Friday, September 8, 2023

Lafaz Ta’liq Selepas Akad Nikah Bagi Negeri Di Malaysia


(gambar hiasan)

Lafaz ta’liq adalah lafaz talak tergantung yang dibaca dan dilafazkan oleh suami selepas akad nikah dijalankan. Ia bermaksud suami mengaitkan talak dengan sesuatu sifat atau syarat, sama ada mempunyai hubungan dengan isterinya, suami sendiri atau perkara atau orang lain.

Lafaz talak ta’liq yang disyaratkan selepas perkahwinan suami isteri berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain. Beberapa contoh seperti berikut:


Johor

“Manakala saya tinggalkan isteri saya.....(nama isteri).....selama 4 bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksa dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama masa yang tersebut padahal ia taatkan saya atau saya lakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya atau kehormatannya atau harta bendanya, kemudian ia mengadu atau wakilnya mengadu kepada kadi dan manakala sabit aduannya di sisi kadi atau mahkamah syariah dan ia atau wakilnya memberi kepada kadi bagi pihak saya $1.00 maka ketika itu tertalaklah ia dengan satu ‘talak khulu’, atau saya ghaib daripada isteri saya yang tersebut selama satu tahun atau lebih, jika ia atau wakilnya mengadu kepada kadi dengan berkata ianya tidak tertunggu lagi akan saya manakala bersabit aduannya, nescaya tertalaklah ia satu talak, demikian lafaz ta’liq saya.


Kedah

Lafaz talak ta’liq yang baru di Kedah berbunyi:

“Adalah saya (nama suami) dengan ini berta’liq, jika :

(1) Saya tidak berma'syarah yang ma'ruf dengan isteri saya (nama Isteri) sama ada saya meninggalkan di dengan segaja atau paksaan atau dia meninggalkan saya dengan paksaan selama empat bulan qamariah berturut-turut atau lebih atau;

(2) saya atau wakil saya tidak memberi nafkah kepadanya selama empat bulan berturut-turut atau lebih dan dia tidak disabitkan nusyuz oleh mana-mana mahkamah syariah atau:

(3) saya melakukan sebarang mudharat kepada tubuh badannya, penganiayaan atau lain-lain darar syarie terhadapnya, dan apabila dia mengadu kepada khadi atau hakim syarie dan sabit aduannya disisi khadi atau hakim syarie dan ia memberi kepada khadi atau hakim syarie bagi pihak saya sebanyak sepuluh Ringgit Malaysia atau senilai dengannya maka pada ketika itu tertalaklah dia (nama Isteri) dengan satu talak khuluq.”


Kelantan

“Bahawa adalah saya (nama suami) dengan ini berta’liq iaitu manakala saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama 4 bulan atau lebih dengan sengaja atau paksa atau saya atau wakil saya tiada memberi nafkah yang wajib kepadanya selama masa yang tersebut pada hal ia taat kepada saya atau saya menyakiti tubuh badannya atau saya tidak mengambil tahu mengenainya selama 4 bulan atau lebih atau (nama isteri) kemudian ia mengadu kepada mana-mana kadi/hakim Syarak jika disabitkan oleh kadi/hakim Syarak ini akan aduannya maka gugurlah talak saya dan dan tiap-tiap kali saya rujuk akan isteri saya tersebut tanpa redanya maka gugurlah pula satu talak lagi.”


Perak

“1) Tiap-tiap aku tinggalkan atau tiada aku memberi nafkah yang layak bagiku akan isteriku (nama isteri) tiga bulan atau lebih lamanya dan mengadu ia kepada mana-mana kadi syarie dan sabit pengaduannya pada sisi Kadi itu, maka tertalak isteriku itu dengan satu talak.

2) Jika ada perbalahan kedua aku laki isteri maka mengadu isteriku (nama isteri) kepada mana-mana kadi syariah dan sabit pengaduannya pada sisi kadi itu, maka mengakulah aku akan berta’liq seperti yang dipersetujui kadi itu. Sekiranya ingkar aku daripada berta’liq sedemikian itu maka gugurlah satu talak di atas isteriku itu.

3) Tiap-tiap aku rujuk akan isteriku (nama isteri), dengan tiada redanya, maka tertalaklah ia satu talak pula.”


Selangor

“Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khuluk.

 

Terengganu

“Saya dengan sesungguhnya melafazkan bahawa tiap-tiap kali saya tidak bersekedudukan dengan isteri saya (nama isteri) bagi selama tempoh empat bulan dengan tidak putus-putus, sama ada saya meninggal akan dia atau dia meninggal saya dengan ikhtiar atau dengan terpaksa dan tatkala ia mengadu ia kepada kadi dan tatkala sabit pada sisinya di atas ketiadaan sekedudukan selama itu maka tertalaklah isteri saya (nama isteri) itu dengan satu talak.”


Ulasan

Kebanyakan negeri memasukkan syarat jika suami meninggalkan isteri selama empat bulan atau lebih dengan sengaja atau paksa atau suami atau wakil suami tidak memberi nafkah kepada isteri selama tempoh itu, pada hal isteri masih taat kepada suami.

Beberapa negeri lain meletakkan syarat meninggalkan isteri dalam tempoh berkenaan dan suami atau wakil suami tidak memberi nafkah kepada isteri pada hal isteri masih taat kepada suami. Dua syarat ini dibezakan dengan perkataan ‘dan’ dan ‘atau’. Kedah dan Pulau Pinang mensyaratkan tempoh yang lama iaitu enam bulan.

Syarat talak ta’liq Terengganu berbeza dengan negeri lain di mana disyaratkan jika suami dan isteri tidak bersekedudukan selama empat bulan berterus-terusan, sama ada suami meninggalkan isteri atau isteri meninggalkan suami, sama ada dengan sukarela atau terpaksa.

Perak pula meletakkan syarat jika berlaku perbalahan antara suami dan isteri, maka isteri boleh mengadu kepada hakim untuk mensabitkan talak ta’liq itu.

Kebanyakan negeri meletakkan syarat jika suami menyakiti atau mendatangkan sebarang mudarat kepada tubuh badan isteri, maka isteri boleh mengadu kepada Hakim untuk mensabitkan talak ta’liq itu. Melaka mensyaratkan jika suami tidak mempedulikan isteri lamanya empat bulan, isteri boleh memohon cerai ta’liq.

Sabah meletakkan syarat tambahan jika suami menyakitkan tubuh badan atau kehormatan atau harta benda isteri, maka aduan untuk mensabitkan talak ta’liq boleh dibuat oleh isteri. Johor memasukkan syarat tambahan jika suami ghaib selama setahun atau lebih, isteri boleh mengadu untuk mensabitkan talak ta’liq berkenaan. Syarat ini tidak terdapat dalam syarat ta’liq di negeri lain.

Melihat dari segi jenis talak jika Mahkamah mensabitkan talak ta’liq juga berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain. Kelantan, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Johor misalnya, jika syarat ta’liq disabitkan oleh hakim, maka isteri perlu membayar RM1 dan selepas perceraian boleh disabitkan dengan cerai khul’ (tebus talak).

Tetapi di negeri lain, jika syarat ta’liq disabitkan oleh Hakim, isteri tertalak dengan satu talak rajie.

Boleh dikatakan semua negeri mempunyai lafaz ta’liq, dan ia sudah menjadi suatu kemestian. Lafaz ta’liq ini akan dicatatkan sekali dalam Sijil Perakuan Nikah pasangan yang sudah berkahwin.

Namun ada negeri tidak mempraktiskan takliq, seperti negeri Perlis di mana pandangan muftinya menjelaskan tidak perlu kepada takliq disebabkan selepas perkahwinan sepatutnya didoakan dengan kebahagian dan bukannya perceraian.

No comments:

Post a Comment

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...