Wednesday, November 23, 2011

Dilema putus tunang



Dilema putus tunang
Oleh Noriah Idris
Metro Ahad

Pertunangan adalah permulaan langkah menuju gerbang perkahwinan. Biarpun belum sah bergelar pasangan suami isteri, namun ia adalah fasa yang menghampiri untuk hidup berumah tangga. Pun begitu, pertunangan tidak menghalalkan hubungan intim sebagaimana yang berlaku dalam sebuah rumah tangga.

Timbalan Presiden Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, Islam tidak menetapkan bentuk atau cara pertunangan, namun dibenarkan selagi ia tidak bertentangan dengan prinsip asas hukum syarak.

Katanya, kebanyakan pertunangan diamalkan masyarakat Islam hari ini membawa banyak kebaikan kepada pasangan yang bertunangkerana selain merapatkan hubungan kekeluargaan antara kedua-dua pihak, secara tidak langsung menyimpul perasaan menghormati antara satu sama lain sebelum mempelai diikat melalui simpulan perkahwinan yang sah.

Lazimnya, apabila seseorang sudah bertunang bermakna dia sudah mengikat suatu perjanjian yang dikenali sebagai perjanjian pertunangan dan mengharapkan suatu masa nanti bakal disatukan.

Ada kalanya, perjanjian pertunangan ini tidak ditunaikan sama ada dengan sengaja atau melalui paksaan bahkan, ada yang berakhir dengan kejadian putus tunang.
Ekoran itu, pihak yang mengalami kejadian putus tunang itu akan menanggung malu, terkilan, fitnah dan pelbagai perasaan sehingga ada yang melakukan saman di mahkamah daripada jumlah ribuan mencecah kepada jutaan ringgit.

“Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam memberi hak kepada seseorang itu menuntut kerugian yang dialami membabitkan persediaan untuk perkahwinan atau apa-apa perbelanjaan.

“Mereka boleh memfailkan tuntutan itu di mahkamah syariah bagi mendapatkan semula pemberian yang diberikan atau segala perbelanjaan yang ditanggung bagi menyediakan segala keperluan untuk perkahwinan.

“Ertinya, barangan yang sudah dibeli misalnya barangan hantaran dipulangkan dan ia sama nilai seperti tempahan kad jemputan, pelamin, khemah dan sebagainya,” katanya.
Mengulas kejadian yang berlaku seperti saman malu atau tuntutan sehingga mencecah jutaan ringgit oleh mangsa putus tunang itu, Musa mengatakan ada segelintir pihak melakukan saman itu atas dasar balas dendam atau maruah yang sudah tercalar.

Katanya, istilah saman malu mungkin tiada dalam bidang kuasa mahkamah syariah tetapi ia lebih membabitkan ganti rugi am kepada yang menjadi mangsa putus tunang itu.
Namun mereka yang merasakan dirinya dimalukan atau maruah tercalar ekoran kejadian itu, boleh membawa perkara berkenaan ke tengah agar mendapat pembelaan sewajarnya.

Beliau turut melahirkan rasa bimbang jika saman malu dengan jumlah mencecah ribuan atau jutaan ringgit menjadi ‘trend’ masyarakat hari ini sedangkan hukum syarak membenarkannya dengan mengambil kira nilai harga barangan di samping tuntutan yang munasabah saja, bukan kerana perkara lain.

Namun, katanya, kajian lebih terperinci perlu dilakukan untuk menebus malu pihak yang sudah diputus tunang terutama pada saat-saat akhir menjelang majlis perkahwinan.
Beliau juga tidak menafikan ada kalangan mereka sudah melakukan persiapan bagi mengadakan majlis perkahwinan dengan melakukan ubah suai rumah, menempah pelamin dan barangan hantaran, namun tidak terjadi perkahwinan sebagaimana dimeterai kedua-dua pihak sebaliknya berakhir dengan perpisahan.

“Pada pandangan saya, jika diteliti balik tuntutan dan ia wajar serta munasabah kerana membabitkan syariat, ia dibenarkan oleh hukum syarak dan perkara itu tiada masalah untuk ‘dikanunkan’.

“Selain itu, satu kajian khusus harus dilakukan pihak berwajib supaya mangsa dapat menuntut segala ganti rugi am. Contohnya, apabila tetamu sudah datang menghadiri majlis perkahwinan tiba-tiba dibatalkan sudah tentu keluarga pengantin menanggung malu.

“Apabila tindakan saman dilakukan, ia bertujuan memberi teladan kepada masyarakat agar tidak mengulangi perkara yang dianggap boleh mengaibkan orang lain,” katanya.
Mengenai segelintir pihak mengheret si pelaku ke mahkamah sivil, beliau berkata, kemungkinan kes itu akan dirujuk semula kepada mahkamah syariah kerana bidang kuasa sedemikian hanya diberi kepada mahkamah syariah.

Apa yang berlaku ada hikmah

DIDORONG kekecewaan yang amat sangat, rasa tertipu berikutan tidak dapat meneruskan perkahwinan selepas melakukan pelbagai persiapan ke arah mendirikan mahligai bahagia menyebabkan seseorang itu berasa marah dan tertekan apabila putus tunang.
Terlerainya ikatan suci itu ibarat kemarau bertahun terhapus dek hujan sehari dan begitu dirasakan oleh mereka yang pernah menjadi `mangsa’ putus tunang itu.

Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Osman Che Bakar berkata, reda adalah jalan terbaik kerana ia berlaku sebelum terjadinya sebuah perkahwinan.

Menurutnya, jika pertunangan diteruskan dan disusuli perkahwinan selepas itu kemungkinan berlaku peristiwa yang lebih mengharukan misalnya perpisahan, curang dan pelbagai lagi, kesannya mungkin lebih buruk.

“Ada kalanya kita kena didik diri dan mengatakan semua itu ada hikmah tersendiri.Tuhan seolah-olah memberi petunjuk lebih awal bahawa dia bukan jodoh terbaik dan mungkin akan dianugerahkan dengan bakal suami atau isteri atau jodoh yang lebih baik lagi,” katanya.

Apa yang penting, katanya, kehidupan perlu diteruskan kerana masih ada ruang untuk bergembira bersama mereka yang memahami diri anda.

“Jangan disebabkan putus tunang atau tidak jadi berkahwin membuatkan anda merasakan hidup ini sudah tidak bermakna lagi. Sedangkan anda sebenarnya sedang `diuji’ dan jangan merasakan ia sebagai suatu tekanan dalam hidup sehinggakan mengetepikan orang sekeliling.

“Bersikap dewasalah atau lebih positif dan jangan terasa dimalukan. Kadangkala sifat orang yang menyaman bekas tunang itu bukan sekadar ingin melampiaskan rasa malu semata-mata sebaliknya lebih kepada dendam atau rasa tertipu oleh pihak yang satu lagi,” katanya.

Perkara yang perlu diambil kira:

* Bertunang berupa kontrak awal kepada perkahwinan. Pihak yang berjanji kena patuhi kecuali ada kemungkinan besar membawa kepada kemudaratan jika diteruskan juga lalu pertunangan boleh diputuskan.

* Misalnya, jika lelaki seorang penagih tegar, Islam membenarkan pertunangan dibatalkan dengan syarat pihak yang memutuskan harus membayar balik segala ganti rugi mengikut nilai yang sudah ditentukan.

* Pastikan segala resit pembelian barangan atau urusan bayaran disimpan sebagai bukti penting di mahkamah.

* Jika lelaki yang memutuskan pertunangan, wanita boleh melakukan tuntutan di mahkamah syariah. Pada masa sama, lelaki juga boleh menuntut balik saman berdasarkan perkara yang logik atau berasas.

* Wajar atau tidak pertunangan diputuskan berdasarkan sesuatu, jika sebabnya kuat ia harus dilakukan.

* Bawa saksi atau bukti untuk menyokong bukti anda.

* Cari peguam syarie bertauliah dan dapatkan nasihat yang betul demi mengelakkan tertipu dengan tuntutan tidak sepatutnya.

Kes putus tunang:

* Kes 1: (Akhir 2004)
JOHOR BAHRU: Kes putus tunang jururawat, Norlida Abdul Rahman dan penyerang bola sepak Kedah, Hasmawi menggemparkan negara akhir 2004 lalu, selepas pemain itu membatalkan perkahwinan mereka dengan hanya menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS), 19 jam sebelum majlis pernikahan di Felda Ulu Dengar, Kahang, Kluang, dekat sini, kira-kira jam 2 pagi.

Melalui SMS itu, Hasmawi menulis “Pa minta maaf, harap Ma faham. Mungkin ditakdirkan kita tak ada jodoh. Minta maaf kat abah dan mak, bukan niat Pa untuk malukan depa,” sebelum penyerang Kedah itu menghilangkan diri.

Keadaan itu bukan saja memalukan keluarga wanita kerana ketiadaan pengantin lelaki, malah majlis kenduri terpaksa diteruskan di rumah mereka di Felda Ulu Dengar, Kahang Timur, berikutan kad jemputan sudah diedar kepada kira-kira 1,000 tetamu.

* Kes 2: (7 Januari 2009)
SHAH ALAM: Seorang lelaki semalam menuntut ganti rugi RM70,000 daripada bekas tunangnya kerana tidak berpuas hati dengan tindakan wanita berkenaan memutuskan pertunangan mereka, Disember lalu, kira-kira sebulan sebelum perkahwinan dilangsungkan.

Pereka grafik, Muhamad Salleh Muhamad Yusof, 47, membuat tuntutan itu terhadap Nur Diana Ahmad Zubir, 29, di Mahkamah Rendah Syariah di sini.
Muhamad Salleh memfailkan tuntutan itu melalui Tetuan Ahmad Nazib & Associates pada 18 Disember lalu selepas dua minggu pertunangan mereka diputuskan.

* Kes 3: (1 Februari 2010)
SHAH ALAM: Kes tuntutan ganti rugi hampir RM1 juta yang difailkan seorang pengarah syarikat terhadap bekas tunangnya, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam selesai selepas kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes itu secara baik berdasarkan terma yang dipersetujui.

Peguam, Azmi Mohd Rais yang mewakili plaintif, Mohamad Fahizul Khairi, 54, memberitahu mahkamah terma yang dipersetujui anak guamnya dan defendan, Nor Daliya Mohd Daud, 35, termasuklah, anak guamnya bersetuju menerima RM600,000 sebagai penyelesaian keseluruhan terhadap tuntutan itu.

* Kes 4: (13 Januari 2011)
KOTA BHARU Seorang penjawat awam memfailkan saman sebanyak RM1.1 juta ke atas bekas tunangnya di Mahkamah Tinggi di sini semalam kerana membatalkan perkahwinan kira-kira enam jam sebelum mereka sepatutnya diijabkabulkan pada 3 Jun lalu.
Plaintif, Mohd Masran Ab Rahman, 32, dari Kampung Banggol Kemunting, Tanah Merah memfailkan writ saman itu menerusi dua peguam, Latifah Ariffin dan Mohd Murtadza Mohd Mokhtar, di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Plaintif tidak hadir di mahkamah kerana bekerja di Kuala Lumpur.
Selain bekas tunangnya, Norzulyana Mat Hasan @ Mat Hussin, 28, yang dinamakan sebagai defendan pertama, Mohd Masran turut menamakan bapa wanita itu, Mat Hasan @ Mat Hussin Ibrahim, 60, dari Taman Maka, Tanah Merah di sini sebagai defendan kedua.
Lelaki itu menuntut daripada defendan-defendan ganti rugi am sebanyak RM100,000, ganti rugi teruk sebanyak RM500,000, ganti rugi malu sebanyak RM500,000 dan ganti rugi khas yang akan ditentukan kemudian.

No comments:

Post a Comment

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...