Selasa, 2 JULAI,
2013
bersamaan 23 Sya’ban 1434H
KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN PEGUAM SYARIE MALAYSIA (PGSM)
BERHUBUNG RANG UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN
2013 [RUU D.R 1/2013]
Merujuk Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah
Persekutuan) 2013 [selepas ini dirujuk sebagai “RUU D.R 1/2013 tersebut”] yang telah dibentangkan Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk bacaan pertama
di Dewan Rakyat, maka Persatuan Peguam Syarie
Malaysia (PGSM) dengan ini memberikan KENYATAAN sebagaimana berikut :-
- RUU D.R.
1/2013 tersebut secara keseluruhannya adalah BAIK untuk penambahbaikan pentadbiran agama Islam. Ianya suatu
REVAMP (PENYUSUNAN SEMULA kepada
Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1995 (Akta
505). Mungkin disebabkan ia banyak melibatkan pindaan yang perlu dibuat, maka
diperkenalkan dalam bentuk akta baru, dan bukan dalam bentuk pindaan kepada
seksyen-seksyen tertentu sahaja.
- Secara
keseluruhannya, sebahagian besar peruntukan-peruntukan dalam Akta 505
dimasukkan dan ditambah dengan beberapa peruntukan baru yang bersesuaian.
- Secara
keseluruhannya, peruntukan-peruntukan yang terdapat dalam RUU D.R 1/2013 BUKAN
suatu undang-undang yang baru, malah sebahagian besarnya telah terdapat
dalam undang-undang pentadbiran agama Islam di negeri-negeri seperti
Pahang (2001) ; Melaka (2002) ; Selangor (2003) ; Johor (2003) ; Pulau
Pinang (2004) ; Kedah (2008) ; Terengganu (2008) ; Negeri Sembilan (2009)
; dan Perak (2009).
- Wilayah-Wilayah Persekutuan boleh dianggap
sebagai TERKEBELAKANG berbanding dengan Negeri-negeri lain dalam menggubal
dan meluluskan undang-undang baru pentadbiran agama Islam. Mungkin
disebabkan undang-undang di Wilayah-Wilayah Persekutuan perlu mendapat
kelulusan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat berbanding di negeri-negeri yang
hanya perlu mendapatkan kelulusan majoriti ahli dewan undang negeri yang
bilangan ahli perwakilannya lebih kecil berbanding Parlimen. Dalam usaha
penyeragaman undang-undang Syariah di Negara ini, Wilayah Persekutuan
sepatutnya menjadi pendahulu atau perintis, bukan ketinggalan berbanding
negeri-negeri lain.
- Pindaan-pindaan
baru yang dimasukkan dalam RUU D.R 1/2013 adalah samada mengambil contoh peruntukan
dan apa yang telah dilaksanakan di negeri-negeri lain, atau yang menjadi
amalan sekarang atau dibuat berdasarkan keputusan kes yang diputuskan
sebelum ini. Contoh peruntukan-peruntukan baru yang
dimasukkan dlm RUU D.R 1/2013 ini, antaranya ialah :
Seksyen
6, 26, 28, 35, 40, 41; 42, 49, 63, 64, 65, 66, 67, 100, 109 dan 113.
- PGSM dengan
ini mengemukakan RESPON terhadap SEBAHAGIAN peruntukan-peruntukan dalam
RUU D.R 1/2013 sebagaimana berikut :-
i.
Seksyen 33 – Perlantikan
Mufti dan Timbalan Mufti
Seksyen
33 (1) masih menggunakan perkataan “mana-mana orang” yang layak dan sesuai. Perkataan
ini pada suatu masa akan menjadi masalah dan pertikaian.
Sebagaimana yang diputuskan oleh panel Mahkamah
Rayuan yang dianggotai tiga hakim diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin
memutuskan bahawa perkataan ‘mana-mana orang’ yang dinyatakan dalam Seksyen 59
(1) Akta 505 tersebut adalah termasuk orang yang bukan Islam, kerana jika niat
badan perundangan adalah untuk menghalang orang bukan Islam diterima sebagai
peguam syarie, maka ia harus dinyatakan dalam akta itu.
Merujuk kepada keputusan ini, dan jika
perkataan mana-mana orang masih hendak digunakan dalam RUU D.R 1/2013 ini, secara
literal, bermaksud bahawa Mufti dan Timbalan Mufti juga boleh dilantik dari
kalangan bukan Islam.
PGSM mencadangkan perkataan “mana-mana
orang” dalam RUU D.R 1/2013 DITUKAR kepada “MANA-MANA ORANG ISLAM”, supaya memberi
maksud yang lebih tepat dan tidak mengelirukan.
ii.
Seksyen 41 –
Menerimapakai nasihat dan syor Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.
Seksyen
ini memperuntukkan bahawa Jawatankuasa Fatwa hendaklah menerima nasihat dan
syor Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan hendaklah disifatkan sebagai suatu fatwa
dan diwartakan.
Yang
agak pelik di sini ialah Majis Fatwa Kebangsaan tidak ditubuhkan di bawah
mana-mana undang-undang atau akta, tetapi pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan
pula mengikat Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan yang ditubuhkan
berakar-umbikan undang-undang. Ini agak janggal.
PGSM
mencadangkan pada masa yang sama, Kerajaan perlu mewujudkan satu undang-undang bagi
menjadikan penubuhan Majlis Fatwa Kebangsaan sebagai suatu institusi yang mempunyai
asas dan sumber perundangan yang kukuh.
iii.
Seksyen 49 –
Kod Etika Hakim Syarie dan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah
Peruntukan
ini adalah suatu peruntukan yang baru dan DISOKONG. Dengan peruntukan ini, satu
penetapan kod etika yang seragam dapat dibuat, yang mengikat semua Hakim Syarie
dan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah.
Sebagai
tambahan, PGSM mencadangkan untuk dimasukkan satu sub-klausa di bawah Seksyen
49 ini bagi mewujudkan satu JAWATANKUASA atau TRIBUNAL bagi mengawal dan
mengambil tindakan terhadap perlanggaran kod etika dan disiplin Hakim Syariah
dan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, yang mana Jawatankuasa atau Tribunal
tersebut ditubuhkan oleh YDP Agong, atas syor Pengerusi Mahkamah Rayuan
Syariah.
iv.
Seksyen 51/52
– Bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah/Bidangkuasa Mahkamah Rendah Syariah
PGSM
mencadangkan bidangkuasa mal Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan untuk
mendengar dan memutuskan tuntutan perlu DIPERTINGKATKAN daripada nilai amaun
atau nilai hal perkara yang dipertikaikan tidak melebihi seratus ribu (sebagaimana
yang dicadangkan dalam sub-Seksyen 52 (b) RUU D.R 1/2013) DIPERTINGKATKAN LAGI
kepada lima ratus ribu ringgit (RM500,000.00).
PGSM
berpandangan, jumlah RM100,000.00 tidak reflek kepada kehendak semasa. Contohnya
jika Mahkamah Rendah Syariah diberikan kuasa untuk dengar tuntutan yang
berjumlah sehingga RM500,000.00, maka Mahkamah Tinggi Syariah dapat menumpukan
kepada kes-kes berkaitan harta sepencarian dan hadanah serta kes yang berjumlah
besar sahaja. Cadangan ini dapat mengurangkan lambakan kes di Mahkamah Tinggi
Syariah yang kadang-kadang mempunyai jumlah hakim yang minimum berbanding hakim
Mahkamah Rendah Syariah. Ia juga dapat mengelakkan kes-kes tertunggak atau lama
untuk diselesaikan.
v.
Seksyen 66 –
Jawatankuasa Kaedah Mahkamah Syariah
PGSM
mengalu-alukan peruntukan Sub-Seksyen 66 (2)(e) yang memperuntukkan wakil
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dalam Jawatankuasa Kaedah Mahkamah
Syariah.
Ini
adalah suatu pengiktirafan yang AMAT BESAR terhadap peranan PGSM dalam membantu
kelicinan perjalanan Mahkamah Syariah, dan memastikan masyarakat Islam mendapat
perkhidmatan yang terbaik daripada kerajaan.
Sebarang
kaedah yang akan dibuat sudah pasti akan melibatkan Peguam Syarie yang beramal
di Mahkamah Syariah, dan kehadiran wakil PGSM dalam jawatankuasa tersebut boleh
mencambahkan pandangan yang membina dan berkesan, terhadap kaedah-kaedah
Mahkamah Syariah yang akan digubal.
vi.
Seksyen 67 –
Arahan Amalan
Peruntukan
ini menjadikan Arahan Amalan yang sebelum ini bersifat directory (panduan) menjadi sebagai suatu yang bersifat compulsory (mengikat).
PGSM
berpandangan cadangan menaiktaraf Arahan Amalan sebagai sesuatu yang mengikat,
tanpa menuruti proses perundangan adalah suatu yang janggal. Jika niat
menjadikan Arahan Amalan sebagai suatu undang-undang yang mengikat, ia harus
diwartakan dan digazetkan. PGSM khuatir jika Arahan Amalan yang dikeluarkan
tanpa rundingan dan secara mendadak akan memberi kesan kepada Peguam Syarie
yang beramal di Mahkamah Syariah.
PGSM
mencadangkan supaya Seksyen 67 ini DIKAJI SEMULA. Adalah lebih baik membiarkan
Arahan Amalan itu kekal sebagaimana amalan sekarang, kerana Arahan Amalan
sepatutnya bersifat pentadbiran, bukan bersifat perundangan.
PGSM
mencadangkan mekanisme yang telah sedia ada dalam undang-undang tersebut boleh
dimanfaatkan melalui penubuhan Jawatankuasa yang boleh mencadangkan
undang-undang kecil, bagi menjadikan Arahan Amalan sebagai suatu peraturan atau
kaedah yang lebih bersifat komprehensif.
vii.
Seksyen 70 – Peguam
Syarie
Sub-seksyen
70 (1) masih menggunakan perkataan “mana-mana orang” yang layak dan sesuai.
Perkataan ini telah pun menjadi pertikaian sebagaimana yang diputuskan oleh
panel Mahkamah Rayuan yang dianggotai tiga hakim diketuai Datuk Seri Abu Samah
Nordin memutuskan bahawa perkataan ‘mana-mana orang’ yang dinyatakan dalam
Seksyen 59 (1) Akta 505 tersebut adalah termasuk orang yang bukan Islam, kerana
jika niat badan perundangan adalah untuk menghalang orang bukan Islam diterima
sebagai peguam syarie, maka ia harus dinyatakan dalam akta itu.
PGSM
MEMBANTAH perkataan “mana-mana orang” dalam Sub-Seksyen 70 (1) ini masih
digunakan dalam RUU D.R 1/2013 dan mencadangkan ia DITUKAR kepada “MANA-MANA
ORANG ISLAM”, supaya lebih tepat dan tidak mengelirukan.
PGSM
amat BERSETUJU dengan peruntukan sub-seksyen 70 (4) RUU D.R 1/2013 tersebut
yang membolehkan seseorang Peguam Syarie yang telah diterima masuk sebagai
Peguam Syarie di mana-mana negeri lain untuk diterima masuk di Wilayah
Persekutuan dengan hanya menyertakan bukti bahawa dia telah memilik Sijil
Amalan Negeri tersebut. Ini adalah satu langkah yang baik dalam mengiktitaf
peguam Syarie satu Negara.
viii.
Seksyen 100 –
Perlantikan Ketua Pendaftar Muallaf dan Pendaftar Muallaf
Ini
adalah peruntukan baru yang memberikan tugas kepada Ketua Pendaftar Muallaf
untuk menyelenggarakan suatu Daftar Muallaf dan mempunyai Pendaftar Muallaf
yang membantu Ketua Pendaftar dalam melaksanakan tugasnya.
Cadangan
ini sebagai langkah formaliti untuk memastikan seorang yang mengetuai
Pendaftar-Pendaftar dalam menyelenggarakan kesemua Daftar Muallaf di seluruh
Wilayah Persekutuan, agar rekod-rekod muallaf dapat dikemaskini dan
diperkemaskan.
Namun,
PGSM menegaskan bahawa isu sebenar yang perlu juga disentuh ialah bagaimana
untuk memberikan tugas secara statutory kepada Ketua Pendaftar Muallaf bagi
memantau, mendidik muallaf dan seterusnya mengelakkan kejadian murtad di
kalangan muallaf.
Maka,
sebagai TAMBAHAN, PGSM mencadangkan supaya suatu peruntukan tambahan dimasukkan
dengan menyatakan tugas-tugas Ketua Pendaftar Muallaf dan Pendaftar Muallaf
terutama memantau, mendidik muallaf dan seterusnya mengelakkan kejadian murtad
di kalangan muallaf.
ix.
Seksyen 107 –
Keupayaan untuk memeluk agama Islam
PGSM
menegaskan bahawa tiada apa perubahan radikal dalam Seksyen 107 RUU D.R 1/2013
ini berbanding akta yang lama (Akta 505).
Peruntukan
ini sebenarnya TELAH SEDIA ADA dalam Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-undang
Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505), dan telah sedia
dilaksanakan sejak tahun 1993 sehingga sekarang.
PGSM
beranggapan bahawa pihak-pihak yang mempertikaikan Seksyen ini berkemungkinan
tidak faham dan perlu diberikan penjelasan.
PGSM
tegaskan bahawa sekiranya keseluruhan RUU D.R 1/2013 ini ditarik balik, maka bermakna
bahawa kedudukan Seksyen 95 dalam Akta 505 tersebut akan dikekalkan.
PGSM
berpendirian bahawa kedudukan Seksyen 107 RUU D.R 1/2013 itu adalah selaras dengan
keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Susie Teoh dan beberapa kes lain yang
menyatakan seorang anak bawah umur boleh memeluk Islam dengan kebenaran
daripada ibu atau bapa atau penjaganya. Jadi tidak timbul soal Majlis Agama
Islam ingin merampas hak mana-mana orang bukan Islam kerana Perlembagaan telah
menetapkan sedemikian. Jika ada pihak yang tidak setuju dengan Seksyen 107
tersebut, bermakna Perlembagaan Persekutuan yang perlu dicadang untuk dipinda.
PGSM
lebih setuju soal pemelukan anak kecil ini diputuskan oleh Mahkamah mengikut
fakta kes masing-masing. Masalah yang lebih crucial
adalah bagaimana seorang bapa yang memeluk Islam bersama anaknya, hendaklah
juga menjaga silaturrahim dengan ibunya yang masih belum memeluk Islam. Ini
penting kerana akidah seseorang sepatutnya tidak memisahkan hak ibu dan anak.
x.
Seksyen 113 -
Hukum Syarak
Peruntukan
ini adalah suatu peruntukan yang PENTING dalam mana-mana undang-undang Islam,
di mana jika terdapat mana-mana peruntukan yang tidak selaras dengan Hukum Syarak,
maka peruntukan itu terbatal setakat yang tidak selaras itu, dan jika terdapat
apa-apa lacuna dalam RUU D.R 1/2013 tersebut, maka Mahkamah hendaklah memakai
Hukum Syarak.
- PGSM
MENYERU kesemua wakil Rakyat beragama Islam di Parlimen untuk BERSATU HATI
dan menyokong RUU D.R 1/2013 ini, bagi memastikan Rang Undang-undang ini
dapat diluluskan dengan lancar dan berkesan.
- PGSM tegaskan
bahawa RUU D.R 1/2013 tersebut tidak berbahaya dan tidak bersifat
subversive sebagaimana dakwaan sesetengah pihak. Orang bukan Islam tidak
perlu risau dengan pindaan tersebut kerana RUU D.R 1/2013 digubal bagi mentadbir undang-undang
Islam serta institusi-institusi berkaitan dengan Islam di Wilayah
Persekutuan, yang digubal menurut kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong
sebagai Ketua agama Islam di dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan,
sebagaimana yang ditetapkan dan dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sekian, untuk siaran.
Terima kasih.
“Meletakkan Hak Kepada Yang
Berhak”
Yang benar,
(MUSA AWANG, P.P.N)
Presiden
Persatuan Peguam Syarie
Malaysia (PGSM)
019-387 0105
No comments:
Post a Comment