Harian Metro
22 Nov 2017
Pasangan Islam yang
tidak mendaftarkan pernikahan mereka di pejabat agama tempat mereka
bermastautin boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Enakmen
Perkahwinan Keluarga Islam negeri itu.
Presiden Persatuan
Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang berkata, permohonan pendaftaran itu
hendaklah dibuat dalam tempoh enam bulan dari tarikh pasangan berkenaan
bernikah.
“Kalau mereka gagal
berbuat demikian, kedua-duanya boleh dikenakan satu lagi tindakan undang-undang
iaitu lewat membuat pendaftaran pernikahan dalam tempoh ditetapkan.
“Mana-mana pasangan yang
didapati bersalah melanggar peruntukan itu boleh didenda tidak lebih RM1,000
atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-dua sekali,” katanya.
Beliau berkata, tujuan
pendaftaran pernikahan dibuat untuk memastikan prosedur pernikahan yang
dijalankan sah dan mematuhi hukum syarak.
“Atas sebab itu,
mana-mana lelaki atau wanita bujang yang mahu bernikah perlu mendapat kebenaran
pendaftar nikah di kawasan masing-masing.
“Selepas permohonan
dibuat, pejabat agama akan meneliti pelbagai faktor untuk melihat sama ada
pernikahan itu sah atau tidak dan jika wujud keraguan khususnya dari segi wali,
maka pernikahan semula perlu dibuat,” katanya ketika dihubungi Harian Metro,
semalam.
Beliau berkata demikian
ketika diminta mengulas dakwaan pernikahan senyap membabitkan dua selebriti
popular Nur Fazura Sharifuddin, 34, atau Fazura dan Fattah Amin, 27, yang
dikatakan berlangsung secara tertutup dengan hanya dihadiri ahli keluarga dan
rakan terdekat.
Ada sumber mendakwa
Fattah dan Fazura selamat diijabkabulkan sekitar jam 12.30 tengah malam, 14
November lalu di banglo milik nenek kepada pelakon wanita jelita itu di
Petaling Jaya, Selangor.
No comments:
Post a Comment