Tuesday, July 1, 2014

Mahkamah Syariah beri keadilan kepada bukan Islam

Harian Metro, 17 Jun 2014

Oleh Musa Awang



Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) sebelum itu memfailkan permohonan bagi mengesahkan status agama Teoh yang didakwa memeluk Islam 17 tahun lalu, serta menggunakan nama Islam Nora Teoh Abdullah.

Teoh, seorang ibu berusia 38 tahun meninggal dunia di pangsapurinya di Jalan Macallum. Majlis pengebumian Teoh bagaimanapun terhenti apabila pegawai Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) hadir di pangsapurinya bagi ‘menuntut’ mayat si mati. Dalam penghakimannya, Zaim mengarahkan pihak yang menyimpan mayat Teoh supaya menyerahkannya kepada ahli keluarga Teoh serta meminta pihak polis membantu dalam urusan itu.


Beliau turut membenarkan keluarga Teoh mengambil mayat itu untuk melaksanakan upacara pengebumian mengikut kepercayaan agama mereka.


Beberapa perkara dapat diulas dan disimpulkan daripada penghakiman itu. Pertamanya, penghakiman itu membuktikan bahawa masyarakat bukan Islam turut mendapat keadilan daripada Mahkamah Syariah. Orang bukan Islam tetap diberi hak untuk hadir memberikan keterangan di hadapan Mahkamah Syariah, dengan tujuan untuk mencari keadilan.


Ini jelas diperuntukkan dalam Seksyen 83 (2) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Pulau Pinang 2004 yang berbunyi “Seorang yang bukan Islam adalah kompeten untuk memberikan bayyinah untuk orang Islam jika keterangannya boleh diterima mengikut Hukum Syarak.” Bayyinah menurut tafsiran dalam enakmen itu ertinya keterangan yang membuktikan sesuatu hak atau kepentingan dan termasuklah qarinah. 


Maksudnya apa saja keterangan yang boleh membuktikan sesuatu hak boleh diterima oleh Mahkamah Syariah, meskipun keterangan itu diberikan oleh bukan Islam. Peruntukan seumpama ini juga terdapat dalam undang-undang keterangan Mahkamah Syariah di negeri lain. 

Dalam kes ini, beberapa orang teman rapat, keluarga serta anak sulung si mati yang bukan beragama Islam dipanggil memberikan keterangan di hadapan mahkamah, iaitu mereka memberitahu Teoh tidak mengamalkan cara hidup sebagai seorang yang beragama Islam.

Anak sulung si mati, saksi keempat memaklumkan kali terakhir mereka bersembahyang mengikut ajaran Buddha pada bulan lalu sebelum kematian Teoh. Penghakiman kes ini suatu tamparan kepada suara sumbang yang meminta sistem perundangan Mahkamah Syariah dikaji semula dan yang mendakwa bukan Islam tidak mendapat keadilan sekiranya kes didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Syariah, terutama apabila membabitkan satu daripada pihak bukan Islam. Ternyata mereka ini tidak mendapat kefahaman sebenarnya atau sengaja tidak mahu memahami.


Ini bukanlah kali pertama keputusan seumpama itu. Pada 2006, Mahkamah Tinggi Syariah Seremban pernah memutuskan bahawa Nyonya Tahir, wanita Melayu beragama Islam tetapi didakwa mengamalkan cara hidup orang Cina dan ajaran Buddha sejak lebih 80 tahun lalu, bukan beragama Islam ketika kematiannya, dan membenarkan mayat diserahkan kepada keluarganya untuk disemadikan mengikut agama Buddha.


Keputusan itu juga antara lain, dibuat selepas mengambil keterangan dua anak si mati yang bukan beragama Islam yang hadir di mahkamah.


Perkara kedua yang perlu diberi perhatian ialah proses pemelukan Islam perlu diteliti semula dan dikemas kini. Dalam penghakiman kes itu, Hakim berkata, berdasarkan bukti yang dikemukakan kepada mahkamah ketika perbicaraan, terdapat keraguan dalam borang permohonan kemasukan Islam si mati yang mengandungi tiga tarikh berbeza.


Berdasarkan dokumen berkenaan, pihak MAIPP tidak berjaya membuktikan bahawa si mati sempurna memeluk Islam, selain proses permohonan si mati tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) JAIPP.


Maka, penghakiman kes ini boleh dijadikan titik tolak untuk kembali bermuhasabah diri, meneliti dan mengkaji semula proses pemelukan Islam, supaya perkara sama tidak berulang pada saudara baru yang lain pada masa akan datang. Sehingga kini, belum ada proses pendaftaran saudara baru yang seragam untuk seluruh negara. Seseorang yang masuk Islam di Pulau Pinang, rekodnya hanya ada di Pulau Pinang.


Jika dia berpindah ke negeri lain, maka dia tidak akan mendapat sebarang bantuan susulan di negeri baru itu, melainkan dia mendaftarkan semula di situ. Sudah sampai masanya satu sistem elektronik yang seragam dan boleh diakses bagi seluruh negara diperkenalkan. 


Dan perkara ketiga, perlu dilakukan penilaian semula terhadap usaha tarbiyah yang berterusan kepada saudara baru. Dalam penghakiman kes itu, Zaim menyatakan bahawa tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan si mati pernah hadir ke JAIPP untuk mendalami agama Islam selepas proses permohonan untuk memeluk agama Islam. 

Penegasan itu menimbulkan persoalan sejauh manakah usaha komprehensif dijalankan untuk mentarbiyah dan memberi pendidikan berterusan kepada saudara baru ini? Adakah saudara baru diwajibkan mengikut kelas terbabit atau secara pilihan dan sukarela saja? 

Maka, suatu inisiatif perlu dicari bagi memperkasakan lagi program dan perancangan dakwah terhadap golongan saudara baru di semua peringkat. Pada masa sama mendekati orang bukan Islam dengan pendekatan dan saluran yang strategik serta sistematik, termasuklah menyatukan tenaga daripada kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan agensi kerajaan.

Perhatian dan bimbingan perlu diberi kepada setiap saudara baru bermula dari masa pengislaman sehingga mereka meninggal dunia.


Kadang-kadang saudara baru ini terpaksa berpindah ke tempat lain untuk memulakan hidup baru atau melarikan diri daripada provokasi akibat tentangan keluarga. Akibat sistem pendaftaran yang tidak sistematik dan seragam seluruh negara, kadang-kadang mereka terpinggir mendapat pembelaan dan pendidikan susulan yang berterusan selepas memeluk Islam. Akibatnya, ada segelintir yang berpatah balik kepada agama asal, walaupun nama sudah bertukar kepada nama Islam.


Yang pasti, setiap kejadian yang berlaku tidak ada yang sia-sia atau kebetulan, ada hikmah di sebaliknya. Hanya hati yang peka dan akal yang terbuka dapat melihat kesan baik di setiap kejadian yang berlaku. Wallahu’alam 


Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

No comments:

Post a Comment

Kelantan Lulus Hukum Sebat Khalayak Ramai, PINDAAN TAK BERCANGGAH PERLEMBAGAAN

Berita Harian Jumaat, 14 Julai 2017 KELANTAN LULUS HUKUM SEBAT KHALAYAK RAMAI Pindaan tak bercanggah Perlembagaan Pindaan ...