Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my
yusliza@hmetro.com.my
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, kelewatan dalam tuntutan cerai fasakh mungkin berlaku disebabkan pelbagai faktor seperti saksi dan bukti keterangan yang tidak mencukupi selain dokumen yang tidak lengkap.
“Tuntutan fasakh sebenarnya tidak sukar dan hanya mengambil masa kurang setahun, malah perbicaraan boleh diteruskan tanpa kehadiran suami sekiranya mereka gagal hadir ke mahkamah selepas penyerahan saman. Apa yang penting pemohon perlu memahami tuntutan yang mereka ingin kemukakan.
“Bagaimanapun, ramai orang awam yang salah faham jika berlaku kelewatan dan kadang-kadang bila timbul masalah bukan kerana mahkamah sebaliknya pemohon gagal memenuhi prosedur yang ditetapkan mahkamah selain tidak memahami tuntutan yang ingin dibuat menyebabkan hakim terpaksa menangguhkan kes,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Harian Metro Sabtu lalu mengenai rintihan tiga wanita di Perlis yang mendakwa tuntutan fasakh yang dibuat di mahkamah tertangguh hingga bertahun-tahun sehingga menyukarkan kehidupan mereka kerana digantung tak bertali.
Salah seorang pengadu, Sharipah Lebai Putih, 49, dari Kampung Baru, Chuping, Perlis mendakwa dia kini dalam dilema untuk menuntut keadilan sebagai seorang isteri selepas tidak diberikan nafkah zahir dan batin oleh suaminya yang berusia 50-an selain gagal mendapat bantuan khusus untuk ibu tunggal. Menurutnya, dia sudah beberapa kali hadir ke mahkamah menunggang motosikal sejauh 30 kilometer untuk mendengar kes tuntutan fasakhnya, tetapi hampa kerana pelbagai sebab termasuk dimaklumkan hakim bercuti selain ketiadaan pihak pendakwa.
Dia mendakwa mengemukakan tuntutan fasakh itu selepas mendakwa suaminya sudah tidak mempunyai tanggungjawab dan gemar berfoya-foya hingga mengabaikan rumah tangga.
Justeru, Musa berkata, mereka yang berdepan masalah penangguhan tuntutan dinasihatkan agar mendapatkan nasihat dan khidmat peguam syarie sama ada berbayar atau sekiranya tidak mampu boleh merujuk Jabatan Bantuan Guaman untuk menyelesaikan kes dengan segera.
“Bagaimanapun, tidak dinafikan terdapat juga kes tertangguh kerana kekurangan hakim atau kerenah peguam jika pemohon melantik peguam namun ia hanya sebilangan kecil saja. Selain itu, kes berkaitan tuntutan cerai fasakh yang tertangguh ketika ini juga tidak banyak, iaitu kira-kira lima peratus saja,” katanya.
Dalam kes wanita terbabit, beliau menasihatkan suaminya yang sudah tidak tinggal sebumbung sejak tujuh tahun lalu agar melepaskan isterinya itu dengan cara baik kerana dalam tempoh itu, dia tetap perlu menanggung nafkahnya selagi lelaki terbabit tidak menceraikan isterinya.
No comments:
Post a Comment