Saturday, July 25, 2015

KHUTBAH SUNTIK KESEDARAN

Harian Metro
22 Julai 2015

Oleh Tuan Musa Awang

Tahun ini, umat Islam di negara ini meraikan sambutan hari raya Idulfitri pada hari Jumaat. Hari Jumaat adalah suatu hari yang amat berkat dan mulia, sebagaimana sabda Nabi SAW dalam satu hadith dari Abu Hurairah : “sebaik-baik hari di mana matahari terbit adalah hari Jum'at, di hari itu Adam diciptakan, dan pada hari itu dia dimasukkan ke surga, dan pada hari itu dikeluarkan darinya, dan tidak terjadi hari kiamat kecuali pada hari Juma'at” (HR. Muslim)

Maka, pada sambutan Idulfitri tahun ini, ada dua perhimpunan solat yang besar, dan akan ada dua khutbah pada hari berkenaan, iaitu solat sunat hari raya Idulfitri dan solat Jumaat.

Setiap minggu umat Islam menunaikan solat Jumaat. Perhimpunan besar pada hari Jumaat ini sepatutnya menjadi satu peluang yang baik kepada para khatib menyampaikan pesanan-pesanan yang baik dan membina kepada seluruh masyarakat Islam dalam khutbah mereka. Kerana kita tidak akan dapat melihat sebegitu ramai umat Islam berpusu-pusu dan berhimpun di masjid-masjid melainkan pada solat Jumaat atau solat hari raya.

Pengisian Khutbah
Khutbah-khutbah Nabi SAW dan para sahabatnya mengandungi penjelasan tentang tauhid dan keimanan, menyebutkan sifat-sifat dan nikmat-nikmat Allah SWT, dasar-dasar keimanan, hari-hari pembalasan yang membuat mereka takut kepada azab Allah SWT, perintah berzikir dan bersyukur kepada-Nya, mencela dunia, menyebut kematian, syurga dan neraka, mendorong ketaatan kepada Allah dan rasul-Nya, dan melarang mereka berbuat maksiat dan sebagainya.

Maka, dalam pengisian khutbah, khatib berperanan untuk menyebutkan tentang perkara-perkara ini agar memberi kesedaran kepada para jama’ah agar mencintai Allah SWT. Sehingga setelah selesai solat sekali pun, para jama’ah masih terasa bahang kecintaan kepada Allah SWT. Mereka beredar dari tempat perhimpunan atau masjid dengan hati yang dipenuhi keimanan dan takut kepada Allah SWT. Hati dan anggota badan mereka tergerak untuk berzikir, taat, dan beribadah kepada Allah SWT sepanjang masa.

Penyampaian khutbah
Oleh sebab itu, khutbah seorang khatib harus bersemangat, disampaikan dengan suara yang kuat, bahasa yang tegas, dan seni berbicara yang baik, yang mampu membangkitkan semangat serta menarik perhatian para jama’ah yang sedang mendengar. Khutbah yang baik adalah khutbah yang dapat menyuntik kesedaran jama’ah untuk bangkit dari kealpaan, agar menjadi muslim yang bertakwa, bermartabat di sisi Allah, serta bermanfaat kepada orang lain. Khatib dilarang menggunakan unsur-unsur humor yang membuatkan jama’ah tertawa, kerana ia akan merosakkan ibadah.

Kewibawaan seorang khatib menyampaikan khutbah adalah melalui penampilan, suara dan persekitaran. Dalam sebuah hadith dari Jabir bin Abdullah r.a berkata : “Rasulullah SAW apabila berkhutbah, kedua mata baginda menjadi merah, suara baginda keras, dan semangatnya bangkit bagaikan seorang panglima perang (yang memberi peringatan tentang kedatangan musuh).” (HR Muslim)

Malangnya, di sesetengah masjid, pendekatan dan cara penyampaian khutbah Jumaat amat mengecewakan. Khatib ‘membaca’ khutbah, bukan menyampaikan khutbah. Khutbah yang disampaikan dengan cara membaca akan jadi mendatar dan mengulit-ulit para makmun, sehingga terlena. Mungkin perlu suatu kajian dilakukan oleh pihak-pihak yang berkenaan, berapa peratus kah makmun faham isi khutbah yang disampaikan pada setiap minggu.

Sekiranya imam telah uzur atau tidak dapat menyampaikan khutbah dengan baik, tidak menjadi masalah sekiranya tugasan berkhutbah diberikan kepada imam yang lebih sihat dan muda, manakala orang lain pula yang mengimamkan solat.

Khatib disunnahkan berkhutbah pendek tanpa teks, dan jika ia berkhutbah membawa teks maka dipegang di tangan kanannya. Dari Jabir bin Samurah r.a.  berkata : “aku solat bersama Rasulullah SAW, maka solat baginda sedang, dan khutbahnya sedang (tidak terlalu panjang).  (HR. Muslim)

Dalam hadith yang lain Ammar bin Yasir r.a berkata, saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda : "Sesungguhnya panjangnya solat dan pendeknya khutbah seseorang, merupakan tanda akan kefahamannya. Karena itu, lamakanlah solat mu dan pendekkanlah khutbah mu.” (HR Muslim).

Ini bermaksud bahawa amalan berkhutbah yang lebih panjang daripada solat adalah suatu petanda yang tidak baik. Khutbah yang terlalu panjang akan mendatangkan kejemuan dan kebosanan kepada makmun, terutama dalam keadaan waktu tengahari yang amat berisiko untuk mengantuk. Perhatian perlu juga diberikan kepada orang-orang yang memilki kesibukan tersendiri, terutama di negeri-negeri yang berkerja pada hari Juma’at.

Harus ada keseimbangan antara penyampaian khutbah pertama dan khutbah kedua. Kedua-kedua khutbah harus disampaikan dengan tenang dan lantang, tanpa ada pengurangan pada mana-mana peringkat. Realiti yang berlaku, ada khatib yang mementingkan penyampaian khutbah pertama sahaja dan mengabaikan khutbah kedua. Imam al-Nawawi r.a pernah menyatakan bahawa di antara hal-hal yang dimakruhkan semasa berkhutbah adalah tergesa-gesa dalam menyampaikan khutbah kedua dan tidak melantangkan suara ketika menyampaikannya.

Khatib yang baik, cerdas dan arif, adalah seorang da’i yang mampu menyampaikan khutbah yang relevan dengan fenomena dan keadaan semasa yang dialami oleh masyarakat setempat, menyentuh permasalahan semasa yang dihadapi kaum Muslimin. Perkara yang disampaikan melalui khutbah walaupun ringkas, tetapi  mampu menjawab dan memberikan kaedah penyelesaian terhadap permasalahan semasa yang sedang dihadapi umat oleh umat Islam.

Khatib juga perlu memahami tahap intelektual jama’ah yang hadir, dan memilih pola bahasa yang sesuai dengan pendengar, agar mesej khutbah yang disampaikan dapat dipahami dengan mudah oleh para jama’ah, dan berkesan di hati sanubari mereka. Pemahaman yang baik dan berkesan inilah yang akan mampu memotivasi umat untuk bangkit pada setiap minggu dengan kesedaran yang tulus, sehingga dapat mengamalkan sesuatu yang disampaikan oleh khatib dalam khutbah.

Sebelum memulakan solat berjama’ah, khatib atau imam harus memerintahkan ma’mum untuk meluruskan dan merapatkan shaf. Disebabkan penyampaian khutbah yang agak panjang, sesetengah imam terburu-buru memulakan solat dengan mengangkat takbir, sedangkan ma’mum di belakang masih sedang meluruskan dan mengisi shaf yang masih kosong. Pentingnya tugas imam dalam mengatur shaf disebut dalam hadis Nabi SAW :  Dari Nu’man ibn Basyir, dia berkata - Nabi SAW bersabda : “Luruskanlah shaf kalian atau Allah yang akan mencerai-beraikan wajah kalian” (HR. Bukhari).

Solat Juma’at adalah perhimpunan besar umat Islam pada setiap minggu. Kadangkala kita meremehkan suatu amalan yang rutin disebabkan ia dilakukan pada setiap minggu. Sepatutnya, amalan rutin itulah yang harus dipertingkatkan dan diperbaiki dari semasa ke semasa, bukan sebaliknya. Dan pada Jumaat ini, perhimpunan hari Juma’at akan jatuh pada hari yang sama dengan perhimpunan solat Idulfitri. Semoga suatu perubahan boleh berlaku. Wallahu’alam.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) 2015. E-mail : sekretariatpgsm@yahoo.com



No comments:

Post a Comment

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...