Wednesday, July 31, 2013

Tubuh wanita bukan untuk tayangan


Oleh Musa Awang
Harian Metro, Selasa 30 Julai 2013

(Teks asal)

Terbaru, dua daripada empat gadis Muslim yang digugurkan daripada senarai finalis pertandingan ratu cantik Miss Malaysia World 2013 mempertikai dan mempersoalkan keputusan melarang penglibatan mereka dalam pertandingan itu.

Ini berikutan teguran Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh, yang kecewa dengan sikap mereka.

Mereka berpendapat keputusan itu satu diskriminasi berlandaskan agama, kerana pertandingan ratu cantik itu adalah dibolehkan kerana pertandingan akhir diadakan di Indonesia yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Mereka mendakwa tidak akan memakai pakaian renang atau bikini sebaliknya akan memakai pakaian sukan yang bersesuaian.

Malangnya, ada pula pertubuhan yang menyokong gadis-gadis ini, dan turut mempertikaikan fatwa mufti yang telah diwartakan itu.

Polemik ini bukan suatu perkara yang baru kerana pada tahun 1997, tiga gadis Melayu menyertai pertandingan itu di Selangor. Tahun 2011, lima wanita Islam menyertai pertandingan Ratu Cantik Borneo (MBB) 2011 di Kuching, Sarawak, walaupun sudah diberi kaunseling oleh Jabatan Agama Islam Sarawak dan mendapat bantahan pelbagai pihak.

Di Wilayah Persekutuan, fatwa pengharaman wanita Islam menyertai pertandingan ratu cantik telah diwartakan pada 8 Februari 1996. Fatwa menyatakan adalah haram dan berdosa bagi orang Islam menyertai dan menganjurkan atau menyumbangkan apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik.

Pengharaman penyertaan wanita-wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik bukan semata-mata disebabkan memperagakan pakaian mandi atau pakaian renang, tetapi haram kerana pendedahan kecantikan serta aurat wanita di hadapan lelaki yang bukan mahram.

Keputusan pengharaman tersebut bukan dibuat secara sembrono, tetapi setelah kajian dan perbahasan ulama’ dalam jawatankuasa fatwa berkenaan.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan katakan kepada perempuan beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan jangan memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala dan jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh melainkan kepada suami atau bapa atau bapa mentua atau anak atau anak tiri atau saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara mereka yang perempuan atau perempuan Islam atau hamba atau orang gaji daripada lelaki yang sudah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti mengenai aurat perempuan dan jangan mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubat kamu sekalian kepada Allah, wahai orang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah An-Nur, ayat 31) 

Pelihara kecantikan wanita

Inilah bukti Islam berbeza dengan agama-agama lain kerana memelihara kecantikan tubuh wanita Islam daripada dipertontonkan atau dijadikan bahan pertandingan.

Kecantikan wanita Islam bukan terletak pada raut wajah, lentuk tubuh atau lenggok semasa berjalan, tetapi ketaatan agama, kemuliaan hati, kelembutan tutur kata dan tindak-tanduk.

Secara simboliknya, acara ratu cantik ini merupakan satu penghinaan ke atas martabat dan maruah golongan wanita khususnya wanita Islam apabila anggota badan mereka dengan senangnya ditonton oleh orang ramai tidak kira agama atau jantina dan dinilai kecantikannya oleh juri, dan di antara juri adalah dari kalangan lelaki.

“Sebagai perbandingan, jika terdapat dua biji gula-gula, satu yang dibuka pembalutnya dan satu lagi tidak dibuka pembalutnya, lalu kedua-duanya dicampakkan ke lantai yang berdebu. Yang mana satukah yang akan kita ambil untuk dimakan? Sudah tentu gula-gula yang masih berbalut dengan kemas.”

Jika ulama’ sudah membuat ketetapan sedemikian, siapa pula pihak yang hendak mempertikaikan? Tinggi sangatkah ilmu syariah mereka? Sedangkan ulama’ adalah pewaris nabi sebagaimana sabda Baginda SAW yang bermaksud : “Ulama adalah pewaris para nabi.” (HR At-Tirmidzi dari Abu Ad-Darda r.a).

Hujah logik akal

Usah dilayan pihak yang cuba menegakkan menegakkan benang basah, dengan mengemukakan pelbagai alasan dan hujah secara logik akal. Kenapa tidak menggunakan logik akal untuk mengkaji kenapa Islam mementingkan aurat wanita dipelihara?

Suasana mutakhir ini membabitkan ancaman pihak yang menaja hak asasi dan individu secara terbuka, menggunakan alasan diskriminasi gender dan agama sebagai hujah mereka. Apabila timbul isu-isu seperti ini, maka puak-puak ini akan bersuara.

Keadan-keadaan sebegini memerlukan tindakan segera pihak berkuasa agama. Penulis mengucapkan tahniah kepada para ulama’ yang bertegas mempertahankan fatwa yang telah diwartakan tersebut. Jika para ulama leka atau bisu, maka semakin banyaklah orang bodoh yang bercita-cita untuk menjadi ulama akan bersuara menyokong perkara yang sudah terang-terangan salah di sisi Syarak.

Fatwa yang sudah diwartakan akan menjadi undang-undang yang boleh dikuatkuasa. Orang yang melakukan tindakan bertentangan dengan fatwa yang telah diwartakan boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang jenayah syariah negeri.

Seksyen 9, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997, memperuntukkan bahawa – “Mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina pihak berkuasa agama atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam, Majlis atau Mufti, yang dinyatakan atau diberikan melalui fatwa, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.”

Pada masa sama, penganjur bukan Islam seharus belajar memahami kehendak ajaran agama Islam, sebagaimana orang Islam tidak pernah mempertikaikan amalan dalam agama mereka, walaupun kelihatan tidak logik pada akal. Kalian dengan agama kalian, dan kami orang Islam dengan agama kami.

Saling memahami dan menghormati pegangan agama kaum lain adalah elemen terpenting dalam memastikan keharmonian agama dan keserasian kaum di Negara ini. 

Kita tidak menghalang wanita untuk menyertai apa sahaja bentuk pertandingan, asalkan pertandingan itu tidak bertentangan dengan apa yang telah Islam gariskan. Begitu juga dengan isu pertandingan ratu cantik. Jika pesertanya wanita menutup aurat, tidak mempertandingkan kecantikan semata-mata, ditonton oleh wanita juga, dan jurinya juga dari kalangan wanita juga, maka ia adalah harus.

- Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Email : sekretariatpgsm@yahoo.com


1 comment:

  1. Aslkm ustaz...
    bgmana pula lelaki yg mengikut pertandingan bina badan. Rasanya tiada pengecualian kan?

    ReplyDelete

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...