Thursday, April 19, 2018

Janji adalah hutang



TUAN MUSA AWANG 
18 APRIL 2018
Sinar Harian


Menjelang PRU14 ini pelbagai pihak mula menabur janji-janji

MENJELANG pilihan raya umum, kelihatan bagaikan suatu pesta menabur janji-janji, Ada janji yang berkisar tentang perkara-perkara yang mungkin tercapai, yang logik dan boleh diterima akal.

Dan ada juga janji yang tidak munasabah untuk diterima akal, yang diucapkan sekadar untuk menarik perhatian dan meraih sokongan, serta tidak dapat membezakan yang manakah visi dan yang manakah janji.

Visi sepatutnya sebuah paparan perancangan yang akan dilakukan jika terpilih untuk menjadi pemimpin, dan masih dalam batas-batas kewajaran serta rasional. Tetapi jika visi telah dipaparkan menjadi sebuah janji, maka di situlah ia terikat dengan adab-adab dan kehendak yang digariskan syarak.

Pihak yang berjanji sudah pasti memikirkan dan mengkaji sama ada janji yang ditaburkan itu mampu dipenuhi atau tidak.

Janji adalah suatu akad, iaitu suatu simpulan yang mengikat antara pihak yang mengucapkan janji dan pihak yang menerima janji. Lebih-lebih lagi jika pihak yang menerima janji mengotakan apa yang ditawarkan oleh pihak yang berjanji. 

Akad perjanjian yang dibuat secara bertulis boleh ditagih atau dituntut. Malangnya, tidak demikian dengan janji mulut, tiada surat perjanjian hitam dan putih. Sekadar dalam bentuk kata-kata si pembuat janji. Jika si pembuat janji mengelak, si penerima janji tidak punyai apa-apa sebagai dasar untuk menuntut janji berkenaan.

Berjanji adalah harus, menetapi janji adalah wajib. Oleh sebab itu, tidak mengotakan janji yang telah dipersetujui bererti haram dan mungkar di sisi ALLAH SWT. Firman-Nya yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah akad-akad janji itu.” (Surah Al-Ma’idah : 1)

Dalam surah yang lain, ALLAH SWT berfirman yang bermaksud, “dan tepatilah perjanjian dengan ALLAH apabila kamu berjanji dan janganlah kamu membatalkan sumpah-sumpah (mu) itu sesudah meneguhkannya, sedang kamu sudah menjadikan ALLAH sebagai saksimu (terhadap sumpah-sumpah itu).” (Surah An-Nahl : 91)

Janji tetap janji dan wajib ditepati bila tiba tempoh yang dijanjikan, melainkan janji untuk membuat sesuatu yang dilarang syariat, atau terdapat hal yang lebih baik dibandingkan dengan janji yang dibuatnya, atau tidak dapat ditunaikan kerana sakit, pengsan, hilang akal, atau keuzuran lain yang diharuskan syarak.

Melanggar atau meremehkan janji sama halnya dengan meremehkan hukum syarak, dan merupakan sebahagian tanda-tanda orang munafik. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga keadaan. Jika ia berkata ia berdusta, jika ia berjanji ia mengingkari, dan apabila diberi amanah (kepercayaan) ia mengkhianatinya.” (HR Bukhari, Muslim).

Perbuatan memungkiri janji akan memberikan implikasi yang buruk kepada pihak-pihak yang terlibat. Misalnya, boleh merenggangkan hubungan persahabatan yang terjalin, hilang rasa hormat dan menghargai antara satu sama lain, berlaku perselisihan faham, hilang keyakinan serta kepercayaan antara satu sama lain.

Menunaikan janji adalah ciri-ciri orang beriman. Mengingkari janji merupakan sifat dan perbuatan syaitan, kerana syaitan itu ialah makhluk yang memberikan janji-janji dan membangkitkan angan-angan kosong pada manusia, padahal yang dijanjikan itu hanyalah tipu daya belaka.

Oleh sebab itu, adab semasa berjanji ialah dengan melafazkan ucapan ‘insya-Allah’ bagi setiap janji yang dibuat. Firman ALLAH SWT yang bermaksud, “Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu yang hendak dikerjakan bahawa aku akan lakukan yang demikian itu kemudian nanti melainkan hendaklah disertakan dengan berkata ‘insya-Allah’.” (Surah al-Kahfi ayat 23).

Walaupun disertakan ‘insya-Allah, bukan bermakna ia suatu pilihan kepada pembuat janji, sama ada mahu ditepati dan dipenuhi atau tidak. Ucapan ‘insya-Allah adalah bertujuan untuk mengelak daripada berdosa jika tidak dapat memenuhi perkara yang dijanjikan, dan merupakan suatu azam yang bersungguh-sungguh untuk berusaha memenuhi segala janji, supaya tidak termasuk dalam golongan orang munafik yang dibenci oleh ALLAH SWT.

Demikianlah betapa agama Islam sangat mengambil berat dalam soal janji, walaupun dibuat secara lisan. Berjanjilah dalam perkara-perkara yang mampu ditepati dan ditunaikan. Jangan menganggap janji suatu hal yang remeh dan dijadikan barang mainan. Nasib rakyat tidak wajar dijadikan bahan lelucon.

Membuat pilihan yang tepat semasa pilihan raya umum adalah hak dan kebijaksanaan rakyat. Rakyat bijak perlu mengimbau lima tahun ke belakang, dengan menilai pihak manakah yang pernah berjanji dan menepati, dan pihak manakah yang pernah, berjanji tetapi masih berhutang janji-janjinya. Wallahualam. 

* Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Lemah lembut di mahkamah syariah

Gambar Hiasan

Harian Metro, 
5 Apr 2018
Musa Awang

Pada Rabu lalu, penulis dan beberapa rakan deligasi berkesempatan hadir ke Family Court, Sydney, New South Wales, Australia bagi melihat bagaimana pengendalian kes pertikaian keluarga di negara kanggaru itu.

Sesampai di kaunter hadapan, penulis diberikan penerangan yang jelas dengan penuh senyuman oleh petugas kaunter. Mereka memahami akan tugas yang mereka lakukan, tanpa lokek atau jemu memberikan penjelasan terhadap apa yang ingin diketahui oleh pelanggan, walaupun penulis bukan warga Australia dan berlainan agama.

Penulis juga berpeluang menyaksikan dua prosiding sebutan di mahkamah berkenaan. Satu kes tuntutan ganti rugi perceraian dan satu lagi kes berkenaan tuntutan nafkah anak. Kes ditangguhkan oleh hakim juga dengan bahasa yang lemah lembut dan sopan, untuk memberikan peluang pihak berkaitan melengkap dokumen atau menyelesaikan perbicangan persetujuan bersama, sebelum mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan.
Respect (hormat), itulah perkataan sesuai diberikan kepada hakim bicara yang melayan peguam dan pihak berkaitan tanpa diwakili peguam dengan cara lemah lembut, penuh berhikmah dan bahasa yang bersopan santun.

Kualiti dan budaya seperti ini wajar diterapkan ke mahkamah syariah dan institusi agama lain di negara ini. Ini kerana, kualiti sesebuah institusi itu sering dinilai daripada cara perkhidmatan yang diberikan, bermula di kaunter pertanyaan. Petugas kaunter adalah orang hadapan yang membawa imej institusi secara keseluruhannya. Tanggapan pertama (first impression) pelanggan akan membawa kepada persepsi keseluruhannya terhadap institusi berkenaan.

Justeru, perkara utama yang perlu diterapkan sebagai kelaziman ialah bersikap ramah mesra, berlemah lembut dan sentiasa memberikan senyuman dalam apa juga situasi dan siapa juga kategori pelanggan. Sikap ini akan menimbulkan rasa hormat pelanggan kepada institusi berkenaan, secara automatik tanpa perlu diarah atau diminta.

Sikap berlemah lembut petugas kaunter yang disulami dengan pengetahuan dan kemahiran, bukan saja boleh menjawab pertanyaan oleh pelanggan dan menguruskan keperluan yang dikehendaki, lebih daripada itu mampu memberikan perkhidmatan cemerlang melepasi tahap kepuasan pelanggan.

Budaya mempamerkan senyuman, berlemah lembut dan berbahasa sopan santun seharusnya menjadi satu budaya yang diamalkan semua warga kerja mahkamah syariah, termasuk di dalam dewan perbicaraan.

Bahasa pertuturan yang digunakan juga perlu mengambil kira pihak terbabit. Bahasa orang awam sudah pasti berbeza dengan bahasa peguam syarie. Istilah undang-undang, peruntukan undang-undang, seksyen dan sebagainya mungkin difahami oleh seseorang peguam syarie, tetapi berbeza pemahamannya dalam kalangan orang awam.
Sikap berlemah lembut dalam Islam disebut mudaroh, iaitu sikap berlemah lembut agar membuat orang lain tertarik dan tidak menjauh dari kita.

Bersikap lemah lembut adalah sebahagian daripada perintah Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ali Imran ayat 159 yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat dan pengikutmu) dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.”

Dalam hadis daripada Aishah RA, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah bersifat lemah lembut dan berlemah lembut dalam semua perkara.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Dalam satu hadis daripada Abu Dzar RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Engkau tersenyum di depan saudaramu itu adalah sedekah.”

Al Hasan Al Bashri mengatakan bahawa berlaku lemah lembut inilah akhlak Nabi Muhammad SAW yang di mana beliau diutus dengan membawa akhlak yang mulia ini.
Dalil di atas menunjukkan perintah agar bersikap lemah lembut dan menyebarkan kedamaian dalam hati orang yang berurusan, bagi mengelakkan pihak berkaitan merasa ketakutan.

Sikap berlemah lembut dan menghormati pihak berkaitan serta peguam syarie yang hadir di hadapan mahkamah tidak sesekali akan menjatuhkan kredibiliti seseorang hakim. Malah ia akan menimbulkan satu rasa hormat oleh pihak yang bertelingkah, serta membantu melicinkan perjalanan kes.

Mahkamah syariah sebagai satu institusi kehakiman perlu dihormati atas dasar kemesraan dan kewibawaan yang ditunjukkan, bukan atas dasar kebimbangan dan ketakutan. Kewibawaan mahkamah syariah dapat dimanifestasikan dalam melaksanakan perintah atau penghakiman yang tegas dan mampan, bukan ketegasan dalam tutur kata dan nada percakapan.

Sikap berlemah lembut dan pertuturan yang sopan akan menjadi suatu amalan yang dapat memasukkan seseorang ke dalam syurga, ditempatkan di dalam kamar yang bahagian luarnya dapat dilihat dari dalam dan bahagian dalamnya dapat dilihat dari luar, digantikan dengan pahala sedekah bagi yang tidak mampu untuk bersedekah, dapat menyelamatkan seseorang dari siksa api neraka.

Tutur kata lemah lembut dan sopan juga dapat menghindarkan permusuhan dan dendam kesumat yang mungkin akan digunakan sebagai senjata oleh pihak tidak berpuas hati untuk menyebarkan tohmah kepada institusi mahkamah Syariah.

Sikap berlemah lembut dan pertuturan yang sopan akan menjadi suatu amalan yang dapat memasukkan seseorang ke dalam syurga, ditempatkan di dalam kamar yang bahagian luarnya dapat dilihat dari dalam dan bahagian dalamnya dapat dilihat dari luar, digantikan dengan pahala sedekah bagi yang tidak mampu untuk bersedekah, dapat menyelamatkan seseorang dari siksa api neraka

Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). 
E-mel : sekretariatpgsm@yahoo.com

Wednesday, April 4, 2018

Dakwa individu murtad

Harian Metro
14 Mar 2018
Musa Awang

Murtad atau keluar daripada Islam dan memeluk agama lain adalah isu sensitif untuk dibincangkan. Murtad adalah suatu jenayah dan ia dilarang keras oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (Islam), lalu dia mati sedang ia dalam keadaan kafir (ingkar), maka orang yang demikian rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat dan mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya (buat selama-lamanya).” (Surah al-Baqarah, ayat 217.

Dalam jenayah murtad, dua elemen penting ialah tindakan keluar daripada Islam dan mempunyai niat melakukannya dengan sengaja.

Dari segi bentuk hukuman, terdapat perbezaan pandangan yang dizahirkan ulama, iaitu sama ada dikenakan hukuman hudud iaitu dibunuh atau dikenakan hukuman takzir. 

Jumhur ulama berpendapat hukuman murtad ialah bunuh, berdasarkan hadis yang diriwayatkan Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menukar agamanya (Islam) maka hendaklah kamu membunuhnya”. (HR al-Bukhari, Abu Dawud, al-Tirmizi, al-Nasaai dan Imam Ahmad.

Berbeza dengan pendapat ulama kontemporari seperti Dr Yusof al-Qardhawi, seorang murtad hendaklah dihukum bunuh secara moral oleh masyarakat Islam, iaitu tidak diberi wala’ kepadanya dan dipulaukan. Hukuman bunuh hanya dikenakan kepada orang murtad yang mengisytiharkan diri terutama yang mengajak orang lain supaya murtad sama.

Sebelum mengenakan apa-apa hukuman, usaha memujuk si murtad kembali semula kepada Islam dan bertaubat (istitabah) hendaklah dilaksanakan terlebih dulu. Jika individu itu masih enggan bertaubat, maka baru dia dihukum. Majoriti ulama Islam seperti Imam Malik, al-Syafie dan Imam Ahmad berpendapat, orang yang murtad hendaklah disuruh bertaubat (istitabah).

Walaupun murtad adalah suatu jenayah, kita harus menerima hakikat beberapa negeri telah memperuntukkan Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai bidang kuasa mengisytiharkan seseorang itu bukan lagi seorang Islam. 

Sebagai contoh, Seksyen 61(3)(b)(x), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan bahawa: “Mahkamah tinggi syariah hendaklah; (b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu ialah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu berhubung dengan; (x) Pengisytiharan seseorang itu bukan lagi sebagai orang Islam. 

Peruntukan sama terdapat di Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Johor, Perak, Terengganu dan Sabah.

Tatacara permohonan murtad dan istitabah yang jelas diperincikan di Negeri Sembilan, iaitu dalam Seksyen 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 dan di Negeri Kelantan, iaitu dalam Seksyen 102, Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994. Sebelum Mahkamah Tinggi Syariah mengisytiharkan seseorang Islam keluar atau disifatkan sudah meninggalkan Islam, pemohon perlu melalui beberapa proses runding cara dan bimbingan akidah atau istitabah, untuk suatu tempoh tertentu.

Jelas, di dalam peruntukan mengenai pengisytiharan keluar Islam yang ada di dua negeri ini memberikan ruang kepada mahkamah untuk benar-benar memastikan pemohon sudah tidak mahu bertaubat dan memberikan masa kepada pemohon untuk berfikir secara mendalam sebelum mengisytiharkan status agama.

Penulis berpandangan sekiranya terdapat arahan terhadap individu yang memohon keluar Islam untuk menjalani proses istitabah, tanpa mempunyai peruntukan undang-undang yang jelas, maka ia akan membuka ruang untuk arahan tersebut dicabar di mahkamah, yang akan menjejaskan kredibiliti mahkamah syariah.

Bagi negeri yang tidak mempunyai peruntukan jelas sedemikian, perintah istitabah boleh dilakukan dengan mengenakan prosiding pendakwaan ke atas pemohon.

Di Negeri Sabah, Seksyen 63, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah 1995 memperuntukkan apabila seseorang Islam mengaku hendak keluar daripada Islam atau mengisytiharkan dirinya sebagai orang yang bukan Islam, mahkamah hendaklah memerintahkan orang itu ditahan di Pusat Bimbingan Islam yang diwartakan untuk tempoh tidak melebihi 36 bulan dengan tujuan pendidikan dan orang itu diminta bertaubat mengikut Hukum Syarak, di mana laporan kemajuan berhubung istitabah itu hendaklah diserahkan kepada mahkamah pada setiap minggu.

Peruntukan hampir sama terdapat dalam Seksyen 66, Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991, di mana individu berkenaan hendaklah ditahan di Pusat Bimbingan Islam yang diwartakan untuk tempoh tidak melebihi enam bulan dengan tujuan pendidikan dan orang itu diminta bertaubat mengikut hukum syarak.

Di beberapa negeri, mengaku hendak keluar Islam atau mengisytiharkan diri sebagai bukan Islam adalah suatu kesalahan jenayah syariah yang boleh didakwa dan dihukum.

Seksyen 13, Enakmen Jenayah Syariah (Perak) 1992 memperuntukkan, seseorang Islam yang dengan sengaja, mengaku hendak keluar daripada Islam atau mengisytiharkan dirinya sebagai orang bukan Islam, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 55 (2), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah 1995 memperuntukkan seseorang yang beragama Islam yang mengaku dia bukan lagi beragama Islam boleh dihukum denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Di Wilayah Persekutuan, walaupun tiada peruntukan khusus untuk kesalahan murtad, tindakan masih boleh dikenakan menurut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, iaitu kesalahan menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam. Individu berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. 

Hukuman yang diperuntukkan dalam undang-undang adalah rendah berbanding kesalahan yang dilakukan serta kesannya kepada seluruh umat Islam. Apa yang penting, tindakan murtad tersebut perlu didakwa di mahkamah.

Mendakwa tidak semestinya bertujuan mengenakan hukuman. Mahkamah juga boleh mengeluarkan perintah atau memberikan hukuman alternatif menurut Akta atau Enakmen Tatacara Jenayah Syariah, iaitu dengan memerintahkan individu berkenaan ditahan di suatu rumah kebajikan yang diluluskan majlis selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi enam bulan.

Mahkamah juga boleh mengarahkan individu itu dilepaskan untuk suatu tempoh tertentu dengan mengikat dirinya dalam cubaan akhlak untuk berkelakuan baik, dengan bon penjamin, termasuk mensyaratkan individu itu berada di bawah pengawasan seseorang lain atau apa-apa pengawasan yang difikirkan patut oleh mahkamah atau apa-apa syarat mengenai tempat kediaman, pekerjaan, pergaulan, penjauhan daripada minuman keras atau dadah dan sebagainya difikirkan patut oleh mahkamah.

Kesimpulannya, apabila ada permohonan yang difailkan di mahkamah syariah untuk keluar Islam, ini sebenarnya peluang keemasan yang sepatutnya digunakan pihak terbabit untuk mengambil tindakan, termasuk mengenal pasti kaedah terbaik bagi menyelamatkan akidah individu berkenaan.

- Penulis Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang

Tuesday, April 3, 2018

Modenisasi dalam perkahwinan Melayu

Harian Metro
27 Feb 2018
Musa Awang

Suatu fakta yang tidak boleh dinafikan, gaya kehidupan dalam zaman serba pantas masa ini sedikit sebanyak mempengaruhi budaya, sikap dan pemikiran kepada lebih moden dan ringkas, tidak terkecuali dalam adat perkahwinan masyarakat Melayu.

Cara berpakaian mempelai serta upacara perkahwinan juga semakin berbeza dengan budaya dan adat perkahwinan tradisi. Walaupun ada yang masih mengekalkan pakaian tradisi, sebahagiannya cenderung memilih gaya moden dan kebanyakan mengandungi unsur Barat.

Majlis resepsi juga dilihat semakin popular seperti majlis perkahwinan yang diadakan di dalam taman dengan menjemput orang tertentu saja. Selain itu, majlis perkahwinan diadakan di hotel mewah, di atas kapal mewah, majlis persandingan dengan menaiki kuda dan pelbagai contoh yang lain dilihat sebagai salah satu pengaruh Barat yang dibawa ke dalam majlis perkahwinan masyarakat Melayu pada masa kini dan ia menjadi semakin popular di kalangan masyarakat Melayu.

Mutakhir ini juga ada unsur Barat dalam upacara majlis perkahwinan seperti barisan anak perempuan kecil berpakaian seragam yang mengiringi mempelai sambil membawa bunga. Dan yang terbaru acara flash mob’ dalam majlis perkahwinan, iaitu sekumpulan orang ramai yang berhimpun secara mengejut untuk melakukan persembahan yang aneh dan tidak disangka-sangka seperti menari dan sebagainya.

Budaya flash mob berasal dari Barat. Di Amerika, ia sudah membentuk satu budaya yang diterima ramai. Improv Everywhere yang ditubuhkan Charles Tod pada 2001 di Amerika Syarikat ialah kumpulan pertama yang mula menganjurkan flash mob. Antara flash mob Improv Everywhere yang pernah mendapat perhatian berjudul No Pant pernah mendapat perhatian seluruh dunia terutama warga New York, apabila sekumpulan warganya tanpa rasa segan menanggalkan seluar ketika menaiki subway.

Perubahan ini berlaku mungkin disebabkan perubahan kehidupan dan pemikiran masyarakat yang semakin maju dan seiring dengan kemodenan hidup. Cara hidup yang lebih moden, tidak mempunyai tenaga yang banyak, dan tidak mempunyai masa yang cukup untuk menguruskan upacara perkahwinan mengikut cara tradisional.

Perkahwinan secara moden dikatakan lebih mudah. Hanya perlu menyediakan wang secukupnya untuk memastikan majlis perkahwinan dapat berjalan lancar. Kebanyakan lebih gemar menyerahkan persiapan majlis perkahwinan, kelengkapan perkahwinan dan penyediaan makanan sepenuhnya kepada pihak tertentu, disebabkan oleh faktor kekangan masa dan memerlukan tenaga kerja yang banyak untuk mengelolakannya.

Lantaran itu, syarikat yang menawarkan pakej perunding perkahwinan tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Juga berlaku kes pihak yang kerugian ribuan ringgit akibat diperdaya oleh perunding perkahwinan dengan menawarkan pakej ‘harga runtuh’ dengan pakej yang tidak munasabah.

Fenomena juga adalah antara faktor penyebab hantaran perkahwinan menjadi semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Walaupun zaman berubah dan masyarakat semakin moden, Islam menyediakan asas panduan yang jelas yang sesuai digunakan sepanjang zaman.

Kenduri perkahwinan dalam Islam dikenali sebagai ‘walimah’ hukumnya adalah sunnah. Ibnu Qudamah dalam Kitab al-Mughni pernah berkata: “Tiada perbedaan pendapat di antara ahli ilmu, bahawasanya hukum walimah di dalam majlis perkawinan adalah sunnah dan disyari’atkan (sangat dituntut) bukan wajib.

Kenduri walimah sunat dilakukan sesuai dengan kemampuan pihak terlibat terutama suami. Kenduri walimah adalah sebahagian daripada ibadah kepada Allah SWT dan sebagai bukti kecintaan kepada Rasulullah SAW. Maka dalam pelaksanaannya harus sesuai dengan apa yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW, bukannya menyimpang dari aturann yang ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Majlis walimah perlu bersih daripada hal dilarang Islam, terhindar daripada unsur maksiat, kemusyrikan atau khurafat, tidak menghadirkan hiburan dilarang, tidak disertai makanan atau minuman yang diharamkan Islam.

Sebagai suatu ibadah, walimah tidak hanya bertujuan berkumpul dan memenuhi undangan makan semata-mata, tetapi pada masa sama dapat memberi nilai tambah terhadap hadirin untuk menjadi hamba Allah yang lebih bersyukur atas segala kenikmatan yang dianugerahkan kepada semuanya, termasuk memperoleh keberkatan dari acara walimah tersebut.

Islam melarang penganjuran walimah yang hanya mengundang orang tertentu, mengundang orang kaya dan terhormat saja dan tidak mengundang fakir miskin, sekalipun masih termasuk kerabat atau tetangga. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sejelek-jelek makanan ialah makanan walimah yang hanya mengundang orang kaya tetapi meninggalkan orang miskin “(HR Bukhari dari Abu Hurairah RA)

Islam juga melarang percampuran antara tetamu undangan sehingga memungkinkan terjadinya interaksi antara tetamu lelaki dan perempuan bukan mahram bersenda gurau dan membicarakan hal tidak syar’i.

Perubahan upacara perkahwinan dan cara berpakaian mempelai perlu disesuaikan dengan tuntutan agama.

Kebahagiaan rumah tangga bukan bergantung kepada cara majlis perkahwinan diadakan, tetapi bagaimana kebahagiaan tersebut dapat dikekalkan. Tuntutan kesederhanaan adalah dalam semua aspek kehidupan, termasuk majlis perkahwinan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan demikianlah (sebagaimana kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad), satu umat pilihan lagi adil, (umat pertengahan) supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia.” (al-Baqarah:143)

* Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Tanggungjawab wali ke atas anak perempuan


Harian Metro
28 Jun 2017
Tuan Musa Awang




Ramai yang sedia maklum seseorang wali itu bertanggungjawab kepada anak perempuan atau saudara perempuannya yang belum berkahwin. Wali, salah satu syarat sah nikah bagi sesebuah perkahwinan, sebagaimana yang dijelaskan sebuah hadis yang bermaksud: Daripada Abi Musa RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali.”-(HR al-Khamsah dan An-Nasa’i)

Bagaimana pula dengan tanggungjawab wali terhadap anak perempuannya yang sudah bercerai atau menjadi balu akibat kematian suami? Adakah tanggungjawab terbabit kembali kepada mereka?

Berdasarkan hadis di atas, peranan wali juga sama dan tidak terlepas terhadap anak perempuan mereka yang berstatus janda (ibu tunggal) atau balu. Anak perempuan yang sudah bercerai dengan suami atau kematian suaminya perlu dibela nasib mereka dengan sebaiknya, termasuk dalam memberikan bantuan berupa keperluan harian, makan minum, tempat tinggal yang sewajarnya serta pendidikan anak mereka.

Tanggungjawab memberi nafkah

Tanggungjawab memberikan nafkah dikembalikan kepada wali selepas suami menceraikannya atau meninggal dunia. Puteri kedua Rasulullah SAW bernama Ruqayyah, selepas bercerai dengan suaminya bernama ‘Utbah, maka Baginda SAW yang bertanggungjawab terhadapnya, yang kemudian menikahkan beliau dengan Saidina Uthman bin Affan RA.

Begitu juga dengan puteri ketiga Baginda SAW bernama Ummu Kulthum yang bercerai dengan suaminya bernama ‘Utaibah. Rasulullah SAW mengambil kembali tanggungjawab dan kemudian dinikahkan dengan Saidina Uthman RA selepas kekandanya Ruqayyah meninggal dunia. Saidatina Hafshah RA selepas suaminya syahid di medan perang Uhud, maka dia kembali kepada bapanya Saidina Umar bin Khattab RA.

Jika sekiranya wali seorang yang tidak berkemampuan, maka yang bertanggungjawab terhadap ibu tunggal dan balu adalah pemerintah, sama ada dengan mencarikan suami bagi mereka atau memberikan bantuan Baitulmal.

Ketika Fatimah binti Qais ditalak tiga oleh suaminya, maka Rasulullah SAW memberikan perlindungan dan memberi tempat kepadanya untuk menghabiskan masa iddah di rumah Ibnu Ummi Maktum sehingga beliau bernikah dengan Usamah bin Zaid RA selepas tamat masa iddahnya dengan bekas suami.

Ketika Ummu Aiman diceraikan kerana suami tidak dapat menerima keislamannya, Rasulullah SAW memberikan motivasi kepada sahabat dengan menjanjikan pahala besar bagi mereka yang memberikan perhatian kepada ibu tunggal.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Orang yang membantu janda dan orang miskin adalah seperti orang yang berjihad di jalan Allah atau seperti orang yang selalu mengerjakan puasa di siang hari dan solat di malam hari.” (Hadith Muttafaq ‘Alaih)

Berdasarkan hadis itu, barang siapa yang belum mampu berjihad di jalan Allah atau belum mampu konsisten melaksanakan qiyamullail pada setiap malam dan puasa sunat pada siang hari, salah satu cara untuk mendapatkan pahala sama ialah dengan cara menyantuni ibu tunggal dan orang miskin.

Apatah lagi jika sekiranya membantu wanita yang kematian suami, bersamanya anak yang belum dewasa dan mereka dalam keadaan miskin. Bererti, orang yang membantu akan mendapat pahala yang banyak, yakni pahala membantu wanita yang bersedih selepas ditinggal suami yang selama ini menjadi sandaran hidupnya, pahala menolong orang miskin dan pahala memberi makan anak yatim yang ditinggalkan bapa yang selama ini menafkahi mereka.

Rasulullah SAW pernah bersabda: “Aku dan orang yang menanggung anak-anak yatim berada di syurga seperti begini,” (Baginda memberi isyarat dengan jari telunjuk dan jari tengah dan merenggangkan sedikit antara kedua jari itu)-(HR Bukhari).

Wali perlu membantu anak perempuannya yang bercerai atau kematian suami dalam meneruskan kelangsungan hidup, sebagaimana ketika mereka belum berkahwin dulu. Sehingga mereka berkahwin semula dengan perkahwinan yang baru, maka tanggungjawab itu berpindah kepada suaminya yang baru.

Tanggungjawab terhadap balu

Dalam hal seorang anak perempuan yang kematian suami, tanggungjawab memberi nafkah untuk dirinya kembali menjadi tanggungjawab wali, bukan dengan membiarkan si anak perempuan bertungkus-lumus mencari nafkah hingga terpaksa keluar bekerja ketika dalam tempoh iddah kematian suaminya. Oleh sebab itu, Islam menetapkan dalam kadar pembahagian faraid, bahagian isteri paling sedikit berbanding bahagian yang diterima waris yang lain.

Demikian juga matlamatnya kenapa Islam menetapkan kadar bahagian faraid bagi waris lelaki adalah lebih satu bahagian berbanding kadar bahagian waris perempuan.

Waris lelaki yang menerima pembahagian faraid berkewajipan dalam menjaga dan mengurus harta saudara perempuannya, termasuk menafkahi mereka, bukan mengkhianati dengan merampas harta mereka atau mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai saudara lelaki. Sebagaimana tanggungjawab mereka untuk menjadi wali nikah jika wali mujbir atau wali nikahnya yang lain tidak ada, begitu juga tanggungjawab mereka dalam menyantuni nafkah kepada saudara perempuannya.

Keistimewaan saudara lelaki yang mengurus saudara perempuannya terdapat dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa menanggung nafkah dua atau tiga anak perempuan atau dua atau tiga saudara perempuan sampai mereka meninggal dunia atau dia yang meninggal dunia, maka Aku dan dia seperti ini (mengisyaratkan dua jari telunjuk dan jari tengah)”-(HR Ahmad).

Hukum tidak jalankan tanggungjawab

Waris lelaki yang membiarkan si balu mencari nafkah serta menanggung sendiri keperluan anak yang kematian bapanya suatu tindakan yang zalim kepada si balu dan anak yatim berkenaan.

Jika seorang wali mengabaikan mereka dan tidak menjalankan tugas ini sebaiknya, maka wali itu mengkhianati amanah yang Allah berikan. Lebih-lebih lagi di saat mereka amat memerlukan bantuan dan pertolongan. Bayangkan sekiranya wali tidak menggalas peranan itu, kepada siapakah lagi yang selayaknya untuk mereka bergantung harap?

Gugur tanggungjawab seseorang wali itu hanya jika ibu tunggal berkenaan berkemampuan dari segi kewangan, mempunyai simpanan sendiri atau pun masih menerima nafkah yang secukupnya daripada bekas suami selepas bercerai.

Namun begitu, sebaiknya wali sentiasa memantau dan mengetahui keadaan ibu tunggal itu supaya benar-benar mendapat hak sewajarnya daripada bekas suami, jika bekas suami masih hidup.

Tidak boleh sama sekali untuk bersikap berlepas tangan kerana dikhuatiri perkara yang berlaku kepada mereka sebaliknya, yang akan menyebabkan mereka terjerumus dalam perkara tidak baik seperti mendapatkan sumber nafkah daripada jalan yang dilarang syarak.

Ramai daripada kita yang tidak mengendahkan atau melupakan perkara ini, sedangkan ini amanah Allah SWT. Demikian besarnya tanggungjawab seorang lelaki, bukan hanya kepada anak atau isteri saja tetapi turut kepada orang di bawah pewaliannya.

Penulis Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). E-mel : sekretariatpgsm@ yahoo.com

Selesai pembahagian harta ketika hidup


Harian Metro
12 Jan 2018
Musa Awang

Apabila seseorang Islam meninggal dunia, kebiasaannya harta sepeninggalan si mati akan dibahagikan secara faraid, iaitu apabila pemilik harta tidak membahagikan harta ketika hayatnya. Pembahagian harta boleh juga dilakukan oleh seseorang ketika hidup melalui cara pemberian hibah, pemindahan hak milik atau wasiat.



Hukum faraid tidak akan terpakai jika si mati sebelum kematiannya sudah memindahkan hartanya kepada orang lain. Pembahagian atau pemindahan harta ketika hidup kepada anak atau seseorang yang lain boleh dilakukan dengan beberapa cara berikut :

Hibah - Hibah ialah pemberian hak atau harta secara sukarela tanpa paksaan daripada satu pihak kepada satu pihak lain dengan niat dan tujuan yang baik, tanpa ada sebarang syarat, bayaran, imbalan atau balasan.

Dalam Kitab I’annatul Taalbin, juzuk ketiga, di muka surat 168 mendefinisikan hibah sebagai: “Hibah bererti memberi milik sesuatu barang yang mana mengikut kebiasaannya barang itu sah untuk dijual atau diberi hutang kepada seseorang oleh ahli tabarru’ (orang yang suka membuat kebajikan) dengan tidak ada barang tukaran.”

Pemberian hibah dilakukan ketika seseorang masih hidup dan sihat, pelaksanaannya juga biasa dilakukan ketika pemberi hibah masih hidup. Hibah tidak akan berlaku jika pemberi hibah sekadar berhasrat dan berura-ura saja, tetapi kemudian pemberi hibah meninggal dunia sebelum sempat menyempurnakan pemberiannya.

Dalam keadaan itu, hukum hibah itu mungkin akan berubah menjadi wasiat atau amanah saja.

Seseorang yang ingin melaksanakan pemberian harta secara hibah perlu memenuhi rukun hibah untuk menjadikan akad hibah itu sah, iaitu wujudnya lafaz ijab qabul yang jelas daripada pemberi hibah kepada penerima hibah, perlu ditentukan mana-mana harta yang mahu dihibahkan, harta tersebut dimiliki secara sempurna oleh pemilik, tidak bercagar, digadai atau terikat dengan mana-mana pihak dan dilakukan semasa pemberi hibah masih hidup.

Hibah boleh dilakukan secara bertulis atau secara lisan, malah hibah yang dibuat secara lisan perlu diperkukuhkan dengan bukti bertulis atau dengan mengemukakan saksi.

Pada hari ini, pemberian hibah dilakukan dengan menandatangani suatu dokumen deklarasi hibah yang ditandatangani oleh pemilik harta ketika dia masih hidup. Apabila berlaku kematian, maka penerima hibah akan membuat pengesahan hibah itu di Mahkamah Syariah.

Wasiat - Wasiat adalah suatu peluang kepada umat Islam untuk meluaskan pembahagian harta yang mereka akan tinggalkan kepada orang selain daripada ahli waris atau kepada pihak tertentu yang pada pendapat mereka wajar diberikan sebahagian harta mereka.

Pemberian harta secara wasiat mesti berlandaskan kepada empat rukun wasiat iaitu al musi (orang yang berwasiat), al-muso lahu (orang yang diwasiatkan), al-muso bihi (barang yang diwasiatkan) dan sighah iaitu ijab dan qabul. Harta yang diwasiatkan juga hendaklah harta yang dimiliki secara sempurna, bukan masih bercagar, digadai atau terikat dengan mana-mana pihak.

Di dalam isu pemberian wasiat, ada dua syarat yang perlu dipatuhi iaitu, pertama, harta yang diwasiatkan tidak boleh melebihi 1/3 dari jumlah keseluruhan harta si mati. Ini berdasarkan pendapat ulama Sunni yang mendasarkan kesimpulan mereka daripada hadis riwayat Abu Daud R.A bahawa Rasulullah SAW telah mengehadkan wasiat kepada satu pertiga saja.

Syarat kedua, wasiat harta tidak boleh diberikan kepada waris yang tersenarai sebagai penerima faraid seperti ibu, bapa atau anak. Wasiat hanya boleh diberikan kepada bukan ahli waris. Dalam hadis riwayat Abu Daud R.A, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengurniakan hak kepada setiap yang berhak. Tidak harus wasiat kepada ahli waris.”

Jika seseorang masih ingin mewasiatkan semua harta (melebihi 1/3) atau ingin mewasiatkan harta kepada ahli waris, merujuk kepada nas dan pendapat utama Mazhab Syafie, wasiat berkenaan hukumnya harus, akan tetapi ia tidak boleh dilaksanakan kecuali selepas mendapat persetujuan daripada semua waris lain.

Persetujuan itu perlu dibuat ketika pembuat wasiat hidup dan disahkan semula selepas beliau meninggal dunia. Penerima wasiat atau mana-mana ahli waris boleh membuat pengesahan wasiat itu di mahkamah syariah, sama ada wasiat si mati sah atau tidak. Jika terdapat mana-mana ahli waris yang menolak persetujuan itu, maka hukum asal adalah terpakai, iaitu wasiat kepada ahli waris adalah tidak diharuskan.

Pindah milik - Pembahagian harta berupa tanah atau rumah boleh dilakukan secara pindah milik berdasarkan syarat dan prosedur yang ditetapkan undang-undang iaitu menggunakan Borang 14A, Kanun Tanah Negara, iaitu secara balasan kasih sayang.

Jika pindah milik dilakukan oleh ibu atau bapa kepada anak menggunakan kaedah ini, maka ibu atau bapa itu bukan lagi pemilik berdaftar harta berkenaan.

Ia menjadi hak milik anak. Risikonya berkemungkinan anak akan menghalau ibu bapa daripada menduduki harta itu atau menjual harta berkenaan kerana dihasut pihak ketiga dan sebagainya.

Proses pindah milik dengan cara ini juga hanya boleh dilakukan jika harta itu menjadi milikan sempurna oleh pemilik, bukan masih bercagar, digadai atau terikat dengan mana-mana pihak.

Surat Ikatan Pemegang Amanah (Trust Deed) - Asalnya Trust Deed digunakan untuk ‘memindahkan’ nama daripada ibu bapa kepada anak atau kepada seseorang yang lain, semasa masih hidup.

Katakan seseorang mempunyai tanah satu ekar dan mempunyai dua anak dan dia mahu setiap seorang dapat setengah (1/2) bahagian untuk tanah itu. Maka dalam Trust Deed berkenaan perlu dinamakan dan diletakkan bahagian yang diberikan kepada setiap anak itu, sebelum difailkan ke pejabat tanah.

Nama pemilik asal akan dibatalkan, sebaliknya akan didaftarkan sebagai pemegang amanah kepada anak.

Selepas kematian, anak perlu membuat tuntutan pusaka di Pejabat Pusaka Kecil (jika harta bawah RM2 juta) atau di Mahkamah Tinggi (jika harta lebih RM2 juta), sebagai bukti pemberian bahagian tanah telah dilaksanakan sebelum ini di pejabat tanah secara bertulis melalui Trust Deed.

Selepas perintah atau penghakiman dikeluarkan, maka anak perlu membawa perintah atau penghakiman tersebut ke pejabat tanah untuk mendaftarkan nama mereka di dalam geran sebagai pemilik mengikut bahagian masing-masing.

Proses pendaftaran Trust Deed juga hanya boleh dilakukan jika hartanah itu bebas daripada sebarang halangan (free from all encumbrances), iaitu tidak digadaikan kepada mana-mana bank atau bebas daripada sebarang kaveat oleh mana-mana pihak. Mutakhir ini, ada pihak yang menawarkan khidmat menyediakan dokumen hibah, wasiat dan lain-lain. Perlu dipastikan dokumen yang disediakan itu tidak bertentangan dengan hukum syarak dan undang-undang kerana jika jika berlaku sebaliknya, ia tidak boleh dilaksanakan.

Ini bukan saja merugikan pelbagai pihak, membuang masa, tidak memenuhi hasrat pemilik asal harta, kadang-kadang boleh menimbulkan perbalahan di kalangan ahli keluarga.
Rujuklah peguam syarie bertauliah dalam memastikan anda mendapat nasihat yang betul mengenai pembahagian harta ketika masih hidup.

Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). E-mel: sekretariatpgsm@yahoo.com

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...