Sunday, January 3, 2010

Penghakiman Kes Kalimah Allah Mencalar Imej Raja-Raja Melayu



Penghakiman Kes Kalimah Allah Mencalar Imej Raja-Raja Melayu


Oleh : Musa Awang

Islam adalah agama tauhid yang mana konsep mengesakan Allah dalam Islam adalah jelas, sebagaimana maksud firman Allah dalam surah al-Ikhlas ayat 1 hingga 4 yang bermaksud : “Katakanlah (wahai Muhammad), (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa, Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat, Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan, dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya”.

Berbeza dengan ajaran Kristian, yang hanya percaya bahawa Pencipta dan Pentadbir Alam ini sekaliannya adalah Allah, tetapi dari sudut ibadah dan sifat, Allah terbahagi kepada 3 oknum atau zat, yang dikenali sebagai aqidah Triniti (Taslis). Bagi mereka Allah s.w.t itu terdiri daripada 3 zat yang bersatu iaitu Bapa ; Anak dan Ruh al-Qudus (Holy Spirit) yakni ilmu dan Hayat Allah. Menurut Kristian, Bapa adalah pencipta dan pentadbir alam, anak adalah kalimah Allah yang diturunkan ke bumi dalam perut Maryam (Isa al-Masih). Kepadanyalah diberi urusan al-Fada (Tebus Dosa). Ruh pula adalah sifat hidup dan ilmu Allah yang berpindah-pindah dari jasad Isa ke tubuh-tubuh Santos (Saints) dan kepadanya diberi urusan tathir (penyucian). Setiap satu oknum ini berdiri dengan sendiri dan ada tugas tersendiri dan setiap satunya mempunyai sifat ketuhanan yang sempurna. Namun, ketiga-tiga ini adalah tuhan yang satu kerana ketiga-tiganya bukan makhluk.

Keputusan Hakim Datuk Lau Bee Lan 31 Disember 2009 lepas yang membenarkan Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald-The Catholic Weekly merupakan suatu pukulan yang hebat bukan sahaja kepada agama Islam dan umat Islam malah mencalar imej Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam negara.

Islam adalah agama yang disebut secara jelas spesifik di dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebagai agama bagi Persekutuan, sudah pasti banyak kelebihan dan keistimewaan diberikan kepada Islam (Perkara 3(1)), Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Kerajaan Persekutuan diberi kuasa untuk mengurus dan menghulur bantuan kepada institusi Islam seperti masjid, sekolah agama dan juga bagi tujuan pembangunan syiar Islam. Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan Kerajaan Negeri berkuasa membuat undang-undang bagi mentadbir urusan agama Islam. Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan juga telah memberi pengiktirafan kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar kes-kes dan persoalan mengenai agama Islam dan Mahkamah Sivil tidak boleh campurtangan, membatalkan ataupun tidak menghiraukan keputusan Mahkamah Syariah.

Dalam Persekutuan, Yang Di Pertuan Agong ialah Ketua Negara, tonggak utama yang mengatasi semua orang dalam Malaysia. Diikuti oleh DYMM Raja Permaisuri Agong, kemudian Raja-Raja Melayu dan Yang Di Pertua Negeri. YDPA dipilih dari kalangan Raja-Raja Melayu, yang sudah pastinya beragama Islam. YDPA ialah seorang raja berperlembagaan yang dapat kita saksikan dari sumpah yang baginda lafazkan di hadapan Majlis Raja-Raja dengan disaksikan Ketua Hakim Negara. Dalam sumpah itu baginda berikrar dengan nama Allah (yang pastinya Allah bagi orang-orang Islam) akan memelihara Islam pada setiap masa. YDPA juga adalah ketua agama Islam bagi negerinya, Melaka, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak. Manakala Raja-Raja Melayu adalah ketua agama Islam bagi negeri-negeri masing-masing. Raja-Raja mempunyai kedudukan yang sama dengan YDPA sebagai ketua agama Islam di negeri masing-masing, dan baginda semua bertanggungjawab mempertahankan Islam sama sebagaimana sumpah YDPA.

Perkataan Allah adalah ekslusif dan sinonim dengan amalan umat Islam, sejak Islam mula bertapak di negara ini. Kesan dari keputusan Mahkamah Tinggi tersebut, umat Islam telah dibenarkan berkongsi menggunakan kalimah Allah bersama-sama penganut agama Kristian walhal sebagaimana yang dijelaskan di atas, konsep ketauhidan dalam ajaran Islam amat berbeza sekali dengan ajaran Kristian. Keputusan tersebut juga telah menyebabkan kekeliruan di kalangan masyarakat, dan secara tersurat telah mencalar imej YDPA yang mengangkat sumpah menggunakan nama Allah, serta mencalar imej YDPA sebagai ketua agama Islam bagi negerinya, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak serta mencalar imej Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam Negeri. Saya yakin dan pasti bahawa Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam tidak tega membiarkan umat Islam berkongsi menggunakan perkataan Allah dengan penganut agama lain.

Sebagai buktinya, keputusan tersebut telah membangkitkan kemarahan rakyat di setiap pelusuk negara. Maka kerajaan perlulah bersegera menyelesaikan perkara ini supaya ia tidak bertukar menjadi nanah dan bisa. Jabatan Perdana Menteri (JPM) perlu segera bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tersebut serta memohon penggantungan pelaksanaan terhadap keputusan tersebut bagi memastikan kesucian Islam di Malaysia terpelihara.

Pada masa yang sama, Majlis Agama Islam Negeri perlu bersegera menasihati Raja-Raja Melayu di negeri masing-masing berhubung kesan dan akibat keputusan tersebut terhadap Islam dan umat Islam. Mufti negeri-negeri juga perlu bersegera mengambil tindakan untuk mewartakan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang kali ke-82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 yang bersetuju bahawa lafaz “Allah” merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam sahaja.

Kalimah Allah bagi umat Islam bukan sekadar sebuah nama malah adalah penegasan mengenai keesaaan Allah yang tidak boleh disamakan dengan maksud yang hendak diguna oleh agama selain dari Islam. Kita khuatir nama Allah akan digunakan pada tempat yang tidak sesuai untuk merujuk kepada perkara lain dalam agama mereka. Tidak mustahil dalam penerbitan mengenai Kristian tersebut mereka akan menggunakan perkataan ‘rumah Allah’ untuk merujuk kepada gereja, atau ‘anak Allah’ untuk merujuk kepada Nabi Isa a.s sedangkan dalam Islam Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan. Tindakan-tindakan ini boleh menambah kekeliruan penganut agama Islam di negara ini.

- Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Boleh dihubungi melalui email maa46050@yahoo.com

No comments:

Post a Comment

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...