Monday, August 23, 2010

Fatwa modul ESQ perlu seragam

Oleh Tuan Musa Awang

Disiarkan di Berita Harian pada 14/07/2010

Majlis fatwa mesti selesai isu segera untuk elak kekeliruan umat Islam

APABILA berita pengharaman modul program motivasi dan kepemimpinan anjuran ESQ Leadership Center Sdn Bhd (ESQ) oleh Mufti Wilayah Persekutuan minggu lalu, saya menerima banyak panggilan telefon dan emel bertanyakan perkara itu.

Bagi menyelaraskan pengeluaran fatwa di negara ini, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ditubuhkan pada 1970 di bawah peruntukan Perkara 11 Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Fungsi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan adalah menimbang, memutus dan mengeluarkan fatwa mengenai perkara berkaitan agama Islam yang dirujuk kepadanya oleh Majlis Raja-Raja, menyentuh masalah keagamaan berkaitan hal-ehwal umat Islam Malaysia secara keseluruhannya.

Jawatankuasa turut membincangkan masalah keagamaan di sesuatu negeri yang berlaku di negeri lain atau masalah keagamaan yang bersifat tempatan dan daerah dikemukakan ahli jawatankuasa negeri.

Jawatankuasa ini dianggotai pengerusi yang dilantik, mufti setiap negeri, lima orang ulama yang dipilih dan dilantik oleh Majlis Raja-Raja dan seorang ahli yang beragama Islam dari Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-Undang atau profesion undang-undang yang dipilih dan dilantik Majlis Raja-Raja.

Pengeluaran hukum atau pandangan syarak oleh jawatankuasa ini melalui dua cara, pertama ialah apabila Mesyuarat Majlis Raja-Raja menitahkan supaya diputuskan sesuatu hukum atau pandangan syarak mengenai sesuatu isu yang timbul dalam masyarakat.

Mesyuarat jawatankuasa akan diadakan dan setelah memperoleh hukum atau pandangan syarak, maka ia akan dirafa’kan kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja melalui Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia.

Hukum atau pandangan syarak itu akan dibawa kepada Jawatankuasa Fatwa/Perundingan Syarak Negeri tanpa boleh dipinda dan seterusnya akan diwartakan oleh negeri berkenaan sebagai fatwa.

Cara kedua ialah tanpa arahan Mesyuarat Majlis Raja-Raja, iaitu melalui permohonan daripada masyarakat Islam atau pihak tertentu. Isu dikemukakan akan dikaji, disediakan satu kertas kerja berkaitan dan kemudian dibentangkan dalam Mesyuarat Panel Kajian yang ditubuhkan.

Seterusnya, satu kertas kerja berserta keputusan Mesyuarat Panel Kajian akan dibentangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa. Keputusan diputuskan dalam muzakarah ini akan dipanjangkan ke Jawatankuasa Fatwa/Perundingan Syarak Negeri.

Keputusan muzakarah ini tidak mengikat kerajaan negeri, namun ia sebagai majlis diskusi bagi menyeragamkan fatwa membabitkan kepentingan seluruh persekutuan.

Berbalik kepada ESQ, ia bukanlah pertubuhan dakwah atau kumpulan tarikat, tetapi sebuah syarikat yang menawarkan kursus motivasi dan kepemimpinan yang mengadunkan kepakaran berpidato tenaga pengajarnya dengan teknologi moden seperti layar besar, kesan bunyi serta pencahayaan.

ESQ kini bersifat nasional kerana ia diadakan di seluruh negara. Dilaporkan ia disertai 65,000 orang termasuk orang kenamaan, tokoh agama, korporat dan pegawai kerajaan.

Saya melihat fatwa yang dikeluarkan membabitkan akidah umat Islam secara keseluruhan. Akidah ialah perkara penting, bukan bersifat furu’ seperti fatwa pengharaman rokok yang masih belum diwartakan melainkan di Selangor, Kedah dan Pahang.

Kesan fatwa yang dikeluarkan bukan saja terhadap penduduk Wilayah Persekutuan, tetapi juga seramai 65,000 orang yang pernah mengikuti program ini termasuk dari luar Wilayah Persekutuan.

Apakah akidah mereka juga tersasar seperti mana yang dikatakan wujud penyelewengan akidah dalam ESQ? Bagaimana pula dengan akidah beberapa orang kenamaan, tokoh agama dan korporat yang pernah mengikuti program ini?

Sesuatu fatwa hanya diwartakan selepas kajian mendalam dilakukan berhubung isu terbabit dan ia perlu bersifat al-yakin. Melihat kepada kronologi pengeluaran fatwa itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa kali ke-90 pada 1 Mac 2010 belum membuat sebarang keputusan berhubung ESQ kerana menganggap hasil siasatan dan kajian sebelum itu masih bersifat dzanni.

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa pada 14 April lalu membuat rumusan awal bahawa hasil penemuan panel pemantau ESQ masih bersifat dzanni, masih boleh dijelaskan. Bagaimanapun, pada 17 Jun baru-baru ini, fatwa berkenaan ESQ diwartakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan.

Walaupun Seksyen 34, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505), memberi kuasa budi bicara kepada mufti mengeluarkan fatwa adakah ia boleh dibuat mendahului keputusan belum dibuat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan?

Jika mufti negeri mendahului Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, di manakah peranan Jawatankuasa Fatwa dalam menyeragamkan pengeluaran fatwa di negara ini?

Lebih mengelirukan, fatwa diwartakan mendapat reaksi sebaliknya daripada beberapa mufti dan bekas mufti yang juga ahli atau bekas ahli dalam Jawatankuasa Fatwa yang menyatakan tiada unsur penyelewengan dalam program itu.

Reaksi ini menggambarkan seolah-olah fatwa dikeluarkan lebih bersifat ijtihad individu, melawan arus dan bertentangan pendapat majoriti. Lebih malang, fatwa itu menggambarkan panel syariah ESQ terdiri daripada bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan bekas mufti termasuk penasihat agama kepada Sultan Johor memberi nasihat yang salah dan menyeleweng.

Jika benar modul ESQ menyelewengkan akidah umat Islam, kenapa ia hanya diharamkan di Wilayah Persekutuan, tetapi halal di negeri lain. Adakah soal menentukan akidah, Islam atau tidak dan halal haram sesuatu perkara itu hak Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan saja?

Seksyen 36 akta sama memberikan kuasa kepada mufti meminda, mengubahsuai atau membatalkan fatwa yang dikeluarkan menurut Seksyen 34 akta itu. Jika perlu, peruntukan ini boleh dimanfaatkan bagi mengelakkan kekeliruan umat Islam.

Perkembangan ini, jika tidak ditangani segera, bukan saja mengelirukan, malah boleh menjatuhkan kewibawaan institusi fatwa di negara ini, sebagai penasihat utama kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

- Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Kelantan Lulus Hukum Sebat Khalayak Ramai, PINDAAN TAK BERCANGGAH PERLEMBAGAAN

Berita Harian Jumaat, 14 Julai 2017 KELANTAN LULUS HUKUM SEBAT KHALAYAK RAMAI Pindaan tak bercanggah Perlembagaan Pindaan ...