Thursday, July 1, 2010

Hubungan seksual hambar antara punca keretakan rumah tangga


Oleh Tuan Musa Awang

(Artikel ini disiarkan di Berita Harian pada 30/06/2010)

Pasangan suami isteri patut rujuk al-Quran, hadis perbaiki hubungan kelamin

DUA tiga kali saya berfikir untuk menulis isu ini kerana ia sensitif bagi sesetengah orang. Namun, saya percaya semua boleh bersetuju bahawa hubungan intim suami isteri adalah perkara penting dalam hubungan suami isteri.

Antara punca besar keretakan rumah tangga ialah hubungan seksual yang hambar. Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2004, menunjukkan faktor utama perceraian mendapat peratusan tertinggi ialah tiada persefahaman, curang dan enggan dimadukan (12 peratus

Faktor lain kerana tidak bertanggungjawab (11.5 peratus), campur tangan mentua atau ipar duai (8.8 peratus), disebabkan ketagihan dadah atau alkohol (7.1 peratus), masalah kewangan (1.6 peratus), terbabit jenayah, judi dan masalah kesihatan (1.1 peratus), didera (0.5 peratus) dan selebihnya faktor lain.

Menurut statistik perceraian dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), punca krisis rumah tangga kerana tidak serasi, kecurangan, poligami, campur tangan keluarga, masalah kesihatan pasangan termasuk kesuburan dan suami isteri bermain kayu tiga.

Hubungan hambar disebabkan kurang keinginan seks sama ada daripada pihak suami atau isteri, isteri berasa bosan kerana suami cepat klimaks setiap kali bersama, ketiadaan zuriat, suami mati pucuk, isteri tidak pernah atau jarang mencapai orgasm, juga menjadi masalah besar dalam rumah tangga.

Ia menjadi punca berlaku perbalahan kerana ada pihak yang memendam perasaan dan sakit hati akibat perkara yang dianggap kecil oleh sebelah pihak lagi. Lebih parah apabila pasangan terjerumus dalam fenomena mempunyai kekasih gelap.
Kajian dibuat syarikat farmaseutikal Pfizer melalui The Asia Pacific Sexual Health and Overall Wellness atau APSHOW pada 2008, menunjukkan 57 peratus lelaki dan 64 peratus wanita tidak berasa puas dengan kehidupan seksual mereka.

Kajian dilakukan di 13 negara dari kawasan Asia Pasifik, termasuk Malaysia dengan taburan responden sebanyak 328 lelaki dan 250 wanita. Di negara ini, kajian mendapati 73 peratus wanita Malaysia tidak puas dalam hubungan seks mereka, 62 peratus lelaki turut dikatakan tidak puas.

Pakar seksologi Pusat Kesihatan Seksual Australia, Dr Rosie King berkata, peratusan itu menunjukkan kadar yang tinggi berbanding purata peratus keseluruhan tahap kepuasan seks diperoleh di Asia Pasifik.

Katanya, fenomena itu berlaku berikutan kebanyakan lelaki dan wanita di Malaysia lebih mengutamakan kerjaya dan kehidupan keluarga.

Laporan pada tahun sama memetik Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri Terengganu, Muhammad Ramli Nuh, berkata bau badan, adegan seks dan baju tidur membosankan dikenal pasti sebagai punca kenaikan kadar perceraian di negeri itu.

Kerajaan Negeri Terengganu terpaksa merangka satu cara inovasi untuk memperbaiki hubungan kelamin antara suami isteri khususnya di kalangan mereka yang baru berkahwin, termasuk menjemput syarikat kosmetik memperkenalkan bau-bauan eksotik yang mampu menimbulkan rasa ghairah, mencadangkan suami isteri lebih kerap mandi bersama sebagai salah satu jalan untuk mengukuhkan jalinan mesra.

Dalam Islam isu seks bukan sesuatu yang memalukan untuk diketengahkan. Hubungan seks suami isteri yang halal adalah suatu ibadah dalam rumah tangga seorang muslim. Hari ini, kita tidak didedahkan dengan hadis hubungan seks suami isteri yang lengkap.

Sebaliknya, lebih banyak merujuk kepada pakar perubatan atau kaunselor seolah-olah Islam bukan tempat rujukan yang tepat. Walhal, ada banyak nasihat dalam hadis Nabi SAW yang menekankan kepentingan pasangan suami isteri menjaga pengurusan hubungan seks mereka.

Melayani hubungan seks seorang suami adalah bukti ketaatan isteri. Firman Allah yang bermaksud: “Isteri-isteri kamu adalah sawah ladang kamu, maka datangilah sawah ladangmu itu dengan cara yang kamu sukai.” (Surah al-Baqarah, ayat 223)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bagi kamu melakukan jima’ (hubungan seks) dengan isterimu adalah satu pahala. Lalu sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah seseorang di antara kita menyalurkan syahwatnya akan mendapat pahala? Jawab Baginda: Bagaimana pendapatmu jika dia menyalurkan syahwatnya itu pada yang haram, apakah ia berdosa? Begitulah jika ia meletakkannya pada yang halal, maka ia mendapat pahala.” (Hadis riwayat Muslim)

Diriwayatkan pada suatu malam, Khalifah Umar Al Khattab meronda kota Madinah dan Umar mendengar keluhan dan rintihan seorang wanita: “Malam ini begitu panjang dan tepi langit begitu hitam. Sudah lama aku tiada kawan untuk bersenda gurau. Demi Allah! Jika tidak kerana takut kepada Allah SWT, tentu kaki tempat tidur ini sudah bergoyang. Tetapi, Tuhanku! Rasa malu cukup menahan diriku. Namun, suamiku sungguh lebih mengutamakan mengenderai untanya.”

Selepas disiasat, rupa-rupanya suami wanita ini selalu berjihad fisabilillah. Lantas Saidina Umar menetapkan waktu tugas bagi tenteranya untuk berada di medan tempur hanya selama enam bulan saja.

Kisah itu memperlihatkan keperluan hubungan seks bukan saja keinginan kaum lelaki, tetapi juga keinginan semula jadi wanita.

Rasulullah SAW berpesan kepada kaum lelaki yang bermaksud: “Jika seseorang di antara kamu melakukan hubungan seks dengan isterinya hendaklah bersungguh-sungguh. Bila ia sedang menyelesaikan keperluannya itu padahal isterinya belum sampai kepada klimaksnya, maka janganlah ia tergesa-gesa (untuk mengakhirinya) sebelum keperluan isterinya diselesaikan pula.”

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Boleh dihubungi melalui 03-2274 1499 atau e-mail ke sekretariatpgsm@yahoo.com.

Tuesday, June 15, 2010

Proses bicara Mahkamah Syariah ibarat merebut Piala Dunia



Oleh Tuan Musa Awang

(Artikel ini disiarkan di Berita Harian pada 16/06/2010)
Pihak buat tuntutan perlu ambil inisiatif, bijak rangka strategi raih keadilan, kejayaan

PUSINGAN akhir Piala Dunia 2010 siri ke-19 bermula 11 Jun lalu dan akan berakhir pada 11 Julai nanti. Sebanyak 32 pasukan bertarung bagi merebut piala terulung dalam sejarah bola sepak dunia. Pelbagai strategi diatur, latihan berterusan dan khidmat jurulatih profesional diambil bertujuan meraih kemenangan berprestij itu.

Setakat ini beberapa pasukan sudah bermain pada peringkat awal. Ada pasukan yang menang, seri dan kalah. Anda tentu sudah dapat menjangka pasukan mana yang akan bertemu pada peringkat suku akhir, separuh akhir dan akhir.

Saya bukan hendak bercerita mengenai bola sepak, tetapi saya cuba mengaitkan realiti bola sepak piala dunia dengan apa yang berlaku di Mahkamah Syariah dewasa ini.

Orang yang datang ke Mahkamah Syariah terdiri pelbagai golongan, daripada orang kampung sehinggalah gololongan cerdik pandai. Terma dan prosedur digunakan di mahkamah adalah terma undang-undang yang asing bagi mereka yang bukan profesional dalam bidang perundangan.

Ada juga yang datang ke Mahkamah Syariah hendak meminta pertolongan, sedangkan umum tahu bahawa mahkamah adalah tempat pengadilan bukan tempat bantuan. Pihak yang memohon kepada mahkamah perlu tahu apa yang ingin dipohon.

Mereka bukan saja sekadar tahu bercakap, malah perlu tahu apa yang dicakapkan. Mereka perlu mengambil inisiatif sendiri untuk berjaya dalam tuntutan mereka.
Sebagai perumpamaan, mengambil semangat kehangatan kejohanan Piala Dunia yang sedang berlangsung, mahkamah boleh diumpamakan seperti sebuah stadium bola dengan hakim sebagai pengadil, dan pihak yang hadir ke mahkamah adalah pasukan yang sedang berlawan untuk meraih kemenangan dan keadilan.

Maka pihak terbabit perlu tahu dan mahir bagaimana menggelecek, membawa bola dan memikirkan sendiri bagaimana menjaringkan gol kemenangan. Hakim hanya bertindak sebagai pengadil yang mengadili perlawanan itu menurut pandangan zahir hakim terbabit, dengan kuasa undang-undang dan peraturan ditetapkan.

Jika pihak yang berlawan itu tidak tahu atau tidak mahir bagaimana untuk menjaringkan gol kemenangan, mereka boleh melantik jurulatih profesional dan mahir untuk melatih mereka dari segi fizikal dan mental. Bekas pemain ternama yang memiliki kepakaran bermain diambil sebagai jurulatih pasukan.

Hanya menyebutkan beberapa nama seperti Diego Maradona (Argentina), Joachim Loew (Jerman), Morten Olsen (Denmark), Marcello Lippi (Itali) adalah antara jurulatih yang gigih merekrut pelatih bagi memastikan anak didik mereka meraih kemenangan dalam kejohanan teragung itu.

Sama juga keadaannya di mahkamah. Mereka yang mahir dan pakar di Mahkamah Syariah adalah peguam Syarie yang sememangnya terbabit secara langsung dalam bidang guaman. Pihak yang mempunyai kes di mahkamah boleh melantik peguam Syarie yang bijaksana bagi membantu mereka menangi sesuatu kes.

Peguam Syarie bukanlah suatu profesion baru. Profesion ini wujud sejak zaman Nabi Yusuf AS dan ia diceritakan di dalam al-Quran.

Allah berfirman bagi menunjukkan cara yang dicadangkan oleh keluarga Zulaikha bagi membuktikan tuduhan Nabi Yusuf cuba memperkosa Zulaikha, bermaksud: “Jika baju khamisnya koyak di depan, maka wanita itu benar, dan Yusuf termasuk orang yang dusta. Dan jika khamisnya koyak di belakang, maka wanita itulah yang dusta, dan Yusuf termasuk di kalangan orang yang benar.” (Surah Yusuf, ayat 27)

Baginda Rasulullah SAW pernah mewakilkan ‘Amru bin Umaiyyah al-Damiri untuk menikahkan Ummu Habibah bin Abu Sufyan. Baginda juga mewakilkan Abu Rafi’i untuk menerima pernikahan Maimunah al-Harith.

Di zaman kebuluran ketika pemerintahan Saidina Umar, seorang wanita berkahwin membuat ikrar melakukan zina, mengandung dan meminta Umar menjalankan hukuman rejam.

Saidina Ali meneliti kes terbabit dan mendapati perempuan itu diperkosa semata-mata untuk menyelamatkan dirinya daripada mati kebuluran. Saidina Ali bertindak se-bagai peguam, dan wanita berkenaan dibebaskan.

Kehadiran peguam Syarie di Mahkamah Syariah adalah berdasarkan prinsip ‘wakalah bi al-khusuma’h, di mana peguam boleh menerima upah kerana Rasulullah SAW pernah melantik wakil Baginda untuk mengutip zakat dengan memberi mereka upah. Pelantikan peguam dengan upah perlu ada akad perjanjian.

Peguam hendaklah melaksanakan tugas yang diwakilkan kepadanya dan tidak boleh meninggalkan tugas berkenaan melainkan ada keuzuran yang diharuskan syarak.
Jika tidak disebutkan banyak mana upahnya, maka ia adalah berdasarkan uruf dan kebiasaannya atau upah yang sebanding dengannya (ajru al-mithhi).

Upah peguam adalah berdasarkan senioriti, kepakaran, jarak perjalanan dan sebagainya. Jadi pihak yang ingin melantik peguam mempunyai pilihan sama ada ingin melantik yang junior dan murah atau yang senior dan tinggi upahnya.

Semua proses di mahkamah tertakluk kepada peraturan dan undang-undangnya.
Hanya kesungguhan dan kemahiran pihak yang terbabit saja menjadi penentu dalam kes mereka. Hakim sebagai orang tengah tidak boleh membantu mana-mana pihak dalam perlawanan itu. Hakim juga hendaklah membuat keputusan dengan bebas dan tidak boleh mengasaskan keputusannya kerana tekanan atau dengan harapan mendapatkan imbuhan daripada mana-mana pihak.

Sikap menyalahkan, melemparkan pelbagai tohmahan dan kritikan yang tidak membina kepada Mahkamah Syariah adalah sama seperti keadaan dalam perlawanan bola sepak, yang ada penonton hadir menyaksikan perlawanan itu.

Bukan semua penonton bola sepak itu pandai bermain. Sesetengahnya kaki bangku tetapi gemar mengkritik dan menyalahkan pemain di dalam padang seolah-olah mereka lebih hebat daripada pemain sebenar.

Ada di kalangan mereka yang melontar mercun, bekas minuman atau memaki hamun pengadil dengan berkata pengadil lembap, tidak pandai main, berat sebelah dan sebagainya. Jika mereka benar-benar hebat bermain, kenapa tidak saja mereka turun padang bermain atau menjadi jurulatih kepada pemain dalam padang itu?

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan boleh dihubungi di talian: 03-2274 1499 (Sekretariat PGSM) atau e-mel : sekretariatpgsm@yahoo.com

Sunday, May 23, 2010

Segerakan fatwa peguam syarie mesti Islam



Oleh Musa Awang

sekretariatpgsm@yahoo.com
(Artikel ini disiarkan di Berita Harian pada 23/05/2010

Benarkan bukan Muslim berhujah di mahkamah syariah tambah ruang kes murtad, hina agama

SITUASI 1: Si A dan B kedua-dua Muslim bertikai di Mahkamah Syariah. Si C, seorang bukan Islam menawarkan diri mewakili seorang daripadanya, A atau B untuk hadir di Mahkamah Syariah membawa kitab suci al-Quran dan hadis ke mahkamah dan kemudian berhujah dengan dalil al-Quran, sunnah serta mengambil pandangan ulama Islam.
Situasi 2: D dan E bukan Islam bertikai mengenai isu agama mereka. Si F seorang Islam, menawarkan diri mewakili D atau E, membawa kitab agama mereka dan berhujah menggunakan kitab itu.
Kehadiran bukan Islam sebagai peguam syarie perlu dilihat dari dua sudut hukum syarak dan perundangan.

Hukum syarak

Prinsip dan amalan peguam syarie di mahkamah syariah berasaskan prinsip wakalah bi al-khusumah, iaitu orang yang mewakili seseorang yang lain dalam urusan pendakwaan di hadapan hakim syarie, baik dalam sesuatu prosiding mahkamah atau perkara yang berhubungan dengan ke s dipertikaikan. Wakil atau peguam bertanggungjawab atas semua dakwaan dan segala yang berkaitan dengan apa yang didakwa.

Menurut Imam Abu Hanifah, tanggungjawab itu termasuk membuat ikrar. Menurut Imam Shafie, Imam Malik dan Hambali, wakalah bil al-khusumah bererti mewakili orang yang kena dakwa dalam pertikaian untuk menegakkan kebenaran.
Jumhur ulama mensyaratkan wakalah perlu menepati rukun iaitu pewakil, wakil, perkara yang diwakilkan dan lafaz ijab kabul. Syarat pemberi wakil ialah merdeka, berhak atas urusan yang diwakilkan, berakal dan baligh, tidak bodoh dan tidak muflis. Disyaratkan wakil ialah berakal, seseorang yang ahli dalam bidang yang diwakilkan dan seseorang yang boleh mengurus diri sendiri.

Jumhur ulama tidak mensyaratkan Islam pada wakil, namun ulama Maliki tidak mengharuskan orang Islam melantik bukan Islam dalam bab muamalat dan tempahan barang.

Syarat perkara yang diwakilkan, diharuskan hukum syarak, boleh diwakilkan dan Imam Shafie mensyaratkan perkara diwakilkan mesti jelas. Imam Shafie mensyaratkan lafaz akad wakalah perlu menunjukkan perwakilan sama ada secara lisan, tulisan atau surat.

Ulama mensyaratkan wakil mesti ahli dalam bidang atau urusan diwakilkan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada bukan ahli, maka tunggulah kehancurannya.”

Imam Hanafi mensyaratkan wakil bersungguh-sungguh dan tahu tugas yang dinyatakan. Ulama Maliki tidak mengharuskan orang Islam melantik bukan Islam menjadi wakil untuk urusan jual beli (muamalat) atau membuat tempahan barang (as-salam) bagi mengelak daripada melakukan perkara dilarang agama.

Firman Allah SWT dalam An-Nisa ayat 10 bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkan kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang Allah wahyukan kepadamu, dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah) kerana (membela) orang yang khianat.”

Bukan saja hakim mahkamah syariah terikat dengan suruhan dan larangan Allah dalam ayat ini, malah peguam syarie yang mewakili pihak di mahkamah. Fungsi peguam syarie di Mahkamah Syariah bukan saja membantu anak guam, tetapi juga membantu mahkamah dan hakim termasuk dalam soal dakwaan, keterangan, bukti, hujah, qarinah, ikrar, khidmat nasihat kepada anak guam mengenai hukum Islam dan soal prosiding mahkamah, pendamai/mediator dan membuat rayuan.

Peguam perlu berhujah dengan dalil daripada sumber hukum syarak iaitu al-Quran dan sunnah, al-ijmak, al-qiyas, masalih al-mursalah, amalan kalangan sahabat serta pandangan ulama muktabar.

Kebanyakan rujukan dalil dan nas dalam kitab muktabar yang menggunakan bahasa Arab. Membenarkan bukan Islam sebagai peguam syarie bererti membenarkan bukan Islam berhujah dengan ayat al-Quran, hadis dan sebagainya. Dikhuatiri keadaan ini mencemarkan kesucian Islam dan boleh menyebabkan salah tafsiran terhadap hukum syarak serta mengelirukan masyarakat.

Peguam syarie juga perlu berakhlak mulia, menutup aurat dan menjaga maruah sebagai seorang Islam seperti yang dituntut Islam sepanjang masa, sama ada dalam mahkamah atau di luar mahkamah. Peguam syarie juga hendaklah melaksanakan tugas dan fungsinya dengan ikhlas, jujur dan dengan niat melakukan ibadat kerana tugas mulia ini pernah dilakukan sahabat seperti Ali ra, Ka’b bin Sur Al-Azdi dan Abdullah bin Abbas ra.

Peruntukan undang-undang

Kaedah Peguam Syarie Wilayah Persekutuan 1993 memperuntukkan hanya pemohon Islam layak untuk memohon dan diterima sebagai peguam syarie di Wilayah Persekutuan. Peraturan ini dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong berkuasa mengikut Seksyen 59 (2), Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 untuk membuat kaedah atau peraturan bagi prosedur, kelayakan, fi dan lain-lain berkenaan peguam syarie. Seksyen itu ialah: “Majlis boleh, dengan kelulusan Yang di-Pertuan Agong, membuat kaedah - (a) untuk mengadakan peruntukan bagi prosedur, kelayakan dan fi bagi penerimaan peguam syarie; dan (b) untuk mengawal selia, mengawal dan mengawasi kelakuan peguam syarie.”

Syarat Islam untuk permohonan sebagai peguam syarie juga ada di Kedah, Kelantan, Melaka, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak.
Johor tidak menyebut syarat Islam tetap mensyaratkan pemohon bermazhab ahli Sunnah Wal Jamaah. Hanya Perlis, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak tidak mensyaratkan Islam secara khusus, tetapi pemohon mesti berkemahiran dalam hukum syarak dan lulus ujian atau temu duga peguam syarie.

Disarankan kepada negeri yang tidak meletakkan syarat Islam dalam kaedah atau peraturan peguam syarie supaya segera berbuat demikian. Pemerintah mempunyai kuasa eksklusif untuk membuat peraturan menyekat kehadiran bukan Islam di mahkamah syariah atas kepentingan umat Islam yang atau mengelakkan mudarat tertentu atau yang bersifat mendatang.

Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 42 bermaksud: “Mereka itu adalah orang yang suka mendengar berita bohong, banyak memakan yang haram. Jika mereka (orang Yahudi) datang kepadamu (untuk meminta keputusan), maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka, atau berpalinglah daripada mereka; jika kamu berpaling dari mereka, maka mereka tidak akan memberi mudarat kepadamu sedikit pun. Dan jika kamu memutuskan perkara mereka, maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka dengan adil, sesungguhnya Allah menyukai orang yang adil.”

Membenarkan bukan Islam menjadi peguam syarie boleh membuka ruang kepada kes percubaan keluar agama dan menghina agama Islam. Dikhuatiri orang yang cuba keluar Islam melantik peguam syarie bukan Islam untuk mewakili mereka di Mahkamah.

Pada hari ini, undang-undang berkuat kuasa di mahkamah syariah hanya terpakai kepada orang Islam. Pihak yang hadir di mahkamah syariah sama ada dalam kes mal atau jenayah adalah orang Islam saja, maka pihak yang mewakili orang yang bertikai ini juga mesti Islam.

Isu ini secara positifnya membuka mata kita selepas lebih 22 tahun penubuhan mahkamah syariah dan undang-undang berkaitan, masih wujud banyak ruang dan ketidakselarasan.

Undang-undang dan peraturan yang terpakai masih tidak seragam antara negeri. Inilah masanya mufti mengeluarkan fatwa rasmi pada peringkat kebangsaan dan negeri hanya orang Islam boleh menjadi peguam syarie supaya tidak lagi dipertikaikan mana-mana pihak.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan boleh dihubungi di e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com

Saturday, May 15, 2010

Isu Peguam Syarie Non-Muslim : PGSM Kesal

Utusan Malaysia : Sabtu Mei 15, 2010
Isu Peguam Syarie: PGSM Kesal

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN

PETALING JAYA: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) hari ini kesal dan terkejut berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Sivil yang membenarkan permohonan semakan kehakiman terhadap seorang wanita bukan Islam, Victoria Jayaseele Martin untuk bertugas sebagai peguam di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

Timbalan Presiden PGSM, Musa Awang berkata, PGSM memandang serius perkara ini dan mereka akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan martabat Mahkamah Syariah dan peguam syarie di negara ini dapat dipertahankan.

"Mengikut Akta Pentadbiran Agama Islam Wilayah Persekutuan hanya warganegara beragama Islam layak memohon dan beramal sebagai Peguam Syarie di Mahkamah Syariah.

"Sebagai peguam di Mahkamah Syariah, mereka perlu berhujah dengan menggunakan dalil al Quran, al-Hadith yang berlandaskan hukum syarak," katanya kepada mStar Online hari ini.

Oleh itu, Musa berkata, keputusan hakim membenarkan orang bukan Islam bertindak sebagai peguam di Mahkamah Syariah bererti mereka akan merendahkan taraf al-Quran dan meletakkan hukum syarak pada tahap yang sangat rendah.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd Zawawi Salleh memberi kebenaran kepada Victoria untuk mendapatkan semakan kehakmian bagi mendesak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menerima masuk beliau sebagai peguam syarie.

Ini adalah kes pertama Malaysia apabila seorang peguam bukan Islam diberi kebenaran untuk mencabar bahawa hanya peguam yang beragama Islam sahaja boleh bekerja sebagai peguam di Mahkamah Syariah.

Victoria, yang memperoleh Diploma dalam Undang-undang dan Amalan Syariah (DSLP) pada 2004 dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sivil selepas permohonanya sebagai peguam syarie ditolak Majlis Agama Islam melalui jawatankuasa peguam syarie.

Thursday, May 6, 2010

5 tahun Akta Keluarga Islam Wilayah tertangguh

Oleh Tuan Musa Awang

(Artikel ini disiarkan dalam Berita Harian pada 05/05/2010)

Kelewatan laksana pindaan 2005 beri persepsi negatif terhadap institusi kehakiman syariah

TENTU anda masih ingat, ketika pentadbiran kerajaan di bawah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada 26 September 2005, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 dengan tujuan memperbaiki Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 sedia ada. Rang undang-undang ini diwartakan menjadi undang-undang pada 22 Disember 2005.
Bagaimanapun, undang-undang ini mendapat bantahan beberapa pihak sehingga menimbulkan kontroversi, kerana dikatakan mengandungi diskriminasi dan penindasan terhadap wanita Islam. Susulan itu, Kabinet pada 11 Januari 2006 menangguhkan pewartaan undang-undang ini walaupun ia diluluskan Parlimen.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata ia tidak akan diwartakan sehingga kajian semula mengenainya dilakukan tetapi sehingga kini, ia masih tertangguh meskipun setelah hampir lima tahun.

Sebagai pengamal di Mahkamah Syariah, saya dan rakan serta masyarakat terutama pemastautin di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan masih tertanya-tanya apakah yang terjadi kepada undang-undang itu.

Bilakah akta itu akan diwartakan? Berapa lama lagikah tempoh diperlukan untuk kajian semula undang-undang itu? Sebagai negeri yang bersifat persekutuan, Wilayah Persekutuan seharusnya mendahului negeri lain dalam melaksanakan undang-undang semasa dan terkini.

Dalam konsep penyeragaman undang-undang syariah negeri, Wilayah Persekutuan sepatutnya menjadi contoh kepada undang-undang di negeri lain. Namun hakikatnya sekarang, Wilayah Persekutuan adalah negeri yang terkemudian dan ketinggalan berbanding negeri lain.
Antara isu ditimbulkan ketika bantahan undang-undang itu adalah mengenai isu empat syarat yang harus dipatuhi suami berdasarkan pindaan peruntukan undang-undang itu khususnya bagi frasa ‘patut atau perlu’. Mereka membantah, ia sepatutnya dibaca sebagai ‘patut dan perlu’.

Setakat ini di Selangor sudah mengguna pakai frasa ‘patut atau perlu’ sejak 2003 dan tidak timbul sebarang masalah sehingga ini.

Bagi suami yang memohon poligami, memang wujud keadaan ‘patut atau perlu’, iaitu apabila seorang suami berpendapatan rendah yang tidak patut berkahwin lain, tetapi dia mungkin perlu untuk beristeri lagi jika isteri pertamanya tidak mampu melaksanakan kewajipan rumah tangganya termasuk menunaikan nafkah batin atau jika isteri pertamanya mempunyai kecacatan fizikal seperti lumpuh anggota badan.

Realitinya, si suami yang ingin berpoligami atau memohon mendaftarkan pernikahan poligaminya akan mencadangkan sendiri apakah harta sepencarian yang akan diberikan kepada isteri sedia ada. Begitu juga dengan nafkah isteri dan nafkah anak. Pada ketika inilah si suami perlu menundukkan egonya dan mengambil hati si isteri, bagi membolehkan permohonan mereka dipermudahkan oleh si isteri tanpa bangkangan.

Isu lain yang dibantah ialah hak diberikan kepada suami untuk memfasakhkan nikah dengan isteri. Permohonan fasakh suami bukanlah kuasa baru diberikan kepada suami selain kuasa menjatuhkan talak. Berdasarkan hukum syarak, tuntutan fasakh juga boleh dibuat oleh pihak suami. Pengalaman saya apabila Undang-Undang Keluarga Islam Selangor diwartakan sejak 2003, bilangan kes fasakh difailkan oleh suami boleh dihitung dengan jari.

Ini kerana tuntutan fasakh memerlukan beban pembuktian di pihak yang mendakwa di mahkamah, dengan suami perlu mengemukakan keterangan, bukti dan saksi bagi membuktikan keaiban di sebelah isterinya. Si suami tidak akan memilih jalan panjang untuk menceraikan isterinya, walhal ada jalan mudah dan cepat.

Realitinya yang berlaku kini, suami yang ingin berpoligami akan lari memohon di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan kerana di situ tidak ada peruntukan bahawa bakal isteri dan bakal wali akan dipanggil ke mahkamah.

Begitu juga suami yang sudah berpoligami tanpa kebenaran mahkamah dan tanpa pengetahuan isteri pertama akan memfailkan permohonan mengesah dan mendaftarkan pernikahannya di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan kerana di situ tidak wujud peruntukan yang membolehkan isteri sedia ada dipanggil menentukan pembahagian harta sepencarian, nafkah isteri dan nafkah anak.

Pihak mahkamah syariah hanya memutuskan sesuatu tuntutan atau permohonan berdasarkan undang-undang yang diwartakan.

Jika mahkamah bertindak melangkaui undang-undang sedia ada, ia akan menjadi ‘ultra virus’. Jadi siapa yang rugi dengan protes yang dibuat oleh pihak tertentu pada 2005 itu? Bukankah wanita juga. Siapa pula menganiayai dan menzalimi wanita ini sejak 2005 sehingga sekarang? Adakah undang-undang yang sudah diluluskan itu atau pihak yang mengemukakan protes itu?

Penangguhan pelaksanaan Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan itu secara retoriknya memberi persepsi negatif terhadap institusi kehakiman syariah negara dan mahkamah syariah sebagai tidak berlaku adil terhadap kaum wanita.

Hakikatnya, undang-undang yang sama sudah berjalan sekian lama di negeri lain tanpa sebarang kelemahan. Undang-undang diamalkan sekarang sudah wujud sejak 24 tahun lalu, tidak lagi sesuai dengan nilai semasa.

Selepas lima tahun tertangguh, saya yakin golongan wanita negara ini menaruh harapan agar Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan 2005), akhirnya dapat dilaksanakan.

Sekretariat Advokasi dan Pemerkasaan Wanita (Senada) yang ditubuhkan pada 20 Jun 2008, boleh memainkan peranan proaktif agar undang-undang keluarga Islam yang tertangguh ini dapat dibawa sekali lagi ke Kabinet dan Parlimen.

Pindaan ini mempunyai implikasi besar terhadap usaha untuk membela nasib wanita, keluarga dan kanak-kanak Islam. Tempoh lima tahun adalah suatu waktu terlalu lama dan boleh menyebabkan ketidakadilan. Justifikasi keadilan dalam Islam hanya berlaku apabila kita meletakkan sesuatu itu sesuai pada tempatnya.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, boleh dihubungi di 03-22741499 atau e-mail: sekretariatpgsm@yahoo.com

Wednesday, April 7, 2010

Hukum hudud ditetap dalam al-Quran tak boleh dipinda



Oleh Tuan Musa Awang

(Artikel ini disiarkan dalam Berita Harian pada 07/04/2010)

Sultan ada kuasa eksklusif untuk kurang, ringan, tambah hukuman Mahkamah Syariah

DETIK penantian Kartika Sari Dewi Sukarno selama lebih tujuh bulan berakhir 1 April lalu, apabila Tuanku Sultan Pahang berkenan meringankan hukuman sebat atas kesalahan meminum arak daripada enam kali sebatan kepada kerja khidmat komuniti selama sebulan.

Setelah keputusan ini dibuat, pelbagai pandangan dan kritikan kedengaran, sama ada negatif atau positif. Keputusan kali pertama dalam sejarah perundangan syariah di negara ini dan di Pahang khususnya, dilihat menjadi polemik perundangan dan menjadi topik perbincangan ahli akademik dan pakar perundangan.

Sebahagiannya melihat keputusan yang dibuat itu berlawanan dengan kuasa diberikan oleh undang-undang kepada Tuanku Sultan. Adalah menjadi fakta yang tidak boleh dipertikaikan, sebagai Ketua Agama Negeri, Baginda Sultan mempunyai kuasa eksklusif untuk mengurangkan, meringankan, menambah atau mengubah sebarang hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah.

Kuasa eksklusif ini terbahagi kepada dua keadaan, iaitu pertama apabila pesalah itu membuat permohonan rayuan kepada Baginda Sultan dan kedua apabila Baginda Sultan sendiri berkenan memberi pengampunan walaupun tidak dirayu atau dipohon oleh pesalah.

Dalam keadaan pertama, Seksyen 209 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Enakmen No. 8 Tahun 1982) memperuntukkan bahawa baginda Sultan mempunyai kuasa untuk mengurang, menambah atau mengubah apa-apa hukuman dijatuhkan dengan syarat rayuan sudah dibuat oleh pesalah terlebih dulu di Mahkamah Ulangbicara (rayuan) dan notis rayuannya hendaklah diserahkan dalam tempoh 10 hari daripada tarikh tamatnya ulangbicara kes itu.

Dalam isu Kartika, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang menjatuhkan hukuman denda dan sebatan terhadap Kartika adalah bersifat muktamad kerana Kartika tidak merayu dan tempoh rayuan juga sudah tamat.

Dalam keadaan kedua, Baginda Sultan juga mempunyai kuasa untuk meringankan mana-mana hukuman dengan menggantikan hukuman yang berat kepada hukuman lebih ringan, walaupun tidak dirayu atau dimohon oleh pesalah atau tanpa persetujuan pesalah.
Seksyen 133 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Pahang 2004 (Enakmen No. 9 Tahun 2004) memperuntukkan bahawa: “Yang di-Pertua Negeri atas nasihat Mufti boleh, tanpa persetujuan orang yang dihukum, meringankan mana-mana satu daripada hukuman yang berikut dengan menggantikannya dengan mana-mana hukuman yang disebut selepasnya, iaitu (a) sebat; (b) pemenjaraan atau (c) denda.

Jika menurut peruntukan ini, Baginda boleh meringankan hukuman sebat kepada penjara atau daripada penjara kepada denda. Tidak pula wujud peruntukan bahawa hukuman sebat boleh terus diganti dengan hukuman lain atau digantikan dengan hukuman khidmat komuniti atau apa-apa hukuman lain.

Namun saya yakin dan percaya baginda sudah mendapat nasihat yang sewajarnya daripada mufti negeri berkaitan hukum syarak dan penasihat undang-undang negeri sebelum membuat keputusan itu. Jika nasihat mufti diketepikan, maka keputusan terbabit dibuat tanpa mematuhi kehendak Seksyen 133 berkenaan di atas dan ia boleh jadi ‘ultra-vires’ kepada Enakmen No. 9 Tahun 2004 itu.

Kesan jangka panjang, dikhuatiri selepas ini pesalah akan memohon pengampunan atau diringankan hukuman terus kepada Tuanku Sultan tanpa melalui proses rayuan di Mahkamah Syariah. Keputusan ini juga menggambarkan seolah-olah kuasa Raja mengatasi undang-undang, sedangkan peruntukan undang-undang yang ada menunjukkan kuasa Raja juga tertakluk dan terikat dengan undang-undang.

Buktinya Seksyen 209 Enakmen No. 8 Tahun 1982 menyatakan bahawa kuasa baginda Sultan untuk mengurangkan, menambah atau mengubah apa-apa hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah dengan syarat rayuan dibuat oleh pesalah terlebih dulu di Mahkamah Syariah. Kuasa ini tidak boleh digunakan sekiranya proses rayuan itu tidak dibuat terlebih dulu.

Seksyen 133 Enakmen No. 9 2004 pula mengehadkan kuasa Sultan untuk meringankan hukuman dengan menggantikan hukuman berat kepada hukuman lebih ringan, walaupun tidak dirayu oleh pesalah atau tanpa persetujuan pesalah, dengan mana-mana hukuman yang disebut dalam seksyen berkenaan iaitu sebat pemenjaraan atau denda. Ketiga-tiga hukuman ini adalah sebagaimana yang ada dalam Enakmen No. 8 1982.

Perlu dijelaskan bahawa dalam kes Kartika ini, baginda Sultan menggunakan budi bicara baginda untuk meringankan hukuman yang sudah dijatuhkan, bukanlah bermaksud baginda mengampunkan terus kesalahan Kartika Sari yang disabitkan oleh Mahkamah Syariah. Kartika Sari adalah seorang pesalah yang menerima hukuman atas kesalahan dilakukannya.

Mahkamah Syariah tetap dengan martabat dan hirarkinya. Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie juga tetap dengan tugas dan peranan masing-masing. Kesalahan meminum arak adalah dalam kategori hukuman hudud menurut Islam. Hukuman hudud adalah hukuman ditentukan dan ditetapkan Allah di dalam Quran dan sunnah.

Hukuman Hudud ini adalah hak Allah, yang tidak boleh ditukar ganti hukumannya dan tidak boleh diubah-suai dan dipinda. Hukuman hudud tidak boleh dimaafkan oleh sesiapa pun. Mereka yang melanggar aturan hukum Allah, yang ditentu dan ditetapkan oleh Allah melalui Rasul-Nya yang disebutkan di dalam al-Quran atau hadith adalah termasuk dalam golongan orang yang zalim sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 229 yang bermaksud: “Dan sesiapa yang melanggar aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang yang zalim.”

Kekhuatiran juga timbul di mana keputusan ini akan menjadi ikutan kepada kes sama atau hampir sama berikutnya pada masa akan datang. Suka saya jelaskan di sini bahawa di Mahkamah Syariah tidak memakai prinsip duluan mengikat (precedent) sebagaimana di Mahkamah sivil. Maka keputusan Baginda Sultan Pahang ini tidak mengikat kes-kes selepasnya dan tidak mengikat kes di negeri lain.

Penantian Kartika Sari mungkin berakhir, tetapi perbahasan mengenai keputusan itu mungkin akan terus dibincangkan.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Boleh dihubungi di Sekretariat 03-2274 1499 atau e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com

Friday, March 26, 2010

Kahwin tak ikut undang-undang boleh dihukum

Peguam Syarie Menulis: Kahwin tak ikut undang-undang boleh dihukum
Oleh Tuan Musa Awang

BERKAHWIN tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan Islam boleh menjejaskan institusi kekeluargaan Islam. - Gambar hiasan
Maklumat perundangan kekeluargaan Islam perlu disebar elak masyarakat berdepan masalah

KEUTUHAN sesebuah institusi perkahwinan bertitik- tolak daripada punca dan unsur perkahwinan itu sendiri. Jika baik caranya, Insya-Allah akan baiklah juga kesudahannya. Islam sebagai suatu cara hidup komprehensif merangkumi semua urusan kehidupan manusia termasuklah perkahwinan dan perceraian menitikberatkan soal asas dalam membina sesebuah institusi rumah tangga.

Oleh sebab itu, undang-undang dikanunkan bagi mana-mana perbuatan orang Islam di Malaysia yang berkahwin tanpa mematuhi prosedur undang-undang adalah suatu kesalahan jenayah Syariah.
Di negara kita, bidang kuasa Mahkamah Syariah sama ada membabitkan urusan kekeluargaan atau jenayah Syariah tertentu berdasarkan peruntukan di dalam Jadual Kesembilan Senarai Dua Perlembagaan Persekutuan.

Dengan adanya peruntukan itu, badan perundangan negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang yang mengawal kehidupan tertentu orang Islam seperti urusan kekeluargaan, beberapa jenayah yang berkaitan dengan akhlak dan moral orang Islam dan beberapa perkara lain.

Bagaimanapun, ruang lingkup bidang kuasa Mahkamah Syariah ke atas kesalahan jenayah Syariah secara khusus sangat sempit dan kuasa menghukumnya sangat rendah, berdasarkan peruntukan di dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) (Pindaan) 1984
Akta ini memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan sebatan sehingga enam sebatan.

Sebelum ini perbincangan diadakan untuk memberi kuasa lebih besar, namun perbincangan itu kelihatan sepi kembali, dengan tidak menampakkan potensi untuk merealisasikannya.

Berkahwin atau terbabit dalam upacara perkahwinan tanpa mematuhi prosedur undang-undang adalah kesalahan menurut undang-undang Syariah dan boleh dikenakan penalti, sama ada penalti berbentuk jenayah syariah atau penalti yang membawa kepada tindakan mal dan penalti tidak boleh daftar perkahwinan berkenaan.

Seksyen 36 dibaca bersama Seksyen 28 dan Seksyen 32 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan bahawa seseorang yang tidak dilantik oleh Sultan tidak boleh menyimpan daftar atau rekod sesuatu perkahwinan atau mengeluarkan sebarang dokumen perakuan perkahwinan (Surat Nikah).
Jika dia berbuat demikian, dia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500, penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kali pertama. Bagi kesalahan berikut boleh didenda tidak melebihi RM1,000, penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Seseorang yang melakukan apa-apa kekerasan atau ugutan untuk memaksa seseorang berkahwin yang bertentangan dengan kemahuan orang itu atau jika bertindak menghalang seseorang lelaki berumur 18 tahun atau seseorang perempuan berumur 16 tahun daripada berkahwin adalah melakukan kesalahan yang hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000, penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya (Seksyen 37).

Seseorang yang membuat pernyataan palsu untuk berkahwin boleh didenda tidak melebihi RM2,000, penjara maksimum setahun atau kedua-duanya (Seksyen 38).

Seseorang yang menjalankan akad nikah sedangkan dia tidak diberi kuasa menjalankannya juga adalah suatu kesalahan hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000, penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya (Seksyen 39 dan 40).

Seksyen 124 enakmen yang sama memperuntukkan hukuman kepada seseorang suami yang berpoligami tanpa kebenaran mahkamah iaitu denda tidak melebihi RM1,000, penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Dalam kes Muhamad Mat Diah melawan Pendakwa Syarie Kelantan di mana perayu disabitkan dan dihukum di atas empat pertuduhan di bawah seksyen 99 dan 100(1)(a) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan kerana mengakadnikahkan pasangan yang berkahwin tanpa diberi kuasa untuk berbuat demikian dan perkahwinan itu tidak mendapat kebenaran terlebih dulu.

Perayu mengemukakan pembelaan alibi antara lainnya dengan menunjukkan pasportnya bahawa beliau pergi ke Thailand sehari sebelum kejadian dan kembali sehari selepas kejadian. Mahkamah memutuskan bahawa mahkamah boleh menerima pasport sebagai dokumen kerajaan.

Bagaimanapun, orang yang bertanggungjawab mengecop tarikh masuk dan keluar seperti yang tertera di dalam pasport harus dipanggil sebagai saksi bagi menentukan kesahihan tarikh keluar masuk tertuduh ke Thailand.

Sungguhpun wujud peruntukan undang-undang yang mengenakan penalti terhadap pesalah yang melakukan kesalahan berhubung pra perkahwinan, namun masih banyak kesalahan ini dilakukan dengan sewenang-wenangnya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Malah masih terdapat banyak sindiket pernikahan sebegini di luar sana yang menjalankan aktiviti ini tanpa mengira tempat dan masa.

Persoalan juga timbul adakah pelaku kesalahan ini tidak dibawa ke muka pengadilan, walhal ada peruntukan undang-undang yang membolehkan tindakan diambil ke atas mereka.

Adakah disebabkan kadar penalti yang dikenakan amat rendah jika dibandingkan dengan kesalahan yang dilakukan, menyebabkan segelintir pihak berani untuk terus melakukannya memandangkan kebanyakan mereka yang melakukan kesalahan itu mampu untuk membayar penalti yang dikenakan terhadap mereka?

Melihat kepada era moden kini, penulis berpendapat pentingnya maklumat perundangan kekeluargaan didedah dan disebarkan kepada masyarakat.

Ini bagi membolehkan masyarakat lebih peka terhadap implikasi yang wujud terhadap sesuatu perkahwinan yang melanggar peruntukan undang-undang.

Secara tidak langsung perlanggaran ini akan menjejaskan institusi kekeluargaan Islam kerana perkahwinan tanpa mengikut prosedur tidak boleh didaftarkan, lebih malang lagi jika suami bersikap sambil lewa dan apa yang merisaukan sekiranya anak yang lahir nanti tidak diketahui statusnya.

Adalah wajar juga dilakukan penilaian semula terhadap bentuk penalti dan hukuman yang diperuntukan kepada Mahkamah Syariah supaya suatu hukuman dan penalti yang bakal dikenakan dapat memberi kesan mendalam kepada pesalah, seterusnya mencegah mereka mengulangi kesalahan yang sama.
- Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM

 Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM MUSA AWANG Oleh AIMAN ALI 19 Jun 2025, 4:58 pm PETALING JAYA: Persatuan Peguam S...