Monday, May 12, 2014

Kenapa Wujud Salah Faham Tentang Hudud?

Sinar harian
Isnin 12 Mei 2014

KUALA LUMPUR - Salah faham mengenai hudud timbul kerana ia tidak disebut bersekali dengan takzir yang juga sebahagian daripada Undang-undang Jenayah Islam, kata Presiden Persatuan Peguam Syarie, Musa Awang.

Beliau berkata takzir adalah undang-undang buatan manusia yang dilaksanakan bagi memastikan pesalah tetap dikenakan hukuman setimpal dengan perbuatan mereka.

"Ramai yang melihat undang-undang Islam itu hanya hudud sahaja dan hukumannya kejam seperti potong tangan dan ini perlu diperbetulkan.  "Sedangkan mereka tidak tahu bahawa jika seseorang itu melakukan kesalahan di bawah hukum hudud tetapi tidak dapat dibuktikan bersalah kerana kadar pembuktian yang tinggi, maka kesalahan itu jatuh kepada takzir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi anggota panel forum "Hudud in Malaysia, Can We? Should We?," anjuran Biro Undang-undang Pemuda MCA, di sini hari ini.

Panel lain pada forum sehari itu termasuk Exco Pemuda Umno, Dr Fathul Bari Mat Jahya, Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Dzulkefly Ahmad, Presiden Majlis Peguam Christopher Leong dan Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF) Dr Ahmad Farouk Musa.

Fathul Bari yang senada dengan Musa berkata, lain-lain pembuktian selain daripada yang termaktub di dalam al-Quran boleh diguna pakai untuk menjatuhkan hukuman kepada pesalah mengikut takzir.

"Orang ramai perlu tahu bahawa walaupun hudud memerlukan empat saksi lelaki tetapi jika syarat itu tidak dapat dipenuhi maka lain-lain pembuktian seperti CCTV (kamera litar tertutup) dan cap jari boleh digunakan untuk mengenakan sesuatu hukuman," katanya.   Beliau berkata bukan semuanya dihukum di bawah hudud, kerana apa yang lebih penting ialah hudud untuk memberi pengajaran kepada orang ramai bukan untuk menghukum semata-mata.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Senator Chong Sin Woon ketika ditemui berkata pihaknya menyambut baik pendekatan Umno untuk mengkaji kekangan kekangan dalam pelaksanaan hudud termasuk pembentukan jawatankuasa teknikal bersama kerajaan negeri Kelantan bagi membincangkan secara lanjut mengenai isu itu.

Sin Woon berkata, MCA akan terus mengadakan forum sedemikian kerana ia merupakan platform terbaik untuk semua pihak tanpa mengira perbezaan agama dan politik bertukar-tukar pandangan selain membincangkan hudud secara lebih mendalam.   "Kita mendapat banyak pandangan yang berbeza, membuka mata kita terutama daripada perspektif seorang bukan Islam melihat para pemikir serta wakil parti politik daripada Umno dan Pas memberikan satu hujah yang baik dan dari pelbagai perspektif," katanya.

Forum itu diadakan susulan cadangan Pas membentangkan rang undang-undang persendirian untuk melaksanakan hudud di Kelantan ke Parlimen.   Bagaimanapun Jawatankuasa Pas Pusat yang bermesyuarat hari ini setuju menangguhkan hasrat itu bagi memberi tempoh masa kepada Jawatankuasa Teknikal antara Putrajaya dan kerajaan negeri Kelantan meneliti serta mengemukakan cadangan tindakan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Kelantan. - Bernama


No comments:

Post a Comment

Kelantan Lulus Hukum Sebat Khalayak Ramai, PINDAAN TAK BERCANGGAH PERLEMBAGAAN

Berita Harian Jumaat, 14 Julai 2017 KELANTAN LULUS HUKUM SEBAT KHALAYAK RAMAI Pindaan tak bercanggah Perlembagaan Pindaan ...