Friday, July 4, 2014

Merungkai status orang hilang





Harian Metro
Khamis 03/07/2014

Oleh Musa Awang

Kehilangan pesawat MH370 bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal sejak 8 Mac 2014 lalu, belum ada kepastian sehingga sekarang, walaupun lebih 100 hari telah berlalu. Kehilangan itu akan lebih terasa lebih-lebih lagi dalam suasana keluarga mangsa tragedi hendak menyambut lebaran dan sebagainya.

Di kalangan penumpang dan anak kapal penerbangan tersebut, ada sebahagiannya beragama Islam yang mempunyai harta dan keluarga. Masih timbul persoalan mengenai status penumpang atau anak kapal tersebut. Adakah hilang itu dianggap sebagai telah mati? Bagaimana status perkahwinan mereka? Adakah harta mereka sudah boleh dibahagikan kepada waris? Bilakah orang hilang ini akan diiktiraf mati? Dan pelbagai lagi persoalan lain.

Matinya seseorang akan memberi implikasi yang besar kepada status perkahwinan, pembahagian harta, jika ada wasiat dan lain-lain. Maka, orang yang hilang yakni yang tidak dapat dipastikan samada hidup atau mati juga perlu diketahui statusnya untuk menentukan perkara-perkara tersebut supaya tidak menjadi pertikaian berpanjangan di kalangan ahli waris. Orang hilang atau al-Mafqud dinilai berdasarkan tiga perkara, iaitu orang tersebut tidak diketahui tempatnya, tidak diketahui situasinya hidup atau mati dan berlalu suatu tempoh zaman.

Ulamak fiqh telah bersepakat bahawa hukum asal ke atas orang yang berada dalam situasi al-Mafqud adalah diiktiraf sebagai orang yang masih hidup. Maka pasangannya akan kekal diiktiraf sebagai status berkahwin dengannya, hartanya tidak akan dibahagi dan tidak perlu dilakukan solat jenazah ghaib keatasnya kerana dia diiktiraf sebagai masih hidup walaupun mafqud (hilang).

Hubungan perkahwinan dan pemilikan harta itu berlaku secara pasti (yakin), maka hanya perkara pasti (yakin) sahaja yang boleh mengubah status asal perkara tersebut. Orang yang hilang berada dalam situasi tidak pasti (syak) iaitu tidak pasti samada dia hidup atau mati, maka perkara syak tidak boleh mengubah perkara yang pasti (yakin).

Dalam menentukan samada orang Islam yang masih hilang atau diiktiraf mati memerlukan kepada keputusan hakim. Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa untuk menentukan kematian krew dan penumpang beragama Islam tersebut seperti peruntukan Seksyen 53 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa untuk mengeluarkan suatu perakuan menganggap seseorang suami telah mati dalam keadaan suami tersebut dipercayai telah mati atau telah tidak didengar khabar berita mengenainya selama tempoh empat tahun atau lebih, bagi maksud untuk membolehkan si isteri berkahwin semula. Atas permohonan isteri, Mahkamah juga boleh membuat perintah bagi pembubaran perkahwinan atau fasakh sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 52 Akta yang sama.

Untuk menentukan seseorang suami yang hilang tanpa khabar berita sebagai telah mati, maka seorang isteri perlulah menunggu selama tempoh empat tahun, kerana itu adalah ijtihad para ulamak terdahulu dan ia telah dikanunkan sebagai ketetapan undang-undang. Tempoh tersebut lebih munasabah dan lebih singkat berbanding tempoh tujuh tahun yang diperuntukkan dalam Akta Keterangan 1950.

Walaubagaimanapun, orang yang hilang boleh dinilai sebagai orang mati oleh hakim dengan melihat bukti-bukti yang sah disisi syarak akan kematiannya dan bukti tersebut diiktiraf oleh hakim. Orang tersebut masih boleh diisytihar sebagai telah mati walaupon tempoh menunggu yang munasabah belum lagi sempurna.

Sekiranya tidak terdapat bukti kukuh, maka diambilkira dengan berlalunya suatu tempoh menunggu yang munasabah bahawa orang tersebut telah mati. Maka apabila habis tempoh tersebut dalam keadaan tidak dijumpai sebarang bukti yang sah, hakim boleh mengiktirafkannya sebagai mati.

Walaupun peruntukan secara tersuratnya menyatakan kuasa Hakim untuk mengeluarkan perakuan kematian bagi maksud untuk membolehkan si isteri berkahwin semula, akan tetapi secara tersiratnya perakuan yang dikeluarkan oleh mahkamah tersebut memberi implikasi kepada status perkahwinan (penceraian), wasiat, pembahagian harta warisan dan lain-lain.

Pada masa yang sama, jika seseorang isteri tidak memohon anggapan kematian tetapi berhajat memohon perceraian, maka isteri boleh memohon perceraian secara fasakh di bawah Akta yang sama. Alasan suami ghaib atau tidak diketahui tempat suaminya berada selama tempoh lebih daripada satu tahun; atau atas alasan suami telah cuai atau tidak mengadakan peruntukan nafkah zahir isteri selama tempoh tiga bulan ; atau suami telah tidak menunaikan kewajipan nafkah batin tanpa sebab yang munasabah, selama tempoh satu tahun boleh dijadikan sebab untuk memohon perceraian secara fasakh.

Perintah memfasakhkan perkahwinan yang dikeluarkan oleh mahkamah akan memberikan implikasi kepada perkahwinan (perceraian), tuntutan harta sepencarian, nafkah iddah dan mutaah, tetapi tidak terhadap pembahagian harta warisan atau wasiat si suami.

Kehilangan suami tanpa sebarang khabar berita dan kepastian boleh menjadi beban ke atas isteri yang terpaksa mengambilalih tugas sebagai ketua keluarga. Pada masa sama ia mampu mengundang pelbagai fitnah kepada si isteri. Maka Islam memberikan jalan tengah dan memberikan keringanan kepada si isteri dengan memberikan kuasa kepada Hakim Syarie untuk menghukumkan perpisahan (fasakh) antara keduanya. Ini bagi memberikan peluang kepada si isteri untuk memulakan kehidupan yang baru. Wallahu’alam.


- Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. E-mail : sekretariatpgsm@yahoo.com

No comments:

Post a Comment

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...