HASNIZA HUSSAIN | | 23
April 2020
SHAH ALAM - Kerajaan
digesa membenarkan Mahkamah Syariah meneruskan operasi sepanjang Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) susulan banyak aduan berkaitan permasalahan
rumahtangga yang dilaporkan berlaku dalam tempoh tersebut.
Presiden Persatuan Peguam
Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, operasi tersebut bagaimanapun perlu
dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Beliau berkata, SOP itu
adalah waktu operasi dibenarkan daripada hari Isnin sehingga Rabu sahaja
bermula jam 8 pagi hingga jam 1 petang sahaja.
"Perlu ada penjarakan
sosial serta wajib pemakaian topeng muka bagi kakitangan mahkamah syariah yang
bertugas, pelanggan dan Peguam Syarie," katanya.
Selain itu katanya, kes
perlu didengar dalam mahkamah terbuka sahaja, dengan jarak lebih satu meter
antara satu individu dan individu lain, selain hanya pihak-pihak litigant
dan/atau Peguam Syarie sahaja dibenarkan hadir.
Menurutnya, kehadiran
pihak-pihak dan/atau Peguam Syarie adalah dengan menunjukkan Notis Panggilan
Kes daripada pihak mahkamah sekiranya terdapat sekatan jalan raya (SJR) oleh
pihak berkuasa dan Mahkamah syariah perlu melakukan sanitasi nyah cemar dalam
semua dewan mahkamah, kaunter dan bangunan.
"Kebenaran memfailkan
kes baharu ialah bagi kes-kes yang mustahak atau mendesak sahaja seperti
tuntutan pengesahan lafaz cerai luar mahkamah, atau permohonan yang melibatkan
Perakuan Segera seperti Permohonan Interim Hadhanah, Interim Nafkah Isteri,
Interim Nafkah Anak, Permohonan Injunksi Tegahan atau Pelupusan Harta dan
seumpamanya.
"Kes atau tuntutan
baharu hendaklah difailkan oleh Peguam Syarie yang dilantik sahaja, sementara
bagi yang tidak mampu melantik Peguam Syarie swasta, mereka boleh menggunakan
khidmat Jabatan Bantuan Guaman (JBG) yang seharusnya juga dibenarkan beroperasi
sepanjang PKP ini.
"Hanya Peguam Syarie
yang dilantik sahaja dibenarkan ke mahkamah untuk memfailkan tuntutan atau
memfailkan secara dalam talian (bagi mahkamah syariah yang menyediakan aplikasi
sedemikian)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, PGSM
melancarkan program Konsultasi Guaman Syariah Secara Atas Talian pada 7 April
lalu dan menerima banyak aduan tentang permasalahan rumahtangga yang berlaku
semasa PKP antaranya lafaz perceraian yang tidak dapat disahkan, isu perebutan
hadhanah termasuk pengabaian atau kecuaian nafkah isteri dan/atau nafkah
anak-anak.
Pada 14 April pula Jabatan
Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) difahamkan menghantar surat permohonan bagi
mendapatkan pandangan dan kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN)
bagi perbicaraan kes syariah semasa dalam tempoh PKP.
Selang tiga hari kemudian,
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sebanyak 353 kes keganasan rumahtangga
dilaporkan berlaku sepanjang PKP bermula 18 Mac lalu.
Dalam pada itu, Musa
berkata, jika kerajaan membenarkan Mahkamah Syariah beroperasi mengikut SOP
ditetapkan ia pasti akan dapat mengurangkan keadaan 'justice delayed is justice
denied' yang melibatkan pihak-pihak yang memerlukan keadilan dan penghakiman
dalam tempoh segera.
"Usaha ini juga akan
dapat memartabatkan institusi mahkamah syariah sebagai salah satu institusi
penyelesaian masalah bagi umat Islam di negara ini," katanya.
No comments:
Post a Comment