Sunday, January 3, 2010

Perokok adalah penjenayah Syariah



Perokok adalah penjenayah Syariah bagi negeri yang mewartakan fatwa pengharaman rokok

Oleh Tuan Musa Awang

Mulai 1 Januari 2010, kerajaan telah menetapkan harga minimum bagi rokok, iaitu RM6.40 bagi 20 batang, atau RM0.32 sen bagi setiap batang rokok, apabila Kementerian Kesihatan menguatkuasakan Peraturan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga menerusi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau(Pindaan)(No.2) 2009 yang diwartakan.

Langkah itu disambut baik kerana dapat menghindari golongan muda terutama para pelajar daripada membeli rokok. Sesetengah berpendapat, harga rokok perlu dinaikkan ke tahap yang paling tinggi, bagi membendung aktiviti merokok di kalangan masyarakat. Merokok dapat disamakan sebagai proses memasukkan bahan racun ke dalam tubuh secara sukarela oleh perokok. Tidak kurang dari 3,800 jenis racun akan disedut ke dalam tubuh semasa seseorang itu menghisap sebatang merokok. Pada masa yang sama, tidak kurang juga yang mengeluh, sudah pastinya si perokok.

Isu tentang bahaya rokok ini bukanlah suatu perkara baru. Beberapa fatwa telah dikeluarkan sebelum ini oleh ulama Islam antarabangsa seperti oleh Al-Marhum Mufti Saudi, Syeikh Abdul Aziz bin Baaz, Syeikh Abdullah Al-Masyd (Ketua Lembaga Fatwa Azhar), Dr. Ahmad ˜Umar Hashim (Naib Canselor Al-Azhar), Syeikh Ahmad as-Sunhawy al-Bahuty al-Anjalaby, Syeikh Al-Malakiyah Ibrahim al-Qaani dari Mesir, An-Najm al-Gazy al-Amiry as-Syafi’i dari Syria, dan ulamak Mekkah Abdul Malik al-Ashami, dan juga fatwa Dr Yusuf al-Qardhawi.

Merokok haram hukumnya berdasarkan makna dari zahir ayat Al-Qur’an dan As-Sunnah serta iktibar (logik) yang benar. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud, "Dan janganlah kamu mencampakkan dirimu sendiri dalam kebinasaan." Merokok termasuk perbuatan yang mencampakkan diri sendiri ke dalam kebinasaan. Sabda Baginda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadith sahih melarang membazirkan harta kepada hal-hal yang tidak bermanfaat. Membeli rokok bukan sahaja memperuntukan harta pada hal yang tidak bermanfaat, bahkan boleh membawa kemudaratan. Dalam hadith riwayat Ibnu Majah, Baginda s.a.w bersabda yang bermaksud "Tidak boleh (menimbulkan) bahaya dan tidak boleh pula membahayakan orang lain.". Firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 157 yang bermaksud, “Dihalalkan atas mereka apa-apa yang baik, dan diharamkan atas mereka apa-apa yang buruk (kotoran).” Rokok dan bau mulut perokok mengganggu orang lain, termasuk pada jamaah solat.

Sejak 23 Mac 1995, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKBHEAI) Kali Ke-37 telah memutuskan bahawa tabiat merokok itu adalah haram menurut pandangan Islam. Akta, Enakmen dan Ordinan Pentadbiran Undang-Undang Islam negeri-negeri memperuntukkan bahawa, suatu kenyataan oleh Mufti tidak boleh dikatakan sebagai fatwa dan tidak akan menjadi undang-undang yang mengikat (binding) melainkan jika ia telah dikeluarkan melalui prosedur yang telah ditetapkan di dalam Enakmen dan seterusnya disiarkan di dalam Warta. Penguatkuasaan fatwa adalah di bawah bidangkuasa negeri-negeri kerana pentadbiran undang-undang Islam terletak di bawah negeri. Di samping itu, tidak ada mana-mana negeri boleh dipaksa untuk menerima fatwa yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.


Perlanggaran terhadap fatwa yang telah diwartakan oleh pemerintah negeri adalah merupakan suatu kesalahan menurut undang-undang Jenayah Syariah. Semua negeri ada memperuntukkan hukuman kepada orang Islam yang melanggar fatwa, meskipun terdapat perbezaan dari segi jumlah hukuman. Pada tahun 1997, tiga orang gadis Islam yang memasuki pertandingan Ratu Cantik di Petaling Jaya Selangor, telah didakwa atas kesalahan melanggar fatwa negeri Selangor yang menyatakan bahawa adalah haram bagi wanita Islam menyertai apa-apa jenis pertandingan Ratu Cantik (Pendakwa Syarie lwn. Fahyu Hanim Ahmad dll. [2000] JS 8(1),137). Pada tahun lalu (2009), lelaki yang mendakwa sebagai Rasul Melayu, Kahar Ahmad telah didakwa kerana menghina pihak berkuasa agama, menurut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang menyebutkan, “Mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina kuasa yang sah, atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan:- (a) Duli Yang Maha Mulia Sultan atas sifat Baginda sebagai Ketua agama Islam ; (b) Majlis ; (c) Mufti, yang dinyatakan atau diberikan melalui fatwa, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.”

Di Kedah, seseorang yang melanggar Perintah DYMM Tuanku Sultan boleh dikenakan tindakan menurut Seksyen 32, Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 yang memperuntukkan bahawa “(1) Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan boleh, sebagai Ketua Agama Negeri, mengeluarkan apa-apa perintah, dari semasa ke semasa, berkaitan dengan perkara khusus yang tidak bertentangan dengan Hukum Syarak : Dengan syarat bahawa perintah itu hendaklah berkuatkuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan melalui pemberitahuan dalam Warta. (2) Mana-mana orang yang tidak mematuhi perintah di sub-seksyen (1) adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.”

Negeri Selangor telah mewartakan fatwa pengharaman rokok pada tahun yang sama fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 dikeluarkan. Kedah turut mewartakan pada tahun berikutnya. Maka orang yang menghisap rokok di negeri Selangor dan Kedah adalah pelaku jenayah Syariah yang boleh didakwa di bawah Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah kerana menghina pihak berkuasa agama, serupa dakwaan terhadap tiga peserta pertandingan ratu cantik dan Kahar Ahmad.

Sejak keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan MKBHEAI dikeluarkan pada tahun 1995, hanya negeri Selangor dan Kedah sahaja yang mewartakan fatwa tersebut. Apa sudah jadi dengan negeri-negeri lain? Adakah negeri lain tidak mengiktiraf fatwa peringkat kebangsaan yang dikeluarkan tersebut? Jika ya, apakah fungsi dan peranan sebenar MKBHEAI yang ditubuhkan semasa Persidangan Majlis Raja-Raja pada 1 Julai 1969 untuk memberi nasihat dan pengesyoran kepada Majlis Raja-Raja, Kerajaan Negeri atau Majlis Agama Islam Negeri atas apa-apa perkara berkenaan dengan perundangan, pentadbiran Agama Islam dan pelajaran Agama Islam, dengan tujuan mewujudkan penyelarasan yang berkesan dan seragam antara negeri-negeri dalam pentadbiran hal ehwal orang Islam di negara ini telah tercapai. Di manakah integriti dan kewibawaan Majlis di peringkat kebangsaan ini?

Fatwa rokok yang telah diisytiharkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sejak 15 tahun lalu itu perlu segera diwartakan oleh setiap kerajaan negeri jika pihak kerajaan benar-benar serius untuk menjaga kesejahteraan rakyat. Kita tidak dapat menerima alasan pihak-pihak yang masih melengah-lengahkan tindakan untuk mewartakan fatwa ini di peringkat kerajaan negeri, setelah lebih sedekad fatwa peringkat kebangsaan itu dikeluarkan. Kelengahan berterusan jika terus dibiarkan, boleh memberi gambaran buruk kepada imej Islam.

- Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sila layari http:www.peguamsyarie.org atau email ke maa46050@yahoo.com.

No comments:

Post a Comment

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...