Wednesday, April 4, 2018

Dakwa individu murtad

Harian Metro
14 Mar 2018
Musa Awang

Murtad atau keluar daripada Islam dan memeluk agama lain adalah isu sensitif untuk dibincangkan. Murtad adalah suatu jenayah dan ia dilarang keras oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (Islam), lalu dia mati sedang ia dalam keadaan kafir (ingkar), maka orang yang demikian rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat dan mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya (buat selama-lamanya).” (Surah al-Baqarah, ayat 217.

Dalam jenayah murtad, dua elemen penting ialah tindakan keluar daripada Islam dan mempunyai niat melakukannya dengan sengaja.

Dari segi bentuk hukuman, terdapat perbezaan pandangan yang dizahirkan ulama, iaitu sama ada dikenakan hukuman hudud iaitu dibunuh atau dikenakan hukuman takzir. 

Jumhur ulama berpendapat hukuman murtad ialah bunuh, berdasarkan hadis yang diriwayatkan Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menukar agamanya (Islam) maka hendaklah kamu membunuhnya”. (HR al-Bukhari, Abu Dawud, al-Tirmizi, al-Nasaai dan Imam Ahmad.

Berbeza dengan pendapat ulama kontemporari seperti Dr Yusof al-Qardhawi, seorang murtad hendaklah dihukum bunuh secara moral oleh masyarakat Islam, iaitu tidak diberi wala’ kepadanya dan dipulaukan. Hukuman bunuh hanya dikenakan kepada orang murtad yang mengisytiharkan diri terutama yang mengajak orang lain supaya murtad sama.

Sebelum mengenakan apa-apa hukuman, usaha memujuk si murtad kembali semula kepada Islam dan bertaubat (istitabah) hendaklah dilaksanakan terlebih dulu. Jika individu itu masih enggan bertaubat, maka baru dia dihukum. Majoriti ulama Islam seperti Imam Malik, al-Syafie dan Imam Ahmad berpendapat, orang yang murtad hendaklah disuruh bertaubat (istitabah).

Walaupun murtad adalah suatu jenayah, kita harus menerima hakikat beberapa negeri telah memperuntukkan Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai bidang kuasa mengisytiharkan seseorang itu bukan lagi seorang Islam. 

Sebagai contoh, Seksyen 61(3)(b)(x), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan bahawa: “Mahkamah tinggi syariah hendaklah; (b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu ialah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu berhubung dengan; (x) Pengisytiharan seseorang itu bukan lagi sebagai orang Islam. 

Peruntukan sama terdapat di Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Johor, Perak, Terengganu dan Sabah.

Tatacara permohonan murtad dan istitabah yang jelas diperincikan di Negeri Sembilan, iaitu dalam Seksyen 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 dan di Negeri Kelantan, iaitu dalam Seksyen 102, Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994. Sebelum Mahkamah Tinggi Syariah mengisytiharkan seseorang Islam keluar atau disifatkan sudah meninggalkan Islam, pemohon perlu melalui beberapa proses runding cara dan bimbingan akidah atau istitabah, untuk suatu tempoh tertentu.

Jelas, di dalam peruntukan mengenai pengisytiharan keluar Islam yang ada di dua negeri ini memberikan ruang kepada mahkamah untuk benar-benar memastikan pemohon sudah tidak mahu bertaubat dan memberikan masa kepada pemohon untuk berfikir secara mendalam sebelum mengisytiharkan status agama.

Penulis berpandangan sekiranya terdapat arahan terhadap individu yang memohon keluar Islam untuk menjalani proses istitabah, tanpa mempunyai peruntukan undang-undang yang jelas, maka ia akan membuka ruang untuk arahan tersebut dicabar di mahkamah, yang akan menjejaskan kredibiliti mahkamah syariah.

Bagi negeri yang tidak mempunyai peruntukan jelas sedemikian, perintah istitabah boleh dilakukan dengan mengenakan prosiding pendakwaan ke atas pemohon.

Di Negeri Sabah, Seksyen 63, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah 1995 memperuntukkan apabila seseorang Islam mengaku hendak keluar daripada Islam atau mengisytiharkan dirinya sebagai orang yang bukan Islam, mahkamah hendaklah memerintahkan orang itu ditahan di Pusat Bimbingan Islam yang diwartakan untuk tempoh tidak melebihi 36 bulan dengan tujuan pendidikan dan orang itu diminta bertaubat mengikut Hukum Syarak, di mana laporan kemajuan berhubung istitabah itu hendaklah diserahkan kepada mahkamah pada setiap minggu.

Peruntukan hampir sama terdapat dalam Seksyen 66, Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991, di mana individu berkenaan hendaklah ditahan di Pusat Bimbingan Islam yang diwartakan untuk tempoh tidak melebihi enam bulan dengan tujuan pendidikan dan orang itu diminta bertaubat mengikut hukum syarak.

Di beberapa negeri, mengaku hendak keluar Islam atau mengisytiharkan diri sebagai bukan Islam adalah suatu kesalahan jenayah syariah yang boleh didakwa dan dihukum.

Seksyen 13, Enakmen Jenayah Syariah (Perak) 1992 memperuntukkan, seseorang Islam yang dengan sengaja, mengaku hendak keluar daripada Islam atau mengisytiharkan dirinya sebagai orang bukan Islam, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 55 (2), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Sabah 1995 memperuntukkan seseorang yang beragama Islam yang mengaku dia bukan lagi beragama Islam boleh dihukum denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Di Wilayah Persekutuan, walaupun tiada peruntukan khusus untuk kesalahan murtad, tindakan masih boleh dikenakan menurut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, iaitu kesalahan menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam. Individu berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. 

Hukuman yang diperuntukkan dalam undang-undang adalah rendah berbanding kesalahan yang dilakukan serta kesannya kepada seluruh umat Islam. Apa yang penting, tindakan murtad tersebut perlu didakwa di mahkamah.

Mendakwa tidak semestinya bertujuan mengenakan hukuman. Mahkamah juga boleh mengeluarkan perintah atau memberikan hukuman alternatif menurut Akta atau Enakmen Tatacara Jenayah Syariah, iaitu dengan memerintahkan individu berkenaan ditahan di suatu rumah kebajikan yang diluluskan majlis selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi enam bulan.

Mahkamah juga boleh mengarahkan individu itu dilepaskan untuk suatu tempoh tertentu dengan mengikat dirinya dalam cubaan akhlak untuk berkelakuan baik, dengan bon penjamin, termasuk mensyaratkan individu itu berada di bawah pengawasan seseorang lain atau apa-apa pengawasan yang difikirkan patut oleh mahkamah atau apa-apa syarat mengenai tempat kediaman, pekerjaan, pergaulan, penjauhan daripada minuman keras atau dadah dan sebagainya difikirkan patut oleh mahkamah.

Kesimpulannya, apabila ada permohonan yang difailkan di mahkamah syariah untuk keluar Islam, ini sebenarnya peluang keemasan yang sepatutnya digunakan pihak terbabit untuk mengambil tindakan, termasuk mengenal pasti kaedah terbaik bagi menyelamatkan akidah individu berkenaan.

- Penulis Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang

No comments:

Post a Comment

Janji adalah hutang

TUAN MUSA AWANG  18 APRIL 2018 Sinar Harian Menjelang PRU14 ini pelbagai pihak mula menabur janji-janji MENJELANG pilih...