Saturday, July 25, 2015

Meningkatkan Kesedaran Berzakat


Oleh Musa Awang

Ibadah berzakat merupakan rukun Islam yang ketiga penting selepas solat. Perintah mengeluarkan zakat datang sekali dengan perintah solat, sebagaimana dalam firman Allah SWT yang bermaksud - "Mereka tidaklah disuruh melainkan supaya menyembah Allah dengan penuh ikhlas demi agama yang lurus dan juga supaya mereka mendirikan solat dan mengeluarkan zakat dan yang demikian itu adalah agama yang teguh." (Surah al-Bayyinah :5)

Tujuan Zakat
Zakat merupakan salah suatu bukti kepatuhan dan ketundukan makhluk kepada perintah al-Khalik, yakni Allah SWT. Orang yang beriman akan bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Cara menunjukkan rasa syukur tersebut ialah dengan mengeluarkan zakat, yang akan melahirkan rasa tenang dan tenteram dalam hati dan jiwa pembayar zakat.

Zakat juga merupakan suatu kaedah membantu golongan yang memerlukan bantuan kerana tidak semua orang mempunyai nasib yang baik. Dalam harta yang diperolehi oleh orang Islam, terdapat hak orang lain yang perlu ditunaikan. Sebahagian daripada kekayaan orang yang berada perlu diagihkan kepada golongan yang kurang berada. Secara tidak langsung dapat mengurangkan perasaan iri hati di kalangan mereka. Zakat bukan sahaja mewujudkan perhubungan antara hamba dengan Allah SWT, tetapi juga perhubungan antara manusia dengan manusia.

Zakat juga berperanan menyucikan dan menyuburkan harta yang dimiliki oleh umat Islam, yang mungkin terdedah kepada unsur haram atau syubhah semasa berusaha memperolehinya. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka yang dengan zakat itu kamu dapat membersihkan dan mensucikan mereka." (Surah al-Taubah : 103)

Setiap individu Islam, merdeka, mempunyai pemilikan terhadap harta secara sah sepanjang haul dan mempunyai kuasa secara bebas untuk mengurus dan memperolehi manfaat dari harta tersebut tanpa sekatan atau kawalan undang-undang dan peraturan, cukup nisab, cukup haul serta memiliki harta yang boleh berkembang secara hakiki atau boleh diusahakan, maka dia wajib membayar atau mengeluarkan zakat.  

Jenis-Jenis Zakat
Zakat selalunya disebut-sebutkan apabila tiba Ramadhan, kerana ramai yang maklum tentang kewajipan membayar zakat fitrah. Walau pun terdapat jenis-jenis zakat yang lain iaitu zakat harta, zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat wang simpanan, zakat pertanian, zakat perternakan, zakat ma’adin, kunuz dan rikaz, zakat emas dan perak. Malah dalam keadaan-keadaan dan syarat-syarat tertentu, saham dan wang KWSP juga boleh dikenakan zakat.

Kegagalan membayar zakat dan fitrah telah ditakninkan sebagai suatu kesalahan dalam undang-undang Islam negeri-negeri. Sebagai contoh, Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996 memperuntukkan – Mana-mana orang yang wajib membayar zakat atau fitrah tetapi - (a) enggan membayar atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau fitrah itu; atau (b) enggan membayar atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau fitrah itu melalui amil yang dilantik atau mana-mana orang lain yang diberikuasa, oleh Majlis untuk memungut zakat atau fitrah;  adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Cuma persoalannya, apakah sikap umat Islam terhadap perintah berzakat? Adakah kefahaman masyarakat tentang kewajipan membayar zakat ini telah mencukupi? Adakah peruntukan undang-undang yang ada tersebut telah cukup untuk menggerunkan masyarakat agar menunaikan kewajipan berzakat?

Sikap Umat Islam
Jika dibandingkan antara jumlah kutipan zakat fitrah di negeri Selangor berbanding dengan jumlah penduduk Islam di negeri berkenaan pada tahun 2014, menurut Laporan Kutipan Zakat Lembaga Zakat Selangor bagi tahun berakhir 31 Disember 2014, jumlah kutipan zakat fitrah di Selangor bagi tahun 2014 ialah sebanyak RM20,564,439.00.

Manakala menurut laporan Ketua Jabatan Perangkaan pada Januari lalu, Selangor kekal dengan jumlah penduduk paling ramai di negara ini iaitu 5.2 juta orang diikuti Johor seramai 3.4 juta orang dan Sabah sebanyak 3.2 juta orang. Orang Melayu kekal dengan kaum paling banyak iaitu 66.7 peratus diikuti Cina 24.6 peratus dan India 7.4 peratus.

Berdasarkan kepada perangkaan tersebut, jika 66.7 peratus daripada jumlah penduduk Selangor (5.2 juta orang) ialah orang Melayu Islam, maka kita dapat simpulkan bahawa jumlah penduduk Islam di negeri Selangor pada tahun 2014 ialah seramai lebih kurang 3,468,400 orang.

Kadar bayaran zakat fitrah bagi setiap orang Islam di negeri Selangor pada tahun 2014 ialah sebanyak RM7.00. Ini bermakna bahawa pada tahun 2014, seramai 2,937,777 (85 %) orang telah membayar zakat fitrah. Manakala bakinya seramai 530,623 orang (15 %) ialah samada mereka adalah golongan fakir miskin, atau mereka membayar fitrah di negeri lain atau pun mereka tidak menunaikan zakat fitrah. Secara umumnya, peratusan ini menunjukkan tahap kesedaran umat Islam terhadap kewajipan membayar zakat fitrah.

Berdasarkan statistik JAWHAR, daripada tahun 2001 hingga 2010 (10 tahun) negeri Selangor mencatatkan jumlah pungutan zakat tertinggi, dengan pendapatan mencecah RM1.69 bilion. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merupakan wilayah tunggal selain Selangor yang merekodkan pungutan zakat melebihi RM1 bilion dalam tempoh yang sama. Negeri-negeri lain yang mencatatkan peningkatan tahunan jumlah pungutan zakat secara berterusan dari tahun 2001 ke 2010 ialah Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Rata-rata semua orang maklum tentang kewajipan zakat fitrah. Walau bagaimanapun, kefahaman tentang kewajipan zakat yang lain masih rendah. Jika dilihat kepada statistik kutipan zakat mengikut kategori bagi tahun 2014, kategori zakat pendapatan adalah tertinggi berbanding dengan kategori lain.

Umat Islam sepatutnya merasa bangga apabila mereka menjadi pembayar zakat, kerana tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah. Umat Islam seharusnya berusaha agar mereka menjadi kaya raya, malah jutawan. Firman Allah yang bermaksud: “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan kepada mereka kekuatan (kekayaan) di atas muka bumi nescaya mereka akan mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka juga akan menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan." (Surah al-Hajj: 41)

Inisiatif beberapa negeri untuk mengagihkan wang zakat kepada asnaf untuk dijadikan modal perniagaan boleh dipuji, kerana dengan usaha ini, dalam tempoh beberapa tahun lagi mereka sudah tidak perlu zakat lagi sebaliknya mereka pula yang akan mengeluarkan zakat. Apabila semakin ramai pembayar zakat, dan pengagihan dapat disampaikan kepada sasaran dengan sistematik, tidak mustahil suatu masa kita akan menikmati satu zaman seperti zaman Khalifah Umar al-Khattab dan Umar Abdul Aziz yang susah untuk mencari orang yang miskin. Wallahu’alam.

- Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) 2015. Email : sekretariatpgsm@yahoo.com



No comments:

Post a Comment

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...