Thursday, July 1, 2010

Hubungan seksual hambar antara punca keretakan rumah tangga


Oleh Tuan Musa Awang

(Artikel ini disiarkan di Berita Harian pada 30/06/2010)

Pasangan suami isteri patut rujuk al-Quran, hadis perbaiki hubungan kelamin

DUA tiga kali saya berfikir untuk menulis isu ini kerana ia sensitif bagi sesetengah orang. Namun, saya percaya semua boleh bersetuju bahawa hubungan intim suami isteri adalah perkara penting dalam hubungan suami isteri.

Antara punca besar keretakan rumah tangga ialah hubungan seksual yang hambar. Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2004, menunjukkan faktor utama perceraian mendapat peratusan tertinggi ialah tiada persefahaman, curang dan enggan dimadukan (12 peratus

Faktor lain kerana tidak bertanggungjawab (11.5 peratus), campur tangan mentua atau ipar duai (8.8 peratus), disebabkan ketagihan dadah atau alkohol (7.1 peratus), masalah kewangan (1.6 peratus), terbabit jenayah, judi dan masalah kesihatan (1.1 peratus), didera (0.5 peratus) dan selebihnya faktor lain.

Menurut statistik perceraian dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), punca krisis rumah tangga kerana tidak serasi, kecurangan, poligami, campur tangan keluarga, masalah kesihatan pasangan termasuk kesuburan dan suami isteri bermain kayu tiga.

Hubungan hambar disebabkan kurang keinginan seks sama ada daripada pihak suami atau isteri, isteri berasa bosan kerana suami cepat klimaks setiap kali bersama, ketiadaan zuriat, suami mati pucuk, isteri tidak pernah atau jarang mencapai orgasm, juga menjadi masalah besar dalam rumah tangga.

Ia menjadi punca berlaku perbalahan kerana ada pihak yang memendam perasaan dan sakit hati akibat perkara yang dianggap kecil oleh sebelah pihak lagi. Lebih parah apabila pasangan terjerumus dalam fenomena mempunyai kekasih gelap.
Kajian dibuat syarikat farmaseutikal Pfizer melalui The Asia Pacific Sexual Health and Overall Wellness atau APSHOW pada 2008, menunjukkan 57 peratus lelaki dan 64 peratus wanita tidak berasa puas dengan kehidupan seksual mereka.

Kajian dilakukan di 13 negara dari kawasan Asia Pasifik, termasuk Malaysia dengan taburan responden sebanyak 328 lelaki dan 250 wanita. Di negara ini, kajian mendapati 73 peratus wanita Malaysia tidak puas dalam hubungan seks mereka, 62 peratus lelaki turut dikatakan tidak puas.

Pakar seksologi Pusat Kesihatan Seksual Australia, Dr Rosie King berkata, peratusan itu menunjukkan kadar yang tinggi berbanding purata peratus keseluruhan tahap kepuasan seks diperoleh di Asia Pasifik.

Katanya, fenomena itu berlaku berikutan kebanyakan lelaki dan wanita di Malaysia lebih mengutamakan kerjaya dan kehidupan keluarga.

Laporan pada tahun sama memetik Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri Terengganu, Muhammad Ramli Nuh, berkata bau badan, adegan seks dan baju tidur membosankan dikenal pasti sebagai punca kenaikan kadar perceraian di negeri itu.

Kerajaan Negeri Terengganu terpaksa merangka satu cara inovasi untuk memperbaiki hubungan kelamin antara suami isteri khususnya di kalangan mereka yang baru berkahwin, termasuk menjemput syarikat kosmetik memperkenalkan bau-bauan eksotik yang mampu menimbulkan rasa ghairah, mencadangkan suami isteri lebih kerap mandi bersama sebagai salah satu jalan untuk mengukuhkan jalinan mesra.

Dalam Islam isu seks bukan sesuatu yang memalukan untuk diketengahkan. Hubungan seks suami isteri yang halal adalah suatu ibadah dalam rumah tangga seorang muslim. Hari ini, kita tidak didedahkan dengan hadis hubungan seks suami isteri yang lengkap.

Sebaliknya, lebih banyak merujuk kepada pakar perubatan atau kaunselor seolah-olah Islam bukan tempat rujukan yang tepat. Walhal, ada banyak nasihat dalam hadis Nabi SAW yang menekankan kepentingan pasangan suami isteri menjaga pengurusan hubungan seks mereka.

Melayani hubungan seks seorang suami adalah bukti ketaatan isteri. Firman Allah yang bermaksud: “Isteri-isteri kamu adalah sawah ladang kamu, maka datangilah sawah ladangmu itu dengan cara yang kamu sukai.” (Surah al-Baqarah, ayat 223)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bagi kamu melakukan jima’ (hubungan seks) dengan isterimu adalah satu pahala. Lalu sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah seseorang di antara kita menyalurkan syahwatnya akan mendapat pahala? Jawab Baginda: Bagaimana pendapatmu jika dia menyalurkan syahwatnya itu pada yang haram, apakah ia berdosa? Begitulah jika ia meletakkannya pada yang halal, maka ia mendapat pahala.” (Hadis riwayat Muslim)

Diriwayatkan pada suatu malam, Khalifah Umar Al Khattab meronda kota Madinah dan Umar mendengar keluhan dan rintihan seorang wanita: “Malam ini begitu panjang dan tepi langit begitu hitam. Sudah lama aku tiada kawan untuk bersenda gurau. Demi Allah! Jika tidak kerana takut kepada Allah SWT, tentu kaki tempat tidur ini sudah bergoyang. Tetapi, Tuhanku! Rasa malu cukup menahan diriku. Namun, suamiku sungguh lebih mengutamakan mengenderai untanya.”

Selepas disiasat, rupa-rupanya suami wanita ini selalu berjihad fisabilillah. Lantas Saidina Umar menetapkan waktu tugas bagi tenteranya untuk berada di medan tempur hanya selama enam bulan saja.

Kisah itu memperlihatkan keperluan hubungan seks bukan saja keinginan kaum lelaki, tetapi juga keinginan semula jadi wanita.

Rasulullah SAW berpesan kepada kaum lelaki yang bermaksud: “Jika seseorang di antara kamu melakukan hubungan seks dengan isterinya hendaklah bersungguh-sungguh. Bila ia sedang menyelesaikan keperluannya itu padahal isterinya belum sampai kepada klimaksnya, maka janganlah ia tergesa-gesa (untuk mengakhirinya) sebelum keperluan isterinya diselesaikan pula.”

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Boleh dihubungi melalui 03-2274 1499 atau e-mail ke sekretariatpgsm@yahoo.com.

3 comments:

  1. Salam Ustaz Musa,

    Saya nak tanya apa hukumnya bila suami ceraikan isteri melalui surat yg di pos dan isteri hanya tahu setahun kemudian?

    Bila eddah bermula?

    ReplyDelete
  2. Salam...ini lah satu-satu nya komen atau pun nukilan drp laman ini yang ikhlas dan adil untuk di pelajari dan mengamalkan nya...ternyata kajian ini adalah seikhlas nya datang daripada orang awan dan yang tidak berkepentingan saperti pengamal hukum syariah yang hanya pentingkan kemenangan dalam sesuatu perbicaraan walau pun melanggar hukum-hukum Allah.

    ReplyDelete
  3. Salam. Lafaz melalui pos/tulisan adalah lafaz kinayah. Lafaz kinayah memerlukan kepada niat. Jadi perlu lihat balik apa niat suami semasa menulis surat, samada niatnya untuk jatuhkan cerai pada hari dia menulis surat atau sebaik sahaja anda menerimanya. Jika niatnya pada waktu surat ditulis, maka iddah puan dikira dari tarikh itu. Demikianlah jika niat sebaliknya. Sila panjangkan ke Mahkamah Syariah untuk pengesahan lafaz itu.

    ReplyDelete

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...