Friday, December 23, 2011

KENYATAAN MEDIA RESPON TERHADAP KENYATAAN MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI, ENAKMEN CEGAH MURTAD PERLU DILAKSANA SEGERA

Persatuan Peguam Syarie Malaysia
(Shariah Lawyers Association of Malaysia)
Sekretariat PGSM
d/a Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan,
Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan
No. 71, Jalan Sri Hartamas, Taman Sri Hartamas, 50676 Kuala Lumpur
Tel : 03-6205 7000 sambungan 184.
Blog : http://www.peguamsyariemalaysia.blogspot.com

Ruj. Kami : Bil.(21) dlm. TP/2011 (Media)

23 DISEMBER 2011 bersamaan 27 Muharam 1433H.


KENYATAAN MEDIA

RESPON TERHADAP KENYATAAN MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI,
DATUK SERI JAMIL KHIR BAHAROM BAHAWA ENAKMEN CEGAH MURTAD PERLU DILAKSANA SEGERA

Berhubung kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa enakmen cegah murtad perlu dilaksana segera, PGSM dengan ini terpanggil untuk mengeluarkan kenyataan seperti berikut :-

1. PGSM menyokong penuh usaha untuk menyelaraskan penguatkuasaan Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam yang sudah sedia wujud di negeri-negeri sejak 1980-an, bagi membendung usaha penyebaran atau dakwah terancang agama bukan Islam kepada umat Islam.
Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam telah sedia ada Kedah, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Terengganu, Pahang dan Kelantan.

Cuma Perlis, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang belum ada undang-undang seumpama itu.

2. Undang-undang Kawalan tersebut adalah berdasarkan kepada punca kuasa di bawah Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan, yang memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri dan Parlimen untuk membuat undang-undang bagi mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama bukan di kalangan penganut Islam.

Ia bukanlah bermaksud orang Islam sengaja hendak menyekat kebebasan beragama di Negara ini. Kebebasan beragama yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 11 (1) adalah hak untuk menganuti dan mengamalkan agama masing-masing, bukan hak untuk mengembangkan anutan atau amalan agama mereka kepada orang Islam. Tertakluk kepada Perkara 11 (4), sebarang usaha untuk mengembangkan iktikad atau kepercayaan agama bukan Islam di kalangan orang Islam boleh dikawal atau disekat oleh pihak pemerintah.

3. PGSM menggesa Negeri-negeri yang belum menggubal undang-undang tersebut segera berbuat demikian untuk menjaga kebajikan dan kepentingan umat Islam di negeri tersebut.

4. PGSM menegaskan bahawa Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam yang sedia ada memberikan kuasa kepada "pegawai diberikuasa" atau "pegawai bertauliah” untuk menjalankan tangkapan, melakukan siasatan.

Pegawai diberikuasa atau pegawai bertauliah adalah mana-mana pegawai di kalangan pegawai perkhidmatan awam Negeri yang diberikan tauliah oleh Sultan. Pegawai diberikuasa boleh menangkap tanpa waran, termasuk memohon bantuan mana-mana pegawai polis dalam menjalankan kuasanya.

PERSOALANNYA, apakah ada Negeri-negeri yang telah mempunyai pegawai diberikuasa atau pegawai bertauliah ini? Jika belum, PGSM menggesa pegawai ini dilantik segera untuk menguatkuasakan Enakmen tersebut.

5. PGSM juga memperbetulkan kenyataan berhubung kesemua perbicaraan kes murtad akan dibawa ke mahkamah sivil dan bukan lagi mahkamah syariah. PGSM menegaskan bahawa permohonan pengisytiharan murtad orang Islam adalah di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah berdasarkan Seksyen 61 (3)(b)(x) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri, dan bukannya di Mahkamah sivil.

Hanya Mahkamah Syariah yang boleh mengesahkan dan mengisytiharkan seseorang itu telah keluar Islam. Selagi seseorang beragama Islam, ia tertakluk di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah, sehinggalah Mahkamah Syariah mengisytiharkan dirinya telah keluar Islam. Meletakkan kes permohonan murtad di bawah bidangkuasa Mahkamah Sivil adalah ibarat menjerut leher umat Islam kerana sebahagian hakim-hakim di mahkamah sivil adalah bukan beragama Islam.

6. Cuma, Tertuduh yang ditangkap di Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam sahaja akan dibicarakan di mahkamah sivil kerana si pesalah (penyebar dakwah dan dakyah) turut membabitkan orang bukan Islam.

7. PGSM sedia berkerjasama dengan kerajaan serta agensi kerajaan lain seperti JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri untuk memastikan gejala murtad di negara ini dapat dibendung atau dibasmi terus.

Sekian untuk siaran.

Terima kasih.

“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak”

Yang benar,

Musa___
...............................
(MUSA AWANG, P.P.N)
Timbalan Presiden
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
019-387 0105

No comments:

Post a Comment

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...