Wednesday, August 18, 2010

Keratan akhbar - Peguam syarie: Lebih baik benar kahwin muda dari buang bayi

Oleh Radzi Razak
Malaysian Insider August 09, 2010

KUALA LUMPUR, 9 Ogos — Persatuan Peguam Syarie Malaysia berkata pihaknya tiada halangan dengan keputusan Majlis Agama Islam Melaka yang memutuskan untuk membenarkan pelajar berkahwin awal atas alasan aspek itu dibenarkan oleh hukum syarak dan jika dirasakan boleh mengelakkan masalah sosial.

Malah timbalan presidennya Musa Awang memberitahu, undang-undang membenarkan perkara ini setelah menyiasat latar belakang dan keadaan fizikal, emosi dan rohani mereka yang ingin berkahwin.

“Dari sudut positif, lebih baik beri kebenaran berkahwin dari membiarkan pelajar itu dari membuang bayi,” kata Musa ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.
Musa bagaimanapun berkata perlu ada aspek bimbingan kepada suami yang masih muda bagi mengelakkan risiko berlakunya kes perceraian kerana usia masih mentah.

“Pemantauan oleh wali kepada suami itu masih perlu sehingga seseorang itu berusia 21 tahun dan cukup matang,” ujar Musa sambil mengaitkan pentingnya kesedaran terhadap tanggungjawab suami dan isteri.

Seorang lagi peguam berpengalaman luas dalam undang-undang syariah, Jamal Mohd Lokman pula menerangkan hak membenarkan perkahwinan adalah hak mahkamah mengikut kes-kes individu.

“Boleh diberi kebenaran kepada yang terlibat dalam persetubuhan dan kes hamil bawah umur,” kata beliau ketika dihubungi.

Bagaimanapun beliau menolak bahawa hanya kaedah itu sahaja satu-satunya jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah kehamilan luar nikah di kalangan pelajar bawah umur.

“Ia merupakan salah satu penyelesaian daripada banyak lagi cara penyelesaian... bagaimanapun penyelesaian terbaik ialah beri kesedaran,” ujarnya.

Seorang lagi peguam syarie Kamar Ainiah Kamaruzzaman menegaskan, kahwin awal bukannya jawapan kepada masalah sosial yang membelenggu pelajar dan remaja dewasa ini.
“Siapa yang suruh budak kawin gila... ini bukannya akan menyelesaikan masalah, malah menambah masalah,” ujarnya lagi.

Menurut Kamar, walaupun perundangan Islam membenarkan mereka yang sudah baligh dan matang berkahwin tanpa mengira umur, kriteria paling penting bagi seseorang untuk berkahwin adalah sikap dan tanggungjawab terhadap pasangan masing-masing.

“Menurut Islam dalam perkahwinan, ada hukum wajib, makruh, haram dan sebagainya. Haram kahwin bagi mereka yang tiada kerja dan tak mampu menanggung hidup sendiri, apatah jika berkeluarga,” jelas beliau.

Kamar berpendapat dalam mengatasi masalah sosial, mencari punca sebab terjadinya sesuatu masalah itu jauh lebih penting berbanding kaedah yang hendak digunakan oleh Melaka.

“Apa yang kita patut tanya adalah apa silapnya sistem pendidikan kita, sekolah dan keluarga sehingga pelajar melakukan persetubuhan haram dengan bebas?” katanya lagi.
Menurutnya, membiarkan pelajar berkahwin hanya akan membebankan pelajar itu sendiri selain keluarga mereka yang terpaksa menanggung pasangan tersebut.

“Kalau umur baru 15 tahun, dia dah mengandung, macam mana dia nak kahwin dan belajar dalam masa yang sama membebankan diri jaga keluarga?” soal beliau.

Awal minggu lalu, Majlis Agama Islam Melaka dan Jabatan Agama Islam Melaka mengumumkan bahawa mereka bersetuju dengan kerajaan Melaka untuk memberi kelonggaran bernikah bagi pelajar lelaki bawah umur 18 tahun dan perempuan bawah 16 tahun bagi mengatasi masalah hamil luar nikah dan gejala pembuangan bayi.

Bagaimanapun menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, perkahwinan yang dibenarkan hanya untuk kes-kes tertentu bukannya kepada semua pelajar.

No comments:

Post a Comment

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...