Tuesday, May 1, 2012

PERUTUSAN HARI PEKERJA

PERUTUSAN HARI PEKERJA
oleh Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kepada seluruh Peguam Syarie dan Pelatih Dalam Kamar.

Assalamualaikum w.b.t Syukur ke hadrat Allah s.w.t, solawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w.

Selasa, 1 Mei adalah hari cuti umum, bagi meraikan sambutan hari pekerja atau hari buruh. Bagi seorang Peguam Syarie atau Pelatih dalam kamar yang berkerja dengan majikan, 1 Mei adalah hari cuti wajib bagi mereka. Tetapi bagi majikan atau pemilik firma, belum tentu, kerana sebahagian majikan masih bersengkang mata di pejabat menyiapkan kerja-kerja yang belum selesai atau bertemu dengan pelanggan walaupun hari cuti.

Dan saya percaya, pada selasa, 1 Mei 2012, sebahagian besar Peguam Syarie sekitar Lembah Kelang akan berada di Dewan Seminar Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, untuk mengikuti program Kursus Penyediaan Pliding Mahkamah Syariah anjuran PGSM dengan kerjasama Persatuan Pegawai Syariah Selangor (PPSS). Inilah antara sebahagian aktiviti yang boleh kami lakukan untuk kebaikan semua Peguam Syarie. Insya-Allah, lebih banyak program sebegini akan menyusul selepas ini.

Hari Pekerja yang disambut serentak bukan sahaja di negara ini malah di seluruh dunia. Pada hari tersebut juga telah diisytiharkan sebagai cuti umum. Tahukah kita bagaimana sejarah Hari Pekerja bermula? Idea sambutan Hari Pekerja ini sebenarnya mula tercetus di Australia pada tahun 1856. Idea perayaan Hari Pekerja ini kemudiannya mula tersebar ke negara-negara lain di seluruh dunia. Golongan pertama yang mencontohi langkah pekerja Australia ini adalah pekerja Amerika. Bermula pada tahun 1886, mereka mengambil keputusan bahawa setiap 1hb Mei patut menjadi hari pemberhentian bekerja antarabangsa. Pengisytiharan 1 Mei sebagai Hari Pekerja di Malaysia hanya bermula pada tahun 1972.

Sebagai seorang yang berkerja, adakah tuntutan berkerja kita sekadar untuk memenuhi keperluan asasi diri sendiri, seperti membayar ansuran kereta, ansuran motor, membayar ansuran rumah, membayar bil telefon, air, elektrik dan astro, member nafkah untuk isteri dan anak-anak, membeli pakaian, aksesori kereta dan lain-laian, atau ia suatu kewajipan sebagai suatu kewajipan atau tanggungjawab yang mempunyai tujuan yang lebih luas?

Banyak dalil-dalil yang menunjukkan Islam menggalakkan penganutnya berkerja, antaranya -
1. "Tidaklah ada makanan seseorang itu yang lebih baik daripada apa yang dimakannya dari hasil usaha tangannya sendiri". (HR al-Bukhari)
 2. Firman Allah bermaksud : "Wahai sekalian manusia, makanlah dari apa yang ada di muka bumi yang halal lagi baik". (al-Baqarah: 168)
3. Sabda Nabi (s.a.w) bermaksud : "Mencari kerja halal itu wajib atas setiap orang Islam."
4. Dari Miqdan r.a. dari Nabi Muhammad s.a.w, bersabda : Tidaklah makan seseorang lebih baik dari hasil usahanya sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud a.s., makan dari hasil usahanya sendiri.” (H.R Bukhari)
5. Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w : Sesungguhnya Nabi Daud a.s., tidak makan kecuali dari hasil usahanya sendiri.” (HR Bukhari)
6. Dari Abu Hurairah r.a., ia berkata: Rasulullah s.a.w bersabda : Sungguh, seandainya salah seorang di antara kalian mencari kayu bakar dan memikul ikatan kayu itu, maka itu lebih baik, daripada ia meminta-minta kepada seseorang, baik orang itu memberinya ataupun tidak.” (HR. Bukhari dan Muslim).
7. Dari Abu Abdullah Az-Zubair bin Al-‘Awwam r.a., ia berkata: Rasulullah Saw bersabda: Sungguh seandainya salah seorang di antara kalian mengambil beberapa utas tali, kemudian pergi ke gunung dan kembali dengan memikul seikat kayu bakar dan menjualnya, kemudian dengan hasil itu Allah mencukupkan kebutuhan hidupmu, itu lebih baik daripada meminta-minta kepada sesama manusia, baik mereka memberi ataupun tidak.” (HR. Bukhari)
8. Dalam sebuah hadits Rasul s.a.w bersabda : “Barang siapa pada malam hari merasakan kelelahan karena bekerja pada siang hari, maka pada malam itu ia diampuni Allah” (Hadits Riwayat Ahmad & Ibnu Asakir )
9. Rasulullah saw pernah ditanya, Pekerjaan apakah yang paling baik? Beliau menjawab, Pekerjaan terbaik adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan semua perjualbelian yang dianggap baik,” (HR Ahmad dan Baihaqi).

 Dalam dalil-dalil yang disebutkan di atas, menunjukkan bahawa bekerja merupakan perbuatan yang sangat mulia dalam ajaran Islam. Bekerja bukan sekadar memenuhi kebutuhan perut, tapi juga untuk memelihara harga diri dan martabat kemanusiaan yang seharusnya dijunjung tinggi. Karenanya, bekerja dalam Islam menempati posisi yang teramat mulia. Islam sangat menghargai orang yang bekerja dengan tangannya sendiri.

Dalam Islam, bekerja akan mendapat pahala, kerana bekerja merupakan kewajiban atau fardhu. Rasulullah s.a.w bersabda, Mencari rezeki yang halal itu wajib sesudah menunaikan yang fardhu (seperti shalat, puasa dan sebagainya), (HR ath-Thabrani dan al-Baihaqi). Atas prinsip itulah, maka tidak hairan jika Umar al-Khatthab pernah menghalau orang yang berada di masjid agar keluar untuk mencari nafkah.

Berkerja adalah satu kewajipan seorang hamba kepada Allah s.w.t. Firman Allah dalam Surah at-Taubah ayat 105 bermaksud – “Dan katakanlah ‘berkerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.”

Dalam Islam, banyak ibadah yang tak mungkin dapat dilakukan tanpa ada wang dan harta, seperti zakat, infaq, shadaqah, wakaf, haji dan umrah. Wang dan harta tak mungkin diperolehi tanpa berkerja. Maka berkerja untuk memperolehi harta adalah ibadah kepada Allah s.w.t. Dalam satu hadith, Baginda s.a.w bersabda yang bermaksud – “Sesungguhnya Allah s.w.t mencintai seorang mukmin yang giat berkerja.” – HR Tabrani.

Islam menjanjikan jaminan syurga kepada muslim yang berkerja dengan baik. Persoalannya, adakah pekerjaan kita akan membawa atau menghantar kita ke syurga? Apakah syarat-syaratnya dan bagaimanakah menjadikan pekerjaan kita sebagai pra-syarat untuk mendapatkan syurga Allah s.w.t?

1. Niat ikhlas kerana Allah s.w.t. Mulakan langkah kaki keluar dari rumah dengan bismillah wa tawakkal alallah, la haula wala quwwata illa billah, dan pulang ke rumah dengan lafaz syukur ke hadrat Allah s.w.t.

2. Itqan, iaitu bersungguh-sungguh, professional dalam berkerja. Dalam satu hadith yang bermaksud “Sesungguhnya Allah mencintai seorang hamba yang apabila dia berkerja, dia menyempurnakan pekerjaannya.” – HR Tabrani.

 3. Bersikap jujur dan amanah. Pekerjaan adalah suatu amanah, samada amanah dari majikan, pelanggan, atau amanah yang lebih besar dari Allah s.w.t. Usah mengambil sesuatu yang bukan hak. Dalam satu hadith, baginda s.a.w bersabda yang bermaksud “Seorang peniaga yang jujur lagi dapat dipercayai (kelak akan dikumpulkan) bersama para nabi, shiddiqin dan syuhada.” – HR Tarmidzi.

4. Menjaga etika seorang muslim. Etika dalam berbicara, menegur, berpakaian, bergaul, makan minum, cara berhadapan dengan pelanggan dll. Akhlak adalah ciri kesempurnaan seorang mukmin. Sabda nabi s.a.w bermaksud “Sesempurnanya keimanan seorang mukmin adalah yang paling baik akhlaknya.” – HR Tarmidzi.

5. Tidak melanggar prinsip Syariah, tidak ada produksi yang haram, tiada unsure riba, gharar, tidak berkaitan dengan risywah, fitnah dalam persaingan dll. Firman Allah dalam surah Muhammad ayat 33 bermaksud “Wahai orang-orang beriman, taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan janganlah kamu merosakkan pahala-pahala amalmu.”

6. Menghindari dari syubhat. Syubhat ialah sesuatu yang samar antara halal dan haramnnya, seperti pemberian dari pihak luar, atau ada kepentingan tertentu atau berkerja dengan orang yang diketahui zalimnya atau yang melanggar syariat. Sabda Nabi s.a.w bermaksud “halal itu jelas dan haram itu jelas,d an diantara keduanya ada perkara-perkara yang syubhat. Maka barang siapa yang terjerumus dalam perkara yang syubhat, maka ia terjerumus pada yang haram.”

7. Menjaga ukhuwwah Islamiyyah. Jangan sampai melahirkan perpecahan di tengah kaum muslimin. Rasulullah s.a.w sendiri ada mengemukakan pencegahan agar tidak merosakkan ukhuwwah Islamiyyah sebagaimana sabda baginda “dan janganlah kamu membeli barang yang sudah dibeli oleh orang lain.”

Banyak unsur-unsur yang perlu kita semua hindari dalam melaksanakan tugas professional kita sebagai Peguam Syarie atas muka bumi ini, agar pekerjaan kita ini akan menjadi rel kenderaan kepada kita untuk menuju ke syurga Allah s.w.t.

Semoga kita semua diberikan petunjuk ke jalan yang baik. Wallahu'alam.

Selamat Hari Pekerja.

“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak.”

MUSA AWANG
Presiden PGSM
1 Mei 2012

No comments:

Post a Comment

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...