Wednesday, March 30, 2011

Tuduhan zina perlu bukti kukuh




Oleh Tuan Musa Awang
sekretariatpgsm@yahoo.com

Berita Harian, 30/03/2011

Orang ramai patut lapor jabatan agama, elak perbicaraan terbuka

Zina, suatu perkataan yang masyarakat Islam secara umum mengetahui definisinya, iaitu persetubuhan yang dilakukan oleh seorang lelaki dengan seorang perempuan tanpa nikah yang sah mengikut hukum Syarak, bukan pasangan suami isteri, pelaku kedua-duanya orang yang mukallaf, dan persetubuhan itu tidak termasuk dalam takrif persetubuhan yang meragukan (wati’ syubhah).

Menurut Hukum Syarak, seorang penzina muhson, yakni seseorang yang telah baligh, berakal, merdeka dan telah pernah berkahwin, apabila disabitkan melakukan perzinaan wajib dikenakan hukuman hudd (rejam) iaitu dibaling dengan batu yang sederhana besarnya hingga mati.

Manakala bagi penzina ghair muhson, yakni seseorang penzina yang tidak cukup syarat-syarat dinyatakan diatas, hendaklah disebat sebanyak 100 kali sebatan, sebagaimana firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nur ayat 2 yang bermaksud : “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari kedua-duanya 100 kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat, dan hendaklah disaksikan hukuman siksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman”. Pesalah juga boleh dihukum buang negeri selama setahun, sebagaimana terdapat di dalam kitab Kifayatul Ahyar juzuk 2 muka surat 178 yang bermaksud: ”Lelaki atau perempuan yang melakukan zina bukan muhsin wajib dikenakan keatas mereka sebat 100 kali sebat dan buang negeri selama setahun”

Zina boleh disabitkan dengan ikrar atau pengakuan si pesalah atau dengan keterangan empat orang saksi yang cukup syarat-syaratnya. Namun sejarah Islam mencatatkan bahawa kebanyakan sabitan zina di zaman Rasulullah s.a.w adalah melalui pengakuan salah. Dalam hadith riwayat Abu Hurairah r.a, bahawa seorang lelaki datang mengadap Rasulullah s.a.w di dalam masjid dan mengaku telah melakukakan zina. Baginda berpaling ke arah lain seperti tidak melayannya, sehingga lelaki itu mengulangi pengakuannya sebanyak empat kali. Setelah itu Baginda bertanya, ‘adakah engkau gila?’ Dia menjawab ‘tidak’. Rasulullah s.a.w bertanya lagi, ‘adakah engkau telah berkahwin?’ Dia menjawab ‘ya’. Lalu Rasulullah s.a.w memerintahkan para sahabat membawa lelaki tersebut untuk direjam.

Dalam suatu riwayat dari Sulaiman bin Buraidah, bahawa seorang wanita dari qabilah al-Ghamidiyah datang berjumpa Rasulullah dan mengaku bahawa dia telah mengandung hasil perbuatan zina. Baginda meminta wanita itu pulang, untuk melahirkan dan menyusukan anak tersebut terlebih dahulu, sehingga tamat tempoh susuan, barulah beliau diperintahkan untuk direjam.

Seseorang yang mengaku melakukan zina kemudian menarik balik pengakuannya diterima penarikan balik tersebut, kerana Rasulullah s.a.w diriwayatkan telah menegur sahabat baginda dengan keras apabila mereka meneruskan hukuman terhadap Ma’iz bin Malik yang telah melarikan diri ketika hukuman dijalankan.

Walaupun hukuman terhadap kesalahan zina telah ditetapkan dalam al-Quran, namun bentuk hukuman yang ditakninkan dalam Akta Jenayah Syariah pada masa ini lebih berupa hukuman takzir. Ini kerana Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 menghadkan bidangkuasa jenayah Mahkamah Syariah hanya ke atas orang Islam, dan untuk kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.

Seksyen 23 (1) dan (2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan bahawa (1) Mana-mana orang lelaki yang melakukan persetubuhan dengan orang perempuan yang bukan isterinya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu. Manakala sub-seksyen (2) Akta tersebut memperuntukkan hukuman yang sama kepada mana-mana orang perempuan yang melakukan persetubuhan dengan orang lelaki yang bukan suaminya.

Apabila seseorang atau lebih mengetahui maklumat tentang berlakunya persetubuhan luar nikah, apa yang perlu dilakukan ialah melaporkan perbuatan tersebut kepada Jabatan Agama Islam untuk diambil tindakan, ditangkap, ditahan, disiasat dan didakwa di Mahkamah. Kesalahan persetubuhan luar nikah adalah ‘kesalahan boleh ditangkap’, di mana Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis boleh menangkap tanpa waran.

Tindakan menyebarkan perbuatan tersebut kepada khalayak ramai dan menjadi perbincangan umum adalah suatu yang tidak baik untuk masyarakat. Kerana hendakkan kemenangan politik, nilai moral manusia dikikis. Kehendak emosi dan politik menjadi lebih penting daripada tanggungjawab undang-undang dan moral. Dari sudut yang lain, ia mencerminkan kelemahan umat Islam dan memburukkan Islam di mata masyarakat bukan Islam. Walhal, segala prosedur perundangan perlu dilakukan di mahkamah, bukan di tempat lain. Perbicaraan yang dilakukan di luar mahkamah bagaikan tidak menghormati Mahkamah sebagai sebuah institusi keadilan.

Menuduh seseorang yang baik lagi suci melakukan zina tanpa mengemukakan empat orang saksi lelaki yang adil hukumnya adalah haram, termasuk dalam dosa besar dan boleh dikenakan hukuman had Qazaf (sebat) sebanyak 80 kali sebatan, dan tidak boleh diterima penyaksiannya selama-lamanya kerana dia adalah orang fasiq. Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nur ayat 4 yang bermaksud : "Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi. Maka sebatlah mereka 80 kali sebatan, dan janganlah kamu terima persaksian mereka itu selama-lamanya keranamereka itu adalah orang yang fasiq". Walaupun dalam ayat menyebut kesalahan menuduh zina kepada wanita, ijma’ ulama’ bersepakat bahawa tuduhan kepada lelaki juga termasuk dalam ayat ini.

Akta Kesalahan Jenayah Syariah juga ada memperuntukkan mengenai kesalahan Qazaf, dalam Seksyen 41 Akta tersebut yang berbunyi “Kecuali dalam kes li'an, mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan, mengikut Hukum Syarak, empat orang saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.”

Jika aduan dibuat secara tertutup menurut saluran yang ditetapkan, ia akan dibicarakan di dalam Mahkamah, dengan mengemukakan bukti-bukti dan saksi-saksi yang boleh membantu dakwaan. Maka maruah tertuduh tidak akan tercemar atau musnah seteruk perbicaraan di media dan di kalangan masyarakat awam. Apabila dibicarakan di mahkamah, maka hukuman qazaf tidak dikenakan kerana maqasid dari hukuman Qazaf adalah untuk membersihkan nama dan maruah tertuduh dari tercalar di mata awam.

Islam memberikan hak samarata kepada yang menuduh dan yang dituduh. Atas dasar itulah Islam memberi hak kepada yang dituduh untuk mengenakan had qazaf ke atas yang menuduh sekiranya tidak dapat mengemukakan saksi sebagaimana yang dikehendaki oleh hukum Syarak.

Maka, berhati-hatilah dalam membuat tuduhan ke atas seseorang yang lain, terutama tuduhan yang melibatkan hak Allah seperti hudud. Allah memberi peringatan keras sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud “Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan (dan lelaki-lelaki) yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat, dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang pedih. Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan.” (Surah An-Nur ayat 23-24)

- Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. E-mail sekretariatpgsm@yahoo.com

No comments:

Post a Comment

Kelantan Lulus Hukum Sebat Khalayak Ramai, PINDAAN TAK BERCANGGAH PERLEMBAGAAN

Berita Harian Jumaat, 14 Julai 2017 KELANTAN LULUS HUKUM SEBAT KHALAYAK RAMAI Pindaan tak bercanggah Perlembagaan Pindaan ...