Tuesday, April 17, 2012

PGSM rancang tambah program penyelidikan

Peguam Syarie Menulis
Berita Harian, Rabu 18 April 2012

Oleh Musa Awang
Barisan Pimpinan PGSM Sesi 2012-2015

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) telah mengadakan Mesyuarat Agong PGSM kali ke-11 pada Sabtu, 14 April 2012 di Dewan Seminar, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Mesyuarat agong kali ke-11 memperlihatkan perubahan kepada pimpinan PGSM, dengan gabungan ahli-ahli jawatankuasa peringkat pertengahan, junior dan senior. Jumlah ahli-ahli jawatankuasa lelaki dan wanita juga seimbang.

Tuan Musa Bin Awang dipilih sebagai Presiden PGSM bagi sesi 2012/2015, menggantikan Tuan Mohamad Isa Bin Abd Ralip yang tidak mempertahankan jawatan. Manakala Tuan Roshdan Sujak Bin Rafie dipilih sebagai Timbalan Presiden. Penolong Setiausaha ialah Puan Norilyana Dzulkifli, manakala Penolong Bendahari ialah Mohd Tajuddin Abd Razak.

Undang-undang tubuh PGSM memberikan kuasa kepada Presiden yang dipilih untuk melantik Setiausaha Agong dan Bendahari Kehormat. Perlantikan Setiausaha Agong dan Bendahari Kehormat akan diumumkan dalam waktu terdekat oleh Presiden PGSM.

Tigabelas (13) orang Ahli Jawatan Kuasa yang dipilih adalah Tuan Moeis bin Basri, Kol (B) Tuan Haji Ahmad Bin Daud, Puan Afshah Binti Arifin, Tuan Mohd Junid bin Ramali, Cik Faridah Binti Ahmad, Puan Hazirah Binti Othman, Tuan Ahmad Nazib Bin Johari, Tuan Abdullah Anuar Bin Sahri, Puan Siti Aishah Binti Din, Tuan Mohd Redzuan Bin Ramli, Cik Norra Syada Binti Othman, Tuan Haji Azmi Bin Tan Sri Rais dan Tuan Haji Mahyuddin Bin Zahari.

Jawatankuasa baru ini akan berkhidmat sehingga tahun 2015. Fokus utama pimpinan baru PGSM ini adalah merealisasikan Akta Guaman Syarie yang menjadi perjuangan semua Peguam Syarie sekian lama. Pelbagai halangan dan dugaan yang ditempuh selama ini, campurtangan pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan adanya akta tersebut, termasuk isu mengharmonikan peruntukan bidangkuasa kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan mengenai Peguam Syarie. Pada mesyuarat agong tersebut, majoriti peguam syarie bersetuju bahawa perlunya ada suatu akta yang menaungi semua peguam-peguam syarie di Negara ini dan mendesak kerajaan Malaysia segera mengadakan Akta Profesion Guaman Syarie tersebut. Mereka juga bersetuju memberikan mandat sepenuhnya kepada PGSM untuk merangka kertas konsep cadangan undang-undang dan menyediakan draf awal Akta tersebut.

Sebagai mengambil langkah pro-aktif terhadap desakan dan mandat yang diberikan oleh peguam-peguam syarie tersebut, PGSM akan mengadakan Bengkel Draf Akta Guaman Syarie pada Sabtu dan Ahad, 21 hingga 22 April 2012 akan datang, bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi, Selangor, bagi membincangkan secara teknikal terhadap kertas konsep cadangan undang-undang dan draf awal Akta tersebut. Bengkel selama 2 hari ini akan mengumpulkan seramai 100 orang peguam syarie yang terdiri daripada seramai 5 orang wakil peguam syarie setiap negeri, termasuk Sabah dan Sarawak.

PGSM sedang berusaha merealisasikan penubuhan cawangan PGSM di negeri-negeri. Setakat ini PGSM telah mempunyai seramai 8 orang wakil penyelaras negeri di Perak, Kedah, Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Pulau Pinang & Sarawak. Lantikan baru akan dibuat bagi wakil penyelaras Negeri Selangor, Melaka, Terengganu & Sabah. Langkah pertama akan dimulai oleh peguam-peguam syarie Negeri Kelantan yang akan mengadakan mesyuarat agong penaja kali pertama pada 24 Mei 2012 akan datang.

PGSM juga sedang berusaha menambah dana atau sumber kewangan persatuan termasuk hasrar memiliki bangunan sendiri. Di samping usaha menambah keahlian, program penyelidikan, pendidikan & latihan untuk peguam-peguam syarie akan diperbanyakkan, terutama kepada peguam Syarie muda, peguam Syarie wanita dan pelatih dalam kamar (chambering). Setakat ini belum ada apa-apa peraturan khusus berhubung dengan amalan pelatih dalam kamar yang hadir bagi pihak master mereka di Mahkamah Syariah, tidak sepertimana di mahkamah sivil. Sebahagian kecil pelatih dalam kamar di Mahkamah Syariah dilayan seperti kerani sambilan, padahal mereka adalah graduan lulusan universiti, dan mereka inilah yang akan menjadi generasi pelapis kepada profesion peguam syarie di Negara ini. Fenomena penghijrahan lulusan Syariah undang-undang dari universiti dalam Negara luar Negara ke profesion lain seperti guru JQAF mendapat perhatian serius pimpinan baru PGSM.

Program-pogram sukan, rekreasi dan riadah yang berjalan dengan baik selama ini akan dikekalkan, di samping menjana laman sesawang baru persatuan yang lebih sofistikated, memperbanyakkan bahan penerbitan ilmiah, menjaga hubungan baik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Kehakiman Syariah atau Mahkamah Syariah Negeri-negeri, Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Agama Islam negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Peguam Negara, Polis Di Raja Malaysia (PDRM), jabatan-jabatan kerajaan lain serta dengan NGO-NGO Islam lain.

Alamat terbaru sekretariat PGSM adalah di Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, No. 71, Jalan Sri Hartamas 1, Taman Sri Hartamas, 50676 Kuala Lumpur. Tel : 03-6205 7000 sambungan 184. E-mail : sekretariatpgsm@yahoo.com.

- Penulis ialah Presiden PGSM Sesi 2012-2015.

Presiden PGSM 2012-2015

No comments:

Post a Comment

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...