Wednesday, February 23, 2022

Benar kerajaan negeri pinda kuasa Mahkamah Syariah, kata peguam

FMT Reporters -February 21, 2022 5:24 PM

Mahkamah Persekutuan memutuskan DUN Selangor tiada kuasa membuat enakmen yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah negeri menyemak semula fatwa dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.

PETALING JAYA: Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda supaya Mahkamah Syariah diberi kuasa melakukan semakan kehakiman ke atas keputusan yang melibatkan undang-undang syariah di peringkat negeri.

Dalam membuat desakan itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, Mahkamah Syariah wajar diberi kuasa itu kerana ia forum sesuai dan kompeten yang membabitkan pihak dalam kalangan orang Islam dan berpaksikan hukum syarak.

“Bagi melaksanakan maksud pindaan itu, PGSM menggesa kerajaan mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji dan mencadangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan itu,” katanya dalam kenyataan.

Hari ini, panel sembilan hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara memutuskan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membuat enakmen yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah negeri menyemak semula fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri.

Mahkamah Persekutuan juga mengisytiharkan bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu terbatal.

Seksyen 66A sebelum ini menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah, boleh, demi kepentingan keadilan, dan atas permohonan mana-mana orang, menggunakan bidang kuasanya untuk mendengar dan membenarkan permohonan bagi semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat oleh majlis atau jawatankuasa dalam menjalankan tugas bawah enakmen tersebut.

Pada 21 Jan 2020, Sisters in Islam (SIS) Forum (Malaysia) memfailkan notis usul yang antara lain memohon deklarasi bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 sebagai tidak sah.

Pada 22 Sep tahun lalu, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada SIS untuk meneruskan tindakan perundangannya di Mahkamah Persekutuan bawah Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/02/21/kerajaan-negeri-perlu-diberi-kuasa-pinda-kuasa-mahkamah-syariah-kata-peguam/?fbclid=IwAR1Y1Ow7rPYB7RqMBItOZ7YQJwyl_H1IOxvBPJn6CEzAoJ_H2dw8X6HIBrE

 

No comments:

Post a Comment

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...