Tuesday, January 18, 2011

Keratan Akhbar - 'Usah sekat syiar Islam'

'Usah sekat syiar Islam'
Oleh Hazirah Che Sab, Mohd Anwar Patho Rohman dan Nahar Tajri

2011/01/16
KUALA LUMPUR: Pihak yang meminta laungan azan diperlahankan kerana mendakwa melanggar hak asasi manusia dan mengganggu ketenteraman awam dianggap sebagai menghina umat dan agama Islam serta Raja-raja Melayu selaku ketua agama Islam di negara ini.

Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang, berkata pihak yang bertindak demikian adalah rakyat yang sakit kerana tidak dapat menerima hakikat taraf agama Islam yang tertinggi di negara ini dan menjadi agama rasmi seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Justeru, katanya, perkembangan terbaru di Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi, di sini membuktikan wujud usaha terancang untuk menyekat syiar Islam daripada terus berkembang di negara ini kerana ada pihak yang secara terbuka berani mempertikai ajaran Islam.

Sikap kita sebagai umat Islam terlalu bertolak- ansur menjadikan kita sering ditolak dan akhirnya beransur-ansur hilang kekuatan untuk mempertahan kesucian agama. Perkara seperti ini (menghina azan) tidak sepatutnya berlaku kerana kita hidup dalam masyarakat majmuk, berbilang bangsa, agama dan kepercayaan.

Cuba bayangkan jika umat Islam mempertikai amalan upacara keagamaan lain seperti amalan membunyikan loceng di kuil pada waktu Maghrib atau membakar colok di tokong yang mengeluarkan asap dan bau tidak menyenangkan, sudah tentu penganut agama itu akan marah.

Dia (pihak yang membantah azan) seperti tidak faham dengan fakta ini, katanya yang dihubungi, semalam ketika mengulas tindakan kira-kira 100 umat Islam berhimpun di perkarangan Masjid Al-Ikhlasiah membantah tindakan seorang peguam bukan Islam meminta laungan azan di masjid itu diperlahankan.

Peguam terbabit juga dikatakan menghantar memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Lembah Pantai dengan menyifatkan azan mencabul hak asasi kemanusiaan dan mengganggu ketenteraman beliau.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, meminta rakyat bertenang menangani isu itu dan memberi kepercayaan kepada kerajaan untuk menyelesaikannya tanpa menyinggung sensitiviti mana-mana pihak.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin mencadangkan jawatankuasa masjid terbabit dan ahli qariah berjumpa peguam berkenaan untuk menyelidik puncanya tidak berpuas hati dengan azan sebelum memberi penjelasan mengenai peranan azan dan kedudukannya dalam Islam.

Pengajaran sebalik kontroversi azan


Oleh Musa Awang

Berita Harian 19/01/2011

Penduduk majmuk perlu hormati hak kebebasan beragama

ISU bantahan peguam yang menghantar memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Lembah Pantai membantah laungan azan di Masjid Al-Ikhlasiah dianggap selesai apabila kelmarin, peguam terbabit membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua umat Islam.

Tindakan peguam berkenaan mendapat bantahan seluruh umat Islam, maka wajarlah permohonan maaf dibuat kepada seluruh umat Islam di negara ini.

Azan, syiar Islam yang bermula di Madinah pada tahun pertama hijrah seperti disebut dalam hadis diriwayatkan Abdullah bin Umar semasa orang Islam mula sampai di Madinah dan berkumpul menunggu menunaikan solat tetapi tiada yang menyeru untuk bersembahyang.

Maka Rasulullah SAW pada satu hari mengumpulkan sahabat untuk membincangkan cara mengingatkan umat Islam mengenai masuk waktu solat dan mengajak mereka ke masjid menunaikan solat berjemaah.

Dalam perbincangan itu, ada mencadangkan supaya dikibarkan bendera, ditiupkan serunai atau terompet, dibunyikan loceng dan dinyalakan api di atas bukit. Namun, semua usul itu ditolak Nabi Muhammad SAW kerana sama dengan amalan agama lain seperti Nasrani (Kristian) dan Yahudi.


Kemudian Saidina Umar mencadangkan supaya dilaungkan ayat ‘telah datang waktu solat’ dan cadangan itu diterima Nabi, tetapi Baginda menukar lafaznya kepada ‘marilah solat berjemaah’.
Sehinggalah pada suatu malam Abdullah bin Zaid dan Umar bin al-Khattab sama-sama bermimpi, mengenai cara lebih baik untuk menghebahkan solat dengan mengumandangkan ‘azan’ seperti yang ada pada hari ini.

Apabila mimpi sahabat disampaikan kepada Rasulullah SAW, Baginda bersabda: “Mimpi itu mimpi yang benar.” Lalu Nabi memerintahkan Bilal bin Rabah melaungkan azan pada setiap kali masuk waktu solat.

Untuk solat Jumaat, dua kali azan iaitu pertama menandakan masuk waktu Zuhur memanggil orang Islam ke masjid dan kali kedua sejurus sebelum imam memulakan khutbah Jumaat.

Manakala azan Subuh semasa zaman Rasulullah SAW dikumandangkan sebanyak dua kali seperti dilakukan di Masjidilharam.

Pertama, selepas berlalunya separuh malam untuk memberitahu umat Islam waktu Subuh sudah hampir dan waktu itulah mereka digalakkan bersembahyang sunat tahajud dan sebagainya atau bersahur untuk berpuasa.

Azan kedua diperdengar ketika masuk waktu Subuh dengan tambahan lafaz ‘solat itu lebih baik daripada tidur’. Azan juga sunat dibisikkan ke telinga bayi lelaki baru lahir.

Dalil mensyariatkan seruan azan ialah firman Allah yang bermaksud: “Jika kamu dipanggil (diseru) untuk sembahyang...” (Surah al-Ma’idah, ayat 58).

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Apabila tiba waktu sembahyang hendaklah salah seorang kamu melakukan azan dan yang lebih tua daripada kamu hendaklah menjadi imam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Keajaiban syiar Islam dalam azan ini terbukti apabila azan akan berkumandang di setiap minit selama 24 jam sehari di seluruh dunia berdasarkan perbezaan waktu dan tempat.

Ribuan bilal akan melaungkan azan Subuh seawal 5.30 pagi, bermula di bahagian timur Indonesia dan bergerak ke barat kepulauan Indonesia.

Belum pun laungan azan itu selesai di seluruh Indonesia, azan akan bergema pula di Malaysia, kemudian disambut di Thailand, Myanmar, China dan seterusnya. Azan akan terus bersahutan di Bangladesh dan bergema pula di India.

Sebelum berakhir di Pakistan, laungan azan Subuh akan dilaungkan di Afghanistan dan Oman, kemudian di Emiriah Arab Bersatu, di tanah suci Makkah, Madinah dan negara lain. Proses ini berterusan setiap detik sehingga ke pantai timur Atlantik dalam jangka masa sembilan jam setengah.

Sebelum azan subuh bergema di situ, azan Zuhur sudah berkumandang di Indonesia semula dan begitulah seterusnya laungan azan akan bersahut-sahutan di serata pelusuk dunia melaungkan keagungan Allah dan Nabi Muhammad SAW setiap detik, sepanjang waktu.

Semoga selepas ini tidak ada lagi pihak mempertikaikan amalan agama masyarakat di negara ini.

Janganlah menghuru-harakan keadaan masyarakat yang hidup dalam rukun dan damai. Walaupun permohonan maaf dibuat, namun hakikatnya ada yang tersinggung dengan tindakan itu.

Perbuatan menghina amalan agama sesuatu masyarakat tidak sepatutnya berlaku kerana kita hidup dalam masyarakat majmuk, berbilang bangsa, agama dan kepercayaan.

Cuba bayangkan jika umat Islam mempertikai amalan upacara keagamaan lain seperti amalan membunyikan loceng di kuil pada waktu Maghrib atau membakar colok di tokong yang mengeluarkan asap serta bau tidak menyenangkan, sudah tentu penganut agama itu akan marah.

Hakikat agama Islam sebagai agama Persekutuan dan agama lain bebas untuk dianuti seperti termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan perlu difahami dan dihormati masyarakat bukan Islam.

Agama Islam yang diletakkan di bahagian awal dalam Perlembagaan membawa makna yang besar dari segi peranan, kedudukan dan keutamaannya. Mempersoalkan kesucian Islam ibarat menghina pelindung kepada kesucian agama Islam di negara ini iaitu Yang di Pertuan Agong.

Wednesday, January 5, 2011

Sistem perundangan syariah perlu dipertahan jamin kesucian Islam

Oleh Musa Awang

Berita Harian
05/01/2011

MENGIMBAS isu syariah dan Mahkamah Syariah sepanjang 2010, dunia Islam dan umatnya menerima tamparan hebat apabila Hakim Datuk Lau Bee Lan pada 31 Disember 2009 membenarkan Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald-The Catholic Weekly.

Keputusan itu membangkitkan kemarahan umat Islam dan desakan supaya rayuan segera difailkan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur serta memohon penggantungan pelaksanaan keputusan bagi memastikan kesucian Islam di Malaysia terpelihara.

Kesan daripada isu itu, beberapa negeri segera mewartakan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang kali ke-82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 yang bersetuju lafaz Allah adalah kalimah suci khusus bagi agama dan umat Islam saja. Keputusan muzakarah dilengahkan pewartaan setelah dua tahun keputusan dibuat.

Tarikh 9 Februari 2010 melakar sejarah baru sistem perundangan syariah tanah air apabila tiga pesalah syariah wanita disabitkan kesalahan persetubuhan luar nikah mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 menjalani hukuman sebat.

Pelaksanaan sebatan kali pertama itu sekali gus menolak kritikan negatif golongan tertentu yang cuba mengukur undang-undang jenayah Islam daripada perspektif undang-undang sivil. Pelaksanaan hukuman sebat yang tidak mencederakan membuktikan Islam menyanjung tinggi maruah mereka walaupun terbabit dengan jenayah.

Isu sebatan menjadi polemik rentetan kes Kartika Sari Sukarno yang dijatuhi hukuman enam sebatan pada 2009, sehingga hukumannya ditangguhkan. Secara tidak langsung, mengajak kita meninjau kembali peruntukan Akta atau Enakmen Jenayah Syariah negeri yang masih berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain.

Hanya Pahang dan Kelantan memperuntukkan hukuman sebat bagi kesalahan minum arak. Persoalan juga timbul, adakah hanya peminum arak saja dikenakan tindakan. Bagaimana orang Islam yang bekerja di kedai menjual arak, menghidang atau menuang arak?
Mahkamah Tinggi Sivil membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita bukan Islam, Victoria Jayaseele Martin yang permohonannya menjadi Peguam Syarie Mahkamah Syariah Kuala Lumpur ditolak Majlis Agama Islam.

Isu itu membangkitkan perbahasan kewajaran bukan Islam diterima sebagai Peguam Syarie kerana ia juga membenarkan mereka berhujah dengan ayat al-Quran dan hadis yang boleh menyebabkan salah tafsiran terhadap hukum syarak serta mengelirukan masyarakat.

Tindakan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada Disember 2010, membuat keputusan menolak pelantikan individu bukan Islam sebagai peguam syarie seharusnya dipuji.

Keputusan muzakarah itu wajar dibawa kepada Jawatankuasa Fatwa atau Jawatankuasa Perundingan Syarak Negeri untuk diwartakan sebagai fatwa negeri supaya memberi kesan positif dari sudut perundangan.

Isu ini juga diharap membuka mata pihak berkuasa beberapa negeri seperti Johor, Perlis, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang tidak mensyaratkan Islam secara khusus untuk permohonan sebagai peguam syarie selain menyegerakan draf Akta Profesion Guaman Syarie.

Angka dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), 81,000 anak luar nikah berdaftar, jika separuh adalah anak perempuan bermakna sebanyak 40,000 permohonan bernikah secara wali hakim akan diajukan ke Mahkamah Syariah. Suatu angka besar dan perkembangan membimbangkan.

Pelantikan hakim syarie wanita, Suraya Ramli, 31 dan Rafidah Abdul Razak, 39, di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur, adalah khabar gembira dan bukti negara memberi layanan sama rata antara lelaki dengan wanita. Diharap tahun ini jumlahnya bertambah.

Isu lain menghangatkan 2010 ialah perselisihan pandangan mengenai program kepemimpinan anjuran ESQ Leadership Center Sdn Bhd (ESQ), pengumuman Majlis Agama Islam Melaka dan Jabatan Agama Islam Melaka memberi kelonggaran remaja bawah umur bernikah.

Begitu juga pertikaian agama anak bagi pasangan bukan Islam apabila salah seorang memeluk agama Islam masih mengharapkan satu penyelesaian berkesan.
Titik hitam terpalit di penghujung 2010, hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang ditahan penguatkuasa agama kerana disyaki berkhalwat dengan seorang wanita di kuarters kerajaan di Georgetown.

Kemudian, bekas Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak, dihukum penjara 19 tahun dan denda RM210,000 atau penjara 42 bulan selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan rasuah.

Beliau menjadi hakim syarie pertama didakwa atas tuduhan rasuah, dihukum penjara 10 tahun kerana tiga daripada hukuman berjalan serentak.

Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan (Pindaan) 2005 yang diluluskan Parlimen, tetapi ditangguhkan pewartaan kerana dikatakan mengandungi diskriminasi terhadap wanita Islam genap lima tahun pada 22 Disember lalu.

Malangnya, sehingga kini rang undang-undang yang katanya akan dikaji semula itu masih tertangguh. Berapa lama lagi tempoh diperlukan untuk kajian semula undang-undang itu?

Sebahagian besar golongan wanita negara ini terutama pemastautin di tiga Wilayah Persekutuan masih menaruh harapan supaya Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan 2005) dapat dilaksanakan.

Isu sumbang mahram, pengabaian nafkah oleh anak terhadap ibu bapa, isu musahaqah (lesbian), gay dan lain-lain turut mewarnai kanvas 2010.
Semoga tahun 2011 membawa sinar kebaikan dan rahmat untuk keseluruhan umat Islam di negara ini.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan boleh dihubungi di alamat sekretariatpgsm@yahoo.com

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...