Sunday, July 8, 2018

Usah buka jalan malukan Islam

Harian Metro
Musa Awang

Isu perkahwinan bawah umur dibangkitkan lagi. Kali ini kecoh apabila seorang lelaki di Gua Musang, Kelantan berumur 41 tahun dikatakan bernikah dengan isteri ketiga berumur 11 tahun. Pernikahan dikatakan berlaku di selatan Thailand, dengan persetujuan wali atau bapa kanak-kanak terbabit.

Sebelum ini pada 23 Jun 2018, Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto mencadangkan umur minimum perkahwinan untuk semua rakyat Malaysia perlu ditetapkan pada usia 18 tahun, tanpa pengecualian, untuk lelaki dan perempuan tanpa mengira kaum atau agama. Kasthuri berkata sudah tiba masanya bagi Malaysia untuk mengikuti negara Islam lain yang meningkatkan usia minimum perkahwinan mereka ke 18 tahun seperti Mesir, Maghribi dan
Algeria.

Di Malaysia, terdapat dua undang-undang berhubung pernikahan bawah umur. Menurut undang-undang sivil, orang bukan Islam hanya boleh berkahwin selepas usia 18 tahun, tetapi wanita bukan Islam boleh berkahwin pada usia 16 tahun dengan syarat mereka mendapatkan kebenaran Ketua Menteri atau Menteri Besar.

Bagi umat Islam pula, usia minimum perkahwinan adalah 16 tahun untuk perempuan dan 18 untuk lelaki. Tetapi pengecualian boleh dibuat untuk perempuan atau lelaki untuk berkahwin pada usia bawah umur berkenaan selepas mereka mendapatkan kebenaran Mahkamah Syariah.

Seksyen 18 (1), Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kelantan) 2002 memperuntukkan - “(1) Dalam mana-mana kes berikut, iaitu-(a) jika salah satu pihak kepada perkahwinan yang dicadangkan itu adalah di bawah umur yang dinyatakan dalam seksyen 8; maka Pendaftar hendaklah, sebagai ganti bertindak di bawah seksyen 17, merujukkan permohonan itu kepada Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa di tempat perempuan itu bermastautin.”

Prosedur kebenaran berkahwin bawah umur di Mahkamah

Syariah bagi orang Islam adalah lebih ketat berbanding bagi prosedur bukan Islam kerana orang Islam yang hendak berkahwin di bawah umur perlu memohon kebenaran di Mahkamah Syariah.

Bukan individu yang hendak berkahwin itu yang perlu memohon (kerana mereka masih di bawah umur 18 tahun untuk bertindak menurut undang-undang), tetapi yang perlu memohon adalah wali iaitu bapa atau datuk atau abang kandung mereka.
Permohonan perlu dibuat secara afidavit bersumpah yang ditandatangani di hadapan pendaftar mahkamah. Mereka juga perlu menyatakan dalam afidavit tersebut alasan kukuh kenapa dan mengapa perkahwinan bawah umur perlu dibenarkan mahkamah.

Seksyen 8, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Kelantan) 2002 memperuntukkan: “Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Enakmen ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syarie tmemberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.”

‘Dalam keadaan tertentu’ mengikut undang-undang bermaksud wali mempunyai alasan kukuh untuk menikahkan anaknya yang boleh dipertimbangkan mahkamah sebelum memberi kebenaran. Antaranya anak bermasalah moral, mengandung luar nikah, tidak boleh dikawal dan sebagainya. Hakim Syarie akan menyiasat latar belakang dan keadaan fizikal, emosi dan rohani mereka yang ingin berkahwin.

Hakikatnya, kebenaran mahkamah bertujuan memberi peluang menyelidik latar belakang, keadaan fizikal dan kemampuan pasangan bawah umur yang ingin berkahwin. Ini bagi menjaga kepentingan kanak-kanak itu kerana perkahwinan bukan perkara main-main dan wali perlu ada asas kukuh untuk mengahwinkan anak gadisnya. Hanya apabila mahkamah berpuas hati kebenaran berkahwin diberi.

Rata-rata, ibu bapa yang memohon mengahwinkan anak bawah umur mereka adalah terdiri daripada anak-anak yang terlibat dalam masalah sosial. Bukan sengaja mereka hendak menikahkan anak awal dan memikul tanggungjawab di usia yang muda, tetapi untuk memperbaiki dan bertanggungjawab dengan keterlanjuran mereka. Dari sudut positif, lebih baik beri kebenaran berkahwin daripada membiarkan orang muda itu bergelumang dengan masalah sosial seperti membuang bayi, seks bebas dan lain-lain.

Perkahwinan kanak-kanak di bawah umur yang tidak mendapat kelulusan bertulis daripada Mahkamah Syariah adalah suatu kesalahan. Wali atau bapa yang menikahkan anak di bawah umur tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang. Begitu juga pengantin lelaki yang berkahwinan dengan kanak-kanak tersebut boleh didakwa atas kesalahan bersubahat dengan wali atau bapa berkenaan.

Jika perkahwinan tersebut adalah perkahwinan poligami, maka pengantin lelaki boleh didakwa atas kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah. Bapa atau wali kanak-kanak berkenaan juga boleh didakwa atas kesalahan bersubahat dengan pengantin lelaki untuk berpoligami tanpa kebenaran.

Mana-mana pihak lain yang berada dalam majlis berkenaan, sama ada imam, saksi, ibu kanak-kanak berkenaan serta kaum keluarga lain yang terbabit juga boleh disiasat dan dikenakan tindakan undang-undang. Persetujuan wali atau keluarga untuk menikahkan kanak-kanak berkenaan bukanlah jaminan atau hak mutlak bahawa perkahwinan itu boleh diadakan.

Undang-undang digubal adalah untuk melindungi kepentingan setiap pasangan Islam yang berkahwin. Tindakan lari daripada kehendak undang-undang boleh mengundang pelbagai masalah di kemudian hari. Perkahwinan juga adalah bertujuan membela kaum wanita sebagai isteri, bukan meletakkan wanita dalam keadaan ‘digantung tidak bertali’ tanpa berhak membuat apa-apa tuntutan di mahkamah kerana pernikahan tidak dijalankan menurut kehendak peruntukan undang-undang dan tidak didaftarkan di negara ini.

Tindakan sedemikian bukan sahaja mencemar agama Islam, malah memalukan umat Islam yang lain serta membuka jalan kepada pihak yang benci dengan Islam untuk mempertikaikan undang-undang Islam.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

No comments:

Post a Comment

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...