Sunday, May 31, 2015

Apabila SIHIR dibicara di mahkamah



Harian Metro, Rabu 20 MEI 2015,

Oleh Musa Awang

Sihir merupakan suatu ilmu dan amalan yang melibatkan penggunaan khidmat jin dan syaitan, yang diamalkan dengan tujuan-tujuan yang tertentu. Sihir boleh digunakan untuk menghilangkan perasaan kasih sayang sesama ahli keluarga, memisahkan suami dan isteri, menghilangkan kewarasan akal, menyebabkan penyakit, malahan sehingga ke tahap membunuh mangsa tanpa perlu menyentuh fizikal mangsa.

Perkara ini telah ditegaskan oleh Allah SWT dalam firmanNya yang bermaksud:“Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua (Harut & Marut) ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya…” (Al-Baqarah (2) : ayat 102)

Para ulama sependapat bahawa ilmu sihir digunakan untuk memecah belahkan hubungan suami dan isteri. Rasulullah SAW sendiri pernah disihir sehingga Baginda merasakan seolah-olah sudah bermalam di rumah salah seorang isterinya, sedangkan Baginda SAW tidak melakukan demikian.

Sihir-sihir mungkin dilakukan atas sebab-sebab tertentu seperti masalah peribadi, dengki, balas dendam, khianat dan sebagainya.

Sihir dalam perkahwinan digunakan bertujuan untuk melahirkan rasa benci di antara suami dan isteri dan akhirnya memisahkan kedua-duanya. Timbul rasa benci antara suami isteri, selalu berlaku perselisihan faham, bertengkar, timbul prasangka dan was-was terhadap pasangan, rasa marah yang tidak tahu puncanya, gelisah bila bersama, rasa ingin bercerai dan ada yang melihat rupa pasangan menjadi sangat buruk dan hodoh.

Ada suami yang melafazkan talak dalam keadaan tidak sedar, lidah seakan-akan dikuasai sesuatu sehingga melafazkan talaq terhadap isteri, berlaku perubahan mendadak, timbul rasa benci meluap-luap dan rasa meluat yang amat sangat hingga memukul pasangan tanpa kerelaan hati. Ada isteri yang mendesak suami menceraikannya tanpa sebarang sebab.

Suami tiba-tiba menjadi lemah syahwat sehingga menyebabkan isteri memohon fasakh. Menurut Dr Amran Kasimin, sesetengah kes mati pucuk, hilang tenaga kelakian dan lemah syahwat yang dialami oleh lelaki boleh juga disebabkan oleh angkara sihir. Jenis sihir yang biasa digunakan untuk tujuan ini ialah sihir batang keladi dan sihir jerutan.

Ada juga kes tuntutan cerai atau fasakh difailkan disebabkan pasangan seperti penyakit kusta, sopak atau kudis yang sukar diubati, atau tertutup kemaluan wanita dengan daging (ratqa), tertutup kemaluan wanita dengan tulang (qarna), atau pasangan secara tiba-tiba menjadi dingin untuk bersama. Menurut Dr Jahid Sidek, sihir santau yang dihasilkan dari benda-benda gatal dan berbisa seperti miang buluh, rebung, ulat bulu pula boleh menyebabkan tubuh mangsa berkudis dengan bau yang busuk. Badan akan terasa sakit seolah-olah ditusuk sesuatu yang tajam dan terasa bisa-bisa pada badan.

Antara beberapa kes yang dibicarakan di Mahkamah Syariah di mana isu penggunaan sihir telah dibangkitkan semasa perbicaraan ialah kes Mustafa Batcha lawan Habeeba Abd. Rahman [1410] JH 41, kes Re Wan Norsuriya [1418] JH 211 dan kes Muhammad Kamran Babar Nazir Khan dan Yani Yuhana Mohd Zambri.

Malangnya, isu tersebut tidak mendapat perhatian kerana tiada garis panduan dan peruntukan undang-undang khusus berkaitan amalan sihir. Maka, para hakim syarie memilih jalan lebih selamat dengan mengadili kes berkenaan atas alasan yang zahir pada pandangan mata kasar dan dapat diterima logik akal sahaja. Akan tetapi, ada juga hakim syarie yang menerima pembelaan faktor sihir tersebut dan faktor-faktor sampingan lain seperti latar belakang dan sikap pengadu dalam membuat penghakiman, sebagai satu isyarat betapa perlunya diwujudkan peruntukan khusus bagi membicarakan kes-kes sedemikian demi menyelamatkan rumah tangga dari angkara sihir.

Dalam kes Mustafa Batcha lawan Habeeba Abd. Rahman, suami mendakwa telah melafazkan talak tiga dalam keadaan tidak sedar kerana dipengaruhi sihir. Gangguan sihir bermula setelah beliau berjaya mendapatkan tender kantin di sebuah kilang. Semenjak itu, fikirannya menjadi tidak tenteram, benci dan marah pada isterinya tanpa sebab, pernah memukul isteri dalam keadaan tidak sedar. Perayu menemui bungkusan kain putih di dalam kantin tersebut, dan kemudian mendapatkan rawatan dari seorang perawat tradisional. Setelah pulih, beliau merayu agar mahkamah menyemak semula perceraian talaq tiga yang telah diputuskan oleh mahkamah sebelum itu. Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan kes ini dibicarakan semula ekoran kegagalan Hakim Mahkamah Rendah Syariah untuk mendapatkan pendapat pakar (ra’yu al-khabÄ«r) berkenaan isu tersebut, dan menyarankan agar perawat yang merawat suami dipanggil untuk diminta pendapatnya sebagai pakar.

Pendapat pakar yang diiktiraf oleh mahkamah boleh dipanggil bagi mengenalpasti dan menentukan adakah benar simptom-simptom yang dialami oleh mangsa benar-benar berpunca dari perbuatan sihir; sejauh mana sihir yang dikenakan itu memberi kesan terhadap mental dan fizikal mangsa ; kaitan kecederaan atau kecacatan fizikal itu dengan simptom-simptom lazim terkena sihir; adakah wujud sebarang pertalian antara simptom yang dialami, jika ada bahan sihir, kesannya kepada mangsa; adakah wujud qarinah yang boleh dikaitkan dalam dakwaan yang dikemukakan; serta lain-lain perkara yang berkaitan.

Menurut Al-Khatib As Syarbini, seorang yang dahulunya terkenal sebagai ahli sihir tetapi telah bertaubat dari mengamalkan ilmu itu, boleh dipanggil sebagai saksi bagi memberikan keterangan mengenai selok belok ilmu sihir. Mana-mana individu yang mempunyai pengalaman yang luas dan diiktiraf masyarakat sebagai pakar perubatan Islam juga boleh dipanggil bagi memberi pendapat sebagai pakar.

Terpulang kepada hakim untuk menerima atau menolak keterangan tersebut. Tetapi, jika hakim mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa orang itu benar-benar mengalami simptom-simptom disihir, maka hakim boleh memerintahkan orang tersebut menjalani rawatan dalam tempoh tertentu di pusat-pusat rawatan yang boleh dipercayai, bagi memastikan mangsa benar-benar pulih dari pengaruh sihir dan dapat dibicarakan di mahkamah dalam keadaan dia sempurna akal.

Setidak-tidaknya, keadilan dapat ditegakkan, serta mengembalikan kerukunan dan keharmonain rumahtangga. Kejayaan paling besar ialah apabila dapat menggagalkan misi iblis dan syaitan untuk mencerai beraikan anak Adam. Wallahu’alam.

-      Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Email ke sekretariatpgsm@yahoo.com 


No comments:

Post a Comment

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...