Al-‘Umra bermaksud pemberian semasa tempoh hidup penerima
hibah atau pemberi hibah dengan syarat harta tersebut dikembalikan setelah
kematian penerima hibah. Al-‘Umra juga bermaksud suatu pemberian yang bersifat
sementara yang merujuk kepada hayat salah seorang sama ada pemberi hibah atau
penerima hibah.
Sekiranya penerima hibah meninggal dunia maka harta yang
dihibahkan itu dikembalikan kepada pemberi hibah. Sebaliknya, jika pemberi
hibah meninggal dunia maka harta hibah akan dikembalikan kepada waris pemberi
hibah. Contoh lafaz hibah al-‘umra adalah seperti pemberi hibah berkata : “tanah
ini aku berikan (hibahkan) kepada kamu semasa kamu hidup dan jika kamu mati
maka harta itu kembali kepada aku jika aku masih hidup dan kepada waris aku
jika aku telah mati”.
Manakala al-Ruqba pula ialah pemberian dengan syarat kematian
salah satu pihak sama ada pemberi hibah atau penerima hibah sebagai syarat
pemilikan kepada salah satu pihak yang hidup. Al-Ruqba juga bermaksud suatu
pemberian bersyarat yang ditentukan oleh pemberi hibah, di mana harta hibah
akan menjadi milik penerima hibah sekiranya pemberi hibah meninggal dunia.
Tetapi jika penerima hibah meninggal dunia sebelum pemberi hibah maka harta
hibah akan kembali kepada pemberi hibah. Contoh lafaz hibah al-ruqba adalah
seperti pemberi hibah berkata: “tanah ini aku berikan kepada kamu sebagai ruqba
dan jika kamu mati dulu maka harta itu kembali kepada aku dan jika aku mati
dulu maka harta itu untuk kamu”
.
Para fuqaha’ sepakat tidak mengharuskan hibah yang
disyaratkan pemilikannya akan terlaksana pada suatu tempoh masa yang akan
datang.
Majoriti ulamak berpendapat hibah yang bersifat sementara seperti hibah
‘umra dan ruqba adalah sah tetapi syaratnya terbatal. Mereka berhujah bahawa
jika syarat itu terpakai maka ia bertentangan dengan kehendak akad hibah itu
sendiri. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Peliharalah harta kamu dan janganlah kamu
(menghibahkannya) secara ‘umra kerana sesungguhnya sesiapa yang (menghibah)
sesuatu secara ‘umra, maka ia menjadi milik orang yang dihibahkan”.
Sebahagian daripada fuqaha’ mazhab Hanbali, Imam Malik,
Imam al-Zuhri, Abu Thur dan lain-lain serta qawl al-qadim Imam Syafie
berpendapat bahawa hibah ‘umra adalah harus dan syaratnya sah jika tidak
dinyatakan oleh pemberi hibah bahawa harta yang dihibahkan akan menjadi milik
waris penerima hibah selepas kematian penerima hibah. Ini bermakna harta hibah
akan kembali kepada pemberi hibah selepas kematian penerima hibah.
Sementara pendapat lain pula mengambil pendekatan bahawa
hibah yang bersifat sementara pada hakikatnya bukanlah hibah tetapi ia adalah
‘ariyah (peminjaman).
Imam Abu Hanifah dan Imam Malik mengharuskan hibah ‘umra
tetapi tidak mengharuskan hibah ruqba. Pandangan mereka adalah berpandukan
kepada hadis Rasulullah s.a.w yang telah mengharuskan hibah ‘umra dan
membatalkan hibah ruqba. Namun hadis ini dikritik oleh Imam Ahmad kerana ia
tidak diketahui kesahihannya. Mereka juga berpendapat bahawa hibah ruqba adalah
hibah ta’liq ke atas sesuatu yang tidak jelas dari segi tempoh ia akan
terlaksana.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapat dirumuskan bahawa
antara isu penting yang membawa perbezaan pandangan di kalangan fuqaha’
mengenai hibah ‘umra dan hibah ruqba ialah tertumpu kepada unsur hibah yang
bersifat sementara dan hibah sesuatu yang dita’liqkan dengan hayat seseorang.
Kedua-dua
isu ini telah menimbulkan reaksi yang berbeza di kalangan fuqaha’. Mazhab yang
mengatakan hibah ‘umra dan hibah ruqba tidak diharuskan adalah berpandukan
kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Janganlah kamu memberi (hibah) sama ada secara ‘umra atau
ruqba”.
Mazhab yang mengharuskan hibah ‘umra dan hibah ruqba pula
berhujah dengan hadis yang bermaksud :
“(Hibah) ‘umra dan ruqba adalah
diharuskan bagi mereka”.
Dalam penyediaan Hibah Umra atau Hibah Ruqba, sebaik-baiknya rujuklah Peguam Syarie yang bertauliah yang biasa menyediakan dokumen Hibah dan biasa mengendalikan kes pengesahan hibah di Mahkamah Syariah.
- Musa Awang, Presiden PGSM.