Tuesday, August 24, 2010

Umat Islam ambil mudah isu makanan halal



Oleh Tuan Musa Awang

Berita Harian pada 28/07/2010

Pengusaha makanan hanya utama sambutan pelanggan Melayu bukan logo JAKIM, JAIN

PADA Jun lalu, akhbar melaporkan sebuah kilang di Taman Sutra, Sungai Petani, Kedah dikesan menjual produk bebola babi, yang diletakkan bercampur dengan makanan halal dalam sebuah peti sejuk besar. Pekerja kilang itu memakai baju dengan logo halal sedangkan pihak syarikat turut menjual babi.

Sebelum itu, pada Mei lalu, berpuluh-puluh pelanggan yang sedang menjamu selera di sebuah kedai nasi ayam terkenal di Bukit Bintang, tersentak apabila premis terbabit tiba-tiba diserbu pegawai penguat kuasa agama kerana didapati menggunakan logo halal palsu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pemilik premis yang sering dipenuhi umat Islam bagaikan sengaja cuba memperdaya pelanggan apabila memasang tiga logo halal JAKIM bersaiz besar di hadapan premis bagi menarik kedatangan orang ramai.

Dalam suasana masyarakat majmuk di negara ini, orang bukan Islam juga menjalankan perniagaan makanan seperti hotel, restoran serta kopitiam yang juga dikunjungi oleh orang Islam. Namun, sejauh manakah pengusaha hotel dan restoran ini menitikberatkan soal halal haram makanan disajikan?

Sebagai pelanggan, adakah kita juga memastikan dengan yakin makanan dihidangkan kepada kita halal untuk dimakan?

Saya pernah diajak seorang teman ke sebuah restoran bukan Islam. Apabila saya bertanya adakah makanan di restoran itu halal? Jawapan diberikan, “ala ramai orang Melayu makan di situ”, membuat saya berfikir banyak kali.

Mungkin ini sikap segelintir masyarakat Islam hingga ada pihak yang begitu mudah mengeksploitasi sehingga berlaku kes dinyatakan. Islam amat menitikberatkan makanan yang halal dan baik. Firman Allah bermaksud: “Wahai manusia, makanlah yang halal dan baik (thayiban) dari apa-apa yang ada di bumi, dan janganlah kalian ikuti langkah syaitan. Sungguh, syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Banyak orang berusaha sekuat tenaga untuk beribadah kepada Allah lalu mengangkat kedua tangannya seraya memohon, “Ya Allah! Ya Allah! kumohon pada-Mu, terimalah ibadahku.” Tetapi jika makanannya haram, minumannya juga haram, pakaiannya pun haram, bagaimana mungkin doa mereka itu akan dikabulkan?” (Hadis riwayat Muslim dan Tirmidzi)

Islam juga menyeru umatnya menjauhi perkara yang diragui halal atau haramnya seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Yang halal itu sudah jelas dan yang haram pun sudah jelas dan di antara kedua-duanya ada hal yang subahat (samar-samar, tidak jelas halal haramnya), kebanyakan manusia tidak mengetahui hukumnya. Barang siapa hati-hati dari perkara subahat, sungguh ia telah menyelamatkan agama dan harga dirinya.” (Hadis riwayat Muslim)

Saya pasti, sepanjang puasa Ramadan ini sudah pasti ramai umat Islam akan berkunjung ke hotel untuk berbuka puasa. Suatu yang menyedihkan apabila laporan mendedahkan bahawa hotel bertaraf lima bintang yang dimiliki pengusaha bukan Islam memiliki kesedaran minimum terhadap kepentingan untuk mendapatkan sijil halal bagi dapur mereka.

Faktor ini adalah penyebab nisbah hotel yang memiliki sijil halal ketika ini terlalu kecil berbanding jumlah keseluruhan hotel di negara ini. Hanya sejumlah 32 daripada 2,360 buah hotel di seluruh negara yang mempunyai sijil halal.

Hakikatnya masyarakat Islam boleh menggunakan kuasa kepenggunaan mereka untuk menghukum pengusaha, pengilang atau pengeluar makanan yang terbukti mengambil ringan isu halal haram dengan langkah memboikot produk mereka.

Begitu juga jika mereka menipu pengguna Islam dengan mempamerkan logo halal palsu. Tindakan ini seolah-olah mempersenda dan mempermainkan pengguna Islam. JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) adalah pihak dipertanggungjawabkan secara rasmi mengeluarkan sijil dan logo halal untuk makanan dan rumah sembelihan di negara ini.

Sebarang logo halal atau sijil pengesahan halal yang dikeluarkan pihak swasta tidak diiktiraf oleh kerajaan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengenai cadangan pindaan Akta Perihal Dagangan 1972, tepat pada masanya.

Pindaan itu bakal memperuntukkan hanya JAKIM dan JAIN diberi kuasa mengeluarkan sijil dan logo halal, serta pihak yang menipu pengguna dengan logo halal palsu bakal berdepan hukuman dua atau tiga kali ganda lebih berat berbanding hukuman sedia ada.

Mengikut Akta Perihal Dagangan 1972, mereka yang menggunakan logo halal palsu boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi individu, manakala bagi syarikat denda maksimum RM250,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

Namun persoalannya, adakah JAKIM atau JAIN sudah bersedia dengan bilangan kakitangan, prasarana atau peralatan canggih lain, untuk menjalankan tugas penguatkuasaan jika cadangan pindaan itu diluluskan?

Timbul juga persoalan, kenapa tidak diperuntukkan atau digubal suatu akta khusus yang mewajibkan semua pengusaha hotel memperoleh sijil halal daripada JAKIM atau JAIN?

Disarankan juga penggunaan sijil halal diperluaskan secara menyeluruh kepada semua pengusaha gerai makan, kantin, medan selera atau restoran sebagai prasyarat mendapatkan lesen pengendali makanan daripada pihak berkuasa tempatan.

Pada masa ini, pengesahan halal hanya dikeluarkan kepada pengusaha gerai atau pihak pengurusan medan selera atas permohonan pihak berkenaan, tetapi ia bukanlah suatu peraturan wajib. Jika pengusaha tidak memohon sijil halal, tiada tindakan boleh dikenakan ke atas mereka.

- Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) boleh dihubungi melalui e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com atau layari

Bukan Islam ada hak di Mahkamah Syariah



Oleh Tuan Musa Awang

Disiarkan di Berita Harian pada 25/08/2010.

PANEL tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Zainun Ali, yang bersidang bersama Hakim Datuk Abdul Wahab Patail dan Hakim Datuk Clement Allan Skinner memutuskan pertikaian mengenai status agama seseorang yang sudah memeluk Islam hanya boleh ditentukan secara eksklusif di Mahkamah Syariah, bukan Mahkamah Sivil.

Berdasarkan keputusan sebulat suara Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa menyemak dan membatalkan perintah Mahkamah Tinggi Syariah yang mengisytiharkan pendaki Everest, Sarjan M Moorthy seorang Islam yang dirayu bekas balunya, S Kaliammal.

Dalam penghakimannya, Hakim Zainun menyatakan, undang-undang sudah mengiktiraf perselisihan berhubung status agama seseorang Islam adalah bidang kuasa tunggal Mahkamah Syariah dan pihak berkuasa bagi agama terbabit lebih layak menentukan sama ada seseorang itu benar-benar penganut agama itu atau masih mengamalkan ajarannya.

Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah menentukan status agama seseorang dan Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa ke atas perkara itu.

Panel itu berpendapat, Kaliammal tidak dilarang mengemukakan permohonan di Mahkamah Syariah bagi mengetepikan perintah sebelah pihak secara adil berlandaskan undang-undang Syariah.

Memetik keputusan panel dalam kes ini, perayu tidak dihalang daripada membuat permohonan di Mahkamah Syariah untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi bagi membolehkannya (Mahkamah Syariah) membincangkan isu relevan dan memutuskannya dengan adil mengikut agama dan undang-undang Islam.

Meninjau sejarah kehakiman Islam, bukan Islam diberikan hak sama rata seperti umat Islam. Kisah perbicaraan antara Khalifah Ali selaku Amirul Mukminin ketika itu dengan seorang Yahudi perihal baju besi wajar dijadikan rujukan.

Diriwayatkan, pada satu malam Khalifah Ali kehilangan baju besinya. Semasa Khalifah Ali meronda di sebuah pasar, beliau terlihat baju besinya berada di antara barang jualan seorang lelaki Yahudi.

Apabila dituntut Khalifah Ali dengan mengatakan ia adalah baju besinya yang jatuh dari untanya di malam hari, lelaki Yahudi itu enggan mengaku dan menegaskan ia miliknya. Tuntutan Khalifah Ali kemudian dibawa ke pengadilan Qadhi Syuraih Ibn Harith Al-Kindi.

Semasa perbicaraan Qadhi Syuraih meminta Ali mendatangkan saksi untuk membuktikan baju besi yang ada pada lelaki Yahudi itu miliknya dan Khalifah Ali memberitahu kedua-dua anaknya, Hadan dan Hysain adalah saksinya.

Bagaimanapun, Qadhi Syuraih menolak kerana penyaksian anak terhadap bapanya dalam kes itu tidak diterima walaupun Khalifah Ali menegaskan kedudukan mereka sebagai ahli syurga seperti mana disebut Nabi Muhammad SAW.

Oleh itu, Qadhi Syuraih memberikan baju besi itu kepada lelaki Yahudi itu. Bagaimanapun, lelaki Yahudi itu akhirnya memeluk Islam kerana tindakan Khalifah Ali membawa kes itu ke mahkamah Islam dan diputuskan hakim pilihannya.

Lelaki Yahudi itu berkata: Amirul Mukminin Ali membawaku untuk diputuskan hukuman melalui mahkamahnya (Islam) dan Qadhi pilihannya. Qadhi pilihannya memutuskan sebaliknya. Aku bersaksi sesungguhnya agama ini adalah benar, lalu terus mengucap dua kalimah syahadah.

Kemudian, beliau memberitahu baju besi itu adalah milik Ali yang tercicir
pada malam hari tetapi Ali kemudian menghadiahkan baju besi kepada lelaki itu.

Jelaslah, bukan Islam boleh hadir di Mahkamah Syariah. Sehingga kini, semua enakmen negeri membabitkan undang-undang Islam memperuntukkan, Mahkamah Syariah hanya berkuasa mendengar dan memutuskan perkara orang Islam saja.

Tetapi ini tidak bermakna bukan Islam tidak boleh hadir di Mahkamah Syariah. Enakmen negeri membenarkan bukan Islam hadir di Mahkamah Syariah untuk memberi keterangan.

Seksyen 3 Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 561] mendefinisikan makna keterangan termasuk bayyinah, syahadah dan segala penyataan dibenarkan atau dikehendaki mahkamah dibuat saksi berhubungan fakta yang disiasat.

Al-Syahadah adalah keterangan lisan didahului dengan lafaz asyhadu yang dibuat dalam mahkamah oleh saksi yang memenuhi syarat. Namun, dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia, saksi bukan Islam juga relevan dalam keadaan tertentu.

Walaupun keterangan mereka tidak diterima sebagai al-syahadah tetapi Mahkamah Syariah masih boleh menerima keterangan mereka dalam konteks al-Bayyinah iaitu keterangan lisan yang dibuat saksi yang tidak memenuhi syarat sebagai seorang saksi menurut Islam.

Mereka terdiri daripada saksi bukan Islam atau saksi Islam tetapi fasik. Ini diperuntukkan mengikut seksyen 83 (2) akta berkenaan. Pemakaian peruntukan ini dilaksanakan dalam beberapa kes Mahkamah Syariah antaranya kes si mati Nyonya Tahir.

Akta 561 menerima ikrar atau pengakuan yang dibuat bukan Islam. Seksyen 18 akta itu tidak mensyaratkan orang yang membuat pengakuan beragama Islam. Dalam kes seperti hibah, wasiat, penjagaan anak, ikrar orang bukan Islam diterima dan mempunyai kuasa perundangan iaitu pengakuan itu akan mengikat dirinya.

Walau bagaimanapun, pengakuan salah orang bukan Islam mengenai kesalahan jenayah syariah seperti berjudi, berzina atau melakukan khalwat tiada kesan perundangan ke atas dirinya walaupun dilakukan bersama orang Islam kerana Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa jenayah ke atas orang bukan Islam.

Seksyen 33 Akta 561 memperuntukkan jika keterangan mengenai sesuatu perkara memerlukan khidmat pakar dalam bidang itu, tahap kepakaran tidak ditentukan berdasarkan agama atau tahap keadilannya.

Dalam hal ini, seorang doktor bukan Islam boleh memberi pendapatnya di Mahkamah Syariah dan ia dikira sebahagian dari al-bayyinah. Seorang bukan Islam juga boleh hadir ke Mahkamah Syariah untuk menentukan kesahihan sesuatu dokumen.

Sebagai mahkamah yang memperjuangkan keadilan yang menyeluruh, Mahkamah Syariah sewajarnya berperanan lebih luas seperti kisah Khalifah Ali, hakim syarie boleh mendengar keterangan dari pihak sama ada beragama Islam atau tidak. Mengecilkan skop keadilan hanya kepada pihak beragama Islam sebenarnya bertentangan dengan prinsip keadilan Islam.

- Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

Monday, August 23, 2010

Persoalan Semasa Tentang Talak



Ini adalah jawapan berdasarkan soalan yang dikemukakan kepada saya oleh Wartawan Utusan Malaysia, Puan Norazlita Mohd Sies dalam satu temuramah dengan saya tentang isu talak semasa.

Soalan:
---------

1. Terdapat 3 jenis talak yang ada dalam agama Islam apabila pasangan suami isteri memilih jalan untuk bercerai. Tetapi dalam ketiga-tiga talak tersebut mana satu talak yang mempunyai kewajaran jika dibandingkan antara satu sama lain.


Cerai atau talak dari segi maksud Syarak ialah melepaskan ikatan pernikahan dengan lafaz tertentu. Cerai adalah perbuatan yang haram hukumnya, kecuali bila keadaan memaksa dan sudah tidak ada lagi jalan keluar yang lain untuk menyelamatkan perkahwinan pasangan suami isteri, barulah halal hukumnya. Walaupun dihalalkan, ia tetap dibenci Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam hadith riwayat Abu Daud yang bermaksud : “Perbuatan halal yang teramat dibenci Allah, ialah talaq,” dan hadith “Tidak ada sesuatu yang Allah halalkan, tetapi Ia sangat membencinya, melainkan talaq.”

Islam memberikan kepada seorang muslim tiga talaq untuk tiga kali, dengan beberapa syarat. Antaranya, tiap kali talaq dijatuhkan, suami harus memastikan keadaan isteri dalam keadaan suci dari haidh. Suami sewenang-wenangnya tidak boleh menjatuhkan talak. Ini kerana, bila talaq dijatuhkan dalam keadaan isteri sedang haidh, maka hukumnya haram dan berdosa, meskipun tetap jatuh talaq juga.

Pada saat menjatuhkan talaq juga, seorang suami perlu pastikan isterinya dalam keadaan suci yang tidak disetubuhi sepanjang tempoh isterinya suci yang akhir. Maksudnya suami yang ingin menceraikan isterinya tidak boleh menyetubuhi isterinya sejak suci dari haidh sehinggalah saat suami mentalakkan isterinya. Suami juga perlu pastikan isteri tidak berada dalam keadaan mengandung, kerana talak dalam keadaan isteri mengandung akan memanjangkan tempoh iddah isteri tersebut, dan ia merupakan suatu penganiayaan kepada si isteri, sedangkan Islam menentang penganiayaan.

Walaupun Islam memberikan kuasa kepada suami untuk menjatuhkan talak sehingga 3 kali, namun talak yang paling wajar ialah talak rajie, yakni talak 1 atau talak 2 kerana dengan bilangan talak ini masih terdapat ruang untuk suami kembali kepada isteri, berbanding talak bain, iaitu talak 3 terus.

2. Apakah sebabnya agama Islam mengunjurkan talak 1, 2, 3. Mengapa diberikan pilihan sedemikian? Iaitu step by step.


Sebagaimana Islam memberikan hak untuk bercerai kepada rumahtangga yang tidak boleh diselamatkan yang menunjukkan keterbukaan Islam dalam menyelesaikan konflik rumah tangga, begitulah juga Islam bersikap terbuka dan masih memberi ruang dalam menyelamatkan sesebuah rumah tangga walaupun selepas berlaku perceraian, di mana disyariatkan adanya tempoh iddah selepas berlaku perceraian.

Antara tujuan beriddah adalah untuk menilai kembali kesilapan, menimbulkan penyesalan kerana keterlanjuran bertindak dan membolehkan pasangan suami isteri menyambung ikatan kasih sayang mereka sebagaimana sebelumnya melalui rujuk. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali, setelah itu bolehlah ia (rujuk dan) dipegang terus (isterinya) dengan cara yang sepatutnya (makruf) atau dilepaskannya (menceraikannya) dengan cara yang baik.” (al-Baqarah: 229).

Sebab itulah disyariatkan kalau hendak mentalakkan isteri, sebaiknya dengan talak rajie (1 dan 2) kerana dengan talak tersebut suami masih boleh merujuk isteri. Kalau talak 3 maka ruang atau pintu untuk kembali kepada isteri telah tertutup rapat. Maka dikhuatiri suami akan menyesal tak berkesudahan.

3. Apakah gambaran yang boleh dibuat kepada suami yang mengambil keputusan menceraikan isteri dengan talak 3 sekaligus? Misalnya : berpatah arang berkerat rotan dan yakin sebenar-benarnya bahawa dia tidak ingin untuk kembali lagi kepada bekas isterinya?

Dalam surah An-Nisa’ ayat 19 Allah SWT ada berfirman yang maksudnya: “Dan bergaullah dengan mereka (isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci (disebabkan tingkah lakunya) janganlah pula kamu terburu-buru menceraikannya, kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak untuk kamu.”

Ayat ini adalah ingatan kepada suami-suami supaya janganlah terburu-buru menceraikan isteri walaupun ada sikap isteri yang tidak disukai kerana ia mungkin ujian Allah kepada suami-suami ini. Ia juga satu petunjuk kepada suami bahawa masih banyak usaha yang perlu dijalankan oleh suami untuk mendidik dan mentarbiyah isteri, kerana wanita dijadikan seperti bentuk tulang rusuk yang bengkok, jika dibetulkan dengan kekerasan, maka tulang itu akan patah.

Walaupun seseorang suami itu yakin bahawa dia tidak berniat kembali lagi kepada bekas isterinya, tetapi tetap disyariatkan untuk diceraikan dengan talak rajie yakni talak yang masih boleh dirujuk, kerana kita tidak akan tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Menceraikan isteri dengan talak 3 sekaligus bermakna dia tidak boleh kembali lagi, dan si perempuan pun sudah tidak lagi halal buat si laki-laki tersebut, sehingga dia berkahwin dengan orang lain secara Syar`i.

Menjatuhkan talaq 3 dengan satu kali ucapan, bererti menentang Allah dan menyimpang dari tuntunan Islam yang lurus. Suatu ketika Rasulullah SAW pernah diberitahu tentang seorang laki-laki yang mencerai isterinya tiga talaq sekaligus. Kemudian Rasulullah berdiri dan marah, sambil bersabda : “Apakah dia mau mempermainkan kitabullah, sedang saya berada di tengah-tengah kamu? Sehingga berdirilah seorang laki-laki lain, kemudian dia berkata, "Ya Rasulullah! Apakah tidak saya bunuh saja orang itu!"(HR An-Nasa`i)

Jadi, setinggi mana pun tahap kemarahan anda sebagai suami kepada isteri, cubalah fikirkan memori indah bibit-bibit percintaan mula berputik, dan fikirkan juga kebaikan isteri anda, sebelum menjatuhkan talak ke atas isteri.

4. Mengapakah lelaki yang telah mengambil keputusan untuk menjatuhkan talak ke atas isteri-isteri mereka dinasihatkan supaya berfikir semasak-masaknya dan seringkali saya mendengar mahkamah menasihati si suami melafazkan talak satu yang berjumlah 1 talak? Sekalipun pemohon (suami) memberikan alasan dirinya mengidap penyakit yang tak mempunyai harapan sembuh namun tetap jugak dinasihatkan supaya melafazkan talak satu sahaja.

Ya, kerana Mahkamah Syariah adalah Mahkamah yang ditubuhkan berdasarkan undang-undang Syariah Islam, maka Hakim-Hakim di Mahkamah Syariah juga adalah terikat dan berperanan memartabatkan syariat Islam. Islam mengharuskan perceraian secara talak rajie, maka Hakim Syarie terikat dengan syariat dan juga perlu menasihati si suami melafazkan talak secara talak rajie. Jika perceraian berlaku di hadapan dan dengan kebenaran Mahkamah, maka situasi itulah yang berlaku di mana Hakim akan menasihatkan suami mentalakkan isteri dengan satu talak sahaja.

Lainlah kalau perceraian berlaku di luar Mahkamah, dan kes di bawa ke hadapan Mahkamah untuk pengesahan, maka Hakim perlu meneliti rukun-rukun lafaz talak itu dari segi hukum syarak dan mengsahkannya sahaja menurut Syarak. Jika suami lafaz talak 3, maka talak 3 lah yang disahkan. Kadang-kadang kes di bawa di hadapan Mahkamah di mana suami menceraikan isteri dengan talak 10, talak 100, 1000 atau sejuta, dan mahkamah akan mengsahkannya menurut Hukum Syarak, dengan mengambilkira pandangan-pandangan ulamak muktabar berhubung bab “at-talaq”.

5. Apakah dengan syor atau cadangan atau nasihat mahkamah ini bermakna kaum lelaki tidak bebas untuk memilih mana satu talak yang mereka mahu? Saya rasa jarang sekali kita mendengar mahkamah membenarkan permohonan perceraian kali pertama dengan talak 3 sekali gus. Mengapa?

Mahkamah tidak akan membenarkan suami menceraikan isterinya dengan talak 3 sekaligus, kerana ia tidak mengikut syariat Islam. Apalah erti kebebasan kepada suami untuk memilih jumlah talak, sekiranya pilihan itu bertentangan dengan syariat?

Dalam keadaan di mana jika sekiranya Hakim Syarie telah menasihatkan suami melafazkan talak 1 di hadapan Mahkamah, tetapi suami tetap menceraikan talak 3, maka ia adalah suatu kesalahan menurut undang-undang, iaitu kesalahan menceraikan suami tanpa kebenaran Mahkamah (walaupun dilakukan di hadapan Mahkamah) dan boleh diambil tindakan menurut undang-undang jenayah Islam. Ini kerana undang-undang menetapkan sesuatu lafaz talak itu perlu mendapat kebenaran Mahkamah terlebih dahulu sebelum ia diucapkan.

5. Lazimnya perpisahan atau perceraian terjadi disebabkan pasangan sudah tidak boleh lagi hidup bersama. Namun apabila perkara tersebut dirujuk kepada mahkamah, pasangan akan dinasihati supaya bermuhasabah diri masing-masing atau memikirkan kesilapan diri sendiri terlebih dahulu (melalui proses kaunseling) sebelum membenarkan perceraian. adakah dengan tindakan mahkamah Syariah bermakna pihak-pihak diberikan masa utk sama-sama mengkaji kelemahan dan memperbaiki segala masalah yang timbul.

Sebenarnya bukan semua yang bercerai itu mempunyai masalah yang besar atau tidak boleh diselamatkan lagi. Kadang-kadang disebabkan perkara yang remeh temeh dan boleh diselesaikan seperti pasangan meneruskan kebiasaan tingkah laku dan sikap yang tidak sesuai dengan alam perkahwinan, membiarkan pasangan membuat tindakan secara sendirian, kurang kefahaman terhadap agama berhubung dengan kehidupan suami isteri, cara hidup tidak mengikut syariat Islam seperti minum arak, judi, menyalahgunakan dadah, berzina dan sebagainya, masalah pengurusan komunikasi dengan pasangan dan keluarga, menghadapi masalah peribadi yang tidak dikongsi bersama, mempunyai personaliti seperti pemarah (emosional), cemburu buta, mendera dan mementingkan perasaan sendiri, menghadapi masalah kesihatan seperti nafsu seks yang terlalu tinggi atau lemah, lebih mementingkan kerjaya atau lain-lain kegiatan luar, tidak dapat mengawal pengaruh luaran daripada pergaulan (kawan-kawan), persekitaran dan keluarga dan sebagainya.

Namun punca utamanya adalah suami isteri tidak mencapai tujuan perkahwinan yang sebenarnya dalam erti kata tidak ada kebahagiaan rumah tangga.

Apabila kes di bawa ke Mahkamah, maka pihak-pihak perlu melalui prosedur perceraian yang telah ditetapkan. Islam telah menetapkan peraturan perceraian dengan begitu halus dan teliti agar tidak ada mana-mana pihak yang teraniaya, di mana setiap negeri di Malaysia menggunakan enakmen atau akta undang-undang keluarga Islam masing-masing.

Contohnya dalam Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 –

(1) Seseorang suami atau seseorang isteri yang hendak bercerai hendaklah menyerahkan suatu permohonan untuk perceraian kepada Mahkamah dalam borang yang ditetapkan, disertai dengan satu akuan mengandungi butir-butir mengenai perkahwinan itu dan nama, umur dan jantina anakanak, jika ada, hasil daripada perkahwinan itu ;

i) Butir-butir mengenai fakta-fakta yang memberi bidangkuasa kepada Mahkamah di bawah Seksyen 45;

ii) Butir-butir mengenai apa-apa prosiding yang dahulu mengenai hal ehwal suami isteri antara pihak-pihak itu, termasuk tempat prosiding itu;

iii) Suatu pernyataan tentang sebab-sebab hendak bercerai;

iv) Suatu pernyataan tentang sama ada apa-apa, dan jika ada, apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk mencapai perdamaian;

v) Syarat apa-apa perjanjian berkenaan dengan nafkah dan tempat kediaman bagi isteri dan anak-anak dari perkahwinan itu, jika ada, peruntukan bagi pemeliharaan dan penjagaan anak-anak dari perkahwinan itu, jika ada, dan pembahagian apa-apa aset yang diperolehi melalui usaha bersama pihak-pihak itu, jika ada, jika tiada sesuatu persetujuan tersebut telah tercapai, cadangan pemohon mengenai hal-hal itu; dan

vi) Butir-butir mengenai perintah yang diminta.

Perkara (iv) iaitu samada apa-apa langkah yang telah diambil untuk mencapai perdamaian adalah suatu keperluan dalam Seksyen ini. Maka disebabkan ia adalah suatu keperluan, sebab itulah Mahkamah akan bertanya kepada pasangan yang hendak bercerai. Namun bukanlah disyaratkan mereka perlu menjalani kaunseling secara formal. Ia masih boleh diterima walaupun perbincangan di peringkat kedua belah keluarga atau perbincangan antara peguam.

Semua ini bertujuan untuk memastikan pihak-pihak telah berfikir semasak-masaknya keputusan yang telah dibuat, untuk memelihara pasangan agar tidak mempermudahkan talaq selain memudahkan isteri menuntut hak-hak selepas perceraian atau membuat isteri apabila ingin berkahwin lain apabila tamatnya tempoh iddah.

6. Mengapa Allah memberikan alternatif kepada hambanya khususnya kaum lelaki yang mempunyai kuasa talak yang tidak diberikan kepada kaum wanita?

Allah memberikan alternative kepada kaum lelaki sebagai pemimpin bagi kaum wanita, yang boleh berfikir dengan waras berbanding kaum wanita. Sebagaimana firman Allah dalam surat An-Nisa’, bermaksud “Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita. Sebab, Allah telah melebihkan sebagian mereka (laki-laki) atas sebagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta-harta mereka. Oleh karena itu, wanita-wanita yang salih ialah yang mentaati Allah lagi memelihara diri di belakangan suaminya karena Allah telah memelihara (mereka). Sementara itu, wanita-wanita yang kalian khawatiri perbuatan nusyĆ»z-nya, nasihatilah mereka, pisahkanlah mereka dari tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Akan tetapi, jika mereka menaati kalian, janganlah kalian mencari-cari jalan untuk untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Agung.” (Surah an-Nisa’ [4] : 34).

Kaum lelaki adalah pihak yang memegang tanggungjawab atas kelangsungan bahtera rumah tangga. Kaum lelaki juga yang memberikan maskahwin (mahar) secara penuh kepada si isteri sewaktu dinikahinya, nafkah, nafkah selama tempoh iddahnya isteri jika ditalak. Jika talak dipegang oleh kaum wanita tentu terjadi penzaliman yang jelas terhadap kaum lelaki, oleh karena itulah hak talak diserahkan sepenuhnya kepada kaum lelaki.

Dari segi logik akal, sebagai contoh, jika dibolehkan wanita menceraikan suaminya, tentu wanita akan menjatuhkan talak sebelum si suami menyentuhnya pada malam pertama lagi, walhal suami telah mengeluarkan maskahwin dan biaya lainnya untuk terjadi akad itu. Wanita juga akan mendapatkan maskahwin semuanya setelah disetubuhi oleh suaminya dan separuh dari maskahwin, jika diceraikan sebelum suami mensetubuhinya. Jika talak di tangan wanita, sebelum disetubuhi wanita akan menceraikan suami dan mendapat separuh maskahwin. Tidakkah dalam keadaan demikian kaum wanita akan memakan harta orang lain secara bathil dan zalim? Sedangkan perkara ini ditegah oleh Islam. Oleh sebab itulah kuasa talak itu diberikan kepada kaum lelaki.

Dari segi psikologi, kaum wanita juga cepat terbawa perasaan dan emosi ketika menghadapi permasalahan, berbanding kaum lelaki. Kaum wanita juga kadang-kadang terbawa-bawa dengan keadaan biologi dan tubuh badan dirinya yang menghadapi putaran haid, mengandung dan sebagainya. Jika hak talak berada di tangan kaum wanita sudah tentu akan mudah sekali terjadi ribut atau badai dalam rumah tangga. Rumah tangga dan akad pernikahan tentu akan cepat terlerai. Akibatnya masyarakat Islam akan cepat hancur lebur, akibat lafaz talak dari kaum wanita tanpa berfikir secara matang.
Oleh itu, Islam sangat menjaga keutuhan dan keharmonian rumah tangga dengan memberikan hak talak kepada kaum lelaki serta menjadi pelindung atas kaum wanita. Kaum lelaki lebih dapat mengendalikan perasaan, fikiran, menempatkan diri dan mengawal sikap jika dihadapkan dengan berbagai permasalahan rumit.

Jika kaum lelaki sebagai pemegang kuasa talak itu tidak memanfaatkan sebaik-baiknya kuasa yang diberikan, menjatuhkan talak dengan sewenang-wenangnya dan tidak mengikut syariat yang telah ditetapkan oleh Islam, maka taraf kaum lelaki seperti itu adalah lebih rendah berbanding kaum wanita.


BERALIH PULA KEPADA ISU PENGESAHAN LAFAZ CERAI DI LUAR MAHKAMAH:
-------------------------------------------------------------------------------------
1. Adakah seseorang (khususnya pihak ketiga) yang sekadar terdengar lafaz cerai diucapkan oleh seseorang suami mempunyai locus standi untuk memfailkan pengesahan lafaz cerai di mahkamah syariah? Adakah peruntukkan undang-undang Syariah yang membenarkan untuk berbuat demikian?

Misalnya: Lisa dan Aziz pasangan suami isteri. Tiba-tiba satu hari, Zaiha mendakwa kononnya dia terdengar Aziz melafazkan talak ke atas Lisa sedangkan Lisa tidak tiada pengetahuan mengenai lafaz cerai terhadap dirinya. Adakah Zaiha mempunyai locus standi untuk memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai yang didakwa telah didengar oleh beliau bagi pihak Aziz. Walhal Aziz yang lebih wajar untuk memfailkan permohonan tersebut kerana dia yang melafaz kan cerai?

Peruntukan tentang kuasa Mahkamah Syariah untuk membuat suatu perintah perceraian terdapat dalam enakmen undang-undang keluarga Islam setiap negeri. Mengambil contoh, kuasa Mahkamah untuk membuat suatu perintah mengenai perceraian diperuntukkan dalam Seksyen 45 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 (Enakmen No. 2/2003), yang berbunyi :-

“Kecuali sebagaimana diperuntukkan selainnya dengan nyata, tiada apa-apa jua dalam Enakmen ini membolehkan Mahkamah membuat sesuatu perintah perceraian atau perintah mengenai perceraian atau membenarkan seseorang suami melafazkan talaq kecuali— (a) jika perkahwinan itu telah didaftarkan atau disifatkan sebagai didaftarkan di bawah Enakmen ini; atau (b) jika perkahwinan itu telah dilangsungkan mengikut Hukum Syarak; dan (c) jika permastautinan salah satu pihak kepada perkahwinan pada masa permohonan itu diserahkan adalah dalam Negeri Selangor.”

Manakala kuasa mengesahkan lafaz cerai yang berlaku di luar sebagaimana dalam Seksyen 57 Enakmen tersebut memperuntukkan :-

(1) Walau apa pun seksyen 55, seseorang yang telah menceraikan isterinya dengan lafaz talaq di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah, hendaklah dalam masa tujuh hari dari pelafazan talaq itu melaporkan kepada Mahkamah. (2) Mahkamah hendaklah mengadakan siasatan untuk memastikan sama ada talaq yang dilafazkan itu adalah sah mengikut Hukum Syarak. (3) Jika Mahkamah berpuashati bahawa talaq yang telah dilafazkan itu adalah sah mengikut Hukum Syarak, maka Mahkamah hendaklah, tertakluk kepada seksyen 125— membuat perintah membenarkan perceraian dengan talaq; (b) merekodkan perceraian itu; dan (c) menghantar salinan rekod itu kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar bagi pendaftaran.

Menurut kehendak undang-undang, lafaz talak di luar Mahkamah perlu disahkan oleh samada suami atau isteri tersebut dalam tempoh tujuh hari dari tarikh lafaz talak. Mahkamah kemudiannya akan mengadakan siasatan samada lafaz talak itu sah atau tidak menurut kehendak Hukum Syarak. Jika sah, maka Mahkamah hendaklah memerintahkan lafaz perceraian itu didaftarkan oleh Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam.

Dari segi teori dan bacaan undang-undang menurut Undang-Undang Keluarga Islam, tidak pula terdapat peruntukan yang membolehkan seseorang yang bukan pasangan suami isteri atau pihak ketiga mempunyai locus standi atau boleh mendaftarkan untuk mengesahkan lafaz talak tersebut, walaupun pihak ketiga itu sendiri mendengar lafaz talak tersebut dengan jelas.

Namun, dalam keadaan-keadaan tertentu yang istimewa, ia dibolehkan, sebagaimana penjelasan saya berikutnya.

2. Bolehkah mahkamah menerima atau mempertimbangkan permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan oleh pihak ketiga? Apakah keadaan-keadaan istimewa yang membolehkan mahkamah membenarkan permohonan sedemikian? Adakah ia semata-mata kerenah birokrasi atau memang ditetapkan oleh hukum Syarak?


Jika dirujuk kepada Undang-undang Keluarga Islam, mungkin tidak kelihatan ada ruang untuk Mahkamah mendengar permohonan pihak ketiga untuk mengesahkan lafaz cerai suami isteri yang tidak ada kaitan dengan dirinya. Namun dari segi Hukum Syarak, kuasa Mahkamah tidak dihadkan oleh semata-mata undang-undang yang sedang berjalan. Jika Mahkamah melihat perkara itu wajar menurut Hukum Syarak, Mahkamah boleh menggunakan kuasa sedia ada Mahkamah menurut Seksyen 245 (2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Selangor 2003 yang memperuntukkan – "Jika terdapat lakuna atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata oleh Enakmen ini, Mahkamah hendaklah memakai Hukum Syarak”

Dalam sesetengah keadaan pengesahan memang terpaksa dipohon oleh pihak ketiga seperti dalam tindakan faraid bagi menafikan perwarisan isteri yang telah diceraikan sebelum kematian (tetapi belum disahkan). Namun pada pendapat saya, pihak ketiga itu mesti ada hak, kepentingan atau locus standi untuk memulakan tindakan atau kes, dan bukan sebarang pihak ketiga yang boleh memulakan saman atau tindakan, bagi mengelak penyalahgunaan proses Mahkamah oleh mana-mana pihak.

Yakni dalam keadaan pelafaz talak (suami) itu sendiri telah meninggal dunia atau tidak mampu atau uzur untuk hadir ke Mahkamah bagi mengesahkan lafaz tersebut, maka saya melihat hukum Syarak membenarkan pihak ketiga untuk bertindak membawa ke muka pengadilan tentang lafaz yang berlaku tersebut, kerana jika dia tidak bertindak, berkemungkinan akan berlaku kezaliman atau pengabaian hak atau memakan harta waris atau harta orang lain secara tidak sah dan bathil.

Saya tidak dapat mengulas lanjut tentang perkara ini kerana masih ada kes yang masih dalam proses prosiding Mahkamah, ditakuti akan menyebabkan prejudis kepada mana-mana pihak. Kita tunggulah keputusan Mahkamah berkenaan perkara ini.

3. Adakah isteri yang diceraikan dengan talak 3 tidak berhak menuntut nafkah dalam iddah. Adakah ini adil untuk isteri yang diceraikan tanpa sebab yang kukuh? Bolehkan bekas suami atas dasar belas kasihan memberikan hibbah (anugerah, pemberian atau hadiah) dalam bentuk harta benda kepada bekas isterinya itu.

Nafkah iddah bagi isteri yang diceraikan dengan talak 3 (talak bain) adalah seperti berikut:

1) Isteri yang tidak hamil hanya berhak mendapat tempat tinggal sahaja.

2) Isteri yang hamil berhak mendapat tempat tinggal dan nafkah (makan minum).
Sekiranya bekas suami atas dasar kasihan memberikah hibbah atau hadiah kepada isteri, ia adalah satu perkara baik dan digalakkan untuk dilakukan sebagai seseorang yang menghargai jasa, bakti dan keringat yang pernah dikorbankan oleh bekas isteri dalam perkahwinan mereka. Sesuatu yang baik, dengan niat yang baik walaupun sekecil-kecil zahrah nilaiannya pada mata kasar kita, namun akan mendapat pahala di sisi Allah, dan ganjarannya adalah syurga. Firman Allah yang bermaksud “Sesiapa yang mengerjakan kebaikan sekalipun sebesar zahrah, maka ia akan mendapat balasannya, dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan sekalipun sebesar zahrah, juga akan mendapat balasannya.”

Wallahu'alam bi as-sawaab

Fatwa modul ESQ perlu seragam

Oleh Tuan Musa Awang

Disiarkan di Berita Harian pada 14/07/2010

Majlis fatwa mesti selesai isu segera untuk elak kekeliruan umat Islam

APABILA berita pengharaman modul program motivasi dan kepemimpinan anjuran ESQ Leadership Center Sdn Bhd (ESQ) oleh Mufti Wilayah Persekutuan minggu lalu, saya menerima banyak panggilan telefon dan emel bertanyakan perkara itu.

Bagi menyelaraskan pengeluaran fatwa di negara ini, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ditubuhkan pada 1970 di bawah peruntukan Perkara 11 Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Fungsi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan adalah menimbang, memutus dan mengeluarkan fatwa mengenai perkara berkaitan agama Islam yang dirujuk kepadanya oleh Majlis Raja-Raja, menyentuh masalah keagamaan berkaitan hal-ehwal umat Islam Malaysia secara keseluruhannya.

Jawatankuasa turut membincangkan masalah keagamaan di sesuatu negeri yang berlaku di negeri lain atau masalah keagamaan yang bersifat tempatan dan daerah dikemukakan ahli jawatankuasa negeri.

Jawatankuasa ini dianggotai pengerusi yang dilantik, mufti setiap negeri, lima orang ulama yang dipilih dan dilantik oleh Majlis Raja-Raja dan seorang ahli yang beragama Islam dari Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-Undang atau profesion undang-undang yang dipilih dan dilantik Majlis Raja-Raja.

Pengeluaran hukum atau pandangan syarak oleh jawatankuasa ini melalui dua cara, pertama ialah apabila Mesyuarat Majlis Raja-Raja menitahkan supaya diputuskan sesuatu hukum atau pandangan syarak mengenai sesuatu isu yang timbul dalam masyarakat.

Mesyuarat jawatankuasa akan diadakan dan setelah memperoleh hukum atau pandangan syarak, maka ia akan dirafa’kan kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja melalui Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia.

Hukum atau pandangan syarak itu akan dibawa kepada Jawatankuasa Fatwa/Perundingan Syarak Negeri tanpa boleh dipinda dan seterusnya akan diwartakan oleh negeri berkenaan sebagai fatwa.

Cara kedua ialah tanpa arahan Mesyuarat Majlis Raja-Raja, iaitu melalui permohonan daripada masyarakat Islam atau pihak tertentu. Isu dikemukakan akan dikaji, disediakan satu kertas kerja berkaitan dan kemudian dibentangkan dalam Mesyuarat Panel Kajian yang ditubuhkan.

Seterusnya, satu kertas kerja berserta keputusan Mesyuarat Panel Kajian akan dibentangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa. Keputusan diputuskan dalam muzakarah ini akan dipanjangkan ke Jawatankuasa Fatwa/Perundingan Syarak Negeri.

Keputusan muzakarah ini tidak mengikat kerajaan negeri, namun ia sebagai majlis diskusi bagi menyeragamkan fatwa membabitkan kepentingan seluruh persekutuan.

Berbalik kepada ESQ, ia bukanlah pertubuhan dakwah atau kumpulan tarikat, tetapi sebuah syarikat yang menawarkan kursus motivasi dan kepemimpinan yang mengadunkan kepakaran berpidato tenaga pengajarnya dengan teknologi moden seperti layar besar, kesan bunyi serta pencahayaan.

ESQ kini bersifat nasional kerana ia diadakan di seluruh negara. Dilaporkan ia disertai 65,000 orang termasuk orang kenamaan, tokoh agama, korporat dan pegawai kerajaan.

Saya melihat fatwa yang dikeluarkan membabitkan akidah umat Islam secara keseluruhan. Akidah ialah perkara penting, bukan bersifat furu’ seperti fatwa pengharaman rokok yang masih belum diwartakan melainkan di Selangor, Kedah dan Pahang.

Kesan fatwa yang dikeluarkan bukan saja terhadap penduduk Wilayah Persekutuan, tetapi juga seramai 65,000 orang yang pernah mengikuti program ini termasuk dari luar Wilayah Persekutuan.

Apakah akidah mereka juga tersasar seperti mana yang dikatakan wujud penyelewengan akidah dalam ESQ? Bagaimana pula dengan akidah beberapa orang kenamaan, tokoh agama dan korporat yang pernah mengikuti program ini?

Sesuatu fatwa hanya diwartakan selepas kajian mendalam dilakukan berhubung isu terbabit dan ia perlu bersifat al-yakin. Melihat kepada kronologi pengeluaran fatwa itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa kali ke-90 pada 1 Mac 2010 belum membuat sebarang keputusan berhubung ESQ kerana menganggap hasil siasatan dan kajian sebelum itu masih bersifat dzanni.

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa pada 14 April lalu membuat rumusan awal bahawa hasil penemuan panel pemantau ESQ masih bersifat dzanni, masih boleh dijelaskan. Bagaimanapun, pada 17 Jun baru-baru ini, fatwa berkenaan ESQ diwartakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan.

Walaupun Seksyen 34, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505), memberi kuasa budi bicara kepada mufti mengeluarkan fatwa adakah ia boleh dibuat mendahului keputusan belum dibuat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan?

Jika mufti negeri mendahului Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, di manakah peranan Jawatankuasa Fatwa dalam menyeragamkan pengeluaran fatwa di negara ini?

Lebih mengelirukan, fatwa diwartakan mendapat reaksi sebaliknya daripada beberapa mufti dan bekas mufti yang juga ahli atau bekas ahli dalam Jawatankuasa Fatwa yang menyatakan tiada unsur penyelewengan dalam program itu.

Reaksi ini menggambarkan seolah-olah fatwa dikeluarkan lebih bersifat ijtihad individu, melawan arus dan bertentangan pendapat majoriti. Lebih malang, fatwa itu menggambarkan panel syariah ESQ terdiri daripada bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan bekas mufti termasuk penasihat agama kepada Sultan Johor memberi nasihat yang salah dan menyeleweng.

Jika benar modul ESQ menyelewengkan akidah umat Islam, kenapa ia hanya diharamkan di Wilayah Persekutuan, tetapi halal di negeri lain. Adakah soal menentukan akidah, Islam atau tidak dan halal haram sesuatu perkara itu hak Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan saja?

Seksyen 36 akta sama memberikan kuasa kepada mufti meminda, mengubahsuai atau membatalkan fatwa yang dikeluarkan menurut Seksyen 34 akta itu. Jika perlu, peruntukan ini boleh dimanfaatkan bagi mengelakkan kekeliruan umat Islam.

Perkembangan ini, jika tidak ditangani segera, bukan saja mengelirukan, malah boleh menjatuhkan kewibawaan institusi fatwa di negara ini, sebagai penasihat utama kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

- Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Saturday, August 21, 2010

Keratan akhbar - Pinda Akta 355 jika mahu laksana hudud: PGSM

Sinar Harian 20 Ogos 2010

SHAH ALAM- Kerajaan Kelantan perlu meminda Akta 355, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 terlebih dahulu jika mahu melaksanakan hukum hudud di negeri itu.

Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, akta itu perlu dipinda terlebih dahulu dengan mendapatkan kelulusan daripada suara majoriti di Parlimen.

“Selagi ia tidak dipinda, tindakan untuk melaksanakan hukum hudud itu tidak ubah seperti omongan kosong dan percakapan politik sahaja.

“Setakat ini, bidang kuasa Enakmen Jenayah Syariah Negeri ialah mengenakan denda tidak lebih RM5000, penjara tidak lebih tiga tahun atau sebatan tidak melebihi enam kali terhadap kesalahan tertentu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan berkata, hukuman itu tidak boleh dilaksanakan kerana menurut tuntutan Perlembagaan Persekutuan, negeri tidak mempunyai kuasa terhadap undang-undang jenayah.

“Ada undang-undang tersendiri yang termaktub di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

“Undang-undang jenayah adalah di bawah bidang kuasa undang-undang persekutuan, bukan di bawah kerajaan negeri dan keputusan terhadapnya terletak di bawah kuasa Parlimen,” katanya.

Thursday, August 19, 2010

Usah kaitkan bai`ah dengan taklik

Berita Harian, 19 Ogos 2010

Oleh Tuan Musa Awang.

Sebelum ini timbul polemik tentang sebuah parti politik yang mengadakan bai’ah secara taklik talak tiga bagi menghalang calon-calon wakil rakyat melompat parti selepas pilihanraya. Saya tidak mahu mengupas isu ini dari sudut politik, tetapi dari perspektif perundangan.

Bai’ah merupakan suatu sumpah atau janji yang dibuat oleh seseorang untuk memberi sepenuh ketaatan dan kesetiaan, kepada amir atau ketuanya. Berbai’ah adalah harus selama sumpah dan janji dalam bai’ah tersebut tidak melanggar Hukum Syarak. Sejarah bai’ah pertama berlaku sebelum hijrah Nabi s.a.w, iaitu pada tahun ke-12 selepas kerasulan Nabi (621M). Satu rombongan dari Yathrib (Madinah) yang terdiri dari 12 orang iaitu 10 orang dari kabilah Aus dan 2 orang dari kabilah Khazraj telah datang menemui Rasulullah s.a.w. di lembah Aqabah, Mina. Mereka telah berbai’ah dengan Rasulullah s.a.w dengan suatu bai’ah yang dikenali dengan Bai’ah al-Aqabah.

Menurut sebuah hadith sahih riwayat Imam al-Bukhari, bahawa ”Dari Ubadah bin al-Samit r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda kepada kami ketika ia dikelilingi oleh beberapa orang sahabatnya “Berbai’ahlah (berjanji setia) kepadaku bahawa kamu tidak menyekutu Allah SWT dengan sesuatu yang lain, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anak kamu, tidak berbohong yang sengaja diadakan sama ada pada dirimu atau orang lain dan jangan kamu derhaka dalam perkara baik. Maka sesiapa yang setia dikalangan kamu maka ganjarannya di sisi Allah, dan sesiapa yang terkena kepadanya amalan-amalan buruk lalu ia menerima tindakan hukuman di dunia maka menjadi kifarah baginya. Sesiapa yang terkena kepadanya dengan mengerjakan perkara-perkara itu kemudian Allah SWT melindunginya dari diketahui oleh orang di dunia ini maka tersershlah kepada Allah. Jika Ia kehendaki nescaya diampuni-Nya dan jika Ia kehendaki nescaya dihukumNya lalu kamu pun berbai’ah di atas perkara ini.”

Rombongan ini bukan sahaja melafazkan ikrar dua kalimah Syahadah, malah berakujanji menerima segala hukum hakam Islam yang menjadi asas penting bagi pembinaan individu dan masyarakat Islam, dari aspek aqidah, akhlak dan perlaksanaan Islam di dalam semua bidang, menolak segala perlakuan di zaman Jahiliyyah. Selepas Bai’ah Aqabah ini, Baginda s.a.w telah mengutus Mus’ab bin Umair r.a mengiringi kepulangan rombongan ini ke Madinah, bertanggungjawab sebagai guru, imam dan pendakwah, mengajar al-Quran dan ajaran-ajaran Islam yang lain kepada penduduk Madinah.

Pada musim haji tahun berikutnya (622M), sejumlah 70 orang lelaki dan 2 orang wanita (Nusaybah binti Ka’ab dan Asma’ binti Amru bin Udiy) telah sekali lagi bertemu Rasulullah s.a.w di lembah Aqabah dan melakukan bai’ah terhadap Rasulullah s.a.w. Rombongan kedua ini disertai oleh wakil daripada kabilah masing-masing, termasuk kabilah Aus dan Khazraj.

Butir-butir bai’ah tersebut sebagaimana diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah, sabda Nabi s.a.w :- "Dengar dan patuh sama ada semasa rajin atau malas, sanggup mengeluarkan belanja semasa susah atau senang, menyuruh melakukan kebaikan dan melarang kemungkaran, menegakkan tanggungjawab Allah tanpa menghiraukan celaan orang yang mencela, menolong aku apabila aku datang kepadamu dan mempertahankan aku sebagaimana kamu mempertahankan diri, isteri dan anak pinak kamu. Dan untuk kamu balasannya syurga."

Bai'ah Aqabah kedua ini dikenali sebagai Bai'ah Aqabah Al-Kubra yang berlangsung dalam suasana penuh perasaan cinta, kesetiaan, belas kasihan, tolong-menolong, kepercayaan, keberanian dan nekad untuk berjuang di kalangan orang Mukmin.

Manakala ta’lik, dari istilah bahasa bermaksud ‘gantung’ atau ‘sangkut’. Dalam konteks hukum fiqh, ta’lik ialah ‘mengaitkan berlakunya sesuatu hal dengan sesuatu syarat yang ditetapkan. Taklik talak pula ialah ‘mengaitkan berlakunya talak atau perceraian apabila terjadi atau berlaku sesuatu syarat yang dilafazkan. Hukum membuat lafaz taklik talak adalah harus.

Asas bagi talak taklik yang menjadi amalan di Malaysia ialah janji yang telah dibuat oleh suami selepas majlis akad nikah, yang mana suami membuat janji tidak akan melanggar syarat-syarat yang telah dipersetujui oleh pihak-pihak dalam perjanjian selepas perkahwinan tersebut. Berdasarkan Seksyen 50 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, Mahkamah Syariah berbidangkuasa mengsahkan suatu lafaz taklik yang dibuat oleh suami selepas majlis akad nikah. Isteri yang perlu memulakan prosiding dengan membuat aduan kepada Mahkamah. Selepas Mahkamah mensabitkan aduan tersebut, maka gugurlah talak sebagaimana dalam perjanjian mereka itu.

Namun terdapat juga keadaan di mana lafaz ta’lik talak dibuat selain dari sighah yang dilafazkan selepas akad nikah tersebut. Ia diklasifikasikan sebagai cerai luar Mahkamah, menurut peruntukan Seksyen 57 Enakmen yang sama. Lafaz bai’ah secara taklik talak ini adalah termasuk dalam kategori ini. Mahkamah Syariah yang berbidangkuasa mengsahkan samada telah berlaku perlanggaran terhadap syarat dalam lafaz taklik itu atau tidak. Prosiding cerai luar Mahkamah ini boleh dimulakan samada oleh isteri atau suami. Namun beban pembuktian cerai luar Mahkamah secara taklik talak terletak ke atas bahu isteri, yang perlu membuktikan dua elemen berikut:

1. Kewujudkan lafaz talak secara bertaklik oleh suami ;

2. Bahawa suaminya telah melanggar syarat dalam lafaz taklik tersebut, dengan mengemukakan saksi-saksi, atau dokumen atau dengan pengakuan suami itu sendiri.

Samada sesuatu talak itu gugur atau tidak tertakluk kepada penyempurnaan rukun-rukun talak dan syarat-syarat setiap rukun tersebut. Dalam mazhab Shafie, rukun talak ada lima iaitu Pentalak ; Sighah ; Mahl (isteri) ; Wilayah (ada kekuasaan) dan Qasad. Pentalak disyaratkan seorang yang mukallaf (baligh dan berakal) serta tidak dipaksa. Syarat Sighah ialah kehendak berlafaz dengan talak walaupun tanpa niat. Mahl (isteri) disyaratkan isteri yang sah kepada suami yang mana sekaligus suami mempunyai Wilayah (kekuasaan) untuk menjatuhkan talak ke atasnya. Qasad iaitu niat, bagi lafaz soreh (jelas) tidak berkehendakkan kepada niat. Menurut Kitab Kifayah al-Akhyar, bab talak ada menyebutkan bahawa : “Talak itu ada 2 jenis iaitu talak soreh (jelas) dan talak kinayah (sindiran). Talak soreh itu ada 3 lafaz iaitu talak, firaaq (cerai) dan saraah (lepas). Talak dengan lafaz soreh tidak memerlukan niat (untuk menjadikannya gugur).”

Perkataan talak atau cerai adalah perkataan yang tidak boleh diperlakukan sesuka hati. Jika dilakukan dalam keadaan bergurau sekalipun jatuh talak, apatah lagi dalam keadaan sedar dan waras. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :- “Tiga perkara yang sungguh-sungguh jadi sungguh-sungguh dan main-main dikira sungguh-sungguh iaitu nikah, talak dan rujuk.”

Dalam bab berhubungan lafaz talak tiga sekaligus, menurut pendapat Syiah dan Zaidiyah, sesetengah ulama Zahiriyah dan Ibn Ishak, Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim, jatuh satu talak sahaja dan lafaz tidak memberi kesan. Menurut Majallah al Buhuth al Islamiyyah, Jilid 1 Bilangan 3 Tahun 1397H, pada asalnya undang-undang Mesir dan Syria mengambil pendapat ini. Kemudian Lujnah Fatwa yang bersidang di Riyadh mengubah pendapat ini dan memilih majority pendapat yang mengatakan jatuh tiga talak dengan lafaz talak tiga sekaligus. Pendapat ketiga menurut Syiah Imamiyyah, menceraikan isteri dengan tiga talak sekaligus sama sekali tidak menjatuhkan talak. Pendapat jumhur dari imam mazhab yang empat dan al-Zahiriyah, menyatakan jatuh tiga talak. Pendapat jumhur berdalilkan al-Quran, al-Sunnah, al-Ijma’ perkataan para sahabat dan qias.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 229 yang bermaksud : “Talak (yang boleh dirujuk kembali) itu hanya dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskanya (menceraikannya) dengan cara yang baik.” Talak yang diharuskan adalah talak yang diikuti dengan iddah. Sesiapa yang menceraikan isterinya pada waktu perempuan itu tidak dapat menghadapai iddahnya seperti menceraikannya dengan talak tiga maka ia telah menzalimi dirinya dan melakukan maksiat terhadap Allah s.w.t. Firman Allah dalam Surah al-Talaq ayat 1 yang bermaksud : “Dan itulah aturan-aturan hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya) dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka sesungguhnya dia telah berlaku zalim kepada dirinya.“

Dalam satu riwayat kisah Ibnu Umar yang mentalak isterinya semasa haid. Beliau berkata, “Ya Rasullallah, apakah kalau saya menceraikannya dengan tiga talak, halal bagi saya merujuknya kembali.?” Baginda bersabda : “Tidak, ia telah menjadi bain dari mu dan kamu melakukan maksiat.”

Para ulama salaf telah ijmak bahawa talak tiga dengan satu lafaz dikira jatuh talak tiga. Antara mereka yang berpendapat demikian ialah Abu Bakar al-Razi, al-Baaji, Ibn Arabi dan Ibn Rajab. Diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Mujahid, katanya : “Saya berada di sisi Ibnu Abbas, tiba-tiba seorang lelaki dating dan berkata bahawa sesungguhnya dia telah menceraikan isterinya dengan talak tiga. Kemudian ibnu Abbas diam sehingga saya menyangka bahawa dia mahu mengembalikan isteri kepadanya. Kemudian dia berkata ‘Pergi seorang daripada kamu kemudian melakukan kebodohan. Sesungguhnya engkau tidak takutkan Allah, maka saya tidak dapati pada mu jalan keluar. Kamu telah menderhaka Tuhan dan isteri kamu jadi bain kepada mu.”

Dalam Kitab al-Umm, Jilid 8 halaman 243, Imam Shafie menjelaskan bahawa bilangan talak itu gugur atas bilangan yang disebut oleh suami. Dalam kitab Kifayah al-Akhyar Jilid 2, Imam Taqiyuddin Abu Bakar bin Muhammad al-Husaini menjelaskan bahawa kalau seseorang berkata kepada isterinya, ‘engkau tertalak tiga’, maka jatuhlah talak tiga.

Jelaslah bahawa bai’ah dan talak taklik adalah dua perkara yang berbeza. Menggabungkan kedua-dua elemen ini adalah harus selagi mana ia tidak berlawanan dengan Hukum Syarak. Namun sekiranya berlaku perlanggaran terhadap sumpah bai’ah, maka si pembuat bai’ah akan menghadapi dua risiko. Pertama ia perlu membayar kaffarah terhadap sumpah yang telah dimungkiri. Kedua dia akan menghadapi risiko perceraian dengan isteri tercinta, berdasarkan jumlah talak yang dilafazkan. Jika sekiranya suami berbaiah dengan talak tiga, maka akan jatuhlah talak tiga sekaligus sebagaimana pandangan para ulama’ jumhur.

Dari satu segi, sumpah bai’ah talak tiga ini dilihat akan menganiayai para isteri kerana isteri tiada pilihan untuk mengatakan tidak kepada lafaz talak bertaklik yang telah dilafazkan itu, kerana talak adalah hak suami. Ia juga dilihat seolah-olah politik lebih diutamakan daripada institusi kekeluargaan. Tetapi jika dilihat satu perspektif yang lain, lafaz bai'ah sedemikian meletakkan kedudukan isteri setaraf dengan ketua atau pemimpin kepada si pembuat bai’ah. Natijahnya, suami akan berada dalam keadaan terpaksa membuat pilihan yang sukar, samada memilih mengkhianati pemimpinnya dan kehilangan isteri tercinta, atau terus istiqamah dalam meneruskan perjuangan kepimpinannya.

- Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Beliau boleh dihubungi melalui sekretariatpgsm@yahoo.com atau layari http: //www.peguamsyarie.org

Penguatkuasa Agama Perlu Pertingkat Profesional

Oleh Musa Awang

Syor tambah anggota, perkenal skim latihan tingkat kemahiran kendali kes jenayah syariah

PEGAWAI Penguatkuasa Agama (PPA) dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri (Main) daripada kalangan anggota perkhidmatan awam negeri atau perkhidmatan bersama, diberi kuasa menjalankan penyiasatan, menangkap dan menahan orang melakukan kesalahan di bawah undang-undang Islam, sebelum didakwa dan dibicarakan di Mahkamah Syariah.

PPA adalah sayap kanan kepada Pendakwa Syarie (pendakwaan), bagi memastikan peruntukan dalam undang-undang syariah dilaksanakan. Mutakhir ini, tugas PPA bukan semata-mata menangani kes jenayah syariah.

Malah, tugas mereka mencakupi pelbagai bidang termasuk membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memeriksa makanan halal, membantu Kementerian Dalam Negeri (KDN) menguatkuasa Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986 dan terbitan berunsur Islam lain.

PPA juga berperanan memastikan undang-undang syariah, kaedah serta fatwa mufti dipatuhi dan dilaksanakan. PPA turut berfungsi menguatkuasakan undang-undang keluarga Islam, bagi kesalahan perkahwinan yang boleh menggugat ikatan kekeluargaan Islam.

PPA juga tertakluk kepada arahan tetap Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri dan arahan tetap Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama yang mengandungi manual atau tatacara menerima maklumat, menjalankan siasatan, menyediakan kertas siasatan, menyediakan laporan ringkas kes serta mengendalikan barang yang disita.

Adalah menjadi tanggungjawab PPA menghantar pesalah ke penjara atau pusat tahanan selepas dijatuhkan hukuman, seperti tugas polis di Mahkamah Sivil.

Pada 2007, sebuah akhbar tempatan mendedahkan di Johor hanya mempunyai seramai 76 PPA berbanding jumlah penduduk Islam Johor iaitu seramai lebih 2.1 juta orang. Daripada jumlah itu, hanya 18 pegawai berjawatan tetap, manakala 58 lagi adalah kontrak.

Menurut sumber, di Selangor kini hanya ada 68 PPA termasuk lelaki dan perempuan berbanding lebih 2.5 juta penduduk Islam. Jumlah penduduk itu tidak termasuk warga asing seperti Indonesia, Bangladesh, Singapura, Nepal, Pakistan, Sri Lanka, Myanmar, Filipina dan Thailand yang ada di negeri itu.

Pada Disember 2008, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (ketika itu), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan hanya ada 1,242 PPA di seluruh negara, dengan nisbahnya seorang penguat kuasa bagi 23,000 orang, dan keadaan itu amat membebankan PPA melaksanakan tugas.

Kekurangan PPA wanita juga menimbulkan masalah terutama membabitkan tangkapan pesalah wanita. Masalah logistik seperti kurang peralatan komunikasi, kekurangan pemandu, kenderaan operasi, peruntukan elaun lebih masa, elaun perjalanan terbatas dihadapi PPA, menjejaskan tugas pencegahan maksiat.

Dalam menjalankan tugas, PPA perlu mahir melaksanakan beberapa prosedur seperti siasatan dan menyediakan laporan lengkap sebelum dikemukakan kepada bahagian pendakwaan. Skim perjawatan PPA adalah skim hal ehwal Islam atau dilantik secara kontrak.

Sebelum pegawai ini mendapat latihan dan pengetahuan secukupnya, mereka sudah diarahkan ke bahagian atau jawatan lain atau ditamatkan kontrak. Akibatnya, usaha melahirkan PPA berpengetahuan dan berpengalaman terbantut.

PPA tidak dilatih melakukan kerja penyamaran seperti pegawai penyiasat polis dan ini mendedahkan mereka kepada risiko termasuk kes pendakwaan yang lemah. PPA juga tidak mempunyai kuasa menahan reman pesalah menyebabkan mereka sukar mendapatkan maklumat. Selepas mengambil kenyataan, pesalah terpaksa dibebaskan sehingga dituduh di mahkamah.

Di sesetengah negeri, Bilik Gerakan 24 jam (hotline) tidak dapat beroperasi seperti sepatutnya disebabkan kekurangan kakitangan. Malah, PPA tidak dibekalkan sistem komunikasi dan ciri keselamatan yang cukup ketika menjalankan operasi.

Sehubungan itu, usaha meningkatkan profesionalisme PPA di setiap Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) perlu disegerakan dengan menambah bilangan PPA di samping melatih kakitangan sedia ada.

Satu skim tertutup perlu diperkenalkan untuk PPA sama seperti polis atau agensi penguatkuasaan lain, supaya PPA ditukarkan hanya ke bahagian dalam lingkungan tugas mereka. Ini boleh mengasah kemahiran serta kepakaran mereka mengendalikan kes jenayah syariah.

Enakmen Tatacara Jenayah Syariah mungkin perlu dikaji dan dipinda dengan memasukkan peruntukan yang memberi kuasa kepada PPA menahan reman pesalah, dengan perintah daripada Hakim Syarie.

Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang mempunyai Bilik Gerakan 24 jam dikendalikan petugas khas bagi mengendalikan sistem maklumat sehenti boleh dijadikan model ke arah mempertingkatkan kecekapan dan keupayaan operasi PPA negeri.

PPA juga dibekalkan alat perhubungan walkie talkie antara bilik gerakan dan kumpulan operasi. Oleh kerana kekurangan anggota, maka mereka bekerja secara waktu anjal.

Penampilan PPA juga dipertingkatkan supaya sentiasa dirasai berada di tengah masyarakat, dengan mewajibkan pakaian seragam, memasang lambang, lampu amaran dan sistem peti suara di kesemua kenderaan operasi.

Tidak dinafikan kewangan menjadi halangan besar kerana penambahan perjawatan dan infrastruktur memerlukan peruntukan kos besar. Namun, kita perlu sedar masyarakat melihat dan menilai agensi agama dari semasa ke semasa.

Paradigma baru bahagian penguatkuasaan atau PPA ini adalah arca kepada usaha pencegahan jenayah. Karisma yang terbit dari bahagian penguatkuasaan ini mencerminkan kepada masyarakat bahawa seriusnya kita mahu membendung dan mencegah jenayah syariah.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sila layari http://www. peguamsyarie.org

Penetapan kadar mas kahwin perlu dikaji semula



PEMBERIAN mas kahwin kepada isteri adalah wajib mengikut hukum syarak. - Gambar hiasan

Kerajaan negeri harus selaras buat keputusan ikut ekonomi semasa angkat taraf wanita

PENGUMUMAN kerajaan Selangor menaikkan kadar mas kahwin kepada RM300 untuk anak dara atau janda berbanding RM80 bagi anak dara dan RM40 bagi janda mulai bulan depan, membuka minda penulis untuk membincangkannya. Tumpuan akan diberikan kepada kadar mas kahwin di setiap negeri. Kadar minimum mas kahwin dan kewajaran jumlah mas kahwin ditetapkan pemerintah atau diserahkan kepada masyarakat untuk menentukannya.

Menurut undang-undang Keluarga Islam, mas kahwin ialah pembayaran kahwin yang wajib dibayar mengikut hukum syarak oleh suami kepada isteri semasa akad nikah, sama ada wang atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang menurut hukum syarak dapat dinilai dengan wang.

Firman Allah dalam Surah An-Nisa ayat 4, bermaksud, " Berikanlah kepada orang perempuan itu mas kahwin mereka." Sabda Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Bukhari, "Carilah untuk dijadikan mas kahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi".

Mas kahwin boleh daripada apa saja, asalkan ia berguna dan berfaedah. Dalam hadis riwayat Ahmad Ibnu Majah, Tarmizi bahawa Rasulullah pernah menikahkan seorang perempuan dengan mas kahwin sepasang sepatu wanita dengan persetujuan wanita itu.

Dalam hadis lain riwayat Bukhari dan Muslim, Baginda SAW juga pernah menikahkan seorang lelaki dengan seorang wanita dengan mas kahwin lelaki itu mengajarkan kepada wanita itu beberapa hafazan surah dalam al-Quran, kerana lelaki itu tidak mempunyai apa-apa harta yang boleh dijadikan mas kahwin.

Mas kahwin wajib dibayar seperti disebut ketika akad nikah. Jika mas kahwin disebut dalam akad nikah, akan dibayar secara tunai oleh suami manakala isteri berhak menghalang suami daripada menyetubuhinya sehingga dijelaskan mas kahwinnya itu.

Sekiranya isteri diceraikan sebelum berlaku persetubuhan, maka gugurlah separuh mas kahwin sebagaimana firman Allah bermaksud, "Dan jika kamu menceraikan perempuan sebelum persetubuhan sedangkan kamu telah menentukan kepada perempuan itu akan mas kahwinnya, maka bagi perempuan itu setengah dari apa yang kamu tentukan itu".

Kadar mas kahwin juga akan diambil kira hakim ketika menentukan kadar tebus talak sekiranya pihak itu ditakdirkan kemudiannya bercerai secara tebus talak. Apabila mas kahwin tidak dibayar dan tidak dihalalkan oleh isteri, isteri berhak mendapat mas kahwin itu walaupun selepas bercerai.

Kadar mas kahwin ditetapkan pihak berkuasa agama negeri. Di Johor kadarnya ialah RM22.50; Melaka (RM40); Perak (RM101); Pulau Pinang (RM24); Pahang (RM22.50); Sarawak (RM120) dan Labuan (RM80) dengan tidak membezakan dara atau janda.

Di Selangor dan Kuala Lumpur ialah RM80 bagi dara manakala janda RM40; Negeri Sembilan RM24 bagi anak dara dan RM12 bagi janda, Sabah RM100 bagi dara dan RM80 bagi janda. Namun di Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan jumlah mas kahwin tidak ditetapkan pemerintah.

Adalah suatu perkara yang memalukan apabila sebuah negara Islam kecil seperti Malaysia mempunyai kadar mas kahwin yang berbeza-beza antara negeri. Sudah sampai masanya nilai mas kahwin diselaraskan di semua negeri.

Perlu juga dikaji keperluan dibezakan mas kahwin antara anak dara dan janda kerana tidak terdapat nas yang jelas membezakan mas kahwin antara anak dara dan janda. Dalam perkembangan ekonomi hari ini, wajarkah kadar mas kahwin serendah RM12 atau RM22.50?

Mas kahwin adalah hak isteri hatta bapa sebagai wali sekalipun tidak berhak menerima mas kahwin kecuali anaknya meredainya. Sesetengah golongan melihat mas kahwin sebagai lambang status dan taraf si isteri yang diambil oleh suami sebagai pasangan hidupnya.

Adakah status atau taraf wanita hari ini serendah RM12 atau RM22.50? Sudah sampai masanya negeri lain mencontohi kerajaan Selangor untuk mengkaji semula kadar mas kahwin kerana aturan itu dilaksanakan sejak 30 tahun lalu dan menyelaraskan kadar mas kahwin di antara negeri.

Penulis berpandangan, kadar mas kahwin yang akan ditetapkan itu sewajarnya dijadikan kadar minimum mas kahwin. Sekiranya kedua-dua belah pihak bersetuju memberikan lebih daripada kadar minimum ditetapkan itu, terpulang kepada mereka kerana syarak tidak menghalang untuk berbuat demikian, jika dipersetujui kedua-dua pihak.

Dalam surah An-Nisa ayat 20, Allah berfirman yang bermaksud, "Dan kamu telah memberikan kepada salah seorang mereka (isteri-isteri) mahar yang banyak". Untuk menentukan jumlah maksimum mas kahwin ia dinilai secara Mahr Mithil atau Mahr Musamma. Mahr Mithil ialah mas kahwin yang dinilai mengikut mas kahwin saudara perempuan yang berkahwin lebih dulu, di kalangan keluarga yang paling dekat sekali seperti kakak, ibu saudaranya, di samping menilaikan keadaan perempuan itu sendiri dari segi kecantikan, kekayaan, pelajaran dan sebagainya.

Mahr Musamma ialah mas kahwin yang ditetapkan dan dipersetujui kedua-dua pihak dengan tidak memandang kepada nilai mas kahwin saudara perempuan itu.

Cuma perlu ditekankan bahawa hukum syarak tidak menggalakkan mas kahwin terlalu tinggi sampai ke tahap yang boleh menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki. Pemerintah berperanan menetapkan jumlah minimum mas kahwin, tetapi masyarakat diberi pilihan untuk menentukan kadar maksimum mas kahwin atas persetujuan kedua-dua belah pihak.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Mahkamah Syariah Cemerlang, Islam Terbilang



Oleh Tuan Musa Awang

Pepatah Melayu ada menyebutkan : “Air yang jernih dihulu akan jua jernih dihilir”. Maksudnya apabila kita memulakan hari kita dengan kebaikan, Insya-Allah kebaikan akan muncul sepanjang hari. Begitu juga apabila kita memulakan pagi dengan senyuman dan keceriaan, ianya akan mempengaruhi keceriaan sepanjang hari. Senyumlah, pasti dunia akan tersenyum bersamamu. Berbuat baiklah, pasti dunia akan membalas kebaikanmu.

Sebagai sebuah institusi awam di mana masyarakat membawa dan mengadu masalah mereka untuk diselesaikan, bukanlah suatu yang mudah bagi Mahkamah Syariah untuk memuaskan semua hati pelanggannya. Namun pujian wajar diberikan seluruh kakitangan Mahkamah Syariah seluruh negara kerana setakat ini berjaya menjalankan fungsi dengan baik dan berkesan, walaupun usianya masih muda berbanding Mahkamah Sivil yang telah pun wujud sejak zaman penjajahan Inggeri di Tanah Melayu.

Pada Jumaat 15 Januari 2010 lalu, suatu Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Amalan 5S telah diadakan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, dirasmikan oleh Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Y.A.A Tan Sri Ibrahim Lembut. Turut hadir Ketua Pengarah Malaysia Productivity Corporation (MPC), Tuan Mohd Razali Hussain, Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Syarie, wakil-wakil daripada Biro Bantuan Guaman, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan PGSM.

Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan telah berjaya mendapat pengiktirafan amalan 5S pada sesi audit yang telah dijalankan oleh MPC pada 21 Disember 2009 yang lalu. 5S merujuk kepada gabungan 5 perkataan Jepun yang bermula dari huruf S iaitu Seiri (sisih) ; Seiton (susun) ; Seiso (sapu) ; Seiketsu (seragam) dan Shitsuke (sentiasa amal). Amalan 5S adalah amalan mengasing dan membuang barang-barang yang tidak diperlukan, menyusun barang-barang yang diperlukan secara kemas dan sistematik supaya mudah diambil dan dikembalikan di tempat asal selepas digunakan, membersihkan tempat berkerja agar tiada debu atau kotoran samada di atas lantai, peralatan dan persekitaran tempat kerja, mewujudkan standard amalan terbaik di tempat kerja dan memastikan standard tersebut dipatuhi, melatih pekerja untuk mengamalkan rutin ini secara berterusan agar menjadi kebiasaan dan budaya dalam organisasi. Kebersihan, keceriaan dan sistematik di tempat kerja akan mempengaruhi budaya kerja kakitangan Mahkamah, agar dapat melayan kerenah pelanggan dengan baik, ceria dan sistematik.

Sijil pengiktirafan yang diterima oleh Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan ini bukanlah yang pertama kerana sebelum itu beberapa negeri lain termasuk JKSM telah meraih beberapa pencapaian yang sama. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Putrajaya, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang telah pun mendapat pengiktirafan pensijilan MS ISO 9001 : 2000. Pada 15 Disember 2009 lalu, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor muncul sebagai jabatan kehakiman syariah negeri pertama dianugerahi sijil MS ISO 9001:2008, iaitu suatu pengiktirafan bertaraf dunia, kerana menyediakan sistem pengurusan dan pentadbiran terbaik dalam mengendalikan kes mal, jenayah, rayuan dan pembahagian faraid.

Pada tahun 2007, JKSM telah mendapat tempat pertama Anugerah Kualiti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (AKICT) di Majlis Penyampaian Anugerah Kualiti Sektor Awam ; tempat kedua bagi Pertandingan Keceriaan Pejabat (Kategori B) sempena dengan Hari Kualiti Jabatan Perdana Menteri ; tempat kedua bagi Pertandingan Tapak Pameran Terbaik (Kategori B) sempena dengan Hari Kualiti Jabatan Perdana Menteri. Sebelum itu pada tahun 2006, JKSM telah mendapat tempat pertama Laman Web Terbaik (kategori B) melalui Portal E-Syariah sempena Hari Kualiti Jabatan Perdana Menteri ; tempat kedua bagi Pertandingan Tapak Pameran Terbaik (Kategori B) sempena dengan Hari Kualiti Jabatan Perdana Menteri.

Pada tahun 2005, JKSM mendapat Anugerah Portal Kerajaan Elektronik Terbaik dalam satu kajian “Benchmarking and Comparative Study of Malaysia Government Portals and Websites 2005” oleh Multimedia Development Corporation (MDEC).

Pengiktirafan-pengiktirafan ini membuktikan bahawa kakitangan Mahkamah Syariah yang komited dan bersungguh-sungguh mampu merealisasikan wawasan menjadikan perkhidmatan awam sebagai terbaik dan terunggul, meskipun Mahkamah Syariah masih muda usianya, dengan bilangan pendaftaran kes meningkat setiap tahun, serta cabaran-cabaran semasa yang dihadapi oleh Mahkamah seperti kecaman dan tanggapan negatif sesetengah pihak.

Sebagai salah satu usaha yang berterusan untuk mengangkat martabat Mahkamah Syariah, Penulis mencadangkan pada setiap tahun di adakan satu hari dikenali sebagai Hari Mahkamah Syariah sebagai memperingati tarikh penubuhan rasmi Mahkamah Syariah di Malaysia. Rujukan boleh dibuat terhadap tarikh terawal penubuhan Mahkamah Syariah di Negara ini.

Menyorot sejarah, pada tahun 1948 ordinan Mahkamah Persekutuan dan sistem kahakiman persekutuan telah memisahkan Mahkamah Syariah dari hirarki Mahkamah. Selangor mula-mula sekali mewujudkan Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (1952), diikuti negeri-negeri lain di Malaysia Barat. Waktu itu Mahkamah Syariah dikenali sebagai Mahkamah Kadi bagi menjalankan peraturan dan peruntukan undang-undang pentadbiran agama Islam bagi setiap negeri di Tanah Melayu. Hari Mahkamah Syariah yang dicadangkan ini juga adalah sebagai menghargai jasa kakitangan-kakitangan Mahkamah yang berkerja keras untuk memajukan organisasi Mahkamah, pada masa yang sama meningkatkan syiar Syariah di Malaysia.

Salah satu usaha untuk memberi kefahaman kepada masyarakat tentang peranan Mahkamah Syariah adalah dengan mengetahui sejarah dan perkembangannya. Dengan mengetahui sejarah, kita akan tahu bagaimana sesuatu perkara itu bermula, dan menghargai susah payah pejuang terdahulu berhempas-pulas untuk kesejahteraan dan nikmat yang dirasai pada hari ini. Dengan memahami sejarah juga, masyarakat akan sedar peranan yang dimainkan oleh Inggeris selepas menduduki Pulau Pinang pada tahun 1786, dengan membawa undang-undang mereka ke Tanah Melayu, menubuhkan mahkamah dan melantik hakim-hakim yang mahir dengan Undang-undang Inggeris untuk mengadili kes-kes di Tanah Melayu. Inggeris juga memperkenalkan tiga piagam Charters of Justice pada tahun 1807, 1826 dan 1885, bertujuan untuk mengangkat taraf undang-undang Inggeris dan secara langsung menenggelamkan undang-undang Islam yang dulunya diamalkan sebagai undang-undang tempatan.

Usaha memartabatkan perundangan Syariah perlu berterusan. Sebarang usaha murni untuk tujuan tersebut wajar di sokong oleh kerajaan dan masyarakat Islam agar perundangan Syariah di Malaysia akan lebih berkesan, mantap dan cemerlang dari semasa ke semasa. Memetik peribahasa cina mengatakan, “Semalam dan kelmarin telah berlalu meninggalkan sejarah dalam kehidupan. Esok, lusa dan akan datang merupakan impian dan wawasan”.

- Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Boleh dihubungi melalui email sekretariapgsm@yahoo.com.

Kekuatan spiritual halang keretakan rumah tangga



Oleh Tuan Musa Awang
sekretariatpgsm@yahoo.com

Berita Harian
24/03/2010

PASANGAN suami isteri yang baru mendirikan rumah tangga harus saling bertolak ansur bagi mengelakkan perceraian berlaku. - Gambar hiasan

Pihak berkuasa perlu cari mekanisme pencegahan khusus elak kes perceraian terus meningkat

JUMAAT hingga Ahad lalu, selama tiga hari bertempat di Matrade, Jalan Duta, Kuala Lumpur, saya berpeluang mengikuti satu program motivasi kepemimpinan yang dikendalikan sebuah syarikat terkenal dari Jakarta, Indonesia.

Saya tertarik dengan pengisian dalam program ini, dan peserta didedahkan dengan konsep tauhid dan kecintaan terhadap Allah, mengenai asal kejadian alam semesta, asal kejadian manusia, kecintaan terhadap Rasulullah SAW, kecintaan terhadap Nabi ‘ulu al-azmi, peringatan terhadap kematian dan lain-lain. Suatu perkara yang ilmiah berdasarkan ayat al-Quran dan hadis, tetapi dipersembahkan secara kontemporari dan berbeza dengan kecanggihan audio, visual, gabungan paparan sains dan teknologi, serta mengaitkannya dengan keyakinan kepada Allah SWT.

Program ini mensinergikan kekuatan IQ (Intelectual Quotient), EQ (Emotional Quotient) dan SQ (Spiritual Quotient) bagi melahirkan manusia cemerlang yang memiliki kekuatan karakter dan membawa perubahan drastik yang positif, melahirkan insan yang dapat memberikan manfaat ke arah pembangunan negara, meletakkan nilai murni keagamaan dan usaha pembentukan ummah di seluruh dunia.

Saya bukan ingin menceritakan mengenai program itu, tetapi setelah menyertainya, saya terpanggil untuk melihat statistik perceraian dan permohonan murtad mutakhir ini. Menurut statistik yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tahun lalu, kadar perceraian meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Jumlah perceraian pada 2007 adalah 20,529 kes berbanding 131,086 perkahwinan. Di setiap negeri, dilaporkan perceraian paling tinggi didaftarkan di negeri Selangor dengan 3,722 kes, diikuti Kelantan (2,257 kes), Kedah (2,188), Johor (1,931), Perak (1,551), Terengganu (1,537), Pahang (1,502), Kuala Lumpur (1,141), Sabah (924), Pulau Pinang (917), Sarawak (910), Negeri Sembilan (907), Melaka (758), Perlis (247) dan Labuan (37).

Berbanding dengan perkahwinan, jumlah yang tertinggi pada 2007 dicatatkan oleh negeri Kedah sebanyak 20,889 diikuti Kelantan (17,201), Selangor (14,817), Johor (13,241), Perak (11,446), Sabah (9,941), Pahang (9,519), Terengganu (8,953), Sarawak (5,393), Negeri Sembilan (5,151), Pulau Pinang (4,458), Melaka (3,559), Kuala Lumpur (3,538), Perlis (2,484) dan Labuan (486).

Secara ironinya, dalam sehari lebih 56 perceraian berlaku dan 359 perkahwinan berlangsung. Kadar perceraian ini meningkat dari tahun ke tahun sejak 2001, iaitu sebanyak 13,187 (2001), 13,841 (2002), 15,543 (2003), 16,509 (2004), 17,708 (2005) dan 2006 sebanyak 21,419.

Punca krisis rumah tangga yang dikenal pasti adalah kerana tidak serasi, kecurangan, poligami, kerenah dan campur tangan keluarga yang keterlaluan, masalah kesihatan pasangan termasuk kesuburan, suami isteri bermain kayu tiga, masalah hutang banyak, masalah ekonomi, pengangguran, peluang kerja terhad, komitmen kerja, kerjaya terlalu tinggi, simptom cemburu buta, kurangnya didikan moral, penderaan dan pengabaian.

Saya percaya, sudah sampai masanya pihak berkuasa memikirkan suatu mekanisme pencegahan khusus kepada pasangan yang hendak bercerai, sama ada yang baru membuat laporan kaunseling di jabatan agama Islam atau yang sudah mendaftarkan kes perceraian di mahkamah dan mereka diarahkan mengikuti suatu kursus yang khusus dalam tempoh tertentu, agar bahtera rumah tangga yang mula terumbang-ambing itu boleh diselamatkan.

Halangan dari sudut perundangan mungkin ada, namun saya percaya, ada jalan keluar untuk merealisasikan perkara ini. Soal rezeki, jodoh, ajal dan yang seumpamanya adalah di tangan yang Esa, namun Islam tidak menyuruh penganutnya menyerah mudah kepada takdir tanpa sebarang usaha.

Punca perceraian boleh dijadikan tanda aras dalam menentukan modul yang sesuai. Gabungan kekuatan intelektual (IQ) dan emosi (EQ) harus diterapkan, seperti mengenai persiapan, persediaan dan ilmu pasangan dalam menghayati alam rumah tangga, niat dan tujuan berumahtangga.

Yang paling penting penekanan kekuatan spiritual (SQ) dengan meletakkan nilai keagamaan, kecintaan terhadap Allah SWT dan reda-Nya sebagai tonggak utama dalam sesebuah perkahwinan, lebih penting berbanding nilai material atau kepentingan diri.

Seiring dengan pertambahan kadar perceraian, statistik permohonan murtad di Mahkamah Syariah juga menunjukkan trend peningkatan yang tinggi pada 2004 hingga 2006. Ia meningkat setiap tahun, di Selangor sahaja, menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohamed Khusrin Munawi, ada 27 kes murtad dilaporkan di negeri itu sejak 2007 manakala meningkat kepada 42 kes pada 2008.

Pengaruh rakan sebaya, masalah dalam perkahwinan terutama di kalangan mualaf dan tekanan hidup didapati menjadi sebahagian daripada faktor yang menyumbang kepada masalah murtad.

Ada juga kes seperti pemohon memang tidak hidup dalam suasana Islam sejak lahir atau dibesarkan dalam keluarga bukan Islam sejak kecil, namun nama yang ada dalam kad pengenalan mereka nama Islam.

Setakat ini, ada unit khas diwujudkan di Jabatan Mufti dan mereka yang hendak keluar Islam akan dipanggil untuk menjalani sesi kaunseling. Isu keluar Islam membabitkan akidah dan pendirian agama seseorang, lebih-lebih lagi jika sejak kecil mereka tidak mengamalkan Islam, ia sukar dan mengambil masa panjang untuk mengubahnya.

Maka, usaha ini perlu diperkasakan lagi dengan mengadakan suatu program khusus untuk mereka yang hendak keluar Islam, dengan membawa mereka menyusuri asal usul kejadian manusia, kejadian alam, siapakah pencipta manusia dan alam semesta, mengenai kebenaran ayat-ayat al-Quran, kerasulan dan kebenaran Nabi Muhammad SAW, ihsan, iman, ibadah dan kepentingannya.

Program ini juga boleh disertai oleh mereka yang baru berjinak dengan Islam dan yang baru memeluk Islam (mualaf). Sering kali kita menggaru kepala atau menongkat dagu apabila melihat statistik perceraian dan murtad yang meningkat tahun demi tahun, tetapi kita gagal mengambil tindakan sebaiknya bagi menghalang peningkatan itu.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Boleh dihubungi di talian 03-2274 1499 atau e-mel ke sekretariatpgsm@yahoo.com

Keratan akhbar - Model insaf, redha disebat



Sinar Harian
23 Julai 2009

IPOH – “Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang terjadi. Saya harap mahkamah mempercepatkan hukuman supaya dapat menumpukan masa depan hidup bersama-sama keluarga.”

Begitulah luahan hati seorang model sambilan dari Singapura yang dikenakan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Syariah Kuantan kelmarin.

Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, mengaku insaf dengan ketelanjuran melanggar hukum syarak dengan meminum arak, malah mahu hukuman sebat terhadapnya dikekalkan.

“Biarlah hukuman di dunia saya terima, di akhirat biar Tuhan yang menentukan.

“Demi menjaga nama baik keluarga saya sedia dan kepada remaja di luar sana, saya nasihatkan sebelum buat apa-apa kesilapan fikirlah dahulu ibu bapa supaya mereka tidak dimalukan,” katanya dalam satu sidang media di sini, semalam.

Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada Isnin menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan selepas Kartika didapati bersalah meminum arak di sebuah hotel di Cherating, Kuantan, pada 11.40 malam 11 Jul:ai tahun lepas.

:Sementara itu, bapanya, Shukarno Abdul Mutalib, 60, yang hadir sama pada sidang media itu berkata, dia berasa bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku dan redha dengan keputusan anaknya untuk mengekalkan hukuman sebat.

“Apabila saya dapat tahu mengenai kes ini, saya terus ke Singapura.

“Saya terkejut kerana ini bukan perkara yang kecil, ini perkara besar tetapi apa yang penting hal ini (kes di mahkamah) perlu diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata, apabila hukuman telah dijatuhkan ke atas anaknya (kekalkan enam kali sebatan) biarlah anaknya menerima hukuman itu.

“Saya juga berterima kasih kepada mahkamah kerana mengetepikan hukuman penjara dan denda RM5,000 pun telah saya bayar dan mengekalkan enam sebatan itu sangat wajar dan tepat mengikut hukuman agama,” katanya.

Kata Shukarno, anak-anak yang lain juga bersepakat untuk menghantar Kartika mengerjakan umrah sebaik semua hukuman itu selesai dijalankan.

Kelmarin, peguamnya Mohd Zuki Che Muhamad Ghani berkata, anak guamnya tidak akan membuat rayuan mengenai hukuman berkenaan.

Kartika yang menetap bersama anak-anak dan suami selama 15 tahun di Singapura, kini berada di samping ahli keluarganya di Kampung Jawang Sungai Siput (U). :

Sementara itu, Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kesal dengan kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’lo Datuk Mohd Ghazali tentang hukuman yang dikenakan ke atas model itu.

"Kenyataan daripada dua tokoh terbabit jelas cuba mempertikaikan dan menghina keputusan mahkamah," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, hakim mahkamah syarikah itu telah membuat keputusan yang betul berdasarkan peruntukan dan kuasa yang diberi undang-undang.

Hentikan campur tangan kerajaan dalam kes syariah

Dipetik dari Malaysiakini.com

Musa Awang

27 Ogos 2009

Rentetan kekecohan yang berlaku dalam isu sebatan Kartika Sari Dewi Shukarno, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) memandang serius perkara tersebut kerana ia telah menjejaskan reputasi Mahkamah Syariah, Jabatan Agama Islam dan pihak-pihak berkaitan.

PGSM dengan ini menyatakan pendirian dan mengeluarkan kenyataan seperti berikut:

PGSM kesal dengan apa yang berlaku kerana akhir-akhir ini menampakkan unsur campur tangan pihak kerajaan dalam proses kehakiman di negara ini terutama kehakiman syariah semakin menjadi-jadi.

Bermula dengan unsur campur tangan kabinet dalam menentukan agama anak pasangan yang memeluk Islam dan terbaru dalam isu sebatan Kartika Sari. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam era 1Malaysia, Pencapaian Didahulukan, Rakyat Diutamakan.

Campur tangan kerajaan dalam sistem pentadbiran kehakiman syariah perlu ditamatkan segera. Persoalan timbul, mengapa menteri-menteri kerajaan terlalu gemar memberikan komen terhadap kes-kes di Mahkamah Syariah sedangkan terdapat kes-kes di Mahkamah Sivil yang lagi teruk dan dangkal.

Sebelum ini terdapat kes di Mahkamah Sivil ada seorang hakim yang memutuskan bahawa dia sendiri yang akan menghukum pesalah, tetapi kes tersebut tidak pula dipolemikkan, dan tidak ada pula menteri yang memberikan komen.

Pihak kerajaan termasuk menteri-menteri wanita Islam tidak sepatutnya memberikan komen terhadap hukuman yang telah dijatuhkan oleh hakim Mahkamah Syariah.

Ia suatu tindakan biadap mencabar, mempertikaikan dan menghina keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah. Sebarang ketidakpuasan hati dengan keputusan Mahkamah hendaklah dibuat melalui tatacara dan prosedur yang telah ditetapkan oleh undang-undang.

Penghakiman yang dibuat oleh Hakim Abdul Rahman Yunus adalah atas dasar menjalankan tugasnya berdasarkan undang-undang sedia ada, dan atas dasar melaksanakan undang-undang yang telah diluluskan oleh kerajaan.

Menurut peruntukan Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dibaca bersama Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987, mahkamah mempunyai bidang kuasa menjatuhkan hukuman ke atas pesalah yang melakukan kesalahan meminum minuman yang memabukkan, iaitu dengan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun dan disebat tidak melebihi 6 sebatan.

Kerajaan sepatutnya memberi perhatian dan menumpukan usaha ke arah memperbaiki infrastruktur, pentadbiran dan proses pelaksanaan Penghakiman Mahkamah Syariah, seperti ketiadaan tukang sebat Syariah, ketiadaan penjara khusus untuk menempatkan pesalah Syariah, ketiadaan panel rayuan di beberapa buah negeri dan sebagainya.

Telah 52 tahun negara merdeka dan telah 52 tahun Perlembagaan Persekutuan wujud, namun perkara-perkara ini tidak diberi perhatian oleh kerajaan.

Mahkamah Syariah dianaktirikan sedangkan Mahkamah Syariah adalah tempat di mana orang Islam yang sebahagiannya mengundi kerajaan semasa pilihanraya, berurusan dan mengadu masalah rumahtanga, harta dan lain-lain.

Masalah ketiadaan tukang sebat bukanlah suatu isu yang besar kerana kerajaan boleh melatih tukang sebat sivil untuk melaksanakan sebat menurut syariah.

Kartika Sari adalah sebahagian masyarakat Islam yang menjadi mangsa akibat sikap anak tiri dan sikap kerajaan yang tidak sensitif dan tidak boleh dijangka terhadap kehendak dan keperluan masyarakat Islam di negara ini.

Kerajaan perlu mengambil tindakan drastik dan segera, dengan memberi penjelasan kepada masyakarat bahawa:

Hukuman yang dijatuhkan ini adalah masih rendah berbanding hukuman sebenarnya menurut Hukum Syarak yang mana pesalah boleh dijatuhkan hukuman sehingga 40 sebatan hingga 80 sebatan sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat.

Dalam Islam tidak ada beza antara pesalah lelaki dan wanita. Hak dan tanggungan mereka apabila melakukan kesalahan Syarak adalah sama di sisi Hukum Syarak dan di sisi Tuhan.

Golongan aktivitis wanita lantang memperjuangkan hak dan keistimewaan wanita dan kesamarataan taraf antara lelaki dan wanita. Mengapa dalam isu ini hendak dibezakan pula taraf antara lelaki dan wanita dari segi pelaksanaan hukuman jenayah?

Pelaksanaan hukuman sebat menurut undang-undang Syariah amat berbeza dengan pelaksanaan hukuman sebat menurut undang-undang Sivil.

Enam kali sebatan menurut syariah tidak sama dengan hatta satu sebatan menurut undang-undang sivil. Alat sebatan yang digunakan untuk kes syariah hendaklah diperbuat dari rotan atau ranting kecil yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

Kalau pesalah itu hamil, hukuman itu hendaklah dilaksanakan selepas dua bulan dia melahirkan anaknya. Pesalah hendaklah diperiksa tahap kesihatannya oleh pegawai kesihatan kerajaan. Hukuman sebat itu hendaklah dengan kehadiran pegawai perubatan kerajaan.

Sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit. Pesalah lelaki disebat berdiri, manakala perempuan dalam keadaan duduk. Sebatan hendaklah dijalankan dengan kekuatan sederhana iaitu tukang sebat itu tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.

Pegawai perubatan kerajaan akan memperakukan sama ada pesalah itu masih boleh menerima sebatan atau ditangguhkan untuk baki sebatan.

Artikel ini diterbitkan daripada kenyataan media Musa Awang, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Dosa minum arak lebih berat berbanding manfaat



Berita Harian 22 Julai 2009
Oleh Musa Awang

Ulama fekah berbeza pendapat jumlah sebatan bagi kesalahan ambil minuman keras

SUATU masa dulu kita pernah dikejutkan dengan berita tiga anak Melayu menjuarai serta menduduki tempat kedua dan ketiga pertandingan membancuh arak vodka, iaitu pertandingan Belvedere Bartender of the Year 2007 (Malaysia). Pertandingan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran seorang artis Melayu.

Awal Januari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan ke atas seorang lelaki dan seorang wanita yang mengaku bersalah meminum arak.

Isnin lalu, mahkamah sama menjatuhkan hukuman sama terhadap seorang model pelancongan selepas mengaku salah meminum arak. Tertuduh didakwa meminum arak jenama Tiger Beer di sebuah pusat pelancongan di Kuantan kira-kira jam 11.40 malam, 11 Julai tahun lalu.

Hukuman dijatuhkan hakim adalah hukuman maksimum mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dihukum mengikut Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987, walaupun hukuman sebenarnya menurut pendapat fuqaha adalah lebih berat.

Ulama fekah sependapat mengenai hukuman bagi orang minum arak ialah disebat. Cuma, mereka berbeza pendapat jumlah sebatan. Ada yang mengatakan 80 sebatan, iaitu menurut pendapat Imam Malik, Abu Hanifah dan satu riwayat daripada Imam Ahmad.

Imam Syafie dan satu pendapat daripada Imam Ahmad pula mengatakan kadar hukumannya adalah 40 sebatan. Punca perselisihan pendapat ini kerana sungguhpun dalam al-Quran jelas mengenai pengharaman arak tetapi tidak ada ketetapan kadar atau had hukuman yang boleh dikenakan kepada peminum arak.

Begitu juga hadis Nabi SAW dan riwayat sahabat. Ada kalanya Baginda menyebat pesalah hanya beberapa kali sebatan dan ada masa dengan banyak kali tetapi tidak melebihi 40 kali sebatan.

Riwayat daripada Ibn Said al-Khudri dan Ali bahawa Nabi Muhammad menghukum orang yang minum arak sebanyak 40 sebatan. Ketika zaman Saidina Abu Bakar pula, peminum arak disebat 40 sebatan.

Pada zaman Saidina Umar, beliau meminta nasihat daripada sahabat, lalu Abdul Rahman bin Auf berkata: "Seringan-ringan hudud ialah 80 kali sebat." Kemudian Umar menetapkan hukuman sebanyak 80 sebatan dan sahabat setuju dengan Umar yang mengambil pendapat Abdul Rahman sebagai satu ijmak.

Diriwayatkan daripada Husain bin al-Munzir, ketika Saidina Ali ditugaskan oleh Saidina Uthman untuk menghukum sebat ke atas al-Walid bin Uqbah, beliau berkata: "Rasulullah SAW menghukum sebanyak 40 sebatan begitu juga Saidina Abu Bakar tetapi Saidina Umar menghukum sebanyak 80 sebatan, semuanya adalah sunnah yang ini aku lebih sukai."

Menyorot sejarah, Islam mengharamkan meminum arak sejak 14 abad lalu. Realitinya, sebelum kedatangan Islam, orang Arab jahiliah adalah peminum arak tegar. Arak dianggap sejenis minuman yang memberikan keseronokan hidup.

Bukan mudah bagi Nabi SAW menghapuskan resam budaya yang sudah berakar umbi dalam kehidupan masyarakat Arab jahiliah, seperti kata-kata isteri Baginda, Saidatina Aisyah yang diriwayatkan Imam Bukhari: "Jika al-Quran mula-mula memberitahu orang Arab supaya jangan meminum khamar (arak) dan tidak berjudi serta melakukan perzinaan, mereka akan berkata: Tidak, kami tidak akan patuh. Cerita kehidupan selepas mati, mengenai syurga dan tamannya yang indah bagi sesiapa yang patuh serta seksaan api neraka bagi yang ingkar hingga hati menjadi lembut, selepas itu diperintahkan berhenti daripada meminum khamar, melakukan perzinaan dan berjudi, maka mereka mematuhinya."

Oleh itu, arak tidak terus dilarang serta-merta. Ia mengambil tempoh tiga tahun untuk pengharaman arak secara keseluruhannya. Allah menurunkan ayat menerangkan bahawa arak yang diambil daripada buah kurma dan anggur adalah bukan daripada rezeki yang baik.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan daripada buah-buahan kurma dan anggur kamu jadikan daripada minuman yang memabukkan dan rezeki yang baik."

Mengenai keburukan arak, Allah berfirman yang bermaksud: "Mereka bertanya kamu (Muhammad) mengenai khamar dan judi, katakanlah bahawa pada kedua-duanya dosa yang besar dan bermanfaat kepada manusia tetapi dosa kedua-duanya itu lebih besar daripada manfaat." – (Surah al-Baqarah, ayat 219)

Kajian saintifik dan ilmiah membuktikan bahawa keburukan arak adalah jauh lebih besar daripada kebaikannya. Arak bukan ubat tetapi sebagai perosak penyakit. Arak boleh merosakkan selaput lendir perut dan menjadi racun yang masuk meresap dengan cepat ke dalam bahagian tubuh manusia terutama jantung dan buah pinggang.

Penyusun Ensiklopedia Islam, Profesor Muhammad Farid Wejdi menjelaskan: "Tidak pernah manusia menerima pukulan paling hebat seperti pukulan arak. Orang terkorban juga ramai disebabkan oleh arak. Jika dibanci orang sakit dalam hospital di seluruh dunia, nescaya yang paling ramai ialah penghidap penyakit gila dan penyakit urat saraf yang disebabkan arak. Orang yang menderita kesakitan urat saraf, kesakitan pundi makanan, kesakitan tali perut adalah disebabkan arak."

Bagi memastikan umat Islam dikawal dan dijauhi daripada arak, pihak berkuasa perlu memastikan pemberian lesen penjualan arak terkawal dan tidak membabitkan orang Islam secara langsung atau tidak langsung.

Orang Islam sama sekali perlu dilarang bekerja di mana-mana kedai yang ada menjual arak. Menurut syarat pemegang lesen di bawah Seksyen 36 Akta Eksais 1976 (Akta 176), setiap pemegang lesen rumah awam, lesen rumah bir, lesen kedai runcit, atau lesen peniaga borong hendaklah tidak membenarkan pelanggannya meminum arak di kedainya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Rasulullah SAW melaknat mengenai arak, 10 golongan: yang memerahnya, minta diperahkannya, meminumnya, membawanya, minta dihantarnya, menuangkannya, menjualnya, makan harganya, membelinya, minta dibelikannya." – (Hadis riwayat Tarmidzi dan Ibn Majah)

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sila layari http://www.peguamsyarie.org

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...