Wednesday, March 30, 2011

Tuduhan zina perlu bukti kukuh




Oleh Tuan Musa Awang
sekretariatpgsm@yahoo.com

Berita Harian, 30/03/2011

Orang ramai patut lapor jabatan agama, elak perbicaraan terbuka

Zina, suatu perkataan yang masyarakat Islam secara umum mengetahui definisinya, iaitu persetubuhan yang dilakukan oleh seorang lelaki dengan seorang perempuan tanpa nikah yang sah mengikut hukum Syarak, bukan pasangan suami isteri, pelaku kedua-duanya orang yang mukallaf, dan persetubuhan itu tidak termasuk dalam takrif persetubuhan yang meragukan (wati’ syubhah).

Menurut Hukum Syarak, seorang penzina muhson, yakni seseorang yang telah baligh, berakal, merdeka dan telah pernah berkahwin, apabila disabitkan melakukan perzinaan wajib dikenakan hukuman hudd (rejam) iaitu dibaling dengan batu yang sederhana besarnya hingga mati.

Manakala bagi penzina ghair muhson, yakni seseorang penzina yang tidak cukup syarat-syarat dinyatakan diatas, hendaklah disebat sebanyak 100 kali sebatan, sebagaimana firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nur ayat 2 yang bermaksud : “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari kedua-duanya 100 kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat, dan hendaklah disaksikan hukuman siksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman”. Pesalah juga boleh dihukum buang negeri selama setahun, sebagaimana terdapat di dalam kitab Kifayatul Ahyar juzuk 2 muka surat 178 yang bermaksud: ”Lelaki atau perempuan yang melakukan zina bukan muhsin wajib dikenakan keatas mereka sebat 100 kali sebat dan buang negeri selama setahun”

Zina boleh disabitkan dengan ikrar atau pengakuan si pesalah atau dengan keterangan empat orang saksi yang cukup syarat-syaratnya. Namun sejarah Islam mencatatkan bahawa kebanyakan sabitan zina di zaman Rasulullah s.a.w adalah melalui pengakuan salah. Dalam hadith riwayat Abu Hurairah r.a, bahawa seorang lelaki datang mengadap Rasulullah s.a.w di dalam masjid dan mengaku telah melakukakan zina. Baginda berpaling ke arah lain seperti tidak melayannya, sehingga lelaki itu mengulangi pengakuannya sebanyak empat kali. Setelah itu Baginda bertanya, ‘adakah engkau gila?’ Dia menjawab ‘tidak’. Rasulullah s.a.w bertanya lagi, ‘adakah engkau telah berkahwin?’ Dia menjawab ‘ya’. Lalu Rasulullah s.a.w memerintahkan para sahabat membawa lelaki tersebut untuk direjam.

Dalam suatu riwayat dari Sulaiman bin Buraidah, bahawa seorang wanita dari qabilah al-Ghamidiyah datang berjumpa Rasulullah dan mengaku bahawa dia telah mengandung hasil perbuatan zina. Baginda meminta wanita itu pulang, untuk melahirkan dan menyusukan anak tersebut terlebih dahulu, sehingga tamat tempoh susuan, barulah beliau diperintahkan untuk direjam.

Seseorang yang mengaku melakukan zina kemudian menarik balik pengakuannya diterima penarikan balik tersebut, kerana Rasulullah s.a.w diriwayatkan telah menegur sahabat baginda dengan keras apabila mereka meneruskan hukuman terhadap Ma’iz bin Malik yang telah melarikan diri ketika hukuman dijalankan.

Walaupun hukuman terhadap kesalahan zina telah ditetapkan dalam al-Quran, namun bentuk hukuman yang ditakninkan dalam Akta Jenayah Syariah pada masa ini lebih berupa hukuman takzir. Ini kerana Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 menghadkan bidangkuasa jenayah Mahkamah Syariah hanya ke atas orang Islam, dan untuk kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.

Seksyen 23 (1) dan (2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan bahawa (1) Mana-mana orang lelaki yang melakukan persetubuhan dengan orang perempuan yang bukan isterinya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu. Manakala sub-seksyen (2) Akta tersebut memperuntukkan hukuman yang sama kepada mana-mana orang perempuan yang melakukan persetubuhan dengan orang lelaki yang bukan suaminya.

Apabila seseorang atau lebih mengetahui maklumat tentang berlakunya persetubuhan luar nikah, apa yang perlu dilakukan ialah melaporkan perbuatan tersebut kepada Jabatan Agama Islam untuk diambil tindakan, ditangkap, ditahan, disiasat dan didakwa di Mahkamah. Kesalahan persetubuhan luar nikah adalah ‘kesalahan boleh ditangkap’, di mana Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis boleh menangkap tanpa waran.

Tindakan menyebarkan perbuatan tersebut kepada khalayak ramai dan menjadi perbincangan umum adalah suatu yang tidak baik untuk masyarakat. Kerana hendakkan kemenangan politik, nilai moral manusia dikikis. Kehendak emosi dan politik menjadi lebih penting daripada tanggungjawab undang-undang dan moral. Dari sudut yang lain, ia mencerminkan kelemahan umat Islam dan memburukkan Islam di mata masyarakat bukan Islam. Walhal, segala prosedur perundangan perlu dilakukan di mahkamah, bukan di tempat lain. Perbicaraan yang dilakukan di luar mahkamah bagaikan tidak menghormati Mahkamah sebagai sebuah institusi keadilan.

Menuduh seseorang yang baik lagi suci melakukan zina tanpa mengemukakan empat orang saksi lelaki yang adil hukumnya adalah haram, termasuk dalam dosa besar dan boleh dikenakan hukuman had Qazaf (sebat) sebanyak 80 kali sebatan, dan tidak boleh diterima penyaksiannya selama-lamanya kerana dia adalah orang fasiq. Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nur ayat 4 yang bermaksud : "Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi. Maka sebatlah mereka 80 kali sebatan, dan janganlah kamu terima persaksian mereka itu selama-lamanya keranamereka itu adalah orang yang fasiq". Walaupun dalam ayat menyebut kesalahan menuduh zina kepada wanita, ijma’ ulama’ bersepakat bahawa tuduhan kepada lelaki juga termasuk dalam ayat ini.

Akta Kesalahan Jenayah Syariah juga ada memperuntukkan mengenai kesalahan Qazaf, dalam Seksyen 41 Akta tersebut yang berbunyi “Kecuali dalam kes li'an, mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan, mengikut Hukum Syarak, empat orang saksi lelaki atau iqrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.”

Jika aduan dibuat secara tertutup menurut saluran yang ditetapkan, ia akan dibicarakan di dalam Mahkamah, dengan mengemukakan bukti-bukti dan saksi-saksi yang boleh membantu dakwaan. Maka maruah tertuduh tidak akan tercemar atau musnah seteruk perbicaraan di media dan di kalangan masyarakat awam. Apabila dibicarakan di mahkamah, maka hukuman qazaf tidak dikenakan kerana maqasid dari hukuman Qazaf adalah untuk membersihkan nama dan maruah tertuduh dari tercalar di mata awam.

Islam memberikan hak samarata kepada yang menuduh dan yang dituduh. Atas dasar itulah Islam memberi hak kepada yang dituduh untuk mengenakan had qazaf ke atas yang menuduh sekiranya tidak dapat mengemukakan saksi sebagaimana yang dikehendaki oleh hukum Syarak.

Maka, berhati-hatilah dalam membuat tuduhan ke atas seseorang yang lain, terutama tuduhan yang melibatkan hak Allah seperti hudud. Allah memberi peringatan keras sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud “Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan (dan lelaki-lelaki) yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat, dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang pedih. Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan.” (Surah An-Nur ayat 23-24)

- Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. E-mail sekretariatpgsm@yahoo.com

Monday, March 28, 2011

Keratan Akhbar - Perluas babit pesalah syariah

Harian Metro Selasa 29 Mac 2011

PUTRAJAYA: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mahu pelaksanaan Program Pemulihan Pemasyarakatan turut membabitkan banduan dalam kategori pesalah syariah yang dihukum penjara tidak melebihi lima tahun.

Timbalan Presidennya, Musa Awang, berkata pesalah syariah juga wajar ditempatkan di suatu pusat Pemulihan Pemasyarakatan dengan modul khusus yang lebih menitikberatkan aspek pemulihan akidah, kerohanian, mental dan spritual.

“Kami menyambut baik usaha kerajaan yang akan melaksanakan Program Pemulihan Pemasyarakatan, malah ia kena pada masanya. “Justeru, kami melihat program ini perlu diperluaskan juga kepada pesalah jenayah syariah sepenuhnya,” katanya, melalui satu kenyataan, di sini, semalam. Kelmarin Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan pelaksanaan Program Pemulihan Pemasyarakatan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mampu memberi impak tinggi dari aspek pemulihan dan mengurangkan kadar jenayah, malah menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

Musa berkata, pesalah syariah adalah mereka dijatuhi hukuman penjara tidak melebihi lima tahun penjara, membabitkan mereka yang melakukan kesalahan menurut Enakmen dan Akta Jenayah Syariah Negeri seperti judi, khalwat dan persetubuhan luar nikah. “Apa yang berlaku pada masa ini, apabila pesalah syariah dihukum penjara, mereka akan ditempatkan di bawah satu bumbung, bercampur dengan pesalah serius bawah Kanun Keseksaan seperti kes bunuh, rogol dan mencuri. “Ini memungkinkan mereka terdedah dengan jenayah lebih serius akibat percampuran dengan penjenayah berat. “Melalui Program Pemulihan Pemasyarakatan, banduan syariah boleh dipulihkan dan diintegrasikan ke dalam masyarakat, sekali gus menjadikan mereka insan berguna dan tidak mengulangi kesalahan sama atau kesalahan lebih berat,” katanya.

Tuesday, March 22, 2011

Hak rayuan tak boleh disalah guna aniaya orang




Oleh Tuan Musa Awang
sekretariatpgsm@yahoo.com
Berita Harian 16/03/2011

Pihak tidak puas hati keputusan kena mohon mahkamah lebih tinggi semak semula kes

TIDAK semua yang mengemukakan tuntutan di Mahkamah Syariah memperoleh apa yang dituntut. Ada tuntutan ditolak atau diluluskan sebahagiannya saja dan selebihnya ditolak mahkamah. Pihak tidak berpuashati dengan keputusan itu boleh mengemukakan rayuan di mahkamah lebih tinggi.

Dalam kitab Nazariah Al-Da’wa, karya Muhammad Naim Abdul Salam, Jilid 1, memetik kisah Zubyah Al-Asad: “Apabila Sayidina Ali menjadi Kadi di Yaman, Sayidina Ali menjatuhkan hukuman bagi orang yang pertama masuk ke dalam lubang perangkap singa mendapat satu perempat diat, kedua satu pertiga diat, ketiga mendapat separuh diat dan keempat mendapat diat penuh.

Diat ini dikenakan kepada kabilah yang berasak-asak di sekeliling lubang perangkap singa tadi, kerana mereka menyebabkan orang pertama jatuh, diikuti yang kedua kerana ditarik oleh yang pertama.

Orang ketiga pula ditarik orang kedua dan seterusnya menyebabkan semuanya mati. Yang pertama mendapat satu perempat kerana dia menyebabkan tiga kematian. Yang kedua mendapat satu pertiga kerana dia menyebabkan dua kematian. Yang ketiga mendapat separuh kerana dia menyebabkan satu kematian dan keempat mendapat diat penuh kerana dia tidak menyebabkan kematian sesiapa.

Sebahagian kabilah ini tidak berpuas hati hukuman Saidina Ali. Mereka kemudian menghadap Rasulullah SAW memohon dilihat semula kes mereka dan hukuman dijatuhkan Saidina Ali disemak semula. Rasulullah SAW menyemak semula kes itu dan bersetuju dengan hukuman dijatuhkan Saidina Ali.

Dalil ini membuktikan mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah, boleh merayu atau menyemak keputusan itu ke mahkamah lebih tinggi.

Di negara ini, hirarki Mahkamah Syariah didahului Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan paling tinggi Mahkamah Rayuan Syariah. Keputusan Mahkamah Rendah Syariah perlu dirayu ke Mahkamah Tinggi Syariah, dan jika masih tidak berpuashati dirayu ke Mahkamah Rayuan Syariah.

Bidang kuasa mendengar dan memutuskan rayuan ini diperuntukkan dengan jelas dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri. Mengambil contoh Seksyen 67 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) memperuntukkan: “Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa mendengar dan memutuskan rayuan terhadap apa-apa keputusan dibuat Mahkamah Tinggi Syariah dalam menjalankan bidang kuasa asalnya”.

Seksyen 63 (1) Enakmen sama memperuntukkan bahawa: “Rayuan boleh dibuat kepada Mahkamah Tinggi Syariah daripada apa-apa keputusan sesuatu Mahkamah Rendah Syariah (a) dalam bidang kuasa jenayahnya, oleh pihak pendakwa atau orang yang disabitkan dan rayuan itu boleh sama ada terhadap keputusan pembebasan, sabitan atau hukuman atau mana-mana daripadanya.

Manakala dalam (b) membabitkan bidang kuasa malnya (i) oleh mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan itu, jika amaun dituntut itu tidak kurang daripada satu ribu ringgit; (ii) dalam semua kes membabitkan apa-apa keputusan mengenai taraf diri, oleh mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan itu; (iii) dalam semua kes berhubungan dengan nafkah orang tanggungan, oleh mana-mana orang terkilan dengan keputusan itu, dengan syarat tiada rayuan boleh dibuat terhadap keputusan yang dibuat dengan persetujuan; (c) dalam apa-apa kes lain, jika Mahkamah Tinggi Syariah memberikan kebenaran untuk merayu”.

Apabila ada pihak tidak berpuashati merayu, pihak satu lagi tidak perlu marah atau menyalahkan Mahkamah Syariah jika kesnya lambat dan tertangguh akibat rayuan dikemukakan pihak tidak berpuas hati itu. Kerana ia hak diberikan hukum syarak dan undang-undang kepada pihak yang berkenaan. Mahkamah hanya menjalankan kuasa diberikan syarak dan undang-undang.

Walaupun hukum syarak dan undang-undang membenarkan pihak tidak berpuas hati membuat rayuan, namun janganlah hak ini digunakan pihak berkenaan untuk menzalimi pihak satu lagi.

Contoh, dalam kes mahkamah membenarkan tuntutan fasakh isteri, kadang-kadang si suami membuat rayuan atas dasar semata-mata menganiayai isteri atau menggantung isteri tidak bertali, sedangkan pasangan ini tiada persefahaman dan tidak lagi tinggal sebumbung. Dalam keadaan ini, ia ditegah syarak, kerana menganiayai dan menzalimi sesama manusia.

Allah berfirman bermaksud; “Sesungguhnya Allah menyuruh berbuat keadilan dan kebajikan, memberi (hak yang sepatutnya) kepada kaum kerabat, dan (Allah) melarang kamu melakukan kekejaman dan kemungkaran. Dia memberi pengajaran kepada kamu agar dapat mengambil pengajaran.” (Surah An-Nahl ayat 90).

Sehingga kini, ada beberapa negeri di mana Mahkamah Rayuan Syariah masih belum bersidang kerana ketiadaan panel rayuan atau panel rayuan belum dilantik secara rasmi, yang memberi makna bahawa rayuan pihak terbabit tidak dapat didengar dan diputuskan.

Keadaan ini perlu diselesaikan segera supaya umat Islam tidak melemparkan tohmahan kepada Mahkamah Syariah atas kelewatan itu dan tidak menzalimi pihak terbabit.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan boleh dihubungi melalui e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com.

Thursday, March 10, 2011

Bukan semua salah Mahkamah Syariah




Oleh Musa Awang
sekretariatpgsm@yahoo.com
Berita Harian 09/03/2011

Individu tak faham undang-undang punca kes tertangguh, tergendala

MENINJAU perkembangan Mahkamah Syariah dari tahun ke tahun mulai awal 80-an sehingga kini, banyak perubahan berlaku. Beberapa kelemahan dan kekurangan sudah dapat diatasi dari segi pendaftaran kes, pengendalian kes dan pertambahan bilangan Hakim Syarie.

Jumlah pegawai dan kakitangan sokongan lain turut dipertingkatkan, penambahbaikan kemudahan infrastruktur dilaksanakan menjadikan kedudukan Mahkamah Syariah kian menghampiri tahap profesionalisme yang diimpikan.
Suatu ketika dulu, masalah tunggakan kes di Mahkamah Syariah mendapat perhatian awam dan dijadikan bahan cemuhan, walaupun sebenarnya ia bukanlah seperti digembar-gemburkan. Buktinya, dari 1997 hingga 1999, hanya 29 peratus kes tertunggak.

Pada 2002, hanya 10 peratus kes tertunggak di Mahkamah Syariah, manakala 90 peratus berjaya diselesaikan. Dari 2003 hingga 2008, Mahkamah Syariah Kedah berjaya menyelesaikan lebih 90 peratus kes.

Pada 2008, Mahkamah Syariah Kedah juga berjaya menyelesaikan 96 peratus (15,036 kes) daripada keseluruhan 15,607 kes. Bagi 2010, ucapan tahniah dan penghargaan perlu diberikan kepada Mahkamah Syariah seluruh negara, kerana menyelesaikan kes dengan segera dan berjaya mengurangkan kadar kes tertangguh.

Di Terengganu misalnya, daripada 949 kes mal bagi 2010, sebanyak 600 kes iaitu 63 peratus berjaya diselesaikan. Di Pahang, dalam keadaan ketiadaan Ketua Hakim Syarie, kekurangan hakim, dan kedaifan kemudahan infrastruktur, Mahkamah Syariah Pahang berjaya menyelesaikan 5,204 kes (77.5 peratus) daripada keseluruhan 6,718 kes mal sedia tahun lalu.
Hanya 1,532 kes (22.5 peratus) yang tertunggak. Pada tahun sebelumnya (2009), Mahkamah Syariah Pahang berjaya menyelesaikan 5,288 kes mal (70 peratus) daripada keseluruhan 7,559 kes.

Statistik dikeluarkan Jabatan Kehakiman Syariah Melaka, punca 24.2 peratus kes tertangguh bagi 2006 hingga 2009, berpunca daripada pihak-pihak yang tidak hadir ke mahkamah atau tidak bersedia pada tarikh pendengaran ditetapkan.

Sebanyak 21 peratus ditangguhkan untuk tarikh sambung bicara berikutnya.
Sebanyak 13.4 peratus akibat saman gagal diserahkan, 12.65 peratus (dokumen tidak lengkap), 10.7 peratus (peguam mohon tangguh dan tidak bersedia) dan 9.6 peratus (hakim kursus, bercuti atau bertukar).

Masyarakat awam tidak seharusnya menyalahkan mahkamah seratus peratus apabila berlaku penangguhan kes kerana statistik menunjukkan peratus terbesar adalah akibat kesilapan mereka sendiri.

Sebahagian besar kes difailkan sendiri tanpa khidmat peguam syarie didapati tidak menepati kehendak undang-undang, tidak mempunyai alamat lengkap, tidak jelas apa tuntutannya, lebih kepada karangan bercerita atau cerpen, sedangkan undang-undang menghendaki fakta dan keterangan.

Sebahagiannya pula membuat tuntutan yang salah. Contohnya, isteri menuntut cerai secara baik daripada suami, walhal suami tidak bersetuju menceraikannya. Menurut undang-undang, apabila tidak ada persetujuan untuk bercerai, mereka perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Pendamai atau hakam, dan ini pastinya akan memakan masa.

Jika suami tidak setuju cerai, apa yang sepatutnya dilakukan dari awal ialah isteri menuntut cerai fasakh, taklik atau tebus talak.

Sebelum membuat sebarang tuntutan di mahkamah, masyarakat perlu mendapatkan nasihat perundangan terlebih dulu sama ada daripada peguam syarie swasta (jika mampu) atau Biro Bantuan Guaman (jika tidak mampu), supaya kes difailkan tidak tertangguh atau tergendala di pertengahan jalan kerana tidak semua orang boleh memahami undang-undang.

Ada juga sebab berpunca daripada peguam syarie yang tidak hadir atau lewat hadir ke mahkamah, mengambil terlalu banyak kes hingga gagal hadir ke mahkamah, tidak menyiapkan bahan kes, tidak bersedia walaupun tarikh perbicaraan sudah ditetapkan dan menangguhkan kes tanpa alasan munasabah.

Bagi mengelakkan kes tertangguh, peguam syarie perlu lebih beramanah dan bertanggungjawab terhadap pihak yang diwakilinya, sentiasa bersedia, menambahkan ilmu pengetahuan mengenai hukum syarak dan undang-undang dari masa ke semasa.

Faktor kekurangan Hakim Syarie masih berlaku di beberapa negeri menyebabkan mahkamah terpaksa menangguhkan kes. Sebahagian mahkamah juga terlalu sibuk atau sesak, terutama di daerah mempunyai penduduk yang tinggi menyebabkan perbicaraan memakan masa panjang.

Mahkamah Syariah seluruh negara terbukti berjaya mengurangkan kadar kes tertangguh. Peningkatan dicapai selama ini jarang sekali diberi penghargaan sewajarnya. Malangnya, kekurangan dan kelemahan yang sering diberi perhatian.

Masyarakat Islam perlu memberi penuh kepercayaan bahawa undang-undang Islam itu adalah baik dan mampu dilaksanakan dengan sebaiknya.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan boleh dihubungi melalui e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...