya di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan kerana di situ tidak wujud peruntukan yang membolehkan isteri sedia ada dipanggil menentukan pembahagian harta sepencarian, nafkah isteri dan nafkah anak.

Pihak mahkamah syariah hanya memutuskan sesuatu tuntutan atau permohonan berdasarkan undang-undang yang diwartakan.

Jika mahkamah bertindak melangkaui undang-undang sedia ada, ia akan menjadi ‘ultra virus’. Jadi siapa yang rugi dengan protes yang dibuat oleh pihak tertentu pada 2005 itu? Bukankah wanita juga. Siapa pula menganiayai dan menzalimi wanita ini sejak 2005 sehingga sekarang? Adakah undang-undang yang sudah diluluskan itu atau pihak yang mengemukakan protes itu?

Penangguhan pelaksanaan Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan itu secara retoriknya memberi persepsi negatif terhadap institusi kehakiman syariah negara dan mahkamah syariah sebagai tidak berlaku adil terhadap kaum wanita.

Hakikatnya, undang-undang yang sama sudah berjalan sekian lama di negeri lain tanpa sebarang kelemahan. Undang-undang diamalkan sekarang sudah wujud sejak 24 tahun lalu, tidak lagi sesuai dengan nilai semasa.

Selepas lima tahun tertangguh, saya yakin golongan wanita negara ini menaruh harapan agar Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan 2005), akhirnya dapat dilaksanakan.

Sekretariat Advokasi dan Pemerkasaan Wanita (Senada) yang ditubuhkan pada 20 Jun 2008, boleh memainkan peranan proaktif agar undang-undang keluarga Islam yang tertangguh ini dapat dibawa sekali lagi ke Kabinet dan Parlimen.

Pindaan ini mempunyai implikasi besar terhadap usaha untuk membela nasib wanita, keluarga dan kanak-kanak Islam. Tempoh lima tahun adalah suatu waktu terlalu lama dan boleh menyebabkan ketidakadilan. Justifikasi keadilan dalam Islam hanya berlaku apabila kita meletakkan sesuatu itu sesuai pada tempatnya.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, boleh dihubungi di 03-22741499 atau e-mail: sekretariatpgsm@yahoo.com

No comments:

Post a Comment

Kelantan Lulus Hukum Sebat Khalayak Ramai, PINDAAN TAK BERCANGGAH PERLEMBAGAAN

Berita Harian Jumaat, 14 Julai 2017 KELANTAN LULUS HUKUM SEBAT KHALAYAK RAMAI Pindaan tak bercanggah Perlembagaan Pindaan ...