Sinar harian
Isnin 12 Mei 2014
KUALA
LUMPUR - Salah faham mengenai hudud timbul kerana ia tidak disebut bersekali
dengan takzir yang juga sebahagian daripada Undang-undang Jenayah Islam, kata
Presiden Persatuan Peguam Syarie, Musa Awang.
Beliau
berkata takzir adalah undang-undang buatan manusia yang dilaksanakan bagi
memastikan pesalah tetap dikenakan hukuman setimpal dengan perbuatan mereka.
"Ramai
yang melihat undang-undang Islam itu hanya hudud sahaja dan hukumannya kejam
seperti potong tangan dan ini perlu diperbetulkan. "Sedangkan mereka tidak tahu bahawa jika
seseorang itu melakukan kesalahan di bawah hukum hudud tetapi tidak dapat
dibuktikan bersalah kerana kadar pembuktian yang tinggi, maka kesalahan itu
jatuh kepada takzir," katanya.
Beliau
berkata demikian ketika menjadi anggota panel forum "Hudud in Malaysia,
Can We? Should We?," anjuran Biro Undang-undang Pemuda MCA, di sini hari
ini.
Panel
lain pada forum sehari itu termasuk Exco Pemuda Umno, Dr Fathul Bari Mat Jahya,
Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr
Dzulkefly Ahmad, Presiden Majlis Peguam Christopher Leong dan Pengarah Islamic
Renaissance Front (IRF) Dr Ahmad Farouk Musa.
Fathul
Bari yang senada dengan Musa berkata, lain-lain pembuktian selain daripada yang
termaktub di dalam al-Quran boleh diguna pakai untuk menjatuhkan hukuman kepada
pesalah mengikut takzir.
"Orang
ramai perlu tahu bahawa walaupun hudud memerlukan empat saksi lelaki tetapi
jika syarat itu tidak dapat dipenuhi maka lain-lain pembuktian seperti CCTV
(kamera litar tertutup) dan cap jari boleh digunakan untuk mengenakan sesuatu
hukuman," katanya. Beliau berkata
bukan semuanya dihukum di bawah hudud, kerana apa yang lebih penting ialah
hudud untuk memberi pengajaran kepada orang ramai bukan untuk menghukum
semata-mata.
Sementara
itu, Ketua Pemuda MCA Senator Chong Sin Woon ketika ditemui berkata pihaknya
menyambut baik pendekatan Umno untuk mengkaji kekangan kekangan dalam
pelaksanaan hudud termasuk pembentukan jawatankuasa teknikal bersama kerajaan
negeri Kelantan bagi membincangkan secara lanjut mengenai isu itu.
Sin
Woon berkata, MCA akan terus mengadakan forum sedemikian kerana ia merupakan
platform terbaik untuk semua pihak tanpa mengira perbezaan agama dan politik
bertukar-tukar pandangan selain membincangkan hudud secara lebih mendalam. "Kita mendapat banyak pandangan yang
berbeza, membuka mata kita terutama daripada perspektif seorang bukan Islam
melihat para pemikir serta wakil parti politik daripada Umno dan Pas memberikan
satu hujah yang baik dan dari pelbagai perspektif," katanya.
Forum
itu diadakan susulan cadangan Pas membentangkan rang undang-undang persendirian
untuk melaksanakan hudud di Kelantan ke Parlimen. Bagaimanapun Jawatankuasa Pas Pusat yang
bermesyuarat hari ini setuju menangguhkan hasrat itu bagi memberi tempoh masa
kepada Jawatankuasa Teknikal
antara Putrajaya dan kerajaan negeri Kelantan meneliti serta mengemukakan
cadangan tindakan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Kelantan. -
Bernama