Wednesday, August 18, 2010

Keratan akhbar - Tanah wakaf Chenderong: Perintah ex-parte larang sembilan pihak

Oleh G. Manimaran
Malaysian Insider August 11, 2010

KUALA LUMPUR, 11 Ogos — Mahkamah Tinggi Syriah Kuala Terengganu mengeluarkan perintah ex parte melarang sembilan responden termasuk plaintif kes asal konsesi tanah wakaf Chenderong melibatkan lebih 25,000 hektar, keluasannya hampir sama dengan bahagian pulau negeri Pulau Pinang, daripada mengeluarkan kenyataan boleh mengaibkan defendan.

Perintah itu melarang sembilan responden daripada mengeluarkan dan menerbitkan kenyataan sama ada secara lisan atau bertulis, yang boleh mengaibkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, yang merupakan defendan kes tanah wakaf itu.
Perintah bertarikh 25 Julai itu dibenarkan oleh Hakim Syarie Shaikh Ahmad Islam ekoran permohonan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, yang dibuat menerusi peguam mereka Faridah Yusof.

Mahkamah mengeluarkan perintah itu mengikut Seksyen 197(2) dan Seksyen 200 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001. Kedua-dua seksyen itu membolehkan permohonan ex-parte dibuat dan injunksi dikeluarkan oleh mahkamah.

Malah dengan perintah itu, mahkamah memutuskan bahawa perbicaraan yang melibatkan “konsesi tanah wakaf Chenderong ditangguhkan terlebih dahulu sehingga dipastikan pihak responden dan ejennya tidak melanggar arahan yang dikeluarkan oleh mahkamah.”
Responden perintah itu terdiri daripada Tengku Zainul Akmal Tengku Besar Mahmud dan Tengku Hidayah Tengku Habib yang merupakan plaintif kes asal, peguam mereka Kamar Ainiah Kamaruzaman, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, The Malaysian Insider, Berita Harian, Sinar Harian, Astro dan TV Selangor.

Permohonan itu merupakan antara empat permintaan yang dikemukakan ketika kes itu didengar di mahkamah tersebut pada 25 Julai lalu.

Ekoran permintaan itu prosiding kes asal ditangguhkan sehingga Januari depan.

Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu juga membuat penangguhan kes berkenaan atas alasan pihak peguam defendan dan defendan iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu belum bersedia untuk mengikuti prosiding.

Prosiding kes asal itu sepatutnya berlangsung pada 25 dan 26 Julai lalu.
Mahkamah juga akan mendengar permohonan inter-parte peguam defendan agar kes asal ini didengar secara tertutup.

Tarikhnya akan ditentukan kemudian.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia Musa Awang ketika dihubungi berkata, perintah sedemikian bukan sesuatu yang baru dalam sistem keadilan syariah.
“Memang ada kes permohonan ex-parte ini... mahkamah boleh berikan perintah jika ada alasan yang memuaskan,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, perintah sedemikian sebenarnya tidak boleh dikenakan ke atas sesebuah entiti ataupun syarikat jika ia adalah milik bukan Islam.

Justeru kata beliau, pihak responden mempunyai hak untuk memohon mengetepikan perintah tersebut.

“Ada dua pilihan iaitu pihak responden boleh memohon untuk mengetepikan perintah ini ataupun membiarkannya sahaja dengan hanya melaporkan perjalanan kes sebagaimana didengar di mahkamah tanpa membuat ulasan atau komen yang boleh dilihat sebagai mengaibkan pihak-pihak tertentu,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Perbicaraan ini menarik perhatian kerana ia dilihat sebagai kes pertama melibatkan tanah wakaf tunggal terluas di negara ini iaitu 25,379.23 hektar.

Tanah itu yang dikurniakan oleh Sultan Terengganu Almarhum Sultan Zainal Abidin III kepada anakanda perempuan Tengku Nik Maimunah dan suaminya, Tengku Ngah Omar Abdul Rahim pada Mac 1906, dan kemudian dijadikan sebagai tanah wakaf pada 1961.
Tuntutan kes difailkan pada Disember 2008.

Dalam tuntutan mereka, Tengku Zainal Akmal dan Tengku Hidayah memohon 12 perintah, antara lain agar sebagai tanah wakaf dan mengikut hukum syarak dan Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu), tanak konsesi Chenderong tidak boleh dipindah milik, diserah hak, diberi pajakan atau pajakan kecil selama lebih dari tuga tahun atau digadaikan.

Mereka juga meminta mahkamah menghalang defendan daripada melanggar fatwa yang telah dikeluarkan oleh Mufti Terengganu bahawa tanah konsesi itu tidak boleh dipindah milik dan halangan itu juga tertakluk kepada mana-mana pihak ketiga.

Selain itu mereka memohon agar apa-apa perjanjian jual beli, pindah milik atau pajakan kecil atau gadaian di antara defendan dengan mana-mana pihak adalah tidak sah dan terbatal kerana bertentangan dengan hukum syarak dan Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu).

Jumlah pewaris dianggarkan 462 orang, yang hampir kesemuanya merupakan anggota kerabat diraja negeri Terengganu.

No comments:

Post a Comment

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...