Friday, May 25, 2018

JPN boleh guna undang-undang syariah negeri

Berita Harian
28 Jul 2017

Kuala Lumpur: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) boleh mengguna pakai undang-undang syariah negeri bagi menentukan hak orang Islam, kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang.

Beliau berkata, Jadual Kesembilan Senarai 2 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan undang-undang syariah negeri yang mempunyai kuasa ke atas orang Islam, termasuk hukum syarak berhubung soal pewarisan, perceraian, mas kahwin dan kesahtarafan.

Katanya, jadual itu turut memberi kuasa, antaranya dalam isu penjagaan, amanah serta institusi khairat di dalam sesebuah negeri. 

“JPN sebagai pihak yang mendaftarkan kelahiran terikat kepada undang-undang Islam negeri, khususnya bagi perkara serta isu membabitkan orang Islam. JPN juga boleh mengguna pakai fatwa yang sudah diwartakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri dalam menentukan hak orang Islam.” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Kesan jangka pendek, Panjang

Musa berkata, keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang memutuskan JPN tidak terikat dengan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan dikhuatiri memberi kesan jangka panjang dan pendek kepada nasab (keturunan) orang Islam.

Beliau berkata, Islam amat mementingkan kesahtarafan bagi menjaga keturunan umatnya bagi mengelak kekeliruan pada masa hadapan. 

“Sekiranya seorang anak perempuan berkahwin yang berwalikan individu yang mengakui dirinya ayah, maka perkahwinan itu adalah tidak sah dan akan memberi kesan kepada status keturunannya,” katanya.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, dalam penghakimannya, berkata bidang kuasa Ketua Pengarah JPN adalah sivil dan terbatas untuk menentukan sama ada bapa memenuhi syarat mengikut Seksyen 13A(2) Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA).


Tawar khidmat nasihat syarie


Harian Metro
26 Apr 2017


Kuala Lumpur: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengesan berlakunya kegiatan pihak tertentu yang menawarkan, mengiklankan khidmat nasihat guaman syarie serta menawarkan khidmat menyediakan dokumen tuntutan di mahkamah syariah dengan bayaran tertentu walaupun mereka bukan seorang peguam syarie bertauliah.


Presidennya, Musa Awang berkata, kegiatan itu dikesan berlaku sejak kebelakangan ini selain terdapat individu atau syarikat yang menawarkan pakej membawa pasangan bernikah ke luar negara dengan bayaran tertentu.


Katanya, mereka kemudian membantu pasangan mendaftarkan pernikahan dan menyiapkan dokumen permohonan atau tuntutan di mahkamah syariah.


“Kami mengenal pasti ada orang perseorangan atau syarikat menawarkan khidmat tertentu, sedangkan mereka bukan firma peguam, malah individu itu bukan peguam syarie yang mempunyai tauliah sah,” katanya.


Wednesday, May 23, 2018

Pertimbangan berhati-hati lantik PM


Harian Metro
24 May 2018
Musa Awang
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)




Selepas PRU14, setelah Pakatan Harapan menangi majoriti mudah (simple majority) untuk membentuk kerajaan, timbul polemik berhubung isu pelantikan Perdana Menteri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Antara pembohongan yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ialah tuanku sengaja melengah-lengahkan pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad, sehingga jam 9.30 malam barulah secara rasminya Tun Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh.

Kuasa melantik PM

Walaupun kuasa memilih wakil rakyat ke Dewan Rakyat adalah kuasa rakyat, namun kuasa melantik ketua bagi wakil rakyat yang dipilih tersebut adalah kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa – “(2) Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu : (a) melantik seorang Perdana Menteri.”

Perkataan ‘menurut budi bicaranya’ di sini bermaksud kuasa yang dilaksanakan oleh
Yang di-Pertuan Agong tanpa nasihat daripada mana-mana pihak.

Bagaimanapun, Perkara 43(2)(a) Perlembagaan memfokuskan skop budi bicara itu dengan peruntukan yang berbunyi – “43 (2) Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu: (a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu.”

Yang di-Pertuan Agong tidak boleh bertindak melantik sesiapa saja yang disukainya sebagai Perdana Menteri. Sebaliknya, Perdana Menteri yang hendak dilantik mestilah seorang ahli Dewan Rakyat (bukannya Senator di Dewan Negara) dan harus dapat menguasai keyakinan majoriti, iaitu sekurang-kurangnya 112 orang daripada sejumlah 222 orang ahli Dewan Rakyat.

Dapat kepercayaan majoriti

Kepercayaan majoriti diperlukan bagi pelantikan seorang Perdana Menteri adalah berasaskan kepada keupayaan seorang Perdana Menteri untuk mengawal majoriti Dewan Rakyat supaya dia mempunyai sebuah kerajaan yang stabil.

Perlembagaan tidak memperincikan bagaimana seseorang Perdana Menteri mencapai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. Kepercayaan majoriti itu hendaklah datang daripada ahli Dewan Rakyat, yang dipilih semasa pilihan raya dan bukan daripada mana-mana pihak di luar dewan.

Hakikatnya, politik di negara ini adalah berdasarkan penguasaan parti dalam sistem demokrasi moden. Ini bermakna, parti atau melalui pakatan parti akan meletakkan calon mereka untuk bertanding dalam pilihan raya. Manakala pengundi akan mengundi mengikut lambang parti yang digunakan dalam kertas undi. Walau pun terdapat calon Bebas yang tidak menyertai mana-mana parti politik bertanding, mereka juga menggunakan lambang tertentu dalam kertas undi. Bukan menggunakan rupa atau wajah mereka.

Oleh itu, mana-mana parti politik yang memenangi pilihan raya dengan majoriti mudah boleh membentuk kerajaan, manakala pemimpin utama parti politik tersebut biasanya akan dilantik sebagai Perdana Menteri.

Pembentukan kerajaan

Selepas pilihan raya umum, ketua parti yang berjaya membentuk kerajaan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Sekiranya tidak ada suatu parti yang menang majoriti, tetapi terdapat gabungan politik yang berjaya membentuk kerajaan, Yang di-Pertuan Agong akan melantik nama yang diketengahkan sebagai Perdana Menteri oleh gabungan politik tersebut.

Pada Pilihan Raya Umum 9 Mei 2018, parti yang menang dalam PRU14 adalah terdiri daripada parti dalam Pakatan Harapan, iaitu PKR, DAP, PPBM, PAN serta Warisan. Pakatan Harapan memenangi 113 daripada 222 kerusi Parlimen, dengan pecahan PKR (104), DAP (9). Manakala Parti Warisan Sabah (8), Barisan Nasional (BN) memperoleh 79 kerusi, PAS (18), Parti Solidariti Tanah Airku (1) dan Bebas (3).

Memandangkan tiada suatu parti yang memperolehi 112 kerusi untuk membentuk majoriti mudah, maka pada petang 10 Mei 2018, semua ketua atau wakil parti gabungan Pakatan Harapan menghadap sembah ke bawah duli Tuanku untuk memaklumkan sokongan terhadap Tun Dr Mahathir Moahamad dilantik sebagai Perdana Menteri.

Ia proses untuk Baginda benar-benar mengenalpasti dan meyakini bahawa Tun Dr Mahathir adalah individu yang paling banyak mendapat sokongan ahli dewan rakyat untuk mengetuai kerajaan.

Selepas Baginda meyakini Tun Dr Mahathir mendapat kepercayaan dan sokongan yang cukup untuk mengetuai kerajaan, maka barulah Baginda bertitah untuk majlis mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri diadakan pada jam 9.30 malam, Khamis 10 Mei 2018.

Kelihatan agak lama masa yang diperlukan untuk upacara mengangkat sumpah kerana ia adalah untuk menentukan ketua bagi kerajaan yang baru, bukannya melantik Perdana Menteri bagi kerajaan yang pernah menyandang sebelumnya.
Tiada sebarang tekanan boleh mempengaruhi Yang di-Pertuan Agong dalam bertindak secara berperlembagaan untuk menggunakan pertimbangan Baginda secara senyap, tenang, bebas dan saksama.

Pertimbangan berhati-hati

Sikap dan tindakan berhati-hati Baginda harus dipuji. Sebagai ketua negara Malaysia, Baginda harus membuat pertimbangan dengan penuh cermat dan teliti, bagi mengelakkan berlaku pertikaian di kemudian hari, termasuk risiko dicabar di mahkamah. Kerana jika berlaku, kesannya boleh menggugat kesejahteraan seluruh rakyat di bawah lindungan payung Baginda.

Episod yang pernah berlaku di Sabah pada April 1985 yang menyebabkan perebutan kuasa oleh Tun Mustapha dan Harris Salleh yang akhirnya menjadi subjek litigasi dalam kes Tun Mustapha Harun melawan Tun Mohd. Adnan Robert dan Datuk Joseph Pairin Kitigan [1986] 2 MLJ 420, tidak harus dibiar berulang lagi.

Daulat Tuanku!


Monday, May 21, 2018

Perhalusi pelaksanaan supaya tak dorong pasangan nikah di luar negara


Harian Metro
12 Mar 2018


MUSA Kita khuatir ia mendorong pasangan bernikah tanpa kebenaran pihak berkuasa agama”

Alor Setar: Persatuan Peguam Syarie Malaysia menyambut baik inisiatif Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) menjalankan program pemutihan pasangan yang berkahwin di Thailand berikutan kedudukan Kedah yang bersempadan dengan negara berkenaan.

Presidennya Musa Awang berkata, inisiatif terbabit mampu membela anak dilahirkan pasangan berkahwin di luar negara khususnya Thailand yang sebelum ini tidak didaftarkan akibat kegagalan ibu bapa melaporkan perkahwinan mereka di sini.

Beliau berkata, inisiatif itu harus benar-benar diperhalusi pelaksanaannya supaya ia tidak menjadi pendorong pasangan tempatan untuk bernikah di luar negara tanpa kebenaran pihak berkuasa agama.

“Ia inisiatif yang baik kerana kedudukan Kedah menjadi faktor negeri ini paling ramai pasangan berkahwin di Thailand.

“Ia memberi pembelaan kepada wanita dan anak hasil perkahwinan di luar negara yang belum didaftarkan kerana memberi kesan daripada segi pendaftaran, kesahtarafan anak dan persekolahan,” katanya ketika mengulas program pemutihan pasangan dari Kedah yang berkahwin di Thailand bermula bulan ini.

Sebelum ini, langkah sama dilaksanakan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor dan Pahang.

Ditanya sama ada inisiatif itu perlu diperluaskan ke seluruh negara, beliau berkata, ia perlu dinilai daripada aspek kewajaran statistik pasangan berkahwin di luar negara di negeri lain.

“Kita khuatir jika urusan ini dipermudahkan, ia menjadi dorongan kepada pasangan untuk bernikah tanpa kebenaran pihak berkuasa agama atau pernikahan yang berlawanan undang-undang.

“Sedangkan undang-undang itu (kebenaran berkahwin/berpoligami) digubal untuk menjaga kebajikan masyarakat Islam, ” katanya.

Pada masa sama, Musa melihat faktor kewangan bukanlah penyebab utama kegagalan pasangan mendaftarkan perkahwinan di negara ini, tetapi sikap ambil mudah selain tunggu dan lihat.

Beliau berkata, ia turut disebabkan mereka tidak mahu perkahwinan diketahui isteri atau keluarga selain khuatir dikenakan tindakan undang-undang kerana bernikah tanpa kebenaran.

“Saya tidak nampak kegagalan mereka mendaftar disebabkan masalah kewangan atau proses leceh kerana mereka boleh bernikah di Thailand dengan perbelanjaan hampir RM2,000 sedangkan proses mendaftarkan pernikahan tidak menelan kos sebanyak itu,” katanya.

“Proses mendaftarkan pernikahan bukanlah proses yang susah atau payah kerana mereka hanya perlu melaporkan ke jabatan Agama Islam saja dan panduan akan diberikan.

“Mereka boleh mendapatkan nasihat daripada 3,000 peguam syarie di seluruh negara,” katanya.

Tetamu pun boleh didakwa

Harian Metro
2 Mar 2018

Kuala Lumpur: Bukan saja pelakon dan pengacara popular, Neelofa boleh didakwa mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997), malah mereka yang berada di dalam majlis pelancaran tudung itu juga berdepan dengan tindakan sama.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang berkata, Neelofa dan mereka yang terbabit di dalam majlis itu boleh didakwa mengikut Seksyen 7, akta berkenaan.

“Dia (Neelofa) dan mereka yang lain boleh didakwa kerana menyebabkan agama Islam dipandang hina. Bukan saja Neelofa, tetapi mereka yang terbabit di dalam majlis itu kerana menampakkan seolah-olah agama Islam dipandang hina apabila melancarkan simbol kepada penganut agama Islam (bertudung) dengan acara tarian dan berdansa dalam keadaan bertudung.

“Perkara yang baik dan kewajipan dalam agama, tetapi dibawa masuk ke tempat yang berunsur maksiat,” katanya yang mengulas berhubung kontroversi majlis pelancaran koleksi Naelofar Hijab, Be Lofa yang berlangsung di pusat hiburan di Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Bagaimanapun, Musa berkata, Seksyen 7 (a) meletakkan beban pembuktian yang kuat kepada pihak pendakwaan kerana peruntukan itu terlalu subjektif, dan ia perlu dibuktikan sejauh mana perlakuan Neelofa atau penganjur itu dikatakan sebagai menghina agama Islam.

Thursday, April 19, 2018

Janji adalah hutang



TUAN MUSA AWANG 
18 APRIL 2018
Sinar Harian


Menjelang PRU14 ini pelbagai pihak mula menabur janji-janji

MENJELANG pilihan raya umum, kelihatan bagaikan suatu pesta menabur janji-janji, Ada janji yang berkisar tentang perkara-perkara yang mungkin tercapai, yang logik dan boleh diterima akal.

Dan ada juga janji yang tidak munasabah untuk diterima akal, yang diucapkan sekadar untuk menarik perhatian dan meraih sokongan, serta tidak dapat membezakan yang manakah visi dan yang manakah janji.

Visi sepatutnya sebuah paparan perancangan yang akan dilakukan jika terpilih untuk menjadi pemimpin, dan masih dalam batas-batas kewajaran serta rasional. Tetapi jika visi telah dipaparkan menjadi sebuah janji, maka di situlah ia terikat dengan adab-adab dan kehendak yang digariskan syarak.

Pihak yang berjanji sudah pasti memikirkan dan mengkaji sama ada janji yang ditaburkan itu mampu dipenuhi atau tidak.

Janji adalah suatu akad, iaitu suatu simpulan yang mengikat antara pihak yang mengucapkan janji dan pihak yang menerima janji. Lebih-lebih lagi jika pihak yang menerima janji mengotakan apa yang ditawarkan oleh pihak yang berjanji. 

Akad perjanjian yang dibuat secara bertulis boleh ditagih atau dituntut. Malangnya, tidak demikian dengan janji mulut, tiada surat perjanjian hitam dan putih. Sekadar dalam bentuk kata-kata si pembuat janji. Jika si pembuat janji mengelak, si penerima janji tidak punyai apa-apa sebagai dasar untuk menuntut janji berkenaan.

Berjanji adalah harus, menetapi janji adalah wajib. Oleh sebab itu, tidak mengotakan janji yang telah dipersetujui bererti haram dan mungkar di sisi ALLAH SWT. Firman-Nya yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah akad-akad janji itu.” (Surah Al-Ma’idah : 1)

Dalam surah yang lain, ALLAH SWT berfirman yang bermaksud, “dan tepatilah perjanjian dengan ALLAH apabila kamu berjanji dan janganlah kamu membatalkan sumpah-sumpah (mu) itu sesudah meneguhkannya, sedang kamu sudah menjadikan ALLAH sebagai saksimu (terhadap sumpah-sumpah itu).” (Surah An-Nahl : 91)

Janji tetap janji dan wajib ditepati bila tiba tempoh yang dijanjikan, melainkan janji untuk membuat sesuatu yang dilarang syariat, atau terdapat hal yang lebih baik dibandingkan dengan janji yang dibuatnya, atau tidak dapat ditunaikan kerana sakit, pengsan, hilang akal, atau keuzuran lain yang diharuskan syarak.

Melanggar atau meremehkan janji sama halnya dengan meremehkan hukum syarak, dan merupakan sebahagian tanda-tanda orang munafik. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga keadaan. Jika ia berkata ia berdusta, jika ia berjanji ia mengingkari, dan apabila diberi amanah (kepercayaan) ia mengkhianatinya.” (HR Bukhari, Muslim).

Perbuatan memungkiri janji akan memberikan implikasi yang buruk kepada pihak-pihak yang terlibat. Misalnya, boleh merenggangkan hubungan persahabatan yang terjalin, hilang rasa hormat dan menghargai antara satu sama lain, berlaku perselisihan faham, hilang keyakinan serta kepercayaan antara satu sama lain.

Menunaikan janji adalah ciri-ciri orang beriman. Mengingkari janji merupakan sifat dan perbuatan syaitan, kerana syaitan itu ialah makhluk yang memberikan janji-janji dan membangkitkan angan-angan kosong pada manusia, padahal yang dijanjikan itu hanyalah tipu daya belaka.

Oleh sebab itu, adab semasa berjanji ialah dengan melafazkan ucapan ‘insya-Allah’ bagi setiap janji yang dibuat. Firman ALLAH SWT yang bermaksud, “Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu yang hendak dikerjakan bahawa aku akan lakukan yang demikian itu kemudian nanti melainkan hendaklah disertakan dengan berkata ‘insya-Allah’.” (Surah al-Kahfi ayat 23).

Walaupun disertakan ‘insya-Allah, bukan bermakna ia suatu pilihan kepada pembuat janji, sama ada mahu ditepati dan dipenuhi atau tidak. Ucapan ‘insya-Allah adalah bertujuan untuk mengelak daripada berdosa jika tidak dapat memenuhi perkara yang dijanjikan, dan merupakan suatu azam yang bersungguh-sungguh untuk berusaha memenuhi segala janji, supaya tidak termasuk dalam golongan orang munafik yang dibenci oleh ALLAH SWT.

Demikianlah betapa agama Islam sangat mengambil berat dalam soal janji, walaupun dibuat secara lisan. Berjanjilah dalam perkara-perkara yang mampu ditepati dan ditunaikan. Jangan menganggap janji suatu hal yang remeh dan dijadikan barang mainan. Nasib rakyat tidak wajar dijadikan bahan lelucon.

Membuat pilihan yang tepat semasa pilihan raya umum adalah hak dan kebijaksanaan rakyat. Rakyat bijak perlu mengimbau lima tahun ke belakang, dengan menilai pihak manakah yang pernah berjanji dan menepati, dan pihak manakah yang pernah, berjanji tetapi masih berhutang janji-janjinya. Wallahualam. 

* Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Lemah lembut di mahkamah syariah

Gambar Hiasan

Harian Metro, 
5 Apr 2018
Musa Awang

Pada Rabu lalu, penulis dan beberapa rakan deligasi berkesempatan hadir ke Family Court, Sydney, New South Wales, Australia bagi melihat bagaimana pengendalian kes pertikaian keluarga di negara kanggaru itu.

Sesampai di kaunter hadapan, penulis diberikan penerangan yang jelas dengan penuh senyuman oleh petugas kaunter. Mereka memahami akan tugas yang mereka lakukan, tanpa lokek atau jemu memberikan penjelasan terhadap apa yang ingin diketahui oleh pelanggan, walaupun penulis bukan warga Australia dan berlainan agama.

Penulis juga berpeluang menyaksikan dua prosiding sebutan di mahkamah berkenaan. Satu kes tuntutan ganti rugi perceraian dan satu lagi kes berkenaan tuntutan nafkah anak. Kes ditangguhkan oleh hakim juga dengan bahasa yang lemah lembut dan sopan, untuk memberikan peluang pihak berkaitan melengkap dokumen atau menyelesaikan perbicangan persetujuan bersama, sebelum mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan.
Respect (hormat), itulah perkataan sesuai diberikan kepada hakim bicara yang melayan peguam dan pihak berkaitan tanpa diwakili peguam dengan cara lemah lembut, penuh berhikmah dan bahasa yang bersopan santun.

Kualiti dan budaya seperti ini wajar diterapkan ke mahkamah syariah dan institusi agama lain di negara ini. Ini kerana, kualiti sesebuah institusi itu sering dinilai daripada cara perkhidmatan yang diberikan, bermula di kaunter pertanyaan. Petugas kaunter adalah orang hadapan yang membawa imej institusi secara keseluruhannya. Tanggapan pertama (first impression) pelanggan akan membawa kepada persepsi keseluruhannya terhadap institusi berkenaan.

Justeru, perkara utama yang perlu diterapkan sebagai kelaziman ialah bersikap ramah mesra, berlemah lembut dan sentiasa memberikan senyuman dalam apa juga situasi dan siapa juga kategori pelanggan. Sikap ini akan menimbulkan rasa hormat pelanggan kepada institusi berkenaan, secara automatik tanpa perlu diarah atau diminta.

Sikap berlemah lembut petugas kaunter yang disulami dengan pengetahuan dan kemahiran, bukan saja boleh menjawab pertanyaan oleh pelanggan dan menguruskan keperluan yang dikehendaki, lebih daripada itu mampu memberikan perkhidmatan cemerlang melepasi tahap kepuasan pelanggan.

Budaya mempamerkan senyuman, berlemah lembut dan berbahasa sopan santun seharusnya menjadi satu budaya yang diamalkan semua warga kerja mahkamah syariah, termasuk di dalam dewan perbicaraan.

Bahasa pertuturan yang digunakan juga perlu mengambil kira pihak terbabit. Bahasa orang awam sudah pasti berbeza dengan bahasa peguam syarie. Istilah undang-undang, peruntukan undang-undang, seksyen dan sebagainya mungkin difahami oleh seseorang peguam syarie, tetapi berbeza pemahamannya dalam kalangan orang awam.
Sikap berlemah lembut dalam Islam disebut mudaroh, iaitu sikap berlemah lembut agar membuat orang lain tertarik dan tidak menjauh dari kita.

Bersikap lemah lembut adalah sebahagian daripada perintah Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ali Imran ayat 159 yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat dan pengikutmu) dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.”

Dalam hadis daripada Aishah RA, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah bersifat lemah lembut dan berlemah lembut dalam semua perkara.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Dalam satu hadis daripada Abu Dzar RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Engkau tersenyum di depan saudaramu itu adalah sedekah.”

Al Hasan Al Bashri mengatakan bahawa berlaku lemah lembut inilah akhlak Nabi Muhammad SAW yang di mana beliau diutus dengan membawa akhlak yang mulia ini.
Dalil di atas menunjukkan perintah agar bersikap lemah lembut dan menyebarkan kedamaian dalam hati orang yang berurusan, bagi mengelakkan pihak berkaitan merasa ketakutan.

Sikap berlemah lembut dan menghormati pihak berkaitan serta peguam syarie yang hadir di hadapan mahkamah tidak sesekali akan menjatuhkan kredibiliti seseorang hakim. Malah ia akan menimbulkan satu rasa hormat oleh pihak yang bertelingkah, serta membantu melicinkan perjalanan kes.

Mahkamah syariah sebagai satu institusi kehakiman perlu dihormati atas dasar kemesraan dan kewibawaan yang ditunjukkan, bukan atas dasar kebimbangan dan ketakutan. Kewibawaan mahkamah syariah dapat dimanifestasikan dalam melaksanakan perintah atau penghakiman yang tegas dan mampan, bukan ketegasan dalam tutur kata dan nada percakapan.

Sikap berlemah lembut dan pertuturan yang sopan akan menjadi suatu amalan yang dapat memasukkan seseorang ke dalam syurga, ditempatkan di dalam kamar yang bahagian luarnya dapat dilihat dari dalam dan bahagian dalamnya dapat dilihat dari luar, digantikan dengan pahala sedekah bagi yang tidak mampu untuk bersedekah, dapat menyelamatkan seseorang dari siksa api neraka.

Tutur kata lemah lembut dan sopan juga dapat menghindarkan permusuhan dan dendam kesumat yang mungkin akan digunakan sebagai senjata oleh pihak tidak berpuas hati untuk menyebarkan tohmah kepada institusi mahkamah Syariah.

Sikap berlemah lembut dan pertuturan yang sopan akan menjadi suatu amalan yang dapat memasukkan seseorang ke dalam syurga, ditempatkan di dalam kamar yang bahagian luarnya dapat dilihat dari dalam dan bahagian dalamnya dapat dilihat dari luar, digantikan dengan pahala sedekah bagi yang tidak mampu untuk bersedekah, dapat menyelamatkan seseorang dari siksa api neraka

Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). 
E-mel : sekretariatpgsm@yahoo.com

Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM

 Semak undang-undang Islam secara berkala – PGSM MUSA AWANG Oleh AIMAN ALI 19 Jun 2025, 4:58 pm PETALING JAYA: Persatuan Peguam S...