Oleh Mohd Nasaruddin Parzi
bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Persatuan
Peguam Syarie Malaysia (PGSM) memohon pihak berwajib membantu lebih 3,500
peguam syarie yang terkesan susulan pandemik COVID-19 ketika ini.
Sehubungan itu,
presidennya, Musa Awang menggesa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) melalui
Baitulmal negeri memberikan bantuan secara ‘one-off’ RM1,000 kepada peguam
syarie yang beramal di negeri.
“Ia bagi membantu
meringankan beban mereka sepanjang pandemik COVID-19. Data dan maklumat peguam
syarie yang beramal ini boleh diperoleh daripada Setiausaha Jawatankuasa Peguam
Syarie di setiap negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, MAIN juga boleh
mengecualikan bayaran pembaharuan sijil amalan tahunan bagi tahun ini, di mana
setiap tahun, peguam syarie yang beramal akan memperbaharui Sijil Amalan
Tahunan mereka dengan bayaran sekurang-kurangnya RM100 hingga RM250 setahun.
“(Juga dimohon supaya)
kerajaan menghentikan sementara sumbangan mandatori dari majikan untuk Kumpulan
Wang Simpanan Pekerja (KWSP), termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),
sehingga sekurang-kurangnya hujung tahun ini.
“Pihak kerajaan juga boleh
menyalurkan bantuan dalam bentuk geran kepada PGSM untuk membantu peguam syarie
melalui pihak persatuan,” katanya.
Beliau berkata, jika
krisis ini berpanjangan, PGSM sedia dilibatkan dalam apa-apa perbincangan bagi
menangani kesan ekonomi dan sosial kepada golongan peguam syarie khususnya dan
masyarakat amnya.
Musa berkata, peguam
syarie adalah mereka berkelayakan yang diberikan Sijil Peguam Syarie oleh MAIN,
dengan membayar yuran tertentu pada setiap tahun, untuk mereka berguam di
mahkamah syariah di negeri-negeri.
“Sumber pendapatan peguam
syarie bergantung sepenuhnya kepada yuran guaman yang dibayar oleh anak guam
bagi mewakili anak guam sepanjang perbicaraan di mahkamah syariah.
“Hakikatnya, sepanjang
PKP, semua prosiding ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum diketahui. Ini
menyebabkan peguam syarie hilang punca pendapatan, pada suatu tempoh yang belum
diketahui, bergantung kepada situasi pandemik COVID-19,” katanya.
Kesan pandemik ini juga
memaksa pejabat atau firma peguam syarie terpaksa ditutup, kakitangan tidak
dapat berkerja dan yuran guaman tidak dapat dikutip daripada anak guam.
“Anak guam juga turut
terjejas sumber pendapatan mereka dan tidak dapat membuat bayaran kepada peguam
dilantik. Kebanyakan peguam syarie adalah usahawan Melayu yang mempunyai firma
sendiri dan menggaji pekerja.
“Mereka tidak mencarum
dalam KWSP kerana mereka adalah majikan yang perlu membayar caruman KWSP
pekerja. Gaji bulanan pekerja terpaksa dibayar, KWSP pekerja terpaksa dicarum,
sewa pejabat, pinjaman perumahan, sewa beli kenderaan, simpanan peribadi dan
sebagainya terpaksa dibayar. Nafkah kepada tanggungan perlu dilunaskan,”
katanya.
Beliau berkata, sebahagian
besar mereka juga peguam muda yang baru membina karier dan belum kukuh ekonomi
dan kewangan, termasuk Pelatih Dalam Kamar yang baru bergraduasi, yang sedang
menjalani latihan di firma peguam syarie.