Friday, May 25, 2018

PGSM terkejut guna takrifan ‘ibu bapa’


Berita Harian
30 Jan 2018

Kuala Lumpur: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) terkejut dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan penukaran agama tiga anak guru tadika, M Indira Gandhi, hampir 10 tahun lalu kepada Islam adalah tidak sah dan terbatal.

Presidennya, Musa Awang, berkata walaupun akur dengan keputusan itu, pihaknya hairan Mahkamah Persekutuan kali ini menggunakan takrifan parent atau ‘ibu bapa’ bersifat majmuk dalam keputusan kes itu.

“Mahkamah Persekutuan menggunakan takrifan parent sebagai ‘ibu bapa’, sekali gus membawa tafsiran itu ‘memerlukan persetujuan kedua-dua ibu bapa untuk membolehkan penukaran agama dilakukan.

“Dalam kes R Subashini melawan T Saravanan pada tahun 2007, mahkamah yang sama membuat keputusan ‘salah seorang ibu atau bapa’ boleh membuat keputusan menentukan agama anak, tanpa perlu persetujuan pasangan,” katanya kepada BH, semalam.

Mahkamah Persekutuan di Putrajaya semalam memutuskan takrif ‘ibu bapa’ harus bersifat majmuk dalam keputusannya berhubung kes penukaran agama satu pihak membabitkan Indira Gandhi dan bekas suaminya, Mohd Ridhuan Abdullah.

Status terbatal, tak sah

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin memutuskan penukaran agama tiga anak oleh bapa mualaf mereka, hampir 10 tahun lalu terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Dalam kes Subashini lawan T Saravanan pada 2007, mahkamah sama memutuskan salah seorang ibu atau bapa boleh membuat keputusan untuk menentukan anaknya yang di bawah umur memeluk Islam.

Musa berkata, susulan keputusan mahkamah itu, anak pertama dan kedua pasangan itu yang masing-masing sudah berusia lebih 18 tahun, sekali gus berhak menentukan agama yang ingin dianuti.

“Difahamkan, dua anak pasangan ini memang sudah memeluk Islam dan mempunyai kad perakuan memeluk agama Islam. Namun, status perakuan itu mungkin terbatal susulan keputusan mahkamah.

“Dari sudut perundangan, mereka sudah berhak membuat keputusan sendiri agama ingin dianuti. Tetapi mereka boleh memohon perakuan memeluk Islam yang baharu,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya Mohd Ridhuan hendak menyelamatkan akidah anak yang ketiga, beliau masih perlu menunggu usia anaknya mencecah 18 tahun atau memohon di mahkamah hak penjagaan anak daripada bekas isterinya.

No comments:

Post a Comment

Pentadbiran Pusaka : Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM

Pinda akta, enakmen di bawah mahkamah syariah – PGSM Oleh SITI AISYAH MOHAMAD  Sinar Harian, 25 September 2023 Musa Awang SHAH ALAM - Pent...